Custom Search

Selasa, Mac 30, 2010

Harapan MEB

Penentu utama kepada kesemua aspek ini adalah ekonomi rakyat. Rakyat mengharapkan lebih banyak lagi peluang-peluang pekerjaan tidak kiralah sama ada makan gaji mahupun menjalankan perniagaan. Menjana lebih banyak lagi peluang pekerjaan kepada rakyat adalah sesuatu yang dinanti-nantikan oleh rakyat. Jangan biarkan rakyat hidup bergelandangan tanpa pekerjaan dan hala tuju.

Tunaikan harapan rakyat berbilang kaum

PERDANA Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak sekali lagi akan mengumumkan pelan transformasi yang amat penting untuk ekonomi rakyat yang dikenali sebagai Model Ekonomi Baru (MEB). Sejak memegang tampuk pemerintahan tertinggi negara hampir setahun yang lalu,

beliau telah memperkenalkan gagasan 1Malaysia, Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan, disusuli pula dengan budaya kerja berdasarkan Petunjuk Prestasi Utama (KPI), Program Transformasi Kerajaan (PTK) dan enam Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA).

Bagi kaca mata rakyat, MEB yang akan diumumkan nanti merupakan satu medan terbaik untuk kerajaan bagi mengatur strategi memperkukuhkan lagi ekonomi rakyat secara holistik melibatkan semua peringkat rakyat yang berbilang kaum sama ada di bandar mahupun di luar bandar termasuklah golongan orang kurang upaya (OKU).

Kerajaan juga mestilah responsif dengan segala masalah rakyat bagi memastikan rakyat dapat menyesuaikan diri dengan kemajuan yang ingin dikecapi. Jika rakyat tidak dapat menyesuaikan diri dengan baik dalam menghadapi pelbagai tekanan, kesan daripada pembangunan negara yang pesat, dikhuatiri pelbagai penyakit akan menimpa rakyat seperti sakit mental dan pelbagai masalah sosial serta keruntuhan institusi kekeluargaan.

Ini kerana rakyatlah merupakan golongan terpenting yang sepatutnya mendapat manfaat daripada MEB. Justeru, berjayanya MEB bergantung sepenuhnya kepada sejauh mana kerajaan menunaikan segala amanah dan harapan rakyat yang diberikan kepadanya. Secara umumnya, rakyat mahukan kehidupan yang makmur, sejahtera, selesa dan menggembirakan. Ini merangkumi semua aspek kehidupan rakyat sama ada pendidikan, keselamatan, kesihatan, beribadat, kelestarian alam sekitar dan sebagainya.

Penentu utama kepada kesemua aspek ini adalah ekonomi rakyat. Rakyat mengharapkan lebih banyak lagi peluang-peluang pekerjaan tidak kiralah sama ada makan gaji mahupun menjalankan perniagaan. Menjana lebih banyak lagi peluang pekerjaan kepada rakyat adalah sesuatu yang dinanti-nantikan oleh rakyat. Jangan biarkan rakyat hidup bergelandangan tanpa pekerjaan dan hala tuju.

Rakyat juga mengharapkan pendapatan yang diperoleh setimpal dengan kelayakan dan pengalaman mereka. Bayangkan 10 tahun yang lalu, gaji permulaan seorang graduan perakaunan di sektor swasta sama seperti pada masa kini, sedangkan kos sara hidup rakyat telah naik berlipat kali ganda dalam tempoh yang sama. Bayangkan juga tidak sampai lima tahun yang lepas, harga sebuah rumah teres dua tingkat di Kedah boleh dimiliki di bawah RM150,000 tetapi kini rata-rata harganya melebihi RM200,000. Mana mungkin rakyat yang berpendapatan di bawah RM3,000 mampu membelinya, sedangkan mereka merupakan majoriti penduduk Malaysia .

Ini baru bercakap tentang harga rumah teres di Kedah dan belum lagi menyentuh mengenai harga hartanah di bandar-bandar besar seperti Kuala Lumpur dan Pulau Pinang. Silap haribulan, rakyat yang berpendapatan sederhana pun tidak mampu membeli rumah melebihi harga RM200,000 di bandar-bandar besar tersebut kerana kos sara hidup yang amat tinggi. Bebanan pinjaman perumahan pula berpuluh- puluh tahun baru habis dibayar.

Rumah yang selesa hanya mampu dibeli oleh golongan kaya sahaja. Maka, tidak menghairankan ramai yang sekadar menyewa rumah sahaja. Ini tidak termasuk golongan yang mampu memiliki rumah tetapi rumah terbengkalai bertahun-tahun! Oleh itu, sesuatu perlu dilakukan oleh kerajaan untuk membendung kenaikan harga hartanah yang mendadak seperti yang dilakukan oleh kerajaan Hong Kong dengan menaikkan duti setem baru-baru ini. Kerajaan juga perlu mengambil tindakan segera terhadap projek perumahan yang terbengkalai.

Ini belum mengambil kira bil-bil lain seperti air, elektrik, telefon, kumbahan, cukai pintu, cukai tanah, kos petrol, tol, ansuran kereta, makanan, pinjaman pengajian, pendidikan anak, kesihatan dan sebagainya. Akhirnya, wang di tangan hanya tinggal sedikit sahaja, itu pun jika masih ada. Lebih teruk lagi rakyat terpaksa meminjam wang daripada ah long akibat kekurangan wang.

Oleh itu, selain strategi untuk meningkatkan pendapatan rakyat, kerajaan juga wajar mengambil kira kos sara hidup rakyat yang tidak sepadan dengan pendapatan yang diperoleh. Kerajaan juga perlu berhati-hati apabila memperkenalkan dasar cukai yang baru dan memansuhkan subsidi yang diberikan kepada rakyat.

Pada umumnya, rakyat boleh menerima sebarang pengenalan dasar baru ini jika ia tidak memberi sebarang bebanan kepada rakyat dan peningkatan sumber pendapatan kerajaan daripada cukai dan pemansuhan subsidi digunakan sepenuhnya untuk rakyat. Dengan perkataan lain, rakyat mahukan wang tersebut digunakan secara cekap, berkesan dan ekonomik.

Amalan tadbir urus kerajaan yang mantap yang menekankan toleransi sifar ke atas pembaziran, penyelewengan, ketirisan dan rasuah bakal menjadikan kerajaan lebih cekap, berkesan dan ekonomik.

Akhirnya, wang tersebut boleh digunakan sepenuhnya untuk pembangunan negara, meningkatkan pendapatan dan mengurangkan bebanan rakyat seterusnya meningkatkan kuasa beli mereka.

Rohami Shafie
Pensyarah Kanan, Kolej Perniagaan (COB), Universiti Utara Malaysia

Contact Me

Sekiranya anda ada sebarang pertanyaan atau cadangan, sila guna borang di bawah :

Template by - Abdul Munir | Daya Earth Blogger Template