Custom Search

Khamis, Mei 06, 2010

Hasil, Besar, Cepat cermin transformasi kerajaan

Perubahan sistem penyampaian menerusi 6 NKRA sasar perkhidmatan lebih cekap, berkesan kepada rakyat.


APABILA Datuk Seri Najib Razak, mengumumkan perkhidmatan awam akan diubah untuk disesuaikan dengan perubahan masa, rakyat tidak menjangka ia akan menjadi program besar-besaran. Perdana Menteri (PM) amat serius mahu perkhidmatan awam yang mampu memenuhi keperluan semasa dengan lebih baik, disertai peningkatan kecekapan dan kepantasan. Baru-baru ini beliau mengumumkan Program Transformasi Kerajaan, atau ringkasnya GTP, bagi melaksanakan perubahan dalam perkhidmatan awam. Beliau melantik Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Seri Idris Jala, untuk memacu dan memantau proses transformasi ini. Ikuti sedutan wawancara Datuk Ahmad A Talib bersama Idris mengenai tugas yang menanti beliau menerusi rancangan Soal Jawab di TV3.

Secara ringkasnya, apakah dia GTP?

Hasil, Besar, Cepat. Inilah tiga perkataan utama yang mencerminkan GTP. Secara asasnya kita mahu berusaha keras mengubah sistem penyampaian kerajaan agar kita boleh menyampaikan perkhidmatan kepada rakyat dengan cara yang cekap dan berkesan.


Jadi, Datuk Seri tekankan kepada usaha kepada hasil yang memberi impak besar, secara pantas?

Ya, hasil yang besar, dengan cepat. Sebabnya ialah PM mahu kita mencapai Wawasan 2020, hanya ada 10 tahun lagi. Untuk mencapai status negara maju, banyak yang perlu kita lakukan. Sebab itu kita kena tukar pendekatan untuk capai hasil dengan cepat.

Ketika Wawasan 2020 dikemukakan 10 tahun lalu, persekitarannya berbeza, perkhidmatan awam berbeza, suasana berbeza. Kini, 10 tahun kemudian, keadaan berlainan, PM berlainan, landskap berlainan. Bagaimanakah hendak mengubah pendekatan ini untuk disesuaikan dengan masa sekarang. Bolehkah ia dilaksanakan?

Saya sangat yakin ia boleh dilaksanakan jika kita semua melakukannya bersama-sama. Wawasan yang dicetuskan Tun Dr Mahathir Mohamad sangat menakjubkan. Isunya sejak 10 tahun lalu kita memang membangun, masalahnya negara lain juga turut berkembang, setengahnya melangkah lebih maju daripada kita. Di dunia di mana semua negara bersaing untuk perdagangan, pendidikan dan keupayaan, kita mesti bergerak cepat. Kita bernasib baik mempunyai PM yang fokus memastikan kita semua berkembang.

Jika kita tidak mengadakan GTP, dan tidak merancang, berdasarkan sistem penyampaian dan rangka kerja semasa, amat sukar kita mencapai Wawasan 2020?

Sangat sukar, kerana kita kesuntukan masa. PM kita mempunyai pendekatan yang sangat strategik. Beliau mengemukakan empat tonggak untuk kita berusaha mencapai Wawasan 2020.

Pertama sekali secara perbandingan beliau menyamakan tonggak pertama, Satu Malaysia iaitu Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan, sebagai bumbung. Kemudian ada dua tonggak iaitu transformasi ekonomi menerusi Model Ekonomi Baru dan transformasi kerajaan yang saya terajui menerusi GTP. Asasnya ialah Rancangan Malaysia Kesepuluh dan Kesebelas. Inilah empat tonggak yang menjadi pelan hala tuju untuk memandu kita ke arah Wawasan 2020. Saya fikir tidak banyak negara di dunia yang mempunyai pelan hala tuju yang begitu jelas.

Bagaimana GTP bermula?

PM bertanya soalan mudah, jika kita mahu mencapai Wawasan 2020, mari tanya rakyat apa yang mereka mahu kita ubah. Banyak kajian dan kaji selidik dijalankan, ada Kaji Selidik Merdeka dijalankan Merdeka Centre, termasuk analisis media, dalam semua kaji selidik ini, jelas kerajaan perlu ubah sistem penyampaian, enam bidang utama yang rakyat mahukan perubahan besar, perubahan fundamental, bukan sekadar perubahan kecil.

Pertama ialah menangani jenayah, membanteras rasuah, memastikan infrastruktur asas luar bandar, memperbaiki pengangkutan bandar, memperbaiki prospek dan kualiti hidup rakyat berpendapatan rendah dan akhirnya, memperbaiki tahap pendidikan, untuk memastikan penuntut, pemimpin masa depan boleh berkembang.

Selepas GTP dilancarkan, Datuk Seri tentu sekali bercakap dan mendengar pelbagai maklum balas ramai orang. Apakah reaksi rakyat biasa mengenai program ini?

Ada beberapa komen mereka. Apabila kita selesai di makmal, merangka apa yang kita mahu buat. Kita adakan hari terbuka dua hari, di Lembah Klang, di Selangor, 5,000 orang datang. Di Sarawak (1,500), Kota Kinabalu (2,000).

Komen pertama, mereka sokong sepenuhnya usaha transformasi ini, 75 peratus sokong sepenuhnya, 78 peratus setuju dengan inisiatif khusus dalam NKRA. Yang negatifnya dan sedikit positif, ialah mereka yakin kita boleh mencapainya dalam masa 100 tahun. Mereka tidak fikir kita boleh lakukannya dengan cepat. Bagi mereka perkataan kerajaan, perkhidmatan dan pantas tidak boleh wujud bersama-sama. Ia tidak boleh tidur sekatil, malah tidak dalam bilik tidur yang sama sekali pun.

Reaksi Datuk Seri?

Saya tidak terkejut. Sebab itu kita letakkan ramai kakitangan awam, 250 kakitangan awam, kita letakkan mereka di dalam makmal untuk cari penyelesaian masalah kepada enam NKRA tadi.

Bagaimana mereka dipilih?

Kami minta kakitangan awam paling bijak dan paling cekap untuk cari penyelesaian. Dalam tempoh enam minggu, kami buat semua analisis, penyelesaian masalah dan segala yang remeh-temeh agar apabila kami kemukakan untuk pelaksanaan, semua aspek sudah diteliti dan boleh buat dengan cepat. Reaksi kakitangan awam menakjubkan.

Adakah Datuk Seri maksudkan keseluruhan kakitangan awam?

Ya, keseluruhan perkhidmatan awam. Saya percaya kumpulan terasnya, 250 ini, sudah kemukakan penyelesaiannya dengan cepat, selebihnya, iaitu yang bertanggungjawab terhadap keseluruhan output/daya pengeluaran, sudah bersetuju sepenuhnya yang program ini harus bergerak ke depan. Idea ini datang daripada mereka, bukan saya. Saya cuma ketua pasukan sorak yang mengumpulkan semua pihak, meletakkan semua aspek data untuk dianalisis.

Saya katakan yang hasilnya adalah penyelesaian mengagumkan. Dalam masa enam minggu, kita dapat selesaikan masalah dengan begitu memberangsangkan dari segi kepelbagaian aspek yang lengkap (granularity) dalam penyelesaiannya.

Kaedah ini dulu dipanggil sesi sumbang saran, tapi sekarang istilah lebih popular ialah makmal?

Ya, perbezaannya ialah sesi sumbang saran ini sangat intensif selama enam minggu. Kita bukan adakan sesi sehari dan kemudian balik. Mereka tinggalkan kerja harian untuk bertugas di sana. Moto kami ialah seperti lagu ‘Hotel California’, anda boleh keluar bila-bila masa, tetapi anda tidak akan dapat meninggalkannya sehingga dapat menyelesaikan masalah. Mereka juga panggil tempat itu ‘Rumah Panas’ (Hot House).

Mereka menghabiskan masa lama di sana. Benarkah?

Betul. Ada satu makmal di mana mereka bekerja hingga jam 5 pagi.

Makmal yang mana?

Makmal mengenai Pengurusan Data. Kita ada enam makmal NKRA, satu dipanggil Makmal Perpaduan, satu mengenai Pengurusan Data yang perlu mengadakan sistem yang betul supaya kami boleh memantau kemajuan KPI.

Apakah pemantauan yang dilakukan PM, adakah beliau melawat makmal?

PM dan menteri Kabinet sentiasa datang. Bagi setiap NKRA ada menteri penerajunya. Jadi mereka sentiasa datang ke makmal meninjau kemajuan. Setiap bulan PM pengerusikan mesyuarat Pasukan Petugas Khas Sistem Penyampaian serta semua wakil kementerian dan Jawatankuasa Pemandu yang mengelola semua tugas ini. PM sangat mengambil berat secara langsung (hands-on), setiap Jumaat saya pengerusikan mesyuarat yang dipanggil Mesyuarat Penyelesaian Masalah.

Dalam mesyuarat ini saya hanya mahu tahu masalah. Kalau kakitangan awam kata tiada masalah, apabila bermesyuarat dengan PM, tiada kemajuan, tentu ada yang tidak kena. Jadi setiap Jumaat kita bermesyuarat cari masalah, ada masanya masalah kewangan, tidak cukup sumber, jadi kita cari penyelesaiannya. Kemajuan sangat memberangsangkan dalam suku pertama lalu.


Sekarang ia dipanggil GTP, sebelum itu NKRA, pada awalnya KPI, jadi pengubahsuaian dilakukan hingga ia menjadi GTP. Datuk Seri memang terbabit sejak mula?

Betul. Idea asalnya ialah mengenai KPI, Petunjuk Prestasi Utama.

Adakah Datuk Seri bersetuju bahawa kegagalan dan kejayaan GTP bergantung sebahagian besarnya kepada perkhidmatan awam?

Setuju sepenuhnya. Kalau perkhidmatan awam tidak bergerak, tiada yang bergerak, dan kini mereka bergerak.

Apa yang mencetuskan ‘gerakan’ itu?

Biar saya beri contoh yang baik mengenai menangani jenayah. Menteri bertanggungjawab, Datuk Seri Hishammuddin Hussein, berada di sana siang malam mengetuai projek ini. Di makmal kita analisis kejadian jenayah sepanjang tahun lalu. Kita dapati sebahagian besar jenayah berlaku di 50 kawasan panas (hotspot). Satu daripada cadangan yang diberikan kakitangan awam ialah penempatan polis di 50 hotspot ini.

Ini adalah hasil yang dicadangkan di makmal?

Ya. Apabila kita tempatkan 14,000 polis di kawasan panas ini, dan pasukan sukarela seperti Jabatan Pertahanan Awam (JPAM) dan Rela, seramai 3,160 ditempatkan di sana, hasilnya, jenayah jalanan berkurangan dengan ketara sebanyak 33 peratus pada suku pertama, dengan mengambil kira jenayah meningkat sejak tiga tahun lalu setiap tahun.

Malah indeks jenayah, iaitu jumlah semua jenis jenayah buat kali pertama dalam tiga tahun, jenayah jalanan, turun 11 peratus. Ini hasil yang luar biasa! Apabila saya bandingkan dengan apa dilakukan di United Kingdom di bawah pentadbiran Tony Blair, didapati mereka mencatat penurunan hanya selepas dua tahun program sama dijalankan.

Datuk Seri mendapat hasil dalam masa tiga bulan?

Ya, selepas tiga bulan ia mula menampakkan hasil. Mengenai pendidikan pula, di makmal kita dapati cabarannya ialah 40 peratus kanak-kanak yang masuk sekolah rendah tidak pernah ke tadika. Jadi apabila masuk Tahun Satu, mereka terpaksa mengejar kerana pengajaran adalah berdasarkan 60 peratus lagi yang mendapat pendidikan asas di tadika. Tahun Dua mereka tidak dapat kejar, masalah ini akan terus menggunung. Apa yang kita buat ialah kita lancarkan bilangan tadika paling besar pernah diadakan dalam satu tahun.

Menerusi kepemimpinan Tan Sri Muhyiddin Yassin, beliau memberi fokus yang besar untuk pendidikan. Untuk kali pertama dalam sejarah, kita bina paling banyak kelas tadika. Pada Januari, kita buka 929 tadika yang memberi manfaat kepada 18,000 kanak-kanak. Pada Oktober hingga Disember tahun lalu, kami melatih 15,500 guru pemulihan membantu mengajar kanak-kanak bermasalah membaca dan mengira di tadika.

Kita kini memberi penarafan kepada 7,616 sekolah rendah. Program Penarafan Sekolah Terbaik dan Terburuk, kita minta semua pengetua dan guru untuk fokus untuk memperbaiki gred penuntut.

Kita ada ‘tool kit’ yang mana kita tahu dengan tepat guru mana dalam kelas mana yang gagal dalam subjek mana.

Ini adalah pengalaman sebenar?

Ya, ini pengalaman sebenar di lapangan. Kami percaya jika kita terus fokus, kita akan perbaiki kualiti sekolah rendah, supaya dengan adanya asas kukuh, di sekolah menengah nanti kita boleh laksanakan langkah intervensi, diikuti akhirnya dengan pendidikan tinggi. Pendidikan adalah proses mengambil masa panjang, supaya pada 2020 kita akan berdiri sama tinggi dengan negara lain.

Berapa jauhkah kita ketinggalan?

Kita tidak terlalu jauh di belakang. Kecuali sejak tiga tahun lalu trend matematik dan sains kita menurun, kita berada pada peringkat pertengahan. Kita perlu memperbaikinya.

Saya fikir kita boleh menghentikan penurunan ini sekarang?

Sebab itu kita perlu mempunyai asas yang kukuh sekarang. Ada pandangan mengatakan kita boleh memperbaikinya pada peringkat universiti, tetapi pengalaman banyak negara yang mengadakan transformasi pendidikan ialah, bermula dengan peringkat asas. Seperti membina rumah, kalau asasnya tak kukuh, rumah tidak boleh dibina. Ia mesti bermula di sekolah rendah.

Perubahan minda, sebab pada akhirnya mesti ada yang memacu perubahan ini. Datuk Seri memacu secara keseluruhan,tetapi bagaimana hendak pastikan perubahan ini diteruskan?

Sebenarnya, bukan kami memulakan perubahan ini. Rangka perubahan minda ini saya sebutkannya sebagai unsur yin dan yang. Bayangkan yin dan yang. Fokus kepada yin dulu, iaitu kepada tindakan. Maknanya buat dulu, buat sekolah tadika, letakkan polis di tempat jenayah, letak CCTV buat sekarang bukan esok, bila anda sudah buat, barulah minda berubah, itu adalah unsur yang.

Lebih cepat kita memastikan mereka bertindak, melakukan sesuatu, lebih cepat minda berubah. Kalau kita beritahu mereka kita hendak buat transformasi, kita katakan mesti berubah, tetapi tidak menggerakkannya, tiada yang akan berubah. Itu bukan caranya. Kita mesti lakukan perubahan cara mereka melakukan sesuatu, barulah perubahan minda berlaku. Jika dibuat berulang-ulang, mesti berjaya. Sebab itu saya katakan kejayaan GTP boleh dicerminkan melalui tiga perkataan – Hasil, Besar, Cepat.

Datuk Seri sangat yakin. Adakah keseluruhan perkhidmatan awam menyerap semangat ini?

Bagus. Apa yang kita buat, ialah fokus kepada enam NKRA, kita juga tidak boleh lupakan pencapaian kementerian lain, Ministerial Key Result, kita jelaskan mengenainya di dalam buku. Kita baru saja selesai membuat penilaian KPI kementerian dan PM sudah menilai mereka. Saya amat gembira dengan kerja dilaksanakan di sana. Jika kita terus fokus dan meneruskan kerja ini, saya yakin Wawasan 2020 boleh dicapai. Kita tidak boleh lalai.

Datuk Seri Seri berada dalam semua enam NKRA ini, dan memberikan input?

Ya, saya ada pasukan dinamakan Jawatankuasa Pemandu, yang bertugas memacu transformasi ini. Adalah penting diingat kami pemandu, bukan orang yang membuatnya. Misalnya untuk perangi jenayah, bukan kami yang akan ditempatkan di kawasan panas, polis yang akan membuatnya, mereka melakukannya dengan baik. Polis sangat cemerlang. Tiada cara kami boleh kurangkan jenayah tanpa komitmen penuh daripada polis.

Saya percaya kalau kita beritahu orang, jangan takut jenayah, itu tidak akan berkesan. Caranya ialah memastikan lebih ramai polis di kawasan panas, orang ramai rasa selamat. Adalah tidak benar pelancong berasakan negara kita tidak selamat. Perbandingan Piawaian Antarabangsa Jenayah menunjukkan kita hanya mencatat 750 jenayah bagi 100,000 penduduk, di UK 7,900 jenayah bagi 100,000. Singapura yang kecil mencatat 650 bagi 100,000. Jadi, kenapa kita letak jenayah sebagai satu daripada bidang keutamaan? Ini kerana kebimbangan mengenai trend yang mencatat peningkatan.

Mengenai kesesakan lalu lintas, ia semakin menyesakkan. Bagaimana ini boleh diatasi?

Di dalam makmal kita teliti masalah ini. Ada dua perkara, pertama bilangan pengguna pengangkutan awam hanya 10 peratus, selebihnya menggunakan kenderaan sendiri atau teksi. Sebab itu sesak. Penyelesaiannya mudah, tingkatkan bilangan pengguna pengangkutan awam kota. Pertama, kita lihat kapasiti LRT tidak mampu memenuhi keperluan. Dengan segera, dalam masa tiga bulan sejak Januari kita tambah 8 set 4 koc kereta api, yang bagusnya secara serta-merta kita menambah bilangan pengguna LRT kepada 955,000 pengguna.

Jadi pemilik LRT tentu gembira?

Itu tidak mencukupi. Kita telah menempah 29 set koc LRT yang akan diterima menjelang akhir tahun ini. Dengan segera, hampir sejuta pengguna baru LRT diwujudkan. Kita juga mengambil kira aduan mengenai Pudu Raya. Ada orang kata Pudu Raya bagaikan ‘Neraka Dunia’. Sekarang, kita lakukan banyak pembaharuan, kita jadikannya nampak lebih cantik. Cabaran utama di Pudu Raya ialah setiap hari 1,000 bas dari seluruh negara berkumpul di sini. Apa yang mesti kita lakukan di makmal ialah kita pecahkan masalah itu.

Sekarang kita sedang bina Terminal di Bandar Tasik Selatan, akan siap pada November tahun ini, 70 peratus siap, yang akan mengambil 250 bas dari Selatan, Johor dan Melaka. Mereka tak akan masuk ke Pudu Raya, kemudian kita adakan perkhidmatan ‘shuttle’. Kita juga sedang bina satu lagi di Gombak untuk bas dari Utara dan Timur, 250 bas. Maknanya menjelang suku pertama tahun depan 500 bas yang selalunya datang ke Pudu Raya, dialihkan dari jalan raya di sekitar Pudu Raya. Selain 1,000 bas, ada 40,000 kereta datang ke Pudu Raya untuk ambil penumpang, sebab itu sesak.

Kita juga sibuk memperbaiki 400 tempat menunggu bas yang buruk dan rosak. Menjelang akhir tahun ini saya harap hampir semua siap. Banyak kerja dibuat untuk membaiki, tapi saya yakin kalau kita terus fokus, dalam masa tiga bulan ini saya nampak banyak pembaikan. Kita boleh buat. Saya juga hampir lupa mengenai laluan bas. Misalnya jika anda datang dari Taman Sri Muda, Shah Alam, kalau nak datang KL Sentral, mengambil masa 65 minit kerana ada 30 perhentian bas. Sekarang kita buka laluan baru menggunakan Kesas, hanya ada empat perhentian.

Tambang naik atau tidak?

Sama juga. Jadi pengguna boleh datang gunakan laluan ini, dengan empat perhentian, hanya 25 minit. Kita panggil cara ini, bas ekspres transit, sudah laksanakan di empat koridor.

Boleh Datuk Seri terangkan mengenai apa dilakukan untuk Sabah dan Sarawak?

Perkara utama di Sabah dan Sarawak ialah program infrastruktur asas, itu permintaan rakyat di sana, di tempat terpencil, mesti perbaiki jalan, elektrik, rumah dan air. Untuk kali pertama sejak kita merdeka, kita ada program pembangunan luar bandar secara agresif, terutama di Sabah dan Sarawak.

Jalan luar bandar yang akan dibina dalam tempoh tiga tahun akan datang ialah 1001 peratus lebih daripada tahun sebelumnya. Elektrik 500 peratus, perumahan 250 peratus lebih, air di kawasan luar bandar 700 peratus. Setakat ini program ini, 70 peratus peruntukannya akan memberi manfaat kepada Sabah dan Sarawak. Di sana keperluan mendesak.

Dengan wawasan ini, sebarang kegagalan adalah kegagalan kita sendiri?

Ya. Itu mengenai transformasi sosial. PM banyak bercakap mengenai transformasi ekonomi, Model Ekonomi Baru, kita akan adakan makmal untuk NKEA – Aktiviti Ekonomi Utama Nasional (turut babitkan sektor swasta), minggu depan kita adakan bengkel untuk 1,000 orang, agar apabila kita kenal pasti NKEA, seperti GTP, untuk dua bulan, kemudian kita adakan hari terbuka, di Semenanjung, Sabah dan Sarawak, untuk orang ramai.

Seterusnya kita akan terbitkan buku, (itu pelan hala tuju), menjelang akhir tahun ini, program transformasi ekonomi. Kemudian kita akan pantau sama seperti pemantauan GTP. Apabila kita buat itu, barulah rakyat akan mula faham, apa yang PM sedang buat, dalam usaha kita mencapai Wawasan 2020.

Datuk Seri pernah berada dalam sektor swasta dan kini dalam kerajaan, kepuasannya berbeza. Apa lagi yang buat anda rasa sudah menyumbang secara bermakna?

Dalam kerajaan, semuanya mengenai rakyat. Cabaran dalam kerajaan ialah memahami apa yang rakyat mahukan? Siapakah rakyat? Banyak segmen berbeza. Kadang kala majoriti rakyat adalah senyap. Anda perlu benar-benar dengar apa majoriti senyap mahu, berbanding mereka yang lantang walaupun ada kalanya mereka mencerminkan apa yang majoriti senyap mahukan.

Jika dapat pandangan semua rakyat, jalankan program berkesan, apabila rakyat puas hati, itulah yang penting. Saya ingin sampaikan dua mesej ini jika boleh, iaitu orang kata benar bahawa masa kini kita diwarnai oleh masa lalu, tetapi yang indahnya ialah kita sendiri boleh menentukan corak warna masa depan sendiri. PM memberi kita peluang menentukan sendiri corak masa depan dan kita berusaha menentukan ke arah itu.

Mesej kedua ialah jika rakyat berjumpa kakitangan awam, tolonglah katakan sesuatu yang baik dan positif kepada mereka, kerana saya percaya jika kita berbuat demikian, mereka akan menjadi lebih baik. Hellen Keller berkata, hadapkan wajah anda ke arah cahaya matahari, dan anda tidak akan nampak bayang

Contact Me

Sekiranya anda ada sebarang pertanyaan atau cadangan, sila guna borang di bawah :

Template by - Abdul Munir | Daya Earth Blogger Template