Custom Search

Sabtu, Oktober 18, 2008

Ciri-ciri Orang Beriman

“Kitab itu tiada diragukan, menjadi pemimpin untuk orang-orang yang memelihara dirinya dari kejahatan. Orang-orang yang beriman (percaya) kepada yang ghaib, tetap mengerjakan sembahyang dan menafkahkan (membelanjakan di jalan kebaikan) sebahagian dari rezeki yang kani berikan kepada mereka. Dan orang-orang yang bberiman kepada wahyu yang diturunkan kepada engkau (Muhammasd) dan wahyu yang telah diturunkan sebelum engkau, dan mereka yakin akan adanya hari akhirat. Itulah orang-orang yang mengikut pimpinan Tuhan dan itulah orang-orang yang berbahagia (beruntung).”

( Al-Baqarah : 2-4 )

Oleh : HAIRIE

Intipati utama dalam ayat-ayat ini ialah mengenai ciri-ciri orang yang beriman. Ciri-ciri yang dijelaskan tersebut ialah :

1. Membaca kitab al-Quran dan kitab-kitab sebelumnya
2. Percaya kepada yang ghaib
3. Tetap mengerjakan sembahyang
4. Membelanjakan sebahagian dari rezeki untuk jalan kebaikan
5. Percaya dan yakin kepada hari akhirat

Mereka yang melaksanakan dan tetap dengan ciri-ciri di atas pastinya akan berbahagia atau beruntung. Mengapa berbahagia dan beruntung? Apa yang ada pada kitab-kitab tersebut? apa yang ada pada perkara ghaib? Apa tujuannya bersembahyang? Apa perlunya membelanjakan sebahagian rezeki untuk kebaikan? Apa faedahnya percaya pada hari akhirat? Pastinya persoalan-persoalan ini akan timbul dalam hati sanubari pada diri setiap manusia.

Kitab al-Quran adalah kitab yang memberi petunjuk dan pengajaran kepada manusia, ia merupakan satu mukjizat yang sangat besar sekiranya isi kandungannya difikirkan secara mendalam dan dikaji secara praktikal. Sungguhpun kitab-kitab sebelumnya sukar untuk ditemui seperti kitab Taurat, Zabur dan Injil namun al-Quran adalah pelengkap kepada kitab-kitab tersebut dan menyampaikan apa yang pernah disampaikan menerusi kitab-kitab tersebut. Kalau pun ada kitab-kitab tersebut seperti Injil namun ia tidak asli lagi dan mempunyai banyak versi yang tentunya isi kandungannya berbeza-beza dan telah diubah oleh tangan-tangan manusia sejak kitab itu diulang cetak.

Apa untungnya membaca kitab al-Quran? Sebagai pemberi petunjuk dan pengajaran pastinya ia akan memberi bimbingan kepada kita apa yang boleh dan apa yang tidak boleh. Setiap apa yang disampaikan mempunyai hikmat-hikmat yang tersendiri dan hikmat-hikmat itu hanya akan muncul sekiranya ia diusahakan. Apabila manusia memperoleh keuntungan dari pengajaran ini maka berbahagialah mereka kerana dengan kurnia serta rahmat Allah yang dicari dan ditemui dengan petunjuk dari al-Quran manusia mampu menikmati keuntungan yang tak terduga.

Perkara ghaib adalah sebahagian yang dinyatakan oleh kitab al-Quran untuk manusia mempercayainya. Perkara ghaib amat sukar untuk dipercayai kerana sifat manusia itu yang lebih percaya dan yakin dengan apa yang dapat diperhatikannya secara mata kasar sahaja. Ini kerana sifat kejadian lahiriah manusia itu adalah bersifat zahir dan nyata iaitu disertai dengan deria untuk melihat, merasa, mendengar, menghidu dan menyentuh. Sedangkan perkara ghaib tidak boleh dikesan oleh deria-deria ini.

Namun, ada segelintir manusia yang bijak menyatakan bahawa manusia mempunyai deria ke-6 yang tidak bersifat lahiriah. Barang siapa yang mampu menggunakan deria ini maka dia mampu untuk mencapai sesuatu yang sukar untuk dijangka dan difikirkan oleh seorang manusia biasa. Kepercayaan sebegini sebenarnya adalah lahir dari kepercayaan terhadap perkara ghaib, deria yang mampu mengetahui perkara ghaib akan menjadikan seseorang itu yakin dengan sesuatu yang tidak mustahil. Keyakinannya terhadap apa yang tidak nampak dan tidak terjangkau oleh pemikiran orang lain menyebabkan seseorang itu mampu melaksanakan apa yang orang lain tidak mampu melakukannya, dan seseorang itu akan terus berusaha untuk mencapai apa yang dia yakini.

Sembahyang adalah satu perintah yang boleh memelihara diri daripada kejahatan, faedah-faedah sembahyang tidak nampak dalam masa terdekat tetapi hasilnya boleh diperoleh setelah beberapa lama ia dilakukan. Ini adalah antara salah satu sifat perkara ghaib, walaupun sekarang ini ada antara faedah-faedah sembahyang itu telah boleh difahami dan dirasai oleh manusia namun banyak lagi yang masih belum diketahui.

Sembahyang bukan sahaja membersihkan diri dari dosa yang dilakukan sama ada secara sengaja atau tidak sengaja, ia juga membentuk disiplin seseorang serta merapatkan barisan umat Islam melalui jemaah. Kajian saintis kini menemui setiap pergerakan dalam sembahyang itu mampu untuk memulihkan diri seseorang bukan sahaja secara lahiriah tetapi juga batiniah. Dari segi lahiriah ia bukan semata-mata senaman yang menggerakkan seluruh anggota tubuh badan tetapi juga melancarkan aliran darah dalam diri manusia melalui gerakan berdiri sehinggalah bersujud yang mengalirkan darah dari hujung kaki sehinggalah ke otak. Aliran darah yang lancar bermakna akan menjadikan seorang manusia itu cergas fizikal dan cerdas fikiran.

Sementara dari segi batiniah, sembahyang akan membentuk keyakinan kepada seseorang bahawa setiap kebaikan yang dilakukannya akan dibalas dengan ganjaran yang setimpal. Inilah yang menggalakkan seseorang untuk berusaha melakukan kebaikan dan memperbaiki dirinya untuk meninggalkan sisa-sisa kejahatan yang masih ada pada dirinya. Setiap amalan kebaikan itu tak semudah perlaksanaannya, ia tidak boleh dilakukan secara percuma dan ia perlukan satu pengorbanan.

Lantaran itulah, membelanjakan sebahagian daripada rezeki yang diterima seseorang itu ke jalan kebaikan adalah salah satu pengorbanan untuk mendapatkan ganjaran yang dijanjikan Allah. Pengorbanan itu tidak terbatas hanya kepada wang ringgit sahaja, kurnia Allah kepada manusia tidak hanya pada rezeki sahaja bahkan kurnia Allah sangat banyak dan melimpah. Antara lain-lain kurnia Allah ialah kelapangan masa, kemampuan tenaga dan kecerdasan akal fikiran.

Adakah seseorang itu sanggup mengorbankan masanya untuk jalan kebaikan dengan harapan mendapat ganjaran dan keredhaan Allah? Adakah seseorang itu sanggup mengorbankan tenaganya untuk berusaha melaksanakan apa yang diperintah dan meninggalkan apa yang ditegah? Adakah seseorang itu sanggup mengorbankan kebijaksanaannya dan kepandaiannya untuk kebaikan orang lain dan agama Allah.

Segala apa yang dilakukan manusia itu bermula dengan kepercayaannya terhadap kitab-kitab Allah, percaya kepada perkara ghaib, menunaikan sembahyang dan ibadat lain dan membelanjakan sebahagian rezeki untuk kebaikan adalah semata-mata disebabkan oleh kepercayaan dan keyakinannya terhadap hari akhirat. Setiap apa yang dikerjakannya itu merupakan satu rangkuman kebaikan yang akan dibalas dengan ganjaran yang hanya akan diperoleh pada hari akhirat kelak.

Bahkan ada antara ganjaran itu dikurniakan dahulu semasa masih hidup di dunia namun ganjaran yang lebih besar akan diberikan pada hari akhirat kelak. Hari akhirat mempunyai beberapa fasa dan fasa terakhir ialah apabila setiap orang itu dibalas dengan ganjaran yang paling besar setelah melalui pelbagai tapisan dan halangan yang ia lulus melaluinya. Kejayaan melepasi tapisan dan halangan inilah yang memerlukan rangkuman amalan-amalan kebaikan yang pernah dilakukan semasa masih diberi kesempatan untuk melakukannya semasa masih hidup di dunia.

Dalam mendefinisikan bagaimana seseorang itu boleh menerima ganjaran di akhirat kelak ialah dengan pengiraan timbangan pahala yang diperolehinya bagi setiap amalan kebaikan yang dikerjakan. Jika timbangan pahala itu lebih berat dari dosanya di hari perhitungan akhirat kelak maka layaklah seseorang itu diberi ganjaran sebagai penghuni syurga di mana di dalamnya terdapat pelbagai lagi ganjaran-ganjaran yang tak terjangkau oleh kemampuan manusia untuk memikirkannya. Maka itulah, antara ciri-ciri orang beriman ialah apabila mereka melaksanakan 5 perkara tersebut. Ia adalah pokok utama kepada cabang-cabang amalan-amalan kebaikan yang lain yang akan disampaikan secara lebih lanjut lagi menerusi ayat-ayat al-Quran yang lain kelak.

Jika kita mampu memahami asas-asas bagi ciri-ciri orang yang beriman ini, maka pastinya kita akan mampu memahami penjelasan lanjut yang akan disampaikan oleh kitab al-Quran sama ada secara jelas atau tidak jelas. Namun harus diperingati, ada antara ayat-ayat itu tidak jelas dan pemahaman setiap orang adalah berbeza-beza sehinggakan ada yang tersesat oleh pemahamannya yang tidak tepat. Walaupun begitu, kita tidak boleh menidakkan pemahaman seseorang dan sekadar mampu untuk menasihati supaya fikirkan semula apa yang difahaminya supaya tidak terjatuh ke lembah kesesatan. Sememangnya setiap manusia itu ada kelemahan dan sentiasa melakukan kesilapan. InsyaAllah, Allah sentiasa memberi pimpinan dengan petunjuk Nya kepada mereka yang tidak taksub dengan dirinya dan sentiasa berusaha melakukan kebaikan untuk dirinya dan memperbaiki dirinya dari sebarang kejahatan. Yang baik itu datangnya dari Allah dan yang jahat itu datangnya dari diri kita sendiri.

Image Hosted by ImageShack.us

Jumaat, Oktober 17, 2008

Islam Membentuk Generasi

Peranan Islam dalam Melahirkan Generasi Melayu Tersusun

Oleh :  MOHD. KHAIRI WAN ALI

Al-Quran ada menyebut tentang manusia yang dijadikan berpuak-puak (kelompok kecil), atau kaum (kelompok yang lebih besar) ataupun juga berbangsa-bangsa (yang berada dalam sesebuah negara). 

Sama ada puak, kaum waima bangsa sekalipun, semuanya mempunyai kawasannya (atau wilayahnya) yang tersendiri. Pun begitu, semuanya tidak kekal malah ada yang dihapuskan langsung dari muka bumi.

Cuma Islam turut juga menyebut tentang perubahan kepada nasib sesuatu bangsa. Perubahan ini ke arah keperkasaan. 

Pada titik inilah Islam boleh memainkan peranannya kepada manusia yang inginkan panduan dan pedoman dalam mengharungi cabaran kehidupan yang sungguh besar, kompleks dan rumit ini.

Dari sini, dapatlah disenaraikan saranan Islam kepada generasi Melayu yang inginkan penyusunan. Lapisan susunannya ialah:

  1. Menjaga institusi keluarga, termasuklah peranan suami sebagai ketua keluarga, dan isteri tetap sebagai sumber bantuan atau sokongan kepada si suami yang bertindak di atas keputusan keluarga;
  2. Mengekalkan musyawarah dalam komuniti Islamnya (dalam sesuatu kawasan), termasuklah menentukan wakil yang dipilih daripada yang terbaik antara warga komuniti;
  3. Menguruskan sumber - kekayaan dan populasi - komuniti Islam (yang berpaksikan tatacara zakat dan baitulmal) secekap mungkin;
  4. Tetap merujuk kepada keputusan ramai sebagai tunjang tindakan demi mengelak kontroversi atau perselisihan;

Dengan erti kata lain, bukanlah status raja, majlis (atau organisasi), ulama, tokoh dan sebagainya yang menjadi susunan dalam kehidupan yang bertakhtakan Islam. 

Ini kerana susunan sedemikian bukanlah susunan kehidupan untuk sesebuah generasi tetapi adalah peranan-peranan yang boleh dimainkan hasil daripada ilmu, status, kedudukan yang ada pada mereka. 

Lagi pun Islam menekankan aspek 'yang terbaik' untuk dijadikan asas dalam pemilihan pemimpin atau ketua. Ini sekali lagi, bererti bukan susunan atau status yang dititikberatkan, tetapi kualiti dan kemampuan untuk menjalankan tugas/peranan. 

Mereka boleh datang dari keturunan raja- raja, atau pun golongan intelek dan ulama. Apa yang penting ialah kesanggupan untuk menjadi ketua, yang pastinya satu jawatan yang perlu dijalankan mengikut keadilan, amanah, kebijaksanaan dan keberanian.

Sungguh pun begitu, sememangnya tidak boleh dinafikan bahawa semua pihak tersebut diperlukan untuk memajukan sesebuah generasi, tetapi ini bukanlah paksi kehidupan. 

Keharmonian dalam sesebuah keluarga akan menggambarkan keadilan yang dilaksanakan, kesamarataan dalam pembahagian hak, kebijaksanaan dalam pengurusan keluarga dan sebagainya, termasuklah ketokohan kepimpinan si suami, serta dokongan daripada si isteri adalah paksi kehidupan. 

Seterusnya kecemerlangan keluarga ini boleh dijadikan asas kepada peranannya di peringkat yang lebih tinggi iaitu di tahap komuniti pula, dan seterusnya ke satu kawasan atau wilayah yang lebih besar seperti sebuah negara. 

Demikianlah paksi kehidupan Islam. Perlu juga dinyatakan di sini, jika kehidupan itu tidak berpaksi, maka umatnya akan menjadi seperti buih yang boleh diapung dan dibawa oleh mana-mana arus yang melanda. Ketika arus meganya ialah Barat, maka buih itu pun menghala ke Barat. 

Bila Rusia menawarkan teknologi nuklear, maka buih pun bergerak ke Rusia. Dan jika Barat jatuh - satu situasi yang besar kemungkinannya berlaku akibat krisis kewangan kapitalisme Barat yang sedang runtuh dek tidak mengamalkan dasar sandaran emas kepada mata wang - ke mana agaknya buih itu akan dibawa oleh arus tersebut? 

Tentunya Islam, kerana Islam tetap dengan paksi sandaran emasnya, seperti yang termaktub dalam kewangan dinar dan Malaysia adalah yang terulung dalam mekanisme dinar ini.

Sebagaimana yang telah diketahui umum, Islam adalah panduan dan pedoman. Maksudnya, terpulang kepada mana-mana bangsa atau umat manusia untuk memanfaatkannya atau pun menolaknya. 

Apa yang pasti, paksi kehidupan Islam jelas terpacak di dalam al-Quran dan Sunnah, sama seperti mata wang dinar yang bersandarkan emas.

Tegasnya, paksi susunan ialah kesatuan (seperti dalam institusi keluarga) dan musyawarah (yang menentukan suara majoriti).

Persoalannya, apakah akan terjadi jika dituruti susunan raja-majlis-ulama-tokoh-dan seterusnya? 

Jawapannya boleh, tapi apakah ada kesatuan dan musyawarah? Kalau ada, di tahap kewibawaan mana?

Image Hosted by ImageShack.us

Selasa, Oktober 07, 2008

Malapetaka Riba

Riba Punca Sistem Ekonomi Runtuh

Oleh : MOHD. NAHAR MOHD. ARSHAD


KEDUDUKAN ekonomi Amerika Syarikat (AS) semakin buruk. Meskipun Washington cuba menutup kedudukan ekonominya, namun data dan fakta sudah lama melaungkan kegagalan ekonomi kapitalis itu.

Dengan kedudukan defisit akaun semasa yang terus pincang, hutang kerajaan yang menggunung, pengangguran yang tinggi, nilai hartanah dan portfolio yang merudum, rakyat AS melihat ekonomi kapitalis yang kononnya menjanjikan seribu satu impian bertukar menjadi ekonomi parasit meratah kekayaan yang ada.

Amerika Syarikat sebenarnya sudah ditelan lubang hitam krisis hutang yang parah, mungkin paling parah dalam sejarah kemanusiaan.

Pelbagai punca dicari bagi menjelaskan krisis yang berlaku. Namun, fakta sebenarnya ialah sistem ekonomi yang berpaksikan riba pasti akan hancur.

Melihat kepada krisis di AS, sesungguhnya benarlah firman Allah SWT dalam surah al-Baqarah ayat 276, “Allah susutkan riba dan mengembangkan sedekah”.

Semuanya berpunca daripada kaedah mengembangkan ekonomi dengan menggalakkan pemberian hutang dan hutang itu pula meningkat dari masa ke masa kerana adanya riba. Maka, si kaya yang menyimpan di bank khayal dengan janji kekayaan yang meningkat oleh riba. Di satu pihak lagi, si miskin yang berhutang terus miskin kerana hutang dan beban riba.

Institusi kewangan yang menjadi agen riba ibarat badut yang membaling bebola berwarna. Bebola tersebut ibarat produk-produk kewangan yang menarik. Tangan kanan badut ibarat si kaya dan tangan kirinya ibarat si miskin.

Kedua-duanya inginkan produk kewangan tersebut. Tepuk sorak penonton adalah upah buat si badut. Semakin banyak bebola di baling dan disambut, semakin kuatlah tepuk sorak penonton dan semakin ghairahlah si badut.

‘Pengembangan’ oleh riba bermakna semakin banyak dan pantaslah bebola berwarna yang perlu dibaling dan disambut oleh si badut. Sehingga ke satu tahap, pasti kesemua bebola akan terjatuh!

Pengibaratan di atas menjelaskan konteks modus operandi institusi kewangan masa kini. Hakikatnya, jumlah kekayaan ‘sebenar’ adalah terhad untuk satu masa tertentu. Namun, riba telah memperdayakan kita dengan ‘menggandakannya’ meskipun pada realitinya, gandaan dari riba itu sebenarnya tidak bernilai - ibarat buih.

Panik dalam sistem kewangan tercetus apabila si kaya cuba menterjemahkan kekayaan yang ada dalam nilai yang sebenar. Maksudnya, bukan kekayaan dalam bentuk jumlah pada helaian kertas atau angka yang tercatat.

Untuk memenuhi tuntutan si kaya, si miskin dikerah oleh institusi kewangan untuk membayar hutang termasuk dengan ribanya sekali. Malang kerana si miskin tidak mempunyai apa-apa untuk dipersembahkan. Maka, rumah, kereta dan apa sahaja milik si miskin dirampas oleh institusi kewangan untuk dinilai semula.

Tetapi, tidak ada sesiapa yang mampu dan ingin membeli harta-harta yang dirampas itu. Ini kerana si kaya sudah hilang yakin pada kekayaan yang dimilikinya, dan si miskin pula sudah jatuh papa. Pinjaman juga sukar untuk diperolehi di mana-mana. Lantaran, semakin merudumlah nilai harta-harta tersebut.

Maka tembelang modus operandi institusi kewangan pecah terbongkar. Institusi kewangan rupanya memberi pinjam berlipat kali ganda daripada jumlah aset yang ada. Ketidakseimbangan aset-liabiliti semakin membesar apabila impak riba diambil kira. Panik berlaku di mana-mana.

Apabila kerajaan AS cuba menyelamatkan institusi-institusi kewangannya dengan pakej AS$700 bilion, kerajaan itu juga sebenarnya sudah lama dihimpit beban hutang dan riba. Kelulusan pakej menyelamat itu dilihat melengkapkan episod terakhir kejatuhan AS sebagai kuasa ekonomi dunia.

Image Hosted by ImageShack.us

Contact Me

Sekiranya anda ada sebarang pertanyaan atau cadangan, sila guna borang di bawah :

Template by - Abdul Munir | Daya Earth Blogger Template