Custom Search

Khamis, Julai 31, 2008

Pengenalan Penulis Blog

Asalamualaikum dan Salam Sejahtera,

Dunia blogger merupakan sesuatu yang masih baru lagi di negara kita, namun ia mula mendapat perhatian setelah peranannya yang cukup penting dalam arena politik sebelum pilihanraya lalu yang keputusannya telah banyak mengejutkan banyak pihak. Walau bagaimanapun, blog bukan hanya tentang politik semata-mata ia adalah ruang untuk sesiapa saja menyampaikan apa saja sama ada pengalaman, catatan harian malah blog juga digunakan untuk mempromosi sesuatu perniagaan dan produk seseorang. Namun, dalam menyampaikan sesuatu perlu juga ada batasannya dan kita harus bertanggungjawab terhadap apa yang kita sampaikan. Jangan sampai menjadi seperti penulis laman blog Malaysia Today yang disaman oleh ramai pihak kerana penulisannya yang tidak bertanggungjawab mengaibkan pihak lain tanpa bukti yang sahih.

JERUNEI menjadi tajuk blog saya kerana ia adalah simbol dan trademark kepada orang melanau di kawasan Mukah, Oya dan Dalat selain tapo . Jerunei juga menjadi tajuk kepada majalah sekolah tempat saya bertugas di SMK Dalat tapi sebutannya adalah JERUNAI. Sebagai pengetahuan kepada mereka yang mengenali saya, dunia penulisan dan karya seni bukanlah sesuatu yang baru kepada saya. Saya sudah terlibat dengan dunia ini secara aktif sejak di bangku sekolah lagi, pernah mendapat johan pertandingan merekabentuk kulit majalah SMK Rosli Dhoby 1996, johan penulisan esei kategori 20 tahun ke bawah peringkat negeri Sarawak 1997 anjuran CATS Radio, saguhati penulisan esei kategori dewasa peringkat negeri Sarawak anjuran Angkatan Zaman Mansang 1999, dan sekarang masih terlibat dengan dunia seni sebagai AJK majalah Sekolah. Terdapat beberapa kulit majalah adalah hasil sumbangan seni karya saya. Baru-baru ini menyertai pertandingan esei Kenegaraan Jabatan Penerangan Sarawak.

Selain daripada menulis karya berbentuk esei dan melukis grafik saya juga terlibat dengan penghasilan banner dan signboard. Pembaca boleh kunjungi blog karya seni saya www.artmywork.blogspot.com untuk melihat segala hasil seni signboard, tag nama dan banner yang telah saya buat. Dengan kemahiran dan skill kesenian tersebut, amat rugi sekiranya ia tak di komersilkan kerana ia tidak sepatutnya terpendam begitu saja hanya terbatas dalam satu ruang lingkup yang sempit dan ia perlu diperluaskan sehingga ke luar dari tempat saya bertugas menerusi medium blog.

Agak terbatas ruang untuk saya menjelaskan satu persatu kepada mereka yang berkenaan sama ada di dalam tempat bertugas maupun di luar kerana terikat dengan waktu bertugas serta peraturan kerja, maka saya menggunakan cara menulis blog ini ketika diluar waktu bertugas dan mereka boleh mengetahui apa yang saya sampaikan dan tawarkan. Saya hanyalah sekadar berjawatan anggota kakitangan sokongan di sekolah dengan kelulusan SPM.

Tapi dengan kemahiran, skil kerja dan anugerah seni tersendiri ini, membuka ruang dan potensi untuk saya lebih berdikari dan maju ke hadapan. Dunia internet telah memungkinkan segalanya dan membuka ruang yang lebih terbuka untuk sesiapa saja yang bijak memanfaatkannya. Di zaman teknologi maklumat dan komuniksi kini kejayaan tidak lagi hanya pada segulung ijazah semata-mata, malah dengan kemahiran skil yang ada dilengkapi dengan pengetahuan terhadap dunia blog dan internet ataupun sekarang ini dikenali sebagai dunia komuniti sosial internet maka idea untuk mengembangkan bakat menjadi semakin luas.

Bakat dan sumbangan yang diberikan akan dihargai dengan nilai yang sepatutnya, walaupun kadang-kadang tak dihargai dalam organisasi tempat bekerja tapi dengan cara penulisan blog lebih ramai lagi audiens di luar sana akan mengetahui dan menilainya. Sebagai umat Islam pastinya mereka mengetahui bahawa disisi Allah yang dinilai dan diperhatikan ialah iman dan takwa, bukannya pangkat, darjat, ijazah dan harta yang banyak. Ikutilah perkembangan artikel saya dan pastinya anda memahami banyak perkara yang tak terjangkau oleh pemikiran anda.

Akhir kata, salam hormat dari saya dan salam perkenalan untuk semua.



0 ulasan:

Contact Me

Sekiranya anda ada sebarang pertanyaan atau cadangan, sila guna borang di bawah :

Template by - Abdul Munir | Daya Earth Blogger Template