Custom Search

Ahad, Ogos 09, 2009

Contoh Model Ekonomi Baru

Agropolitan Pekan ubah nasib miskin tegar

"SAYA berharap projek ini akan mengubah nasib kami sekeluarga," tegas Yuni Muhammad, 51, ketika meluahkan kesyukuran kerana menjadi seorang daripada peserta Projek Agropolitan Pekan.

Ibu tunggal dari Kuala Pahang, Pekan itu berharap projek mega tersebut bakal memberi sinar baru kepada diri dan keluarganya.

Projek Agropolitan Pekan di Runchang, yang termasuk dalam pelan induk pembangunan Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECER) itu dilancarkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak, hari ini.

Bagi menjayakan projek tersebut, Yuni yang kematian suami sejak lima tahun lalu, sanggup berpindah ke penempatan baru. Pengorbanannya itu berlandaskan kepada harapan untuk menggapai impian ke arah sebuah kehidupan lebih baik.

Yuni yang ditemui baru-baru ini, merupakan seorang daripada 1,450 keluarga termasuk kalangan Orang Asli, yang bakal terlibat dalam projek berskala besar tersebut. Ia dilaksanakan oleh kerajaan dengan hasrat untuk mengangkat kehidupan penduduk miskin tegar di kawasan terbabit ke tahap lebih baik.

Wanita itu dan beberapa lagi peserta perintis projek itu telah diberikan latihan oleh beberapa agensi berkaitan, bagi mendedahkan mereka dengan pelbagai kemahiran mengenai selok-belok pelaksanaan projek tersebut.

Projek Agropolitan Pekan melibatkan kawasan seluas 1,825 hektar dengan kos keseluruhan dianggarkan RM90 juta.

Projek tersebut dilaksanakan melalui pembangunan serantau bersepadu, di mana 700 keluarga miskin tegar akan ditempatkan semula di kawasan baru di Tanjung Batu, Bebar dan Kubang Panjang di Lepar. Sementara 750 keluarga Orang Asli pula terlibat melalui pendekatan 'in-situ'.

Melalui projek tersebut, kerajaan berhasrat dapat mengubah kehidupan golongan miskin tegar dengan meningkatkan pendapatan isi rumah daripada RM360 kepada kira-kira RM1,500 sebulan.

Projek tersebut juga akan menjadi pemangkin kepada pertumbuhan ekonomi kawasan setempat dan Pahang amnya, apabila dijangka mewujudkan kira-kira 5,000 pekerjaan baru.

Selain itu, ia juga bertujuan meningkatkan aktiviti-aktiviti perniagaan mikro dan industri kecil sederhana (IKS) serta membina masyarakat berdikari dan berdaya saing atau kompetitif.

Sebenarnya, Projek Agropolitan Pekan merupakan satu daripada empat projek agropolitan dalam ECER, termasuk pembangunan Kelantan Utara dan Selatan dan Besut-Setiu di Terengganu.

Justeru, projek tersebut menggalakkan pembangunan pusat pertumbuhan di kawasan luar bandar serta mempercepatkan pertumbuhan ekonomi melalui aktiviti pertanian dan perladangan.

Pada masa sama, projek tersebut akan membantu mengimbangi pertumbuhan pembangunan antara kawasan bandar dan luar bandar, serta menyediakan pendapatan berterusan kepada keluarga miskin di wilayah ekonomi itu, seiring dengan hasrat kerajaan untuk membasmi kemiskinan tegar menjelang tahun 2010.

"Projek agropolitan ini merupakan model ekonomi baru yang akan mengukuhkan rangkaian nilai ekonomi melalui pelaksanaan kaedah bersepadu," kata Ketua Pegawai Eksekutif Majlis Pembangunan ECER, Datuk Jebasingam Issace John ketika taklimat kepada media baru-baru ini.

Beliau berkata, satu keunikan Projek Agropolitan Pekan ialah pelaksanaan aktiviti utama, sekunder dan sokongan untuk para pesertanya.

Di bawah projek ini katanya, perladangan kelapa sawit dan ternakan kambing biri-biri telah dikenal pasti sebagai aktiviti utama.

Ternakan kambing biri-biri di bawah projek itu dijangka menjadikan daerah Pekan sebagai pengeluar kambing biri-biri utama negara pada masa depan.

Justeru, bagi merealisasikan hasrat tersebut, sebanyak 1,000 ekor kambing biri-biri baka Dorper dari Australia telah dibawa masuk di bawah fasa pertama pada 23 Julai lalu dengan kos hampir RM2 juta.

Aktiviti sekunder projek ini pula antara lain membabitkan aktiviti hiliran berkaitan kelapa sawit dan penternakan kambing biri-biri serta industri sarang burung, jahitan, akuakultur, akuaponik dan penanaman cendawan.

Bagi memastikan peserta memperoleh lebih banyak pendapatan daripada aktiviti sokongan atau hiliran, maka beberapa pusat seperti pusat pengumpulan, pemprosesan dan pembungkusan, penyembelihan turut diwujudkan.

Untuk memastikan kejayaan projek tersebut, maka Felda telah diberi peranan sebagai agensi pelaksana utama dalam menguruskan para peserta dan aktiviti-aktiviti berkaitan.

Pemilihan Felda itu dirasakan tepat berdasarkan kepada rekod kejayaan agensi tersebut dalam membangun dan mengangkat kehidupan puluhan ribu warga peneroka Felda di seluruh negara sehingga mendapat pengiktirafan antarabangsa.

Sementara Majlis Pembangunan ECER (CERDC) pula akan bertindak sebagai fasilitator dan penyelaras keseluruhan projek bagi memastikan setiap pencapaian projek disiapkan mengikut rancangan.

Selain Felda, agensi kerajaan lain yang terlibat termasuk Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI) yang turut berperanan dalam melatih dan membimbing para peserta.

Apa yang pasti, pelaksanaan Projek Agropolitan Pekan membuktikan komitmen tinggi kerajaan di bawah konsep 1Malaysia, bagi mengubah nasib penduduk luar bandar tanpa mengira latar belakang dan kaum.

Justeru apa yang diharapkan, peserta dapat berubah minda mereka untuk mengubah nasib dan mempunyai motivasi untuk terlibat secara total dalam projek ini.

(Sumber : Utusan Malaysia Online)

Jumaat, Julai 31, 2009

Menyemarak Tradisi Ilmu Sains

Namun begitu adakah ilmu-ilmu yang baru diterokai manusia itu telah menjejaki dasarnya iaitu berkembang kepada semua golongan dan lapisan masyarakat? Adakah masyarakat mampu memahami perkembangan ilmu tersebut?

Oleh NORKUMALA AWANG


IQRA' yang membawa maksud "bacalah" merupakan wahyu pertama yang diturunkan kepada Nabi Muhammad SAW. Pengembangan ilmu bermula daripada peristiwa turunnya wahyu berkenaan.

Fungsi al-Quran sebagai kitab rujukan segala bentuk ilmu telah dimaklumi. Justeru, pengambilan iktibar daripada al-Quran seharusnya disemarakkan sejajar dengan perkembangan tradisi ilmu.

Terdapat ayat-ayat khusus di dalam al-Quran yang menggambarkan penciptaan alam, keagungan Allah SWT mengatur dan mentadbir sistem bintang dan planet, kejadian manusia dan makhluk lain di atas muka bumi dan pelbagai lagi ciptaan Allah yang kini cuba diterokai oleh manusia.

Namun begitu adakah ilmu-ilmu yang baru diterokai manusia itu telah menjejaki dasarnya iaitu berkembang kepada semua golongan dan lapisan masyarakat? Adakah masyarakat mampu memahami perkembangan ilmu tersebut?

Sekiranya sesuatu ilmu itu hanya berlegar-legar di kalangan golongan tertentu sahaja maka ia bermakna tradisi ilmu belum dapat dikembang dan disemarakkan lagi.

Justeru bagaimana untuk mengoptimumkan sesuatu ilmu tersebut?

Bidang sains kadang kala mempunyai satu stigma bahawa ia terlalu sukar dan tidak mudah difahami oleh "bukan orang sains". Justeru, sains perlu dimasyarakatkan segera. Usaha penyampaian ilmu dan pembudayaan sains perlu diberi nafas baru.

Biarpun masyarakat sering dimomokkan bahawa sains memudahkan kehidupan namun tiada apa-apa makna jika mereka sendiri tidak mengetahui sesuatu ilmu dapat diaplikasikan dan dijadikan teras dalam kehidupan mereka.

Bagaimana untuk memasyarakatkan sains agar pembudayaan ilmu terus dipupuk dalam masyarakat? Jawapannya ialah melalui penulisan dan pembacaan.

Namun jika tiada penulisan, apakah yang boleh dijadikan bahan bacaan? Justeru, usaha memasyarakatkan sains mesti melalui penulisan atau karya-karya sains yang dapat difahami dengan mudah oleh semua lapisan masyarakat.

Karya saintifik bukan hanya untuk mereka yang berada dalam ruang lingkup sains tetapi boleh disampaikan dalam bentuk mudah kepada masyarakat.

Bagaimanapun, yang menjadi kekangannya ialah sikap sesetengah penulis yang lebih suka menghasilkan karya atau artikel untuk golongan tertentu sahaja.

Maka ilmu belum dapat dikembang luas dan disemarakkan lagi dalam erti kata yang sebenarnya. Jadi, situasi ini menyebabkan kurangnya bahan bacaan berbentuk sains dalam masyarakat kita.

Begitu juga dengan isu yang berunsurkan motif keuntungan. Ramai di antara penerbit yang cenderung untuk menerbitkan buku-buku teks atau buku panduan kerana keuntungan yang tinggi dengan sedikit pelaburan.

Tetapi kesannya tidak ke mana kerana ia hanya bermatlamatkan tidak lebih daripada untuk lulus peperiksaan atau mencapai kejayaan dalam sesetengah keadaan.

Tetapi bagaimana untuk mempertingkatkan ilmu dan menyemarakkan tradisi ilmu? Di sinilah wujudnya lompangan dalam masyarakat kita.

Masyarakat tidak minat membaca atau mencari ilmu kerana tiada bahan bacaan khusus berbentuk ilmiah disampaikan secara santai. Sedangkan ilmu boleh didapati dengan lebih mudah melalui pembacaan.

Oleh itu, strategi yang berkesan perlu dilaksanakan bagi mencapai matlamat tersebut seperti mewujudkan hubungan antara penulis, penerbit dan pemasaran.

Jaringan kerja dan perkongsian pintar antara pusat penyelidikan, institusi dan agensi kerajaan serta penerbit juga perlu ditingkatkan dalam kegiatan penulisan, penterjemahan dan penerbitan.

Melalui kerjasama inilah, kepakaran, sumber kewangan, masa dan usaha dapat digembleng dengan lebih berkesan dalam menghasilkan penerbitan atau karya ilmiah yang memikat hati masyarakat untuk membudayakan ilmu.

Juga perlu dijana usaha meningkatkan kesedaran di kalangan pemimpin, teknokrat, sarjana dan profesional bahawa penguasaan, penghayatan dan penyebaran ilmu serta menggunakan ilmu adalah teras bagi kelangsungan sesuatu bangsa dan negara.

Begitu juga dengan usaha memindahkan teknologi melalui latihan dan pendidikan serta menterjemahkan karya ilmu daripada bahasa asing, menerbit dan menyebarkannya kepada khalayak tempatan. Ia akan memperkayakan pemikiran dan pengalaman serta menyediakan banyak pilihan bahan bacaan kepada masyarakat.

Usaha-usaha sebegini diyakini mampu memasyarakatkan sains agar ilmu dapat disemarakkan bukannya bersifat jumud dan tidak dinamik.

Walaupun ia memerlukan sedikit usaha daripada golongan tersebut dalam memasyarakatkan ilmu sains, namun ia dianggap sebagai satu cabaran dalam menyampaikan ilmu Allah kepada orang ramai dengan hanya mengeksploitasi sumber yang ada selaras dengan tuntutan agama untuk dijadikan santapan minda masyarakat awam.

Oleh itu, kerjasama padu semua pihak diperlukan agar tradisi ilmu terus disemarakkan dengan gemilang seperti mana gagasan tamadun Islam dahulu yang ramai melahirkan tokoh-tokoh ilmuwan Islam yang unggul.

PENULIS ialah Pegawai Penyelidik
Pusat Sains dan Teknologi,
Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM)

Khamis, Julai 23, 2009

Sekolah, Keusahawan Sosial, Perpaduan Kaum

SEPANJANG tiga minggu lepas saya melawat tujuh buah sekolah di sekitar England. Lawatan itu adalah untuk memenuhi sebahagian daripada kajian mengenai bagaimana sekolah boleh menjana dana tambahan dengan menggunakan model keusahawanan sosial.

Saya amat kagum dengan sebuah sekolah di Burnley, sebuah bandar kecil yang agak miskin di utara England. Perlombongan arang batu dan sektor pembuatan pernah menjadi industri utama di situ. Tetapi apabila lombong terakhir ditutup pada 1981 dan kilang tayar Michelin ditutup pada 2002, ekonomi Burnley mula merudum. Sehingga kini situasi ekonominya belum pulih sepenuhnya.

Pada 2001, berlaku rusuhan antara kaum di Burnley. Pelbagai faktor menyumbang kepada rusuhan tersebut. Kemiskinan dan situasi ekonomi yang tidak stabil menyemarakkan rasa dendam antara kaum. Ia juga menyebabkan gejala penyalahgunaan dadah serta kegiatan jenayah lain menjadi berleluasa. Akhirnya tercetus rusuhan.

Sehingga kini sikap perkauman masih lagi boleh dirasakan dalam politik setempat. Burnley mempunyai empat ahli majlis perbandaran dari Parti Kebangsaan Britain (British National Party - BNP), sebuah parti nasionalis fasis yang memperjuangkan kepentingan kulit putih.

Sekolah yang saya lawati itu terletak beberapa minit sahaja dari tempat berlakunya rusuhan 2001. Bagaimanapun uniknya, sekolah itu dengan sendiri mengambil inisiatif untuk menjadi pemangkin kepada hubungan antara kaum yang lebih baik.

Semasa tiba, jelas kelihatan betapa bangunan dan persekitaran sekolah itu dibina dengan satu visi yang jelas untuk melaksanakan konsep pendidikan berintegrasi.

Dalam perkarangan kampus itu, terdapat empat buah sekolah, sebuah pusat keagamaan dan sebuah perpustakaan awam. Sekolah tadika, sekolah untuk kanak-kanak istimewa, sekolah rendah dan sekolah menengah untuk pelajar A-Level yang terletak di situ semuanya mempunyai pentadbiran dan guru besar sendiri.

Perpustakaan awam pula dimiliki oleh kerajaan tempatan dan dibuka kepada umum. Sementara pusat keagamaan dijalankan oleh sebuah pertubuhan sukarela dan turut menyediakan kemudahan untuk solat Jumaat.

Bagaimanapun, bantuan kerajaan tidak cukup untuk kegiatan kemasyarakatan bagi menyumbang ke arah perpaduan. Namun oleh kerana keempat-empat guru besar di situ bertekad untuk melaksanakan usaha tersebut, maka mereka berpakat untuk menubuhkan sebuah syarikat keusahawanan sosial.

Syarikat tersebut berdaftar dengan suruhanjaya syarikat dan kini mempunyai 23 pekerja. Guru-guru besar di sekolah di dalam kampus itu menjadi pengarah syarikat berkenaan.

Perniagaan utama syarikat keusahawanan sosial itu ialah menyewakan ruang dan kemudahan sekolah kepada penduduk, syarikat korporat, serta badan bukan kerajaan.

Sebagai sebuah sekolah, mereka turut mempunyai padang dan kemudahan sukan yang turut disewakan. Selain itu, mereka juga menjalankan perusahaan kafeteria dan katering serta percetakan.

Dalam kata lain, syarikat keusahawanan sosial tersebut berfungsi sebagai sebuah perniagaan pengurusan fasiliti yang menguruskan semua aktiviti perniagaan bagi pihak sekolah.

Perniagaan begitu berjaya sehingga mereka menjangka modal pusingan tahun ini akan mencecah RM750,000 manakala keuntungan pula dijangka sekitar RM230,000.

Sebagai sebuah syarikat keusahawanan sosial, semua keuntungan disalurkan kembali untuk mencapai matlamat sosial iaitu membiayai kegiatan kemasyarakatan dan perpaduan kaum.

Syarikat keusahawanan sosial itu berjaya memecahkan tembok yang memisahkan antara kaum.

Kesungguhan pentadbir di sekolah-sekolah itu menyumbang ke arah perpaduan di Burnley memang terbukti. Mereka bersungguhsungguh menjana wang untuk membiayai usaha tanpa perlu mengharap peruntukan kerajaan.

Apabila saya tanya kenapa mereka tidak memohon peruntukan, seorang daripada guru besar itu menjawab: mereka bebas membelanjakan wang tanpa terikat dengan apa-apa agenda politik sekiranya mencari wang sendiri.

Apa yang unik ialah kreativiti dan komitmen mereka sehingga sanggup menubuhkan syarikat dan berusaha memaksimumkan keuntungan, semata-mata untuk membiayai aktiviti sosial.

Bukan itu sahaja. Melalui syarikat keusahawanan sosial itu juga mereka mencipta peluang latihan kerjaya bagi pelajar yang lebih dewasa. Pelajar A-Level, atau sama dengan Tingkatan Enam di Malaysia, diberi peluang untuk bekerja sambilan di perpustakaan, pusat keagamaan, kafeteria, syarikat katering dan juga di kedai percetakan.

Pelajar berkenaan juga diberi peluang untuk menjadi tenaga pekerja sambilan di tadika atau di sekolah kanak-kanak istimewa, sekiranya mereka berminat untuk menceburi bidang pendidikan.

Semua ini boleh dilakukan di kampus sekolah itu kerana perancangan yang rapi sejak awal-awal lagi. Pembinaan sekolah itu dirancang dengan teliti agar semuanya berada di bawah "satu bumbung" dan kemudahan yang ada dikongsi bersama.

Pengalaman melawat sekolah di Burnley ini memperkukuh keyakinan saya bahawa model keusahawanan sosial mempunyai potensi besar untuk negara kita.

Jika di Burnley yang miskin itu pun para pentadbir sekolah biasa sahaja boleh memainkan peranan mereka, maka pasti ada sesuatu yang boleh dilakukan oleh kita di Malaysia jika kita betul-betul mahu mencapai matlamat Satu Malaysia.

Wan Saiful Wan Jan ialah Ketua Pengarah Malaysia Think Tank (www.WauBebas.org) yang kini bertugas di London. Beliau boleh dihubungi melalui email wansaiful@malaysiathinktank.org.

Contact Me

Sekiranya anda ada sebarang pertanyaan atau cadangan, sila guna borang di bawah :

Template by - Abdul Munir | Daya Earth Blogger Template