Umat Islam perlu saling bekerjasama untuk menunaikan tanggungjawab berkaitan dengan urusan keduniaan, kemasyarakatan dan kenegaraan kerana setiap tugas yang dilaksanakan itu akan mendapat ganjaran atau pembalasan.
Oleh DR. SAODAH ABD. RAHMAN
MANUSIA sering beranggapan bahawa jawatan dan kedudukan merupakan simbol kejayaan. Persepsi begini sebenarnya bertentangan dengan prinsip dan konteks hidup manusia sebagai hamba dan khalifah Allah SWT di muka bumi.
Islam lebih prihatin terhadap bagaimana seseorang itu melaksanakan tanggungjawabnya di dunia sama ada berkedudukan tinggi atau miskin.
Pemimpin atau pemerintah mempunyai tugas dan tanggungjawab yang paling tinggi di sisi Allah SWT. Begitu juga dengan orang kaya dan berilmu tinggi. Setiap anugerah atau keistimewaan yang diberikan oleh-Nya merupakan satu ujian.
Tahap ujian seseorang individu itu bergantung kepada taraf dan kedudukannya di dunia. Ujian kepada pemerintah, pemimpin dan pentadbir ialah paling besar mengikut pandangan Islam.
Pemimpin merupakan ibu atau bapa kepada rakyat tanpa mengira bangsa dan agama. Sebagai ibu atau bapa, beliau perlu memastikan 'anak-anak' mendapat makanan dan keperluan asas. Tugas ini memerlukan pengorbanan masa dan tenaga.
Corak hidup dan peranan Rasulullah SAW dan para sahabat al-Rashidun seharusnya menjadi model kepada sistem pentadbiran Islam.
Kesedaran terhadap tanggungjawab, ganjaran dan azab kerana cuai melaksanakan tugas menyebabkan Rasulullah SAW dan para sahabat amat takut dilaknat-Nya. Mereka melaksanakan tugas sehingga mengorbankan masa, tenaga dan harta untuk membentuk sistem pemerintahan yang mantap.
Rasulullah SAW mengingatkan umat menerusi sabda: "Semua orang yang diserahkan tanggungjawab oleh Allah SWT atas rakyat lalu ia mati dalam keadaan menipu rakyatnya itu, nescaya syurga itu akan haram baginya."
Ganjaran paling tinggi dan istimewa akan dianugerahkan oleh Allah SWT kepada pemimpin yang jujur dan adil.
Nabi SAW bersabda: "Sesungguhnya orang yang adil itu di sisi Allah akan mendapat tempat di atas mimbar-mimbar dan cahaya terletak di sebelah kanan Allah, iaitu orang-orang yang adil menjalankan hukum, adil kepada keluarganya dan adil melaksanakan tugas yang diserahkan kepadanya. Kedua-dua tangan Allah itu dinamakan yamin".
Sabda Rasulullah SAW itu perlu dijadikan panduan oleh umat Islam dalam melaksanakan tanggungjawab mereka. Apabila hati dan pemikiran didasarkan kepada prinsip dan konsep hidup sebagai hamba Allah, maka tidak akan berlaku permusuhan dan perpecahan sesama umat. Apatah lagi dalam soal perebutan kuasa dan dan kedudukan sehingga menghancurkan negara.
Islam menegaskan, setiap individu mempunyai tanggungjawab masing-masing tanpa mengira pangkat dan kedudukan. Rasulullah SAW menjelaskan: "Ketahuilah! Semua kamu pengawas atas bidang masing-masing. Pemerintah adalah pengawas yang bertanggungjawab atas kesejahteraan rakyatnya; suami ialah pengawas ke atas kesejahteraan keluarga; isteri pula pengawas ke atas kesejahteraan rumah tangga dan hamba ialah pengawas ke atas harta tuannya."
Hadis itu menunjukkan bahawa umat Islam perlu saling bekerjasama untuk menunaikan tanggungjawab berkaitan dengan urusan keduniaan, kemasyarakatan dan kenegaraan kerana setiap tugas yang dilaksanakan itu akan mendapat ganjaran atau pembalasan.
Konsep hidup begini jika dijadikan sebagai panduan hidup maka umat Islam akan menjadi satu umat yang bersatu padu, hormat menghormati dan kasih mengasihi. Malangnya prinsip ini semakin hari kian tipis akibat terlalu prihatin terhadap kedudukan dan kuasa.
Konsep toleransi, musyawarah, diplomasi dan persaudaraan sesama Islam tidak dijadikan sebagai asas untuk menyelesaikan perselisihan dan pergolakan dalam dunia Islam. Kuasa, kekuatan dan keegoan sering dipertonjolkan.
Ini merupakan salah satu faktor utama menyukarkan proses damai dan penyelesaian permasalahan.
Kekuatan akal dan kecekalan hati merupakan kuasa yang paling tinggi jika dibandingkan dengan kekuatan senjata. Sikap terlalu menggunakan kuasa dalam menangani masalah negara dan masyarakat adalah akibat daripada prinsip dan konsep perjuangan yang mirip kepada perebutan kuasa dan pangkat. Ia bukan dalam perspektif tanggungjawab dan amanah.
Jika tanggung jawabdan amanah dijadikan asas dan prinsip hidup umat Islam, maka mereka menggunakan kekuatan minda melebihi kuasa ketika berada dalam perselisihan dan pergolakan. Mereka lebih mengutamakan kepentingan agama dan masyarakat daripada kepentingan diri dan kumpulan.
Kepincangan yang wujud dalam dunia Islam sama ada berkaitan dengan perselisihan politik, ketidakstabilan ekonomi, gejala rasuah, penyalahgunaan kuasa, penipuan dan penindasan adalah hasil daripada kurang peka terhadap konsep amanah dan tanggung jawab mengikut prespektif Islam.
Oleh itu dalam sistem pendidikan negara perlu mempertingkatkan pelajaran berkaitan dengan pembinaan jati diri dan ketinggian kerohanian di setiap peringkat persekolahan dan institusi pengajian tinggi supaya generasi Islam masa depan memahami setiap tugas merupakan tanggungjawab dan amanah. Ia akan dipersoalkan oleh Allah SWT di akhirat kelak.
Pemahaman terhadap tanggungjawab kepada Allah SWT mampu menghasilkan umat Islam yang mempunyai jati diri tinggi, cekal dan mantap akal fikiran. Ini merupakan salah satu asas pendidikan dalam Islam.
Zaman kegemilangan Islam berasaskan kepada jati diri individu Islam. Setiap ilmu yang dipelajari dan tugas yang diberi dianggap sebagai amanah dan tanggungjawab kepada Allah SWT.
Pemimpin mempunyai jiwa yang terlalu besar sehingga mampu memperkukuhkan kekuatan negara dan mendirikan tamadun yang tinggi. Para ilmuwan gigih mempelajari pelbagai ilmu sehingga dunia Islam dianggap sebagai gedung ilmu dan simbol kepada kemajuan.
Para buruh yang membina bangunan begitu tekun menyiapkan bangunan secara indah dan unik kerana pemikiran dan hati nurani mereka disemat dengan jiwa agama.
Tugas harian mereka diangap sebagai ibadah kepada Allah SWT. Mereka memahami ajaran Rasulullah SAW yang mengatakan bahawa keringat adalah penyuci dosa.
Hasil titik peluh mereka menjadi simbol keindahan Islam dalam bentuk pembangunan. Ini merupakan salah satu dakwah dalam bentuk syahadah 'ala al-nas (saksi kejayaan Islam kepada manusia).
Kefahaman begini menjadi pegangan hidup para buruh dan orang miskin masa silam. Jika kefahaman begini disemat dalam jiwa masyarakat maka negara tidak akan menghadapi masalah kebanjiran buruh asing dan pengangguran bukan menjadi masalah utama negara.
Oleh itu umat Islam di negara ini tanpa mengira pangkat dan kedudukan perlu memahami tugas dan tanggungjawab masingmasing. Sebarang tugas dan tangungjawab di dunia ini akan mendapat ganjaran dan balasan-Nya. Takutilah Allah SWT dalam soal urusan diri, agama, negara dan masyarakat.
* PENULIS ialah Pensyarah Kanan Jabatan Usuluddin dan Perbandingan Agama, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM).
0 ulasan:
Catat Ulasan