Custom Search

Rabu, Februari 18, 2009

Produktif & Produktiviti

" Dan nafkahkanlah (berkorbanlah) di jalan Allah, dan janganlah kamu jatuhkan dirimu sendiri dengan tanganmu kepada kebinasaan, dan buatlah kebaikan kepada orang lain, sesungguhnya Allah itu menyukai orang-orang yang berbuat kebaikan"

Al-Baqarah : 195

Saya ingin berbicara tentang usaha dan produktiviti, kita sering mengaitkan produktiviti dengan pekerjaan dalam sektor awam mahupun swasta. Namun begitu, kita jangan lupa dengan usaha dan produktiviti untuk diri kita dan keluarga kita. Apa gunanya rajin dan mencapai kejayaan cemerlang dalam pekerjaan tetapi untuk diri dan keluarga kita tidak memberikan hasil yang sepatutnya sehinggakan berantakan dan porak-peranda. Ini yang sering terjadi dalam masyarakat kita dewasa ini, bukan saja dikalangan mereka yang berpendapatan rendah malah yang berpendapatan tinggi juga.

Bagi yang berjawatan tinggi dan berpendapatan besar mungkin tiada masalah untuk terus menumpukan pada kerjayanya dan pada masa yang sama masih mampu meluangkan masa untuk keluarga dan dirinya. Tapi, bagaimana pula dengan mereka yang berpendapatan rendah dan di tempat kerja pula diasak dengan arahan majikan untuk rajin bekerja dan meningkatkan produktiviti. Bertambah malang jika tidak dihargai dan tidak layak diberi elaun-elaun tertentu atas daya usaha untuk bekerja di luar bidang.

"Sesungguhnya orang-orang yang beriman dan orang-orang yang berpindah dari negerinya dan bekerja keras di jalan Allah, mereka itu mengharapkan rahmat Allah dan Allah itu Pengampun dan Penyayang".
Al-Baqarah : 218

Justeru itu, kita menjadi serba salah. Jika kita tidak mengikut arahan dianggap melanggar perintah dan pentingkan diri sendiri tidak mahu bekerjasama dalam organisasi. Mengikut arahan pula kita akan rasa letih dan imbuhan yang diterima tidak setimpal dengan tekanan kerja. Kerana itulah, ada sesetengah pekerja bawahan yang merungut dirinya banyak kerja sementara yang lain pula tidak banyak kerja. Kerana itulah, ada pekerja bawahan yang berkemahiran tidak mahu menonjolkan bakatnya kerana dikhuatiri akan 'diperguna' sewenangnya dan akan menjadi tumpuan untuk melaksanakan apa jua kerja yang berkaitan.

Namun begitu, bila difikirkan kembali sebagai muslim apakah kita bekerja kerana gaji semata-mata. Jika gaji rendah maka hanya bekerja setimpal dengan apa yang diterima. Mungkin kita lupa jika niat kita bekerja kerana Allah maka setiap titik peluh dan setiap cebis idea kita tidak akan disia-siakannya. Mungkin usaha terlebih dari gaji itu tidak akan dibayar oleh majikan tetapi ia tetap akan dibayar oleh Nya kerana sebaik-baik pemberi kurnia hanyalah Allah SWT. Mungkin kita tidak perlu berharap agar dibayar oleh majikan atas usaha kemahiran dan bakat kita kerana karenah birokrasi tidak mungkin dapat menghargai usaha kita.

Kita mungkin terlupa bahawa kurnia Allah ada di mana-mana, mungkin kita bekerja teruk berhempas pulas di tempat kerja kita dengan gaji yang cukup makan. Tetapi dengan kurnianya kita masih mampu untuk hidup dengan tenang dan aman damai apabila kembali ke rumah. Kebiasaan bekerja dengan teruk atas alasan untuk mempertingkatkan produktiviti di tempat kerja bukan lagi semata-mata diusahakan di tempat kerja, bahkan ia menjadi satu budaya hidup yang akan dibawa ke mana-mana di mana produktiviti itu terterap dalam apa jua bidang yang diceburinya sama ada di dalam rumah atau di luar rumah.

Kurnia Allah yang paling besar adalah kesihatan, tanpa badan yang sihat apa jua kerja tidak mampu dilakukan. Bukan setakat bekerja, berfikir pun tidak berdaya lagi sekiranya sakit. Justeru itu, sebagai seorang muslim kita mesti mempunyai pandangan yang luas. Kita harus bersyukur walaupun kita berhempas pulas diarah buat kerja itu, buat kerja ini tapi gaji masih macam itu juga dan elaun untuk menghargai sumbangan dan pengorbanan juga tiada. Apa yang berlaku bukan hanya di sekeliling bahkan di mana-mana sudah cukup banyak memberi pengajaran kepada saya untuk membuat penilaian agar sentiasa bersyukur dengan limpah kurnia Nya.

"Perumpamaan orang-orang yang menafkahkan hartanya kerana mengharapkan keredhaan Allah dan kerana keteguhan jiwanya sebagai sebuah kebun yang terletak di dataran tinggi, sentiasa ditimpa hujan lebat, sebab itu hasilnya du kali lipat dan kalau hujan tidak turun, gerimis pun ada, dan Allah melihat apa yang kamu kerjakan".
Al-Baqarah : 265

Kebahagiaan dan kesenangan tidak dinilai dengan wang ringgit dan harta benda semata-mata, jika kita bekerja kerana manusia pasti kita akan kecewa. Jika kita berkerja kerana Allah SWT kita tidak akan kecewa biarpun kita bersusah payah kerana manusia. Kekecewaan akan berakhir dengan kebinasaan, putus asa dan hilang semangat. Mungkin majikan akan gembira dengan pekerjanya yang rajin dan boleh diharap untuk melaksanakan apa yang diarahkan. Namun, jangan pula mengambil kesempatan kerana doa orang yang teraniaya cepat makbul. Mungkin organisasi akan goyah tapi pekerja yang berniat baik tetap terus bekerja kerana Allah SWT di organisasi yang goyah itu dalam keadaan yang aman, tenang dan bersemangat kental.

Memang semua majikan inginkan pekerjanya begitu kerana ia dapat memajukan organisasinya, tetapi pekerja itu tidak hanya produktif di tempat kerjanya tetapi turut produktif di luar. Produktiviti sudah menjadi budaya hidupnya kerana dia merasa senang untuk melakukannya dan produktiviti itulah yang telah menggerakkan pemikirannya untuk bijak membuat penilaian dan realistik dalam apa jua tindakan. Adakalanya dia terima asakan bertubi-tubi di tempat kerja, ada kalanya dia mampu mengurangkan asakan itu dengan kebijaksanaan dan skill tersendiri.

Sebaik-baik produktiviti adalah hasil dari usaha tangan sendiri, tanpa pemikiran dan kreativiti mana mungkin produktiviti itu terhasil. Produktiviti menghasilkan produk, produk tidak semestinya barang. Ia mungkin satu usaha tindakan yang spontan dalam apa jua perkara, mungkin juga hasil karya, mungkin juga keupayaan untuk melakukan sesuatu tanpa banyak berfikir. Ia adalah hasil daripada produktiviti. Tatkala orang lain mungkin mengambil masa agak lama untuk berfikir tetapi bagi orang yang produktif dia sudah tau apa yang hendak dibuat dan bagaimana hendak membuatnya. Kerana orang yang produktif sentiasa berfikir dan mencari ilmu walaupun dia sekadar tamat Tingkatan 5 atau Tingkatan 6.

Kerana itulah kurnia Allah SWT tidak mengira apa bentuk, mungkin orang tidak suka disuruh-suruh mungkin kerana dia tidak tahu untuk menyelesaikannya atau beranggapan itu bukan kerja dia ataupun mungkin tidak setimpal dengan gajinya, ataupun dia akan mempersoal kenapa tidak disuruh orang lain yang lebih layak dengan kelulusan tinggi dalam bidangnya dan menerima gaji yang setimpal pula. Mungkin orang yang disuruh mahu terima apa yang disuruh bukan kerana taat pada perintah tetapi mungkin kerana niatnya bekerja kerana Allah SWT untuk membantu sesama manusia biarpun ada orang yang layak dan berkelulusan tinggi dalam bidangnya tidak perlu lagi bersusah payah disuruh-suruh dan boleh bersenang lenang menerima gaji lumayan setiap bulan berbanding yang disuruh cuma menerima gaji sekadar cukup makan.

Bila difikir-fikirkan, nampak macam dunia ini tidak adil. Memang keadaan dunia sejak akhir-akhir ini tidak begitu adil kerana yang lemah sering tertindas. Yang lemah itu tidak mampu untuk membantah apatah lagi melawan, tetapi jika yang lemah itu mampu berfikir dan berusaha pasti yang menindas itu akhirnya dapat diberi peringatan dan pengajaran. Kemampuan berfikir menjadikan seseorang itu mempunyai kebijaksanaan dan cepat bertindak dalam membuat keputusan. Elemen ini biasanya ada pada pemimpin dan mereka yang berpelajaran tinggi namun tidak mustahil juga ada pada seseorang yang tidak menonjol dan berpendidikan rendah. Kerana keajaiban itu milik Allah, sesiapa yang berusaha mencari kurnia Nya pasti akan menemui kebenaran.

"Tidaklah menjadi tanggungjawabmu untuk memberi petunjuk kepada mereka, tetapi Allah memberi petunjuk kepada orang yang dikehendakiNya. Dan barang-barang baik yang kamu nafkahkan itu adalah untuk kamu sendiri, dan kamu menafkahkannya hanyalah kerana mengharapkan keredhaan Allah. Dan barang-barang baik yang kamu nafkahkan nescaya akan dibayar kepadamu dan kamu tidak akan dirugikan".
Al-Baqarah : 272

Kebenaran bukan milik siapa-siapa, bukan milik mereka yang ada menjejak Universiti dan memegang ijazah serta phd. Orang biasa juga mampu mencari kebenaran dan membuat penyelidikan selagi ada kemahuan ke arah itu, bukan kerana hendak mendapat ijazah, bukan kerana hendak mendapat gaji besar ataupun pangkat tinggi. Tetapi kerana hendak mendapat keredhaan Nya. Kebenaran yang dicari-cari akan memberi pengajaran dan tauladan untuknya agar kehidupan ini tidak disia-siakan. Kebenaran bagi orang yang yakin kepada Allah SWT tidak perlu banyak bukti penyelidikan daripada saintis dan sesiapa yang bijak pandai dengan phd sekalipun. Cukuplah dirinya dan alam ini sebagai bukti yang kukuh. Disisi Allah setiap manusia itu sama, yang membezakannya adalah takwa bukan pangkat, darjat, ijazah mahupun gaji.

Setiap apa yang dipegang atau disandang itu bukan semata-mata kerana boleh senang lenang dengannya. Tetapi ia adalah dengan amanah untuk menunaikan sejajar dengan apa yang dipegang dan disandang itu. Kalau yang berjawatan rendah diarah bekerja untuk mereka yang berjawatan tinggi maka yang dipersoal kelak bukan yang berjawatan rendah tetapi yang berjawatan tinggi kerana lepas tangan dengan tanggungjawab yang diamanahkan kepadanya. Yang berjawatan rendah jika sudi membuat kerja mereka yang berjawatan tinggi adalah kerana Allah SWT, mereka tidak mahu bermusuhan maka ganjaran yang tidak dibayar oleh majikan akan dibayar oleh Allah SWT. Mungkin bukan dengan wang ringgit dan mungkin akan dibayar di kemudian hari, hanya Allah SWT saja yang mengetahui.

Cara berfikir dikalangan kita mungkin tidak sama, ada yang berkira dan ada pula yang redha dengan apa yang diterima. Kita tidak tahu dan tidak nampak akan balasan Nya kepada sesiapa yang berbuat kebaikan biarpun kebaikannya itu tidak dibalas setimpal oleh manusia lainnya. Mencari keredhaan Allah bukan mudah tetapi kita cuma boleh berharap agar apa jua kebaikan yang kita lakukan kerana Allah akan dibalas Nya jua pada suatu masa kelak. Sama ada kita sedar atau tidak pasti kita akan menemui suatu keadaan di mana kita merasakan sesuatu yang tenang dan luar biasa berlaku pada diri kita tanpa disangka-sangka. Kita boleh berharap perkara itu boleh berlaku pada diri kita kerana Allah SWT tidak mungkin akan memungkiri janji Nya. Tetapi untuk berharap kepada manusia, hanya Allah saja yang akan mengizinkannya.

"Tuhan memberikan kebijaksanaan (hikmat) kepada siapa yang disukaiNya, dan orang yang diberiNya kebijaksanaan itu sesungguhnya telah diberi kebaikan yang banyak, hanyalah orang yang berakal dapat mengerti".
Al-Baqarah : 269

Wallahu'alam.

0 ulasan:

Contact Me

Sekiranya anda ada sebarang pertanyaan atau cadangan, sila guna borang di bawah :

Template by - Abdul Munir | Daya Earth Blogger Template