Custom Search

Khamis, Februari 05, 2009

Yahudi Peluk Islam

Josh Hassan, yahudi peluk Islam

Susunan SITI AINIZA KAMSARI


Jika saya tidak memeluk Islam, mungkin saya seorang penganut Hindu atau seorang Kristian. Tetapi mengapa saya hendak menyembah seorang Nabi (Nabi Isa a.s) sedangkan baginda sendiri tidak pernah mengaku dirinya mempunyai ciri-ciri ketuhanan untuk disembah oleh manusia.

Demikian pengakuan Josh Hassan, yang dilahirkan sebagai Yahudi. Menjelang usia 10 tahun, kedua-dua orang tua saya memasukkan saya ke Conservative Syanagogogue. Ia terletak di Brookline, Massachussetts yang majoriti penduduknya terdiri dari bangsa Yahudi. Saya dihantar ke situ semata-mata bagi mempelajari bahasa Hebrew dan mendalami agama Yahudi itu sendiri.

Kebanyakan tenaga pengajar terdiri daripada Yahudi dari Israel yang berjaya membuatkan saya percaya kepada kebenaran agama itu. Di usia semuda itu, saya seorang yang percaya kepada wujudnya tuhan. Juga begitu berminat untuk membaca kisah-kisah dari Kitab Taurat dan Kitab Perjanjian Lama yang kesemua ini menjadikan saya menjadi seorang kuat berpegang kepada Yahudi melebihi dari ibu bapa saya sendiri dan rakan-rakan saya yang lain.

Begitu pun ketika dalam pengajian mengenai Yahudi dan Israel di Rumah Ibadat Yahudi itu saya ditemukan dengan satu agama yang agak baru kepada saya, iaitu Islam. Namun yang lebih mengejutkan apabila Islam juga mempercayai Tuhan yang Satu 'sebagaimana' ajaran utama Yahudi. Saya begitu tertarik dengan kepercayaan umat Islam terhadap Allah, kitab suci mereka al-Quran serta menunaikan haji ke Mekah.

Namun, oleh kerana pengajian di situ mempunyai agenda tersembunyi iaitu tarikan kuat terhadap Israel, fikiran saya telah kuat dipengaruhi bahwa Islam terdiri daripada pengganas-pengganas yang sentiasa bertindak kejam dengan menjadikan orang Yahudi sebagai sasaran serangan letupan dinamit.

Saya perlu berpegang teguh bahawa orang Yahudi, merupakan umat terpilih dan orang Arab itu, terdiri daripada mereka yang kesemuanya jahat belaka. Sejak itu saya tidak lagi mendengar mengenai Islam sehinggalah pada tahun 1999.

Dalam tempoh itu, terutamanya dari tahun 1994 hingga 1995 keluarga saya telah menukar daripada ajaran Yahudi yang ortodoks kepada yang lebih liberal yang kami panggil Yahudi Baru (Reform Jews). Melaluinya Rabbi kami bukan lagi kosher. Namun di suatu saat saya mula meragui kemampuan Rabbi, iaitu seorang pemimpin suci sebagai lelaki yang memimpin kesemua penganut Yahudi supaya mendekati Tuhan.

Kekecewaan terhadap agama Yahudi yang semakin tumbuh dalam diri menyebabkan tanpa ada pilihan lain, minat saya kembali semua kepada agama Kristian.

Saya berasa agak kagum ketika itu melihatkan agama Nasrani ini kerana sepertinya agama itu mempunyai kekuatan yang tersendiri setelah sedikit demi sedikit saya mendapati Yahudi merupakan agama yang korup.

Lalu saya melangkahkan kaki buat pertama kali dalam upacara sembahyang di sebuah gereja dan cuba bercakap dengan para paderi ketika itu. Tetapi saya menghadapi saat yang paling sukar yang pernah saya lalui untuk mempercayai Nabi Isa a.s sebagai dewa atau tuhan yang layak untuk disembah. Tetapi saya terpaksa memaksa diri saya untuk menyembah kepada 'Anak Tuhan' itu dengan sedaya upaya tetapi saya masih tidak menemui jawapan.

Oleh kerana saya masih keliru, saya terus mempelajari Catechism (Soal Jawab Kristian) dan mengikut upacara sembahyang tanpa saya melakukan upacara baptis terlebih dahulu. Tambahan pula, saya belum boleh diterima dalam mazhab Katholik kerana seseorang yang hendak memeluk Katholik perlu mempelajari terlebih dahulu selama sembilan bulan.

Tetapi andai kata saya meninggal dunia sebelum sempat sembilan bulan, adakah para paderi tersebut akan bertanggungjawab terhadap status agama saya. Sedangkan mereka tahu saya mempunyai niat memeluk Kristian.

Saya akhirnya tidak mampu untuk menerima Kristian kerana seperti yang saya dengar sebelum ini dan seperti yang saya pelajari, agama itu dipenuhi doktrin-doktrin yang tidak benar.

Pada 26 Januari 1999 saya terus berhenti menghadiri kelas-kelas mengenai ajaran Kristian. Tindakan itu begitu menggembirakan orang tua saya. Tetapi saya masih percaya mengenai wujudnya Tuhan Yang Satu dan sehinggalah pada suatu hari ketika berada di sebuah perpustakaan dan melalui rujukan saya melalui Ensiklopedia Britannica saya menjumpai kisah Nabi Muhammad SAW.

Namun saya amat sedih apabila diceritakan mengenai baginda dikatakan telah menyembelih kesemua orang Yahudi yang berasal daripada pelbagai kabilah terutama semasa baginda berhijrah ke Madinah.

Saya berasa sungguh marah dan keliru dalam masa yang sama, saya telah diajar sedari dulu mengenai tindakan Rasulullah yang membunuh dan menyembelih orang Yahudi menyebabkan kini saya seolah-olah telah kehabisan pilihan.

Namun saya tahu bahawa ensiklopedia itu juga korup dan saya bercadang untuk mengenali rumah ibadat dalam islam iaitu masjid seperti yang disebut dalam ensiklopedia itu.

Sehinggalah pada 28 Februari 1999 saya ternampak sebuah masjid di Jalan Prospect di Boston dan tanpa membuang masa saya mengunjungi masjid tersebut.

Hati saya begitu berdebar-debar kerana saya mudah dikenali sebagai Yahudi dengan identiti yang saya miliki. Sehinggalah saya dibawa menemui anggota jemaah masjid tersebut sebaik sahaja mereka selesai melakukan ibadat.

Saya menyatakan hasrat untuk mempelajari Islam kepada mereka dan tanpa disangka-sangka perkara tersebut disambut baik oleh mereka. Saya umpama dihujani hadiah dalam satu masa yang sama, apabila kesemua lelaki di masjid itu berlumba-lumba memberi penerangan mengenai Islam kepada saya.

Saya begitu terharu dengan sambutan yang diberikan dan merasakan tempoh untuk saya memeluk Islam semakin dekat dan saya cukup bersedia untuk melafazkan kalimah syahadah.

"Tetapi adakah anda pasti? Anda tidak dipaksa untuk melakukan perkara ini (memeluk Islam!)," ujar mereka dalam nada bersaudara dan mesra. Saya agak terkejut dan mengakui saya tidak perlu terburu-buru untuk membuat keputusan sehinggalah saya benar-benar mantap dan mengenali Islam dengan lebih dekat lagi.

Jadi, hari itu saya belum memeluk Islam secara rasmi. Namun ia merupakan hari Sabtu yang indah apabila kami terus berkenalan daripada semua anggota jemaah masjid yang terdiri daripada pelbagai bangsa dan berbeza latar belakang.

Saya mendapati mereka semua mempunyai tujuan dan matlamat yang sama, iaitu menyembah Tuhan yang satu, iaitu Allah SWT. Sehinggalah pada 6 Mei 2000, saya kembali ke masjid, yang ketika itu saya perhatikan para jemaah sedang menunaikan solat zuhur dan sujud kepada Allah.

Saya sudah tidak dapat menunggu lebih lama. Sejurus selesai mereka berjemaah, saya tampil untuk memeluk Islam secara rasmi. Dalam seumur hidup saya, mengucap dua kalimah syahadah itu kemudiannya didapati merupakan perkara terbaik yang pernah saya lakukan. Tetapi kalaulah saya melakukan lebih awal lagi, tidakkah itu adalah lebih baik lagi?!.

Image Hosted by ImageShack.us

Stereotaip kita beranggapan bahawa yahudi itu jahat dan kejam tetapi di dalam al-Quran menyebut bahawa "Sesungguhnya orang-orang yahudi, kristian dan syabiin, iaitu orang-orang yang beriman kepada Allah dan hari akhirat dan mengerjakan perbuatan baik, mereka akan memperoleh upah (pahala) dari Tuhannya (Allah SWT); mereka tidak merasa ketakutan dan menaruh dukacita". al-Baqarah ayat 62.

Jadi, Islam mengajar umatnya tentang kebaikan dan menghulurkan ikatan persaudaraan kepada sesiapa yang ingin mendekati Islam tak kira sama ada dia yahudi atau kristian atau tidak beragama. Dari penjelasan saudara Josh Hassan itu kita boleh tahu bahawa anak-anak yahudi memang telah dididik sejak dari kecil lagi untuk memusuhi Islam dan orang arab. Itu bukan salah dia tetapi itu adalah kesalahan mereka yang mengajarnya untuk menjadi seorang pendendam. Kesalahan masyarakatnya yang mendidik dia sebegitu dan kesalahan penyokong perjuangan masyarakatnya yang bersama-sama memusuhi Islam dan arab. Apabila sudah biasa terdidik sebegitu maka kepercayaan dan keyakinannya amat mendalam terhadap apa yang dipelajarinya.

Justeru itu, umat Islam perlu menggunakan pendekatan baru untuk menerangkan tentang kebenaran Islam. Memanfaatkan media elektronik seperti internet untuk menyampaikan ajaran Islam sebenar. Diluar sana jemaah Islamiyah perlu berterusan menyampaikan pengajaran Islam dan menunjukkan sifat-sifat yang mulia terhadap orang lain. Walaupun ada dikalangan orang Islam itu sendiri yang menjadi perosak, golongan yang menjadi penggerak kepada contoh-contoh Islam yang mulia perlu menggiatkan lagi usaha bukan saja membentuk semula orang Islam yang sudah menyimpang jauh tapi juga dapat menarik lebih ramai orang bukan Islam untuk mendekati ajaran Islam sebenar. Sebagaimana kekuatan Islam itu tertegak dari dua sumber iaitu al-Quran dan hadis maka kekuatan umat Islam juga mesti tertegak dengan dua sumber itu media penyampai dan penggerak kepada usaha penyampaian.

Kelemahan umat Islam hari ini berpunca daripada usaha musuh menyampaikan propaganda memburukkan Islam menggunakan media dan jaringan gerakan melemahkan ajaran dan umat Islam. Hari ini terdapat usaha dikalangan kita untuk mengukuhkan kedua-dua medium ini tetapi belum cukup kuat untuk menandingi usaha musuh Islam yang mendapat dana dan sokongan berterusan. Mungkin seorang yahudi Islam boleh membantu memberi idea atau saranan kepada kita kerana kita sedia maklum bahawa orang yahudi ini mempunyai otak yang bijak dan tau cara-cara bagaimana melahirkan bangsa dan keturunan yang bijak-bijak. Mungkin saudara seperti Josh boleh membantu. Kenapa tidak kita pelajari dari mereka. Fikir-fikirkanlah....

0 ulasan:

Contact Me

Sekiranya anda ada sebarang pertanyaan atau cadangan, sila guna borang di bawah :

Template by - Abdul Munir | Daya Earth Blogger Template