Custom Search

Ahad, Mac 08, 2009

Guru "Dibuli" Pelajar

Sekolah bukan tempat untuk belajar teori dan menjalankan eksperimen semata-mata, sekolah adalah tempat mendidik dan membentuk pelajar supaya mempunyai sikap dan nilai peribadi yang mulia. Bukannya tempat untuk lulus ujian dan mendapat kerja yang lebih mulia daripada menjadi buruh binaan dan kerani pejabat.

Agak menggerunkan juga tajuk posting kali ini, tetapi ia cuma satu gimik tajuk berita sebagaimana yang biasa dilakukan oleh akhbar untuk melariskan jualan mereka. Adakah wujud guru "dibuli" pelajar? Persoalan ini merujuk kepada pembacaan rencana dari akhbar Utusan Malaysia bertajuk "Guru Adalah Pendidik, bukannya Polis". (Klik tajuk untuk bacaan lanjut)

Berkaitan dengan penglibatan pelajar dalam aktiviti sekolah, sepanjang pemerhatian saya selama 11 tahun bahawa aktiviti sekolah seperti kelab dan persatuan tidak melibatkan pelajar secara menyeluruh dan lebih berorientasikan guru. Tidak pasti sama ada ini berpunca daripada struktur kepimpinan atau kegagalan sistem penyampaian untuk komunikasi yang berkesan.

Aktiviti sekolah hari ini tidak lagi cuba melibatkan pelajar sebagaimana dahulu, dimana apabila terdapat aktiviti sukan tahunan antara rumah-rumah sukan, guru menjadi fasilitator atau pembimbing dan tidak terlibat terus dalam mendirikan khemah rumah sukan dibawah seliaannya. Yang terlibat adalah pelajar, membuat khemah, bendera rumah sukan dan lain-lain aktiviti yang perlu melibatkan pelajar.

Begitu juga dalam majlis penyampaian sijil dan hadiah atau sekarang lebih glamer dipanggil majlis graduasi. AJK guru hanya sebagai pembimbing dan penunjuk cara apa yang perlu dilakukan oleh AJK pelajar, dari membuat hiasan pentas, menyusun kerusi, membuat banner, memotong polisterin dan apa yang perlu melibatkan pelajar.

Pemahaman umum tentang pelajar sekarang ialah datang ke sekolah untuk menuntut ilmu supaya lulus ujian UPSR, PMR, SPM dan STPM. Mereka perlu banyak menumpukan kepada akademik supaya dapat lulus ujian itu dengan cemerlang. Penglibatan dalam aktiviti kokurikulum pula hanya untuk mencukupkan syarat bagi mendapat markah 10%, datang dan hadir untuk aktiviti tersebut semata-mata.

Sementara untuk aktiviti-aktiviti yang bukan akademik dan kokurikulum pula jarang atau langsung tiada melibatkan pelajar, kononnya tidak mahu mengganggu konsentrasi pelajar dalam akademik dan kokurikulum, dan sekolah sebagai tempat pelajar menuntut ilmu bukannya tempat untuk aktiviti-aktiviti lain yang tak berkenaan. Maka itu semua kerja-kerja berkenaan, guru dan staf bukan guru yang akan bertungkus lumus melaksanakannya dan pelajar hanya jadi pemerhati saja.

Sekolah adalah tempat mendidik dan membentuk pelajar, bukan tempat untuk lulus ujian semata-mata dengan harapan kelulusan yang cemerlang akan memberi harapan untuk berjaya dalam kerjaya yang lebih dipandang mulia daripada menjadi 'kuli' bawahan. Sejauh manakah benarnya mereka yang berjaya itu benar-benar berjaya dalam hidup tatkala kini pelbagai penyelewengan dan salah laku terjadi dikalangan mereka yang berstatus dan berjawatan tinggi.

Sekolah bukan tempat untuk belajar teori dan menjalankan eksperimen semata-mata, sekolah adalah tempat mendidik dan membentuk pelajar supaya mempunyai sikap dan nilai peribadi yang mulia. Bukannya tempat untuk lulus ujian dan mendapat kerja yang lebih mulia daripada menjadi buruh binaan dan kerani pejabat.

Tetapi sikap masyarakat kita yang suka menuduh dan mengadu domba tentang perihal yang buruk menyebabkan generasi masa depan dimanja-manja bagai menatang minyak yang penuh. Bila pelajar disuruh membuat kerja amal seperti mengutip sampah, membersih bangunan sekolah maka suara-suara sumbang akan kedengaran "apa lagi gunanya pekerja am sekolah, kalau pelajar yang buat nanti mereka tak ada kerja, goyang kaki makan gaji buta".

Bukannya setiap hari pelajar perlu membuat kerja amal atau bergotong royong, kalau di sekolah ada 1000 orang pelajar dan kalau hanya 300-500 orang pelajar membuang sampah merata-rata tanpa membuangnya di dalam tong sampah yang disediakan dan perilaku negatif pelajar ini berlaku setiap hari. Ini boleh diibaratkan 300-500 orang pelajar itu 'membuli' 2-3 orang pekerja am sekolah sedangkan jika 1000 orang pelajar itu dididik dan dibentuk supaya menghayati amalan kebersihan maka gejala ini tak akan berlanjutan.

"Sekolah bukan tempat pelajar kerja kutip sampah, sekolah tempat pelajar menuntut ilmu" kata seseorang. Apakah penerapan budaya amalan kebersihan bukan satu ilmu, untuk membudayakan kehidupan masyarakat bukan dengan teori di dalam kelas saja dalam silibus pendidikan agama dan moral tetapi dengan amalan yang dipraktikkan diluar kelas. Amalan membuang sampah merata-rata ini bukan berlaku di sekolah saja tetapi di mana-mana, keadaan ini lebih ketara berlaku selepas aktiviti keramaian atau perhimpunan dimana orang ramai akan meninggalkan longgokan sampah mengharapkan ada pekerja dewan bandaraya atau majlis kerajaan tempatan untuk membersihkannya. Kononnya, masyarakat setempat telah membayar cukai pintu, cukai itu dan cukai ini, jadi pekerja majlis kerajaan tempatan perlu menjalankan tugas mereka.

Inilah cerminan masyarakat kita yang sebenar, apakah salah guru kerana tidak mendidik mereka dengan betul ketika mereka masih pelajar dahulu. Apakah salah mereka yang bergelar pemimpin negara kerana terlalu menekan guru sehingga sekolah gagal menjadi tempat untuk memanusiakan manusia, sehingga setelah tamat sekolah terbawa-bawa pula amalan buruknya dalam kehidupan bermasyarakat.

Kecemerlangan sekolah dinilai dari segi berapa banyak pelajar yang dapat 10A ke atas dan berapa anugerah pula untuk aktiviti kokurikulum. Kecemerlangan sekolah tidak dinilai dari segi berapa orang pelajar di sekolah itu yang berpakaian kemas, berapa banyak kes disiplin yang serius berlaku di sekolah itu, berapa banyak orang murid sukarela mengutip sampah yang nampak depan mata kemudian membuangnya dalam tong sampah, berapa banyak murid yang bersama-sama dengan guru menolong dalam persiapan sesuatu upacara seperti majlis graduasi.

Jika pelajar dididik tentang amalan mulia yang perlu dipraktikkan seperti menjaga kebersihan, tolong menolong, sukarela berbuat kebaikan dan sebagainya mungkin juga pelajar boleh menerima bahawa kecemerlangan akademik itu sama penting sebagaimana pentingnya amalan mulia itu. Maka masalah tidaklah menjadi begitu sukar dalam usaha untuk mendidik dan membentuk mereka menjadi pelajar cemerlang seterusnya ia akan sendirinya mengharumkan nama sekolah itu sendiri. Justeru, pihak sekolah tidak perlu lagi 'berpura-pura' berusaha untuk menjadi yang terbaik di depan mata menteri dan ketua pengarah, dan berhempas pulas untuk 'menekan' pelajar dan guru supaya menjadi lebih cemerlang menjayakan visi dan misi sekolah.

Memang betul usaha itu perlu ada untuk berjaya dan cemerlang, tetapi sejauh manakah usaha yang dilaksanakan itu berkesan. Apakah pendekatan yang digunakan itu betul-betul dapat mendidik dan membentuk pelajar ke arah menjadi insan yang benar-benar mulia. Ada pihak yang sinis akan berkata "bercakap memang mudah, untuk melaksanakannya agak payah." Tapi kalau kita diberi kuasa dan ada kemampuan untuk melaksanakannya maka pergunalah sebaik-baiknya tatkala masih diberi peluang untuk memegang tampuk kuasa dan pemerintahan.

Tapi kalau kita tertakluk pada kuasa dan arahan orang atasan maka apa-apa masalah yang bakal berlaku jangan terus menuding jari menyalahkan kita sahaja kerana dalam keadaan sebagai 'government servant' dan servant itu sendiri bermaksud kuli atau hamba tidak banyak yang boleh dilakukan kerana apa-apa tindakan perlulah menurut perintah dari pihak yang lebih tinggi. Inilah dilema yang perlu ditangani dengan sebaik-baiknya kerana 'seorang penjaga kambing lebih tahu bagaimana hendak menjaga kambingnya dikandang' daripada seorang pemilik kandang kambing itu yang datang sekali setahun dan berkata ini salah itu tak betul, jangan buat macam ini ikut cara itu baru betul.

Kalaulah suatu hari kelak penjaga kambing itu menjadi pemilik kandang kambingnya sendiri kelak, pastinya dia boleh tau apa yang terbaik dan perlu dilakukan kerana pengalamannya turun padang dan merasai sendiri bagaimana susahnya menjaga kambing kemudian menjualnya kepada pemborong atau terus menjualnya di pasaraya. Inilah yang kita boleh ibaratkan mengenai sistem pendidikan kita sekarang yang menjadi 'kilang' untuk menghasilkan peribadi anggota masyarakat itu.

Daripada 1000 orang bekas pelajar bukan semuanya mungkin 50 orang akan menjadi arkitek, doktor, guru dan pelbagai lagi jawatan yang dianggap berprestij tinggi, yang lain-lain hanya menjadi pekerja biasa. Hanya 10 orang saja menjadi penjenayah boleh mengacau bilaukan keharmonian 10 ribu orang dalam masyarakat setempat. Hanya 300 orang saja yang berhimpun dan membuang sampah boleh menyusahkan 10 orang pekerja majlis kerajaan tempatan dan memburukkan pandangan orang luar terutama pelancong tentang sikap masyarakat kita dan ini seterusnya mencemarkan nama baik negara.

Itu baru saja 1000 bekas pelajar di satu sekolah, bayangkan kalau di seluruh negara semua bekas pelajar itu menjadi generasi masa depan bagaimanakah agaknya keadaan masyarakat kita. Sekarang pun kita sudah boleh lihat akibatnya daripada 'salah asuhan', negara menjadi kacau bilau dan kualiti kepimpinan politik semakin membimbangkan. Semuanya menjadi tidak terkawal dan tidak tentu arah, tunggang langgang.

Masalah menjadi semakin kompleks sedangkan cara penyelesaiannya tidaklah sekompleks mana pun asalkan dilaksanakan dan tidak sekadar menjadi teori dan bahan perdebatan yang tak berkesudahan menunggu bertahun-tahun untuk dilaksanakan. Walau apapun, ini hanyalah pandangan saya sebagai seorang rakyat yang bertanggungjawab untuk memberi pendapat yang mungkin boleh dimanfaatkan atau difikirkan lebih lanjut lagi.

Negara kita bukan pengamal fahaman komunis atau sosialis, sesiapa menentang dan tidak sependapat dengan pemerintah maka akan ditangkap dan ditahan. Pemerintah seperti itu takkan bertahan lama, lihatlah Jerman Timur, Soviet Union, China sekalipun terpaksa akur kepada kapitalis kerana khuatir akan runtuh seperti yang lain. Bahkan negara Asia barat dahulu sekalipun yang pernah berpegang pada amalan pemerintahan Islam akhirnya runtuh menjadi 'hamba' dan 'boneka' barat kerana menghalang kebebasan perkembangan idea, pendapat dan ilmu. Apakah kita tidak mahu mengambil pengajaran dari semua itu. Fikir-fikirkanlah.

Image Hosted by ImageShack.us

0 ulasan:

Contact Me

Sekiranya anda ada sebarang pertanyaan atau cadangan, sila guna borang di bawah :

Template by - Abdul Munir | Daya Earth Blogger Template