"Blog juga ada baik dan ada buruknya, bahkan kerajaan boleh tahu pandangan rakyat secara langsung melalui 'risikan' cyber trooper mereka memantau blog."
Warga Mukah dikejutkan dengan kes buli pelajar sekolah yang jarang berlaku di bahagian ini, kalau adapun (mustahil tiada) pandai buat pandai simpan dari diketahui pihak luar sama ada oleh pihak sekolah maupun pelajar itu sendiri. Tetapi kali ini, tembelang pembuli tersebut akhirnya pecah apabila tindakan 'bodoh' ahli kumpulan pembuli tersebut merakam aksi-aksi lebih daripada 5 orang membuli seorang pelajar. Apakah yang boleh kita nilai daripada aksi tersebut? Masing-masing ada pandangan tersendiri. Bukan saja berkenaan kumpulan pembuli yang 'pengecut' tersebut tetapi pihak-pihak yang berkenaan turut dinilai secara objektif.
Lebih memalukan lagi, penyebaran video tersebut dalam Youtube menyebabkan 'perisikan pusat' dapat mengesan permasalahan yang berlaku di ceruk rantau yang jauh dari bandar besar sehingga menyebabkan ramai pihak tahu bukan saja dikalangan masyarakat setempat saja malah seluruh negara kerana pada hari berikutnya ia keluar melalui media TV3, Utusan Borneo bahkan Mingguan Malaysia juga. Justeru, apabila berita ini tersebar luas pastinya ada pihak yang akan menanggung derita mendapat reputasi buruk dan didatangi oleh mereka yang menjalankan tugas untuk menyiasat.
Apa yang berlaku ini sebenarnya merupakan satu pengajaran kepada semua pihak, khususnya sekolah di bahagian ini bahawa sesungguhnya masalah buli bukan saja boleh berlaku di sekolah-sekolah semenanjung atau di sekolah-sekolah bandar saja tetapi juga boleh berlaku di mana-mana walau di kawasan hujung ulu sekalipun. Kalau di bandar pastinya lebih dekat dengan pihak media massa yang akan menjadikan kes ini sebagai satu isu panas, tetapi kalau di luar bandar apabila di 'upload' ke dalam media seperti Youtube maka ejen 'perisikan' mereka dengan mudah saja tanpa perlu banyak kerja untuk ke lokasi mendapatkan bahan berita. Tapi itukan kerja media massa, mendedahkan permasalahan untuk tatapan umum supaya rakyat tau apa yang berlaku di sekeliling mereka.
Sebenarnya sesiapa saja boleh membuat ulasan daripada video tersebut. Sama ada tentang pengurusan sekolah, tentang disiplin pelajarnya, tentang peraturan telefon bimbit di sekolah, tentang peranan pengawas pelajar dan apa-apa saja. Jadi, memang sejak dari dulu lagi sudah diberitahu supaya pihak sekolah menjaga disiplin pelajar. Namun, untuk mendisiplinkan pelajar bukannya mudah kerana ia memerlukan banyak kerjasama antara guru-guru, staf bukan guru dan pelajar sendiri. Kalau salah satunya pincang atau tidak berkesan maka akan berlaku di mana 'pembuli' dan 'samseng' di sekolah yang sepatutnya boleh dikesan melalui aktiviti berkumpulan pelajar sejak dari awal lebih 'berkuasa' tunjuk lagak dan berani dari pihak sekolah yang selama ini menjadi 'serba salah' dalam menghadapi permasalahan sebegini akibat pelbagai kekangan.
Justeru itu, dalam membuat penilaian kita mesti mengambilkira semua aspek tentang apa yang boleh dan apa yang tak boleh sehingga semua ini terjadi. Jika difikir-fikirkan dengan mendalam ia bukan saja salah pihak sekolah saja, tapi juga masyarakat, ibu bapa, pemerintah, ahli politik dan juga media massa. Kalau ibu bapa tak sesuka hati menyaman pihak sekolah kalau anak mereka dibimbing dan dididik dengan sebaiknya pasti pihak sekolah tidak teragak-agak mengambil tindakan yang sewajarnya untuk membentuk disiplin pelajar yang sebelum menjadi pelajar di sekolah memang degil dan suka melawan orang tua bermula sejak dari rumah lagi. Masyarakat pula tidak mahu menegur kerana budaya 'jangan jaga tepi kain orang' telah menyebabkan 'kamu...kamu... saya...saya... jangan perlu masuk campur' mengakibatkan generasi baru semakin berani menonjolkan masalah sosial mereka di khalayak ramai dan apabila dewasa nanti menjadi masalah pula kepada masyarakat dan negara dengan menjadi penjenayah yang akan mengancam keselamatan masyarakat itu sendiri.
Pemerintah pula berkait rapat dengan ahli politik yang jadi menteri dalam kerajaan, pengundi mereka adalah rakyat jadi untuk dapatkan undi kelak maka masalah rakyat perlu didengari. Ibu bapa juga rakyat, kalau anak mereka di rumah jentik sikit pun tak pernah tapi bila buat hal di sekolah lalu dipukul guru maka mereka mengadu pada wakil rakyat. Maka itulah, rotan tidak lagi dibenarkan di sekolah untuk menjaga hati ibu bapa yang sayangkan anak manja mereka yang sudahpun berumur 16 tahun ke atas. Media massa pula terutamanya elektronik turut menjadi pendorong dengan menayangkan filem hollywood dan hindustan 'mengajar' anak-anak bagaimana nak bergaduh dan melakukan aksi ganas. Begitu juga dalam soal berpakaian, apa yang dipapar dalam media massa lebih menonjolkan dunia hiburan dan kehidupan para artis untuk diikuti oleh remaja yang masih menjadi pelajar sekolah. Bahkan melalui media jugalah video aksi buli ini boleh disebarkan kemudian menjadi tajuk berita pula apabila diketahui umum.
Tapi kalau tak ada media, tak adalah blog ini. Ada baik dan ada buruknya, macam pisau jugak kalau diberi pada orang jahat digunanya untuk mencederakan orang bahkan bunuh orang pun sanggup. Kalau diberi pada orang baik digunanya untuk potong daging, dimasak, dimakan kenyang, diberi pada orang dapat pahala. Jadi, fikir-fikirkanlah. Artikel ini mengajak pembaca untuk berfikir secara menyeluruh, bukan separuh-separuh. Bukan nak menuduh si anu itu salah si anu ini salah, yang lain itu betul tak ada salah. Kita semua ada pandangan masing-masing tapi bukan semua orang boleh memberi pandangan kalau tiada blog.
Siapa nak dengar kita bercakap kalau orang tak kenal dan kita bukan orang berpengaruh yang ada pangkat dan darjat untuk bercakap melontarkan idea dan pandangan di khalayak. Kalau blog diguna cara baik maka ia tak merosakkan tapi kalau diguna untuk tabur fitnah dan mengaibkan orang lain secara khusus tanpa ada 'tabir' atau tidak 'berlapik' maka sebab itu ada pemimpin negara kata blog tak baik, bawa masalah pada negara. Blog juga ada baik dan ada buruknya, bahkan kerajaan boleh tahu pandangan rakyat secara langsung melalui 'risikan' cyber trooper mereka memantau blog. Inikan negara demokrasi, kadang-kadang kerajaan pun dapat idea dari pandangan rakyat biasa dan kemudian kata itu idea bijak pandai dalam kerajaan. Tapi tak apalah yang penting rakyat kini lebih tau bagaimana untuk menggunakan blog dengan cara sebaiknya dan berkesan untuk melontarkan pandangan dan idea supaya mereka yang menjalankan tugas membangunkan negara sama-sama dapat idea untuk dibawa ke peringkat lebih tinggi lagi.
Penulis blog pun ada juga peranannya selagi tidak melampaui batas dan berbicara secara umum tanpa mengaibkan seseorang. Ini menjadikan perbincangan menjadi lebih terbuka untuk difikirkan oleh semua pihak. Jangan pula sampai penulis blog juga 'dibuli' kerana lidah ini dicipta Tuhan untuk berkata apa yang benar dan bukan menyembunyikan apa yang difikirkan. Bak kata dalam senikata lagu M. Nasir feat Malique 'Ijazah terbaik datangnya dari jalanan' , 'masuk tempat orang bawa otak bukan pisau' dan 'hunuskan keris, musuh ada pistol'
Kalau nak dengar senikata penuh, ikuti lagu tersebut dalam Youtube ini (Youtube lagi) untuk hiburan bersama sambil berfikir sejenak.
Akhir kata 'pecah tembelang...peta dah hilang...bangau dah pulang...suara sumbang...' apa maksudnya tak perlulah saya beri pandangan peribadi, setiap senikata dalam lagu ini sangat mendalam maksudnya dan setiap kita masing-masing ada terjemahan versi sendiri. Kes buli pelajar itu sendiri pun sudah 'pecah tembelang'nya sebab 'peta dah hilang' tak ada siapa nak beri haluan yang betul sehingga mereka sesat jalan buat hal yang terlarang. Bila 'bangau dah pulang' sebab banyak makan ikan terlalu kenyang sampai tak dapat nak fikir lagi kesan dan akibatnya kalau sebarkan video tersebut dalam Youtube, yang tinggal adalah 'suara sumbang' yang akan membicarakan punca dan akibat daripada buli pelajar tersebut. Bukan suara orang luar saja yang sumbang membicarakannya tetapi pihak berkenaan juga turut menjadi sumbang akibat suara sumbang tersebut. Tetapi jangan pula kita menjadi kera sumbang yang tidak mau berkongsi ilmu dan pandangan dengan orang.
SEMINGGU KEMUDIAN
Kementerian Pelajaran akan mengaktifkan semula hukuman rotan sebagai tanda ketegasan menangani masalah disiplin pelajar yang semakin menimbulkan kebimbangan umum.....
baca lanjut
DAKWAH MASA KINI: DARI KONFRANTASI KEPADA ENGAGEMENT
-
Oleh: Prof Madya Dato’ Dr Mohd Asri bin Zainul Abidin 1. Ramai yang agak
terkejut apabila melihat beberapa tokoh memulakan pendekatan dakwah yang
berbeza d...
6 tahun yang lalu
0 ulasan:
Catat Ulasan