Custom Search

Khamis, Julai 16, 2009

Hasilkan Rakyat Berfikir & Berguna

Sistem pendidikan kita hendaklah bertujuan menghasilkan para graduan yang bukan hanya boleh bekerja, tetapi lebih penting, boleh berfikir secara kreatif dan kritikal.

Oleh KASSIM AHMAD


DALAM masyarakat kita ada tiga aliran fikiran berhubungan dengan tamadun Barat: tolak keseluruhan, terima keseluruhan dan yang kritikal iaitu terima yang baik dan tolak yang buruk.

Nyatalah, mereka yang menganjurkan Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam bahasa Inggeris (PPSMI) tergolong dalam aliran kedua. Bagi menyelesaikan masalah ini dengan betul, kita tidak boleh bergantung semata-mata kepada pandangan orang ramai kerana ini soal kebenaran.

Soalan pokok yang mesti kita jawab ialah: "Apakah bentuk negara Malaysia ini? Adakah kita sebuah negara-bangsa yang merdeka dan berdaulat dengan sebuah wilayah, bahasa kebangsaan, sejarah, ekonomi dan budaya yang bersifat khusus (kerana ciri-ciri kebangsaan yang tersebut) dan, pada masa yang sama, universal (kerana kita sebahagian dari dunia global)?

Atau kita hanya sebuah wilayah tanpa ciri-ciri kebangsaan dari dunia global yang dikuasai oleh kuasa besar Anglo-Amerika dengan bahasa Inggeris sebagai bahasa rasminya?

Perpecahan di kalangan rakyat kita tentang perkara ini membuktikan bahawa kita masih tidak pasti tentang perkara ini. Pas umpamanya menolak faham kebangsaan, kerana kononnya bersalahan dengan ajaran Islam.

DAP pula hanya menerima Malaysia yang dicipta oleh Inggeris. Bagi mereka, Kesultanan Melayu Melaka, alam Melayu atau Nusantara dan dunia Islam yang ada hubungan integral dengan Malaysia tidak wujud.

Tetapi, nyatalah kita sebuah negara-bangsa Malaysia yang merdeka dan berdaulat dengan misi dan hak untuk membangunkan tamadun atau subtamadun kita sendiri dalam sebuah dunia global yang mengiktiraf hak nasional itu.

Kalangan yang menganjurkan dua mata pelajaran ini diajar dalam bahasa Inggeris mengandaikan bahawa bahasa kebangsaan kita tidak boleh menjadi bahasa ilmu dalam sains dan matematik. Implikasi daripada pendirian ini ialah bahasa kebangsaan tidak boleh menjadi bahasa ilmu dalam semua bidang, kerana ia tidak boleh menyamai apalagi menandingi bahasa Inggeris.

Nyatalah fikiran ini sama sekali tidak logik, kerana kedudukan bahasa Inggeris yang utama sekarang bukan kerana bahasa itu, tetapi kerana kreativiti bangsa Anglo-Amerika yang memakai bahasa Inggeris yang telah menjadi lingua franca dunia.

Kita harus ingat bahawa sebelum bahasa Inggeris mencapai taraf ini, bahasa-bahasa lain termasuk bahasa Yunani, Latin dan Arab, memainkan peranan sebagai bahasa ilmu dunia.

Implikasinya, bahasa Inggeris tidak akan terus memainkan peranan ini pada masa depan. Kita harus berfikir secara wajar dalam hal ini. Pertama, kita mahu membangunkan tamadun bangsa Malaysia kita sendiri. Ini mesti termasuk mengembangkan ilmu kita dalam sains dan matematik, yakni menjadikan bahasa kebangsaan kita bahasa ilmu dalam kedua-dua subjek ini. Alasan bahawa kita tidak cukup buku dalam kedua-dua mata pelajaran ini tidak boleh dipakai.

Kedua, kita juga mahu rakyat kita pandai dalam bahasa Inggeris untuk berinteraksi dengan dunia dan untuk mendapat manfaat dari gedung ilmu yang terdapat dalam bahasa Inggeris. Bukan pandai dalam bahasa Inggeris sahaja tetapi kita mahu ada sebilangan rakyat kita yang pandai dalam bahasa-bahasa antarabangsa lain seperti Perancis, Jerman, Belanda, Jepun, Rusia, Arab, Mandarin, Tamil dan lain-lain.

Namun, dalam banyak bahasa antarabangsa ini, kita mahu bahasa Inggeris diberi keutamaan oleh kerana keluasan kegunaannya di arena antarabangsa dan kerana gedung ilmu yang terdapat di dalamnya.

Kita harus mengambil langkah-langkah untuk membaiki pengajaran bahasa Inggeris dalam sistem pendidikan kita. Di atas dua tonggak ini, kita bina sistem pendidikan kita. Di sini mungkin ada banyak perkara yang harus diperbaiki.

Pertama, pengajaran bahasa kebangsaan dan bahasa-bahasa ibunda bagi tiga tahun pertama persekolahan. Tujuannya jelas. Kita mahu letak asas kebangsaan kita pada satu tempat yang cukup kukuh. Jika asas ini tidak kukuh, kita tidak boleh berkembang menjadi sebuah negara-bangsa Malaysia yang merdeka dan berdaulat.

Kedua, pengajaran bahasa Inggeris bermula pada tahun keempat. Mutu pengajarannya mesti diperbaiki, seperti mengadakan guru-guru yang mahir dan memakai kaedah pengajaran yang lebih baik.

Ketiga, anak-anak kita jangan diajar dengan kaedah menghafal. Ini tidak akan membangunkan daya kreatifnya.

Sistem pendidikan kita hendaklah bertujuan menghasilkan para graduan yang bukan hanya boleh bekerja, tetapi lebih penting, boleh berfikir secara kreatif dan kritikal.

Inilah yang perlu untuk membangunkan tamadun kita, bukan bahasa Inggeris.

Keempat, suatu sistem pengajaran bahasa-bahasa antarabangsa yang lain perlu diwujudkan, supaya pelajar kita yang ingin melanjutkan pelajaran atau memilih kerjaya mereka seperti bidang-bidang kesarjanaan atau diplomatik, boleh memperoleh manfaat daripada sistem ini.

Kelima, satu sistem pemberian biasiswa kepada murid-murid yang mencapai kecemerlangan tanpa mengira kedudukan kewangan ibu bapa mereka. Begitu juga kepada murid-murid yang mencapai kecemerlangan tetapi tidak mampu untuk melanjutkan pelajaran tanpa biasiswa.

Tidak kira kita dari suku kaum apa dan tidak kira kita dari masyarakat bandar atau luar-bandar, sistem pendidikan kita mestilah bertujuan menghasilkan rakyat yang berfikir, baik dan berguna.

Para pemimpin kita hendaklah berani membuat dasar berdasarkan prinsip, bukan berdasarkan kemudahan. Kritikan yang sihat untuk kebaikan mestilah dipraktikkan dalam semua institusi kita sama ada di Parlimen, Kabinet dan lain-lain.

Adakah ini mustahil bagi kita? Jawabnya tidak ada yang mustahil. Apa yang kita mahu, kita buat.

0 ulasan:

Contact Me

Sekiranya anda ada sebarang pertanyaan atau cadangan, sila guna borang di bawah :

Template by - Abdul Munir | Daya Earth Blogger Template