Custom Search

Khamis, Julai 23, 2009

Sekolah, Keusahawan Sosial, Perpaduan Kaum

SEPANJANG tiga minggu lepas saya melawat tujuh buah sekolah di sekitar England. Lawatan itu adalah untuk memenuhi sebahagian daripada kajian mengenai bagaimana sekolah boleh menjana dana tambahan dengan menggunakan model keusahawanan sosial.

Saya amat kagum dengan sebuah sekolah di Burnley, sebuah bandar kecil yang agak miskin di utara England. Perlombongan arang batu dan sektor pembuatan pernah menjadi industri utama di situ. Tetapi apabila lombong terakhir ditutup pada 1981 dan kilang tayar Michelin ditutup pada 2002, ekonomi Burnley mula merudum. Sehingga kini situasi ekonominya belum pulih sepenuhnya.

Pada 2001, berlaku rusuhan antara kaum di Burnley. Pelbagai faktor menyumbang kepada rusuhan tersebut. Kemiskinan dan situasi ekonomi yang tidak stabil menyemarakkan rasa dendam antara kaum. Ia juga menyebabkan gejala penyalahgunaan dadah serta kegiatan jenayah lain menjadi berleluasa. Akhirnya tercetus rusuhan.

Sehingga kini sikap perkauman masih lagi boleh dirasakan dalam politik setempat. Burnley mempunyai empat ahli majlis perbandaran dari Parti Kebangsaan Britain (British National Party - BNP), sebuah parti nasionalis fasis yang memperjuangkan kepentingan kulit putih.

Sekolah yang saya lawati itu terletak beberapa minit sahaja dari tempat berlakunya rusuhan 2001. Bagaimanapun uniknya, sekolah itu dengan sendiri mengambil inisiatif untuk menjadi pemangkin kepada hubungan antara kaum yang lebih baik.

Semasa tiba, jelas kelihatan betapa bangunan dan persekitaran sekolah itu dibina dengan satu visi yang jelas untuk melaksanakan konsep pendidikan berintegrasi.

Dalam perkarangan kampus itu, terdapat empat buah sekolah, sebuah pusat keagamaan dan sebuah perpustakaan awam. Sekolah tadika, sekolah untuk kanak-kanak istimewa, sekolah rendah dan sekolah menengah untuk pelajar A-Level yang terletak di situ semuanya mempunyai pentadbiran dan guru besar sendiri.

Perpustakaan awam pula dimiliki oleh kerajaan tempatan dan dibuka kepada umum. Sementara pusat keagamaan dijalankan oleh sebuah pertubuhan sukarela dan turut menyediakan kemudahan untuk solat Jumaat.

Bagaimanapun, bantuan kerajaan tidak cukup untuk kegiatan kemasyarakatan bagi menyumbang ke arah perpaduan. Namun oleh kerana keempat-empat guru besar di situ bertekad untuk melaksanakan usaha tersebut, maka mereka berpakat untuk menubuhkan sebuah syarikat keusahawanan sosial.

Syarikat tersebut berdaftar dengan suruhanjaya syarikat dan kini mempunyai 23 pekerja. Guru-guru besar di sekolah di dalam kampus itu menjadi pengarah syarikat berkenaan.

Perniagaan utama syarikat keusahawanan sosial itu ialah menyewakan ruang dan kemudahan sekolah kepada penduduk, syarikat korporat, serta badan bukan kerajaan.

Sebagai sebuah sekolah, mereka turut mempunyai padang dan kemudahan sukan yang turut disewakan. Selain itu, mereka juga menjalankan perusahaan kafeteria dan katering serta percetakan.

Dalam kata lain, syarikat keusahawanan sosial tersebut berfungsi sebagai sebuah perniagaan pengurusan fasiliti yang menguruskan semua aktiviti perniagaan bagi pihak sekolah.

Perniagaan begitu berjaya sehingga mereka menjangka modal pusingan tahun ini akan mencecah RM750,000 manakala keuntungan pula dijangka sekitar RM230,000.

Sebagai sebuah syarikat keusahawanan sosial, semua keuntungan disalurkan kembali untuk mencapai matlamat sosial iaitu membiayai kegiatan kemasyarakatan dan perpaduan kaum.

Syarikat keusahawanan sosial itu berjaya memecahkan tembok yang memisahkan antara kaum.

Kesungguhan pentadbir di sekolah-sekolah itu menyumbang ke arah perpaduan di Burnley memang terbukti. Mereka bersungguhsungguh menjana wang untuk membiayai usaha tanpa perlu mengharap peruntukan kerajaan.

Apabila saya tanya kenapa mereka tidak memohon peruntukan, seorang daripada guru besar itu menjawab: mereka bebas membelanjakan wang tanpa terikat dengan apa-apa agenda politik sekiranya mencari wang sendiri.

Apa yang unik ialah kreativiti dan komitmen mereka sehingga sanggup menubuhkan syarikat dan berusaha memaksimumkan keuntungan, semata-mata untuk membiayai aktiviti sosial.

Bukan itu sahaja. Melalui syarikat keusahawanan sosial itu juga mereka mencipta peluang latihan kerjaya bagi pelajar yang lebih dewasa. Pelajar A-Level, atau sama dengan Tingkatan Enam di Malaysia, diberi peluang untuk bekerja sambilan di perpustakaan, pusat keagamaan, kafeteria, syarikat katering dan juga di kedai percetakan.

Pelajar berkenaan juga diberi peluang untuk menjadi tenaga pekerja sambilan di tadika atau di sekolah kanak-kanak istimewa, sekiranya mereka berminat untuk menceburi bidang pendidikan.

Semua ini boleh dilakukan di kampus sekolah itu kerana perancangan yang rapi sejak awal-awal lagi. Pembinaan sekolah itu dirancang dengan teliti agar semuanya berada di bawah "satu bumbung" dan kemudahan yang ada dikongsi bersama.

Pengalaman melawat sekolah di Burnley ini memperkukuh keyakinan saya bahawa model keusahawanan sosial mempunyai potensi besar untuk negara kita.

Jika di Burnley yang miskin itu pun para pentadbir sekolah biasa sahaja boleh memainkan peranan mereka, maka pasti ada sesuatu yang boleh dilakukan oleh kita di Malaysia jika kita betul-betul mahu mencapai matlamat Satu Malaysia.

Wan Saiful Wan Jan ialah Ketua Pengarah Malaysia Think Tank (www.WauBebas.org) yang kini bertugas di London. Beliau boleh dihubungi melalui email wansaiful@malaysiathinktank.org.

0 ulasan:

Contact Me

Sekiranya anda ada sebarang pertanyaan atau cadangan, sila guna borang di bawah :

Template by - Abdul Munir | Daya Earth Blogger Template