“Kitab itu tiada diragukan, menjadi pemimpin untuk orang-orang yang memelihara dirinya dari kejahatan. Orang-orang yang beriman (percaya) kepada yang ghaib, tetap mengerjakan sembahyang dan menafkahkan (membelanjakan di jalan kebaikan) sebahagian dari rezeki yang kani berikan kepada mereka. Dan orang-orang yang bberiman kepada wahyu yang diturunkan kepada engkau (Muhammasd) dan wahyu yang telah diturunkan sebelum engkau, dan mereka yakin akan adanya hari akhirat. Itulah orang-orang yang mengikut pimpinan Tuhan dan itulah orang-orang yang berbahagia (beruntung).”
Oleh : HAIRIE
Intipati utama dalam ayat-ayat ini ialah mengenai ciri-ciri orang yang beriman. Ciri-ciri yang dijelaskan tersebut ialah :
1. Membaca kitab al-Quran dan kitab-kitab sebelumnya
2. Percaya kepada yang ghaib
3. Tetap mengerjakan sembahyang
4. Membelanjakan sebahagian dari rezeki untuk jalan kebaikan
5. Percaya dan yakin kepada hari akhirat
Mereka yang melaksanakan dan tetap dengan ciri-ciri di atas pastinya akan berbahagia atau beruntung. Mengapa berbahagia dan beruntung? Apa yang ada pada kitab-kitab tersebut? apa yang ada pada perkara ghaib? Apa tujuannya bersembahyang? Apa perlunya membelanjakan sebahagian rezeki untuk kebaikan? Apa faedahnya percaya pada hari akhirat? Pastinya persoalan-persoalan ini akan timbul dalam hati sanubari pada diri setiap manusia.
Kitab al-Quran adalah kitab yang memberi petunjuk dan pengajaran kepada manusia, ia merupakan satu mukjizat yang sangat besar sekiranya isi kandungannya difikirkan secara mendalam dan dikaji secara praktikal. Sungguhpun kitab-kitab sebelumnya sukar untuk ditemui seperti kitab Taurat, Zabur dan Injil namun al-Quran adalah pelengkap kepada kitab-kitab tersebut dan menyampaikan apa yang pernah disampaikan menerusi kitab-kitab tersebut. Kalau pun ada kitab-kitab tersebut seperti Injil namun ia tidak asli lagi dan mempunyai banyak versi yang tentunya isi kandungannya berbeza-beza dan telah diubah oleh tangan-tangan manusia sejak kitab itu diulang cetak.
Apa untungnya membaca kitab al-Quran? Sebagai pemberi petunjuk dan pengajaran pastinya ia akan memberi bimbingan kepada kita apa yang boleh dan apa yang tidak boleh. Setiap apa yang disampaikan mempunyai hikmat-hikmat yang tersendiri dan hikmat-hikmat itu hanya akan muncul sekiranya ia diusahakan. Apabila manusia memperoleh keuntungan dari pengajaran ini maka berbahagialah mereka kerana dengan kurnia serta rahmat Allah yang dicari dan ditemui dengan petunjuk dari al-Quran manusia mampu menikmati keuntungan yang tak terduga.
Perkara ghaib adalah sebahagian yang dinyatakan oleh kitab al-Quran untuk manusia mempercayainya. Perkara ghaib amat sukar untuk dipercayai kerana sifat manusia itu yang lebih percaya dan yakin dengan apa yang dapat diperhatikannya secara mata kasar sahaja. Ini kerana sifat kejadian lahiriah manusia itu adalah bersifat zahir dan nyata iaitu disertai dengan deria untuk melihat, merasa, mendengar, menghidu dan menyentuh. Sedangkan perkara ghaib tidak boleh dikesan oleh deria-deria ini.
Namun, ada segelintir manusia yang bijak menyatakan bahawa manusia mempunyai deria ke-6 yang tidak bersifat lahiriah. Barang siapa yang mampu menggunakan deria ini maka dia mampu untuk mencapai sesuatu yang sukar untuk dijangka dan difikirkan oleh seorang manusia biasa. Kepercayaan sebegini sebenarnya adalah lahir dari kepercayaan terhadap perkara ghaib, deria yang mampu mengetahui perkara ghaib akan menjadikan seseorang itu yakin dengan sesuatu yang tidak mustahil. Keyakinannya terhadap apa yang tidak nampak dan tidak terjangkau oleh pemikiran orang lain menyebabkan seseorang itu mampu melaksanakan apa yang orang lain tidak mampu melakukannya, dan seseorang itu akan terus berusaha untuk mencapai apa yang dia yakini.
Sembahyang adalah satu perintah yang boleh memelihara diri daripada kejahatan, faedah-faedah sembahyang tidak nampak dalam masa terdekat tetapi hasilnya boleh diperoleh setelah beberapa lama ia dilakukan. Ini adalah antara salah satu sifat perkara ghaib, walaupun sekarang ini ada antara faedah-faedah sembahyang itu telah boleh difahami dan dirasai oleh manusia namun banyak lagi yang masih belum diketahui.
Sembahyang bukan sahaja membersihkan diri dari dosa yang dilakukan sama ada secara sengaja atau tidak sengaja, ia juga membentuk disiplin seseorang serta merapatkan barisan umat Islam melalui jemaah. Kajian saintis kini menemui setiap pergerakan dalam sembahyang itu mampu untuk memulihkan diri seseorang bukan sahaja secara lahiriah tetapi juga batiniah. Dari segi lahiriah ia bukan semata-mata senaman yang menggerakkan seluruh anggota tubuh badan tetapi juga melancarkan aliran darah dalam diri manusia melalui gerakan berdiri sehinggalah bersujud yang mengalirkan darah dari hujung kaki sehinggalah ke otak. Aliran darah yang lancar bermakna akan menjadikan seorang manusia itu cergas fizikal dan cerdas fikiran.
Sementara dari segi batiniah, sembahyang akan membentuk keyakinan kepada seseorang bahawa setiap kebaikan yang dilakukannya akan dibalas dengan ganjaran yang setimpal. Inilah yang menggalakkan seseorang untuk berusaha melakukan kebaikan dan memperbaiki dirinya untuk meninggalkan sisa-sisa kejahatan yang masih ada pada dirinya. Setiap amalan kebaikan itu tak semudah perlaksanaannya, ia tidak boleh dilakukan secara percuma dan ia perlukan satu pengorbanan.
Lantaran itulah, membelanjakan sebahagian daripada rezeki yang diterima seseorang itu ke jalan kebaikan adalah salah satu pengorbanan untuk mendapatkan ganjaran yang dijanjikan Allah. Pengorbanan itu tidak terbatas hanya kepada wang ringgit sahaja, kurnia Allah kepada manusia tidak hanya pada rezeki sahaja bahkan kurnia Allah sangat banyak dan melimpah. Antara lain-lain kurnia Allah ialah kelapangan masa, kemampuan tenaga dan kecerdasan akal fikiran.
Adakah seseorang itu sanggup mengorbankan masanya untuk jalan kebaikan dengan harapan mendapat ganjaran dan keredhaan Allah? Adakah seseorang itu sanggup mengorbankan tenaganya untuk berusaha melaksanakan apa yang diperintah dan meninggalkan apa yang ditegah? Adakah seseorang itu sanggup mengorbankan kebijaksanaannya dan kepandaiannya untuk kebaikan orang lain dan agama Allah.
Segala apa yang dilakukan manusia itu bermula dengan kepercayaannya terhadap kitab-kitab Allah, percaya kepada perkara ghaib, menunaikan sembahyang dan ibadat lain dan membelanjakan sebahagian rezeki untuk kebaikan adalah semata-mata disebabkan oleh kepercayaan dan keyakinannya terhadap hari akhirat. Setiap apa yang dikerjakannya itu merupakan satu rangkuman kebaikan yang akan dibalas dengan ganjaran yang hanya akan diperoleh pada hari akhirat kelak.
Bahkan ada antara ganjaran itu dikurniakan dahulu semasa masih hidup di dunia namun ganjaran yang lebih besar akan diberikan pada hari akhirat kelak. Hari akhirat mempunyai beberapa fasa dan fasa terakhir ialah apabila setiap orang itu dibalas dengan ganjaran yang paling besar setelah melalui pelbagai tapisan dan halangan yang ia lulus melaluinya. Kejayaan melepasi tapisan dan halangan inilah yang memerlukan rangkuman amalan-amalan kebaikan yang pernah dilakukan semasa masih diberi kesempatan untuk melakukannya semasa masih hidup di dunia.
Dalam mendefinisikan bagaimana seseorang itu boleh menerima ganjaran di akhirat kelak ialah dengan pengiraan timbangan pahala yang diperolehinya bagi setiap amalan kebaikan yang dikerjakan. Jika timbangan pahala itu lebih berat dari dosanya di hari perhitungan akhirat kelak maka layaklah seseorang itu diberi ganjaran sebagai penghuni syurga di mana di dalamnya terdapat pelbagai lagi ganjaran-ganjaran yang tak terjangkau oleh kemampuan manusia untuk memikirkannya. Maka itulah, antara ciri-ciri orang beriman ialah apabila mereka melaksanakan 5 perkara tersebut. Ia adalah pokok utama kepada cabang-cabang amalan-amalan kebaikan yang lain yang akan disampaikan secara lebih lanjut lagi menerusi ayat-ayat al-Quran yang lain kelak.
Jika kita mampu memahami asas-asas bagi ciri-ciri orang yang beriman ini, maka pastinya kita akan mampu memahami penjelasan lanjut yang akan disampaikan oleh kitab al-Quran sama ada secara jelas atau tidak jelas. Namun harus diperingati, ada antara ayat-ayat itu tidak jelas dan pemahaman setiap orang adalah berbeza-beza sehinggakan ada yang tersesat oleh pemahamannya yang tidak tepat. Walaupun begitu, kita tidak boleh menidakkan pemahaman seseorang dan sekadar mampu untuk menasihati supaya fikirkan semula apa yang difahaminya supaya tidak terjatuh ke lembah kesesatan. Sememangnya setiap manusia itu ada kelemahan dan sentiasa melakukan kesilapan. InsyaAllah, Allah sentiasa memberi pimpinan dengan petunjuk Nya kepada mereka yang tidak taksub dengan dirinya dan sentiasa berusaha melakukan kebaikan untuk dirinya dan memperbaiki dirinya dari sebarang kejahatan. Yang baik itu datangnya dari Allah dan yang jahat itu datangnya dari diri kita sendiri.
0 ulasan:
Catat Ulasan