Custom Search

Sabtu, Oktober 18, 2008

Pelajar Dulu & Sekarang

Sediakan Pelajar Untuk Hadapi Cabaran Dunia Pekerjaan

Oleh : Zin Mahmud

PEPERIKSAAN Penilaian Menengah Rendah (PMR) baru selesai semalam. Dalam akhbar, perbahasan sedang berlaku tentang kepentingan mata pelajaran Sejarah untuk murid-murid di peringkat Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR). Isu sama ada bahasa Inggeris akan terus menjadi bahasa pengantar bagi mata pelajaran Sains dan Matematik juga masih belum selesai.

Tetapi di kalangan majikan dan mereka yang bertanggungjawab mencari kakitangan baru, keluhan susahnya untuk mendapatkan tenaga kerja bersesuaian semakin kuat kedengaran.

Apabila iklan jawatan kosong disiarkan, sememangnya bertimbun-timbun surat permohonan yang datang. Itu tandanya ramai yang berkelayakan di samping susahnya mendapat pekerjaan.

Apabila dipanggil untuk interviu, perhatian utama mereka adalah gaji dan keselesaan tempat bekerja hingga terlupa terhadap apa yang mereka boleh tawarkan kepada syarikat.

Maka timbullah persoalan di kalangan majikan tentang apakah yang institusi-institusi pengajian sediakan bagi pelajar-pelajar mereka untuk menjadi pekerja yang baik. Tetapi kalau hendak mencari salah, janganlah dihalakan terhadap institusi-institusi pengajian tinggi semata-mata. Apa yang diterima oleh IPT adalah pelajar-pelajar dari sekolah, sama ada melalui Matrikulasi, Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM), Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) malah PMR dan UPSR.

Kalau orientasi UPSR terlalu akademik hinggakan berlaku kebocoran kertas peperiksaan, maka akibatnya akan dibawa kepada PMR. Pelajar-pelajar UPSR khususnya di kalangan Melayu berlumba-lumba mendapatkan 5A untuk memasuki sekolah berasrama penuh. Bukan untuk mendapatkan pendidikan dalam erti kata yang penuh. Mata pelajaran Sejarah jika diajar akhirnya bukan untuk melahirkan pelajar-pelajar yang berfikir dan sedar tetapi hanya menambah beban akademiknya.

Tetapi di peringkat PMR, keadaan lebih kritikal. Ini kerana kejayaan PMR merupakan persediaan asas yang penting bagi menghadapi SPM. Bagaimanapun, apa yang berlaku ialah perlumbaan PMR adalah supaya anak-anak itu dapat memasuki sekolah yang bagus, dengan tenaga pengajar bermutu. Maka pelajar-pelajar baik akan diajar oleh guru yang baik. Sementara pelajar bermasalah tidak dapat perhatian yang setimpal.

Hakikatnya, tidak semua pelajar mampu belajar akademik di peringkat SPM. Kalau dahulu, Sijil Rendah Pelajaran (SRP) menyaringi pelajar-pelajar supaya hanya mereka yang mampu dan layak akan meneruskan persekolahan hingga ke peringkat SPM. Golongan yang tidak layak wajar dialirkan ke tempat-tempat lain bagi menyediakan mereka untuk bekerja.

Tetapi itu tidak berlaku. Pelajar-pelajar ini terus diasak untuk mengambil SPM walaupun mereka sudah bosan untuk belajar akademik. Akibatnya mereka hanya menimbulkan masalah disiplin di sekolah-sekolah dan mengganggu pelajar lain.

Harapan ibu bapa terhadap anak-anak mereka adalah tinggi. Walaupun ada antaranya mendapat markah rendah dalam SPM tetapi terus mencapai kelayakan bagi memasuki kolej dan universiti. Hakikat bahawa banyak daripada mereka tidak layak belajar di universiti, ataupun memang tidak berminat untuk melanjutkan pelajaran telah tidak diambil kira. Maka tidak hairanlah generasi lama membuat penilaian bahawa mutu universiti negara ini sudah merosot.

Maka akhirnya mereka belajar juga dan lulus hingga memperoleh ijazah. Kebanyakannya dengan markah sederhana. Lebih parah lagi apabila berlaku amalan kerat dan tampal (cut and paste) ketika membuat tugasan. Tanpa kejujuran akademik ini, apakah yang dapat diharapkan daripada mereka ketika majikan mencari kakitangan-kakitangan baru?

Siswazah baru wajar merupakan golongan yang mempunyai idealisme dalam hidup dan berazam untuk bukan saja mencapai kejayaan dalam bidang mereka tetapi untuk memberi sumbangan melalui perubahan-perubahan. Akan tetapi jika dari awal lagi mereka tidak mempunyai nilai untuk berfikir secara berbeza, maka akhirnya mereka bukan saja menjadi penumpang tetapi adalah beban dalam organisasi.

Setelah tidak berupaya untuk bertahan dalam sektor swasta maka umumnya petugas-petugas Melayu lebih cenderung untuk bekerja dengan sektor awam.

Namun begitu, jika sikap yang dibawa oleh siswazah ke dalam perkhidmatan kerajaan berbentuk lembap, negatif atau tidak dinamik, maka sudah tentu sektor awam yang akan terjejas dengan kakitangan-kakitangan seperti ini. Apabila sifat sederhana dan tidak dinamik ini sudah mendalam, maka ia akan menjadi budaya.

Oleh kerana sekolah-sekolah dan IPTA adalah di bawah penyeliaan kerajaan dan tenaga kerja mereka juga merupakan kakitangan perkhidmatan awam, maka jika budaya lembap ini sudah begitu kukuh dalam jentera kerajaan, ia juga akan ditanam ke atas murid-murid sekolah dan pelajar universiti awam. Akhirnya masyarakat juga menerima budaya ini dan ia juga menyerap ke dalam sektor swasta.

Image Hosted by ImageShack.us

0 ulasan:

Contact Me

Sekiranya anda ada sebarang pertanyaan atau cadangan, sila guna borang di bawah :

Template by - Abdul Munir | Daya Earth Blogger Template