“Sesungguhnya orang-orang yang membaca kitab Allah, mendirikan sembahyang dan membelanjakan (dijalan kebaikan) sebahagian dari rezeki yang kami berikan kepada mereka, dengan diam-diam dan terang-terang, mereka itu mengharapkan perniagaan yang tidak pernah rugi”.
(Fathir : 29)
Oleh : HAIRIE
Mereka itu mengharapkan perniagaan yang tidak pernah rugi dalam ayat ini adalah satu ungkapan yang penuh makna dan rahsianya. Persoalannya apakah perniagaan itu? Mengapa ia tak pernah rugi? Persoalan ini memerlukan akal untuk memikirkannya dan mencari sebab mengapa ia dikatakan sedemikian.
Sebelum itu dijelaskan bahawa mereka yang mengharapkan perniagaan yang tak pernah rugi ini adalah orang-orang yang membaca kitab Allah yakni Al-Quran, mereka yang mendirikan sembahyang dan membelanjakan dijalan kebaikan sebahagian rezeki yang diperoleh. Sama ada mereka melakukan semua itu secara diam-diam atau terang-terangan iaitu mereka tidak menunjukkan serta memberitahu kepada sesiapa pun amalan mereka itu atau dengan cara sebaliknya iaitu apa yang mereka perbuat dapat diperhatikan oleh orang lain.
Tidak bermakna dia sengaja hendak menunjuk-nunjuk sebaliknya apa yang diperbuat olehnya sememangnya tak dapat disembunyikan misalnya sembahyang berjemaah atau memberi sedekah secara terbuka di khalayak ramai. Apa yang penting ialah niat dan keikhlasannya melakukan semua itu kerana Allah sama ada secara terang-terangan di depan orang ramai atau dia bersendirian di rumah.
Ini bermakna membaca kitab, mendirikan sembahyang dan membelanjakan sebahagian harta untuk kebaikan adalah satu urusan yang mempunyai nilai yang berharga sehinggakan sesiapa yang mengamalkannya akan diberi ganjaran yang menguntungkan. Apa kaitannya dengan perniagaan? Dalam berniaga ada pihak yang menjual atau menawarkan barang atau perkhidmatan dan ada pihak yang membeli atau menggunakan perkhidmatan tersebut. Setiap barang yang dijual perlu dibayar dengan harga yang setimpal.
Dalam konteks perniagaan ini, apa yang dijual itu ialah kitab Al-Quran, sembahyang dan amalan kebaikan. Adakah ada orang yang mahu membelinya atau menerimanya untuk dikerjakan. Pemilik perniagaan ini yakni Allah menawarkan ganjaran pahala yang besar dan syurga kepada mereka yang mahu mengerjakannya dengan segala kos dan usaha yang dilakukannya sendiri.
Tentunya ganjaran yang diberikan nanti adalah lebih besar dari segala kos dan segala tenaga serta masa yang digunakannya untuk melaksanakan apa yang ditawarkan itu. Kita yang melaksanakannya adalah pembeli dan tentunya dalam usaha tersebut kita menggunakan pengorbanan. Kita korbankan wang ringgit untuk mengerjakan kebaikan, wang ringgit merupakan rezeki yang kita peroleh hasil dari usaha titik peluh kita sendiri di dunia. Adakah kita sanggup korbankan sebahagian rezeki itu untuk melakukan amalan kebaikan. Begitu juga sembahyang, kita korbankan tenaga dan masa kita untuk melaksanakannya sebentar ketika kita sedang sibuk dan asyik dengan urusan dunia. Apakah kita sanggup luangkan sedikit masa dan tinggalkan sementara kesibukan dunia kita untuk menunaikan sembahyang. Manakala membaca kitab Al-Quran merupakan satu usaha untuk mencari kebenaran dengan memikirkan apa yang disampaikan dalam kitab tersebut. Apakah kita mampu memikirkannya dan melaksanakan apa yang diperintahkan dan apa yang dilarang.
Selain itu, terdapat banyak petunjuk serta pengajaran yang boleh diperoleh melalui al-Quran. Kitab Allah ini adalah satu mukjizat yang sangat besar yang perlu diteliti dan dikaji oleh manusia kerana setiap ayat yang disampaikan akan membongkar seribu satu persoalan yang akan memberi kesedaran serta pengajaran untuk kita mencari jalan menjadikan hidup kita lebih baik lagi di dunia bagi mencapai kebahagian serta menjamin kesejahteraan kita di akhirat kelak.
Apabila kita mampu memikirkannya serta mengetahui segala persoalan yang timbul dalam hati dan fikiran kita sudah tentunya kita dapat melakukan apa yang terbaik untuk kita tanpa melengah-lengahkan masa lagi. Kerana kesedaran itu akan menuntut kita supaya sentiasa berubah bagi merebut apa yang ditawarkan dalam perniagaan ini. Inilah yang dinyatakan sebagai perniagaan yang menguntungkan dan tidak pernah rugi kerana apabila kita mampu untuk berubah maka kita mampu memperbaiki diri kita, meningkatkan lagi kualiti hidup kita walaupun mungkin tidak kaya harta benda namun dengan mensyukuri apa yang ada sekarang menjadikan hidup kita rasa selesa tanpa dibebankan dengan pelbagai masalah yang sering dihadapi oleh mereka yang tidak mahu berfikir dan mengambil pengajaran dari apa yang ditunjukkan dari kitab al-Quran, dari apa yang berlaku di sekeliling kita dan apa yang terjadi ke atas orang lain.
Walaupun ada orang yang kaya raya apa gunanya sekiranya ia menjadi rebutan pihak lain, pihak lain disini bermaksud perompak, anak-anak atau waris yang berebut harta keluarga, musuh yang tak senang hati dengan kita sehingga menyaman kita di mahkamah. Bahkan kerana lalai dengan kekayaan itu hasil dari usaha perniagaan di dunia maka kita pun terlupa untuk berniaga dengan Allah, kita tak mau membeli amalan kebaikan, kita tak mau membeli sembahyang dan kitab al-Quran dari Nya. Kita lebih suka membeli kereta mewah, banglo mewah, melancong ke eropah, membeli buku perniagaan dan berfikir untuk meluaskan lagi empayar perniagaan atau kedudukan dalam sesuatu organisasi supaya lebih mudah mendapat banyak keuntungan.
Lalu kita pun terpedaya dan terdedah kepada pelbagai bahaya dan ancaman kerana kita tidak berbuat baik pada orang lain, pada alam ini, pada masyarakat dan rakyat. Kita tinggalkan sembahyang lalu kita akan mudah terpengaruh dengan kejahatan, terdedah pada ancaman dan mudah diburu musuh dan menjadi mangsa. Ini kerana kita tiada benteng pertahanan diri, kita sangat mudah terdedah pada penyakit, kita dengan mudahnya diancam dengan sihir yang menggunakan jin dan iblis sebagai perantara. Kerana kita tidak diberi petunjuk dan tiada kesedaran untuk berfikir tentang segala persoalan kehidupan akibat terlalu sibuk memikirkan tentang keuntungan dunia maka kita akan banyak melakukan kesilapan, kita tidak akan sedar bahawa apa yang kita perbuat itu mendatangkan kemudaratan.
Maka itulah, kekayaan yang diperolehinya nanti akan habis digunakan untuk mengubati penyakit, dirompak oleh pencuri, membayar saman atau kos turun naik mahkamah atau denda hukuman mahkamah, kereta mewahnya remuk akibat kemalangan, rumahnya terbakar dan banyak lagi bencana-bencana yang akan timbul sekiranya kita leka dan menolak perniagaan dengan Allah yang tidak pernah rugi. Itulah akibat mereka yang lalai dengan peringatan Allah lalu Dia menurunkan peringatan kepada mereka dengan menurunkan bencana ke atas apa yang mereka sukai dan sayangi dari harta-harta dan anak-anak serta isteri mereka. Mereka tidak mengharapkan perniagaan dengan Allah kerana mereka merasakan diri mereka mampu berdikari dan mempunyai pangkat, kuasa, kelulusan pendidikan yang tinggi serta mempunyai banyak pengaruh untuk mendapatkan apa yang mereka ingini.
Kita dapat perhatikan dimana-mana saja mereka ini sentiasa dalam kerugian walaupun mereka terus menerus berusaha keras untuk mengumpul kekayaan dunia namun akhirnya apabila mati harta kekayaan itu tidak dibawa sebaliknya hanya amalan mereka iaitu sembahyang, kesan membaca al-Quran dan kebaikan yang pernah mereka lakukan sepanjang hidup di dunia. Itulah perniagaan yang tidak pernah rugi dan ia kelak akan dibalas dengan ganjaran yang setimpal dengan segala kos, masa dan tenaga yang kita gunakan untuk melaksanakannya.
Semoga kita semua mendapat petunjuk untuk memahami apa yang disampaikan dan memikirkan lebih lanjut lagi untuk diri sendiri. InsyaAllah...
0 ulasan:
Catat Ulasan