Beberapa hari yang lalu sidang Parlimen mengutarakan isu mengenai kualiti Mykad yang rendah sehingga menyebabkan banyak mykad rakyat Malaysia yang rosak diadukan kepada Jabatan Pendaftaran. Saya sebagai rakyat faham akan sebarang kelemahan dan kekurangan yang wujud dalam pengeluaran Mykad generasi pertama. Tetapi sekiranya ia tidak diperbaiki dan berulang lagi dengan Mykad yang baru maka bukan rakyat yang tak faham tapi pihak yang mengeluarkannya yang tak faham-faham dengan aduan kerosakan yang semakin meningkat setiap tahun.
Setelah masalah ini diajukan barulah menteri-menteri berkenaan memberi penjelasan akan menggantikannya dengan sejenis bahan yang tahan lentur dan cip yang tak mudah berkarat. Penggantian ini perlu disegerakan dan tidak perlu menunggu terlalu lama untuk diluluskan kerana ia hanya melibatkan kualiti dan jenis bahan penghasilan Mykad. Yang penting adalah fungsi Mykad itu sebagai dokumen pengenalan diri setiap rakyat Malaysia dalam apa jua urusan rasmi dan boleh bertahan dari sebarang kerosakan melainkan hilang akibat kecuai pemilik Mykad. Benar, kecuaian tidak boleh dimaafkan tetapi bagaimana pula dengan mykad yang mudah rosak bukan disebabkan kecuaian pemilik tetapi kerana kualiti mykad itu sendiri? Adakah pemiliknya harus dipersalahkan?
Saya sendiri mempunyai mykad generasi pertama yang sudah beberapa kali terkopak. Kelihatannya ia diperbuat dengan kepingan kertas yang berlapis-lapis dan pada luarannya barulah dilapis dengan plastik. Cipnya pun sudah berkarat akibat hawa dan kelembapan disimpan di dalam dompet. Setiap kali terkopak setiap itu jugalah saya gamkan dengan gam cap gajah supaya tidak terkopak dengan teruk. Itu adalah inisiatif saya dalam memelihara mykad saya agar tidak perlu menggantikannya dengan dikenakan bayaran caj oleh Jabatan Pendaftaran. Walaupun caj tak lah mahal sangat tetapi dari segi intergriti, kerosakan mykad itu bukan disebabkan oleh kecuaian atau kesalahan saya. Sudah ada usaha untuk menjaga dan memeliharanya dengan baik namun jika buatannya tak berkualiti pastinya ia akhirnya akan rosak. Ini melibatkan intergriti pihak yang mengeluarkannya kerana tidak menilai kenapa ia rosak dan adakah patut rakyat dipersalahkan.
Berkenaan dengan rakyat Malaysia yang masih tidak mempunyai Mykad pula ia berkaitan dengan piagam pelanggan jabatan berkenaan. Adakah berkhidmat untuk rakyat atau rakyat miskin yang tinggal di hulu pedalaman yang sukar dihubungi dengan jalan raya darat perlu bersusah payah mengeluarkan belanja semata-mata hendak membuat mykad sedangkan mereka sudah turun temurun sejak dari moyang lagi sudah tinggal di kawasan pedalaman hidup dalam keadaan daif di hutan dan mungkin kurang arif atau berilmu tentang kepentingan memiliki mykad. Mereka tidak pun mendapat elaun perjalanan untuk ke bandar berdekatan bagi membuat mykad. Saya hairan kenapa yang berkuasa dan memiliki keupayaan dan kekayaan wang ringgit dan harta benda tidak mahu menggunakan segala kelebihan dan kemudahan pengangkutan darat dan udara yang mereka ada untuk pergi mencari dan menuju ke tempat kawasan penduduk yang jauh di pedalaman bagi membuat mykad mereka yang hidup miskin dan susah ini. Balik-balik rakyat yang selalu dipersalahkan.
Tiada alasan pihak berkenaan mempersalahkan rakyat kerana gaji mereka dibayar menggunakan wang cukai rakyat dan mereka bekerja untuk rakyat. Apa saja kesusahan rakyat mereka perlu bantu dan mencari mereka yang susah walau di kawasan yang sukar sekalipun kerana mereka layak menuntut elaun perjalanan dan tugas luar. Kerajaan dan mana-mana Jabatan dan Perkhidmatan Kerajaan yang diterajui oleh sesebuah parti pemerintah tidak boleh bersikap angkuh, banyak alasan dan membisu sahaja apabila kredibiliti dan keazaman mereka dalam berkhidmat dipersoalkan rakyat. Kerana lambat laun mereka kelak akan ditolak dalam pilihanraya kerana rakyat pada hari ini walaupun tinggal jauh di pedalaman sudah tahu menilai dan membezakan taraf pembangunan yang diterima oleh mereka dengan kawasan yang lain.
DAKWAH MASA KINI: DARI KONFRANTASI KEPADA ENGAGEMENT
-
Oleh: Prof Madya Dato’ Dr Mohd Asri bin Zainul Abidin 1. Ramai yang agak
terkejut apabila melihat beberapa tokoh memulakan pendekatan dakwah yang
berbeza d...
6 tahun yang lalu
0 ulasan:
Catat Ulasan