Saya tertarik dengan kenyataan Dr. Mohd Asri bekas Mufti Perlis berkenaan dengan pengharaman Yoga serta penjelasan mengenainya. Artikel penuh boleh dibaca melalui 'Pautan Ini'.
Dalam pemikiran kebanyakan para ilmuan Islam hari ini, apabila seseorang pemikir Islam mempunyai pandangan berbeza dari yang lain dan lebih terbuka dalam pendapatnya, dengan mudah sekali dia akan dianggap sebagai golongan Islam yang liberal. Sesiapa yang mengkritik atau mempersoal mereka pula akan dianggap lemah imannya.
Kebebasan berfikir di kalangan mereka yang tidak setara dengan mereka seringkali dianggap sebagai tidak betul dan salah dan ditolak mentah-mentah. Sebagaimana mereka sendiri ketahui kerana mereka juga manusia yang mempunyai fikiran, orang lain yang mereka anggap tidak tinggi ilmunya juga seorang manusia yang mempunyai kemampuan untuk berfikir dan mencari maklumat lanjut dalam sesuatu persoalan. Kerana itu saya sentiasa bersetuju dengan Dr. Mohd Asri kerana setiap kritikannya sentiasa ada alasan dan hujah yang bernas dengan dalil-dalil serta peristiwa sejarah lalu yang tak pernah berbohong dan silap.
Yoga pada dasarnya memang bertentangan dengan Islam kerana amalan asalnya jelas mempersekutukan Allah SWT. Tetapi sejauh manakah kita tahu bahawa amalan itu masih diamalkan dan apakah sudah berlaku pembaharuan dimana hanya amalan fizikal saja dikekalkan tanpa membaca mantera-mantera. Sebab itu Dr. Asri dalam pandangannya menjelaskan perlu dibuka perbincangan mengenainya sebelum keputusan muktamad pengharamannya secara umum ditetapkan.
Sama juga seperti amalan persilatan jika disalahgunakan dengan pelbagai bacaan jampi dan mentera untuk mendapatkan ilmu kebal atau ilmu-ilmu menghaibkan diri dengan bantuan jin dan syaitan maka ia sudah jatuh kepada syirik yang bertentangan dengan Islam. Jika benar pun Yoga memang haram untuk dilakukan oleh orang Islam, fatwa tidak diperlukan kerana ia mungkin akan disalahanggap oleh orang bukan Islam dan inilah yang telah terjadi kini. Cukup sekadar memberi penjelasan dan penerangan lanjut mengenai amalan Yoga maka orang Islam akan faham bahawa amalan 'menyatukan diri' dengan Tuhan yang terkandung didalamnya adalah haram kerana mempersekutukan Allah SWT. Umat Islam kini sudah cukup matang untuk berfikir jika cara penyampaiannya adalah jelas.
Seperti juga dalam Pesta Kaul yang diamalkan oleh kaum Melanau di Sarawak, pada asalnya ia adalah pesta pemujaan dewa-dewa laut untuk berterima kasih kerana memberikan banyak rezeki dari laut kepada orang Melanau Liko dan memohon agar diberikan lebih banyak rezeki lagi. Tapi, akibat perubahan zaman dan masa semakin ramai dikalangan orang Melanau kini telah menganut Islam bahkan Ketua Menteri Sarawak Pehin Sri Taib Mahmud juga merupakan seorang Melanau Islam. Maka, terdapat amalan-amalan dalam Pesta Kaul itu tidak lagi diamalkan secara terbuka dan hanya mereka yang masih mengamalkannya saja melakukan ritual itu. Kini, Pesta Kaul menjadi acara tahunan yang termasuk di dalam kalendar pelancongan negeri Sarawak.
Sementara amalan-amalan lain yang tidak bertentangan dengan Islam masih diteruskan bagi mengekalkan budaya kaum Melanau. Tiada masalah dalam perkara ini kerana semua orang Melanau tanpa mengira agama memahami akan situasi ini dan tidak ada kenyataan umum seperti fatwa dikeluarkan bagi menjelaskan pengharamannya dikalangan orang Melanau Islam. Ini kerana ia kelak akan dianggap sebagai isu sensitif kepada orang Melanau yang tidak menganut Islam atau yang masih menyembah dewa-dewa laut. Ini bukan soal agama tetapi soal menghormati amalan agama orang lain dan cukuplah sekadar memberi penjelasan kepada orang Melanau Islam bahawa amalan menyembah dewa-dewa bertentangan dengan ajaran Islam. Ia sudah cukup untuk memberi pemahaman yang jelas dan mereka akan faham.
Begitu juga dengan Yoga, apa yang dinyatakan oleh Dr. Mohd Asri ada kewajarannya kerana jika sesuatu keputusan tidak diteliti dan tidak dikaji sedalam-dalamnya akan menimbulkan salah faham yang lain pula. Kenapa tidak saja memberi penjelasan kepada orang Islam sendiri tanpa mengeluarkan fatwa tentang amalan yang bertentangan dengan Islam dalam Yoga. Pastinya orang Islam sendiri akan memahaminya dan ia boleh diselesaikan dikalangan umat Islam sendiri. Tetapi jika fatwa pengharamannya dikeluarkan secara umum, orang bukan Islam dan penganut Buddha tidak akan memahaminya dan wujudlah salah tanggapan mereka yang akan memburukkan lagi pandangan mereka tentang Islam yang begitu mudah mengharamkan sesuatu termasuk amalan agama mereka. Ini sesuatu yang sensitif bagi mereka.
Buatlah keputusan secara berhemah yang tidak menimbulkan kecurigaan pihak lain. Ini bukan soal hukum dalam Islam semata-mata tetapi juga soal pendekatan Islam dalam menghadapi sesuatu hukum dikalangan umat Islam sendiri supaya penganut agama lain akan memandang bahawa ajaran Islam tetap menghormati amalan ajaran agama lain yang mungkin dilihat bertentangan dengan ajaran Islam. Perkara ini memerlukan kebijakasanaan bijak pandai ilmuan Islam untuk menyelesaikannya.
DAKWAH MASA KINI: DARI KONFRANTASI KEPADA ENGAGEMENT
-
Oleh: Prof Madya Dato’ Dr Mohd Asri bin Zainul Abidin 1. Ramai yang agak
terkejut apabila melihat beberapa tokoh memulakan pendekatan dakwah yang
berbeza d...
6 tahun yang lalu
0 ulasan:
Catat Ulasan