Custom Search

Memaparkan catatan dengan label Ekonomi dan Perniagaan. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Ekonomi dan Perniagaan. Papar semua catatan

Selasa, Mac 30, 2010

Harapan MEB

Penentu utama kepada kesemua aspek ini adalah ekonomi rakyat. Rakyat mengharapkan lebih banyak lagi peluang-peluang pekerjaan tidak kiralah sama ada makan gaji mahupun menjalankan perniagaan. Menjana lebih banyak lagi peluang pekerjaan kepada rakyat adalah sesuatu yang dinanti-nantikan oleh rakyat. Jangan biarkan rakyat hidup bergelandangan tanpa pekerjaan dan hala tuju.

Tunaikan harapan rakyat berbilang kaum

PERDANA Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak sekali lagi akan mengumumkan pelan transformasi yang amat penting untuk ekonomi rakyat yang dikenali sebagai Model Ekonomi Baru (MEB). Sejak memegang tampuk pemerintahan tertinggi negara hampir setahun yang lalu,

beliau telah memperkenalkan gagasan 1Malaysia, Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan, disusuli pula dengan budaya kerja berdasarkan Petunjuk Prestasi Utama (KPI), Program Transformasi Kerajaan (PTK) dan enam Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA).

Bagi kaca mata rakyat, MEB yang akan diumumkan nanti merupakan satu medan terbaik untuk kerajaan bagi mengatur strategi memperkukuhkan lagi ekonomi rakyat secara holistik melibatkan semua peringkat rakyat yang berbilang kaum sama ada di bandar mahupun di luar bandar termasuklah golongan orang kurang upaya (OKU).

Kerajaan juga mestilah responsif dengan segala masalah rakyat bagi memastikan rakyat dapat menyesuaikan diri dengan kemajuan yang ingin dikecapi. Jika rakyat tidak dapat menyesuaikan diri dengan baik dalam menghadapi pelbagai tekanan, kesan daripada pembangunan negara yang pesat, dikhuatiri pelbagai penyakit akan menimpa rakyat seperti sakit mental dan pelbagai masalah sosial serta keruntuhan institusi kekeluargaan.

Ini kerana rakyatlah merupakan golongan terpenting yang sepatutnya mendapat manfaat daripada MEB. Justeru, berjayanya MEB bergantung sepenuhnya kepada sejauh mana kerajaan menunaikan segala amanah dan harapan rakyat yang diberikan kepadanya. Secara umumnya, rakyat mahukan kehidupan yang makmur, sejahtera, selesa dan menggembirakan. Ini merangkumi semua aspek kehidupan rakyat sama ada pendidikan, keselamatan, kesihatan, beribadat, kelestarian alam sekitar dan sebagainya.

Penentu utama kepada kesemua aspek ini adalah ekonomi rakyat. Rakyat mengharapkan lebih banyak lagi peluang-peluang pekerjaan tidak kiralah sama ada makan gaji mahupun menjalankan perniagaan. Menjana lebih banyak lagi peluang pekerjaan kepada rakyat adalah sesuatu yang dinanti-nantikan oleh rakyat. Jangan biarkan rakyat hidup bergelandangan tanpa pekerjaan dan hala tuju.

Rakyat juga mengharapkan pendapatan yang diperoleh setimpal dengan kelayakan dan pengalaman mereka. Bayangkan 10 tahun yang lalu, gaji permulaan seorang graduan perakaunan di sektor swasta sama seperti pada masa kini, sedangkan kos sara hidup rakyat telah naik berlipat kali ganda dalam tempoh yang sama. Bayangkan juga tidak sampai lima tahun yang lepas, harga sebuah rumah teres dua tingkat di Kedah boleh dimiliki di bawah RM150,000 tetapi kini rata-rata harganya melebihi RM200,000. Mana mungkin rakyat yang berpendapatan di bawah RM3,000 mampu membelinya, sedangkan mereka merupakan majoriti penduduk Malaysia .

Ini baru bercakap tentang harga rumah teres di Kedah dan belum lagi menyentuh mengenai harga hartanah di bandar-bandar besar seperti Kuala Lumpur dan Pulau Pinang. Silap haribulan, rakyat yang berpendapatan sederhana pun tidak mampu membeli rumah melebihi harga RM200,000 di bandar-bandar besar tersebut kerana kos sara hidup yang amat tinggi. Bebanan pinjaman perumahan pula berpuluh- puluh tahun baru habis dibayar.

Rumah yang selesa hanya mampu dibeli oleh golongan kaya sahaja. Maka, tidak menghairankan ramai yang sekadar menyewa rumah sahaja. Ini tidak termasuk golongan yang mampu memiliki rumah tetapi rumah terbengkalai bertahun-tahun! Oleh itu, sesuatu perlu dilakukan oleh kerajaan untuk membendung kenaikan harga hartanah yang mendadak seperti yang dilakukan oleh kerajaan Hong Kong dengan menaikkan duti setem baru-baru ini. Kerajaan juga perlu mengambil tindakan segera terhadap projek perumahan yang terbengkalai.

Ini belum mengambil kira bil-bil lain seperti air, elektrik, telefon, kumbahan, cukai pintu, cukai tanah, kos petrol, tol, ansuran kereta, makanan, pinjaman pengajian, pendidikan anak, kesihatan dan sebagainya. Akhirnya, wang di tangan hanya tinggal sedikit sahaja, itu pun jika masih ada. Lebih teruk lagi rakyat terpaksa meminjam wang daripada ah long akibat kekurangan wang.

Oleh itu, selain strategi untuk meningkatkan pendapatan rakyat, kerajaan juga wajar mengambil kira kos sara hidup rakyat yang tidak sepadan dengan pendapatan yang diperoleh. Kerajaan juga perlu berhati-hati apabila memperkenalkan dasar cukai yang baru dan memansuhkan subsidi yang diberikan kepada rakyat.

Pada umumnya, rakyat boleh menerima sebarang pengenalan dasar baru ini jika ia tidak memberi sebarang bebanan kepada rakyat dan peningkatan sumber pendapatan kerajaan daripada cukai dan pemansuhan subsidi digunakan sepenuhnya untuk rakyat. Dengan perkataan lain, rakyat mahukan wang tersebut digunakan secara cekap, berkesan dan ekonomik.

Amalan tadbir urus kerajaan yang mantap yang menekankan toleransi sifar ke atas pembaziran, penyelewengan, ketirisan dan rasuah bakal menjadikan kerajaan lebih cekap, berkesan dan ekonomik.

Akhirnya, wang tersebut boleh digunakan sepenuhnya untuk pembangunan negara, meningkatkan pendapatan dan mengurangkan bebanan rakyat seterusnya meningkatkan kuasa beli mereka.

Rohami Shafie
Pensyarah Kanan, Kolej Perniagaan (COB), Universiti Utara Malaysia

Sabtu, Oktober 31, 2009

Melonjak ke Tahap Rantaian Nilai Lebih Tinggi

Kunci kepada lonjakan ke tahap rantaian nilai yang lebih tinggi ialah teknologi dan kemahiran tenaga pekerja di sesebuah negara. Mungkin sebagai langkah untuk meningkatkan kefahaman kepada teknologi baru ini perlu latihan atau latihan semula.

Saranan Salleh

ADA beberapa perkara yang mungkin tidak menarik perhatian orang ramai tentang Bajet 2010 baru-baru ini. Pertama ialah perubahan pusat latihan pegawai awam INTAN kepada sebuah pusat latihan antarabangsa.

Dengan ini INTAN akan meluaskan skop latihan kepada lebih luas lagi bidang dan lebih ramai lagi tenaga pengajar daripada pelbagai institusi dan universiti antarabangsa.

Nama-nama Universiti seperti Stanford, Harvard, Carnegie Mellon, Wharton School of Finance misalnya dari Amerika Syarikat dan INSEAD, IMEDE dari Eropah terbayang sebagai universiti yang terkenal di dunia. Selalunya mereka yang menjadi tenaga pengajar di universiti-universiti tersebut terdiri daripada mereka yang mempunyai pengalaman luas dalam sesuatu industri.

Di sinilah rancangan untuk mendedahkan pegawai kerajaan terhadap pengalaman dalam sektor swasta melalui perlekatan dengan syarikat-syarikat milik kerajaan (GLCs). Ia adalah suatu langkah yang wajar dalam usaha melengkapkan pengalaman pegawai-pegawai kerajaan.

Pengalaman ini diharap akan meningkatkan produktiviti amnya. Hanya dengan meningkatnya produktiviti sahaja pendapatan boleh meningkat.

Dalam suatu rancangan televisyen tidak lama dahulu, hos program Hujah melahirkan kesangsian beliau tentang bagaimana pendapatan boleh ditingkatkan di negeri-negeri seperti Kelantan.

Peningkatan pendapatan membabitkan cara baru dalam melakukan sesuatu kerja. Kalau dilihat industri-industri yang ada sekarang, banyak yang masih lagi terikat dengan cara penghasilan yang lama, berteknologi lama sedangkan banyak cara baru telah pun diperkenalkan.

Dalam bidang perkilangan misalnya, loncatan kepada rantaian nilai yang lebih tinggi misalnya memerlukan pengeluaran berasaskan teknologi baru. Banyak produk kita yang dieksport ke negara jiran yang kemudiannya dibungkus dan dilabel olehnya dan dinyatakan sebagai produk hasil negara tersebut.

Dengan melakukan pembungkusan dan pelabelan produk tersebut di negara sendiri, kita sudah menjual barang tersebut dengan harga yang lebih tinggi seterusnya melonjak kepada nilai rantaian yang lebih tinggi.

Kunci kepada lonjakan ke tahap rantaian nilai yang lebih tinggi ialah teknologi dan kemahiran tenaga pekerja di sesebuah negara. Mungkin sebagai langkah untuk meningkatkan kefahaman kepada teknologi baru ini perlu latihan atau latihan semula.

Ramai yang masih menyangka bahawa pelabur asing akan datang melabur sekiranya kos tenaga pekerja rendah. Hakikatnya kalau kita melihat negara-negara yang telah beralih kepada teknologi tinggi, mereka menerima jumlah nilai pelaburan asing lebih tinggi daripada negara yang mempunyai tenaga pekerja bergaji rendah.

Ertinya pelaburan asing akan melabur di mana saja mereka boleh membuat keuntungan dan sekiranya kita masih terikat dengan cara lama kita akan ditinggalkan oleh mereka yang sudah beralih kepada teknologi tinggi atau di rantaian nilai yang lebih tinggi.

Lihat saja dalam bidang bioteknologi, pelbagai perkara boleh dilakukan termasuk Genetically Modified Foods (GMO) seperti buah tomato yang terlindung daripada ulat perosak atau timun yang lebih kerap berbuah. Malahan kita melihat hari ini pelbagai jenis cantuman tanaman boleh dilakukan untuk meningkatkan hasil dan mutu.

Makanan laut kita pernah diharamkan pengimportannya oleh negara-negara Kesatuan Eropah disebabkan aktiviti penghasilan daripada ternakan kepada pengeksportan tidak mematuhi piawaian negara-negara tersebut. Ertinya tidak bersih.

Di sinilah pendidikan dan pendedahan kepada teknologi dan ilmu pengetahuan baru penting dan beban melengkapkan tenaga pekerja ini tidak terletak di atas bahu kerajaan sahaja. Malahan sektor swasta memainkan peranan yang tidak kurang pentingnya.

Ketua-ketua pekerja wajar dihantar untuk latihan keluar negara atau pakar-pakar dalam bidang teknologi masa depan ini dibawa ke sini untuk membimbing pekerja tempatan. Latihan untuk pelatih ini penting supaya menerima kesan penggandaan pekerja yang terlatih.

Rantaian nilai (value chain) bukannya usaha mengurangkan kos tetapi di setiap peringkat aktiviti penghasilan sesuatu produk atau barang, nilai produk tersebut meningkat.

Dalam bidang pertanian misalnya perisian yang mampu memberi arahan untuk penyiraman dan pembajaan tanaman boleh memastikan hasil keluaran yang lebih baik. Air yang digunakan yang dianggap "air mati" kalau dipasangkan peralatan yang boleh "menghidupkan" air tersebut, nescaya hasilnya akan lebih tinggi mutunya.

Perkara yang penting dalam rantaian nilai yang lebih tinggi ialah mutu. Produk pertanian wajar dibungkus dan ditandakan dengan kemas dan baik supaya kebersihannya sentiasa terjamin dan tidak terlambak seperti yang terdapat di Pasar Chow Kit. Keadaan pasar tersebut begitu kotor dan mengaibkan sebagai sebuah negara yang ingin berganjak kepada prasarana kelas satu.

Rantaian nilai bukan sahaja dikaitkan dengan pengeluaran di kilang sahaja tetapi membabitkan juga rantaian bekalan dan pengedaran (supply and distribution chain). Ertinya hubungan antara pengeluar dan pengguna mampu dikurangkan dengan penyusunan semula keseluruhan aktiviti yang membabitkan bekalan dan pengedaran supaya lebih cekap.

Keseluruhan aktiviti tersebut perlu dilihat dan di mana perlu orang tengah dikelolakan semula atau dimansuhkan sama sekali. Misalnya syarikat Federal Express (FedEx) begitu terkenal dengan sistem penyuraian mereka untuk menampung keperluan seluruh dunia. Begitu juga syarikat terkenal WalMart yang memiliki sistem bekalan dan pengedaran terbaik di kalangan syarikat-syarikat runcit. Kesemua anak Sam Walton, pengasas WalMart adalah bilionaire.

Bagi perusahaan pondok di kampung-kampung suatu revolusi berasaskan penyelidikan dan pembangunan secara berkelompok mampu memberikan input yang berguna kepada pengeluar. Agensi-agensi yang sedia ada seperti MARDI, FAMA boleh digabungkan dalam unit R&D tersebut supaya kepakaran yang ada boleh dikongsi bersama beberapa pengeluar.

Pokoknya, unit ini pergi keluar dan mencari (go out and seek) dan tidak menunggu pengeluar perusahaan pondok ini datang mencari mereka. Inilah konsep pemasaran yang boleh diamalkan oleh agensi-agensi kerajaan yang mempunyai peranan untuk meningkatkan lagi produktiviti negara.

Kedua mungkin ramai tidak terbayang apakah impak daripada pemasangan Sistem Jalur lebar Kelajuan Tinggi yang bernilai lebih RM11 bilion ke seluruh negara. Dengan meningkatnya penembusan jalur lebar daripada 27 peratus sekarang kepada sasaran 50 peratus tahun hadapan, pusat-pusat penyelidikan dan pembangunan di kampung-kampung bakal mendapat manfaat daripada pelbagai jenis maklumat yang boleh diakses.

Di sinilah selaku tanggungjawab sosial korporat, syarikat-syarikat milik kerajaan boleh sama-sama menaja pusat-pusat ini supaya terus berkembang dan berkesan kepada masyarakat.

Sabtu, Oktober 10, 2009

Pelaburan Emas

MINGGU ini saya bercerita sedikit tentang emas sebagai pelaburan. Sebenarnya emas sudah menjadi bahan pelaburan sejak harganya mula-mula diselaraskan pada tahun 1717 oleh Sir Isaac Newton.

Pada tahun 1971, emas tidak lagi terikat dengan Dolar Amerika dan diperdagangkan secara bebas. Pada 6 Oktober 2009 baru-baru ini, harga emas di pasaran emas dunia melonjak sebanyak AS$24.60 kepada AS$1,041.80 seauns sehari.

Enam bulan dulu harga terendah emas ialah AS$868.70 dan setahun dulu harganya ialah AS$709.50 seauns. Dalam masa setahun harga emas naik sebanyak 46.8 peratus. Lima tahun dulu harga terendahnya ialah AS$412.10 iaitu kenaikan sebanyak 152.8 peratus.

Secara purata seseorang yang melabur jangka panjang mendapat pulangan purata dalam masa lima tahun sebanyak 30.5 peratus. Rasanya pelaburan di pasaran saham sendiri tidak boleh memperolehi keuntungan sebanyak itu.

Tidak ramai yang sedar akan pulangan yang lumayan daripada pelaburan emas. Cara yang baik untuk melabur emas ialah dengan membeli syiling emas atau emas keping selain barang kemas.

Untuk makluman, suatu auns bersamaan dengan 31.10 gram. Bagaimana pun harga jualan emas di institusi kewangan berbeza-beza kerana harga emas bukannya sesuatu yang terkawal.

Banyak kos perkhidmatan seperti insurans diambil kira oleh institusi-institusi ini. Syiling dan emas keping ini boleh diperolehi di bank-bank seperti Maybank dan OUB.

Ada juga yang menggunakan buku pas seperti Public Bank tetapi pelanggan tidak menyimpan dan melihat emas sebenarnya hanya jumlah dan harga semasa pembelian dimasukkan ke dalam buku pas.

Kini ada pembelian dan penjualan boleh juga dilakukan dengan Koperasi Etika Emas yang mempunyai cawangan di seluruh negara.

Kenaikan harga emas tertakluk lazimnya atas tiga faktor utama. Pertama penyusutan nilai dolar Amerika. Apabila nilai dolar Amerika susut harga emas akan naik, apabila dolar Amerika stabil harga emas akan susut.

Emas bertindak sebagai pelindung nilai menentang dolar Amerika. Pada masa ini dolar Amerika lemah dan menunjukkan tanda-tanda akan menjadi lebih lemah.

Ada juga ura-ura negara Asia Barat dan China akan menggunakan mata wang lain selain dolar Amerika disebabkan kelemahan dolar Amerika ini. Walaupun peralihan kepada mata wang selain dolar Amerika (euro misalnya atau mata wang bentuk baru) bukan sesuatu yang boleh berlaku dengan segera, berita itu telah cukup untuk melonjakkan harga emas dunia.

Faktor kedua ialah harga emas akan naik selari dengan kadar inflasi. Apabila inflasi naik, harga emas akan naik selaras dengan inflasi.

Dalam keadaan negara-negara di dunia termasuk kuasa-kuasa ekonomi besar menyuntik pakej rangsangan ekonomi dengan besar seperti AS$787 bilion pakej rangsangan Amerika Syarikat kesannya ialah peningkatan inflasi.

Amerika hanya mengecap duitnya sesuka hati dan ini akan menyebabkan nilai duitnya akan turun.

Faktor ketiga ialah kenaikan harga petroleum akan menyebabkan harga emas naik selari dengan kenaikan kos penghasilan dan penghantaran barangan, jika harga petroleum jatuh. dijangka emas juga akan turun tetapi pada tahap minimum.

Terdapat beberapa cara untuk melabur dalam bentuk emas dan diterangkan secara lengkap di dalam www.gold.org/value. Orang ramai boleh melabur secara langsung dengan membeli emas bulion (jongkong), syiling emas, dinar emas, atau secara tidak langsung melalui gold futures, options, waran atau sijil pelaburan.

Salah satu cara paling popular dan cepat berkembang dalam sekuriti bursa di seluruh dunia yang dikenali dengan nama Gold ETF (Exchange Traded Fund).

Antara bursa saham dunia yang menawarkan Gold ETF ialah di Australia, Amerika Syarikat, Perancis, Hong Kong, Jepun, Mexico, Afrika Selatan, Switzerland, Singapura, Turki dan United Kingdom. ETF ini dalam bentuk sekuriti dan disokong 100 peratus oleh emas secara fizikal.

Pelaburan secara ini berkembang dengan pesat sehingga 38 peratus daripada pelaburan yang dikenal pasti terdiri daripada sekuriti bentuk ini. Di sini belum ada lagi Gold Emas ini diperdagangkan di bursa kita.

Melihat pergolakan yang berlaku sekarang terutama sekali tergugatnya kedudukan Dolar Amerika ekoran krisis ekonomi yang berpunca di Amerika, daripada mereka dan merebak ke seluruh dunia. Orang ramai sudah tentu mencari sesuatu bentuk pelaburan yang lebih selamat daripada pergolakan harga.

DATO' SALLEH MAJID ialah bekas Presiden Bursa Saham Kuala Lumpur.

Ahad, Ogos 09, 2009

Contoh Model Ekonomi Baru

Agropolitan Pekan ubah nasib miskin tegar

"SAYA berharap projek ini akan mengubah nasib kami sekeluarga," tegas Yuni Muhammad, 51, ketika meluahkan kesyukuran kerana menjadi seorang daripada peserta Projek Agropolitan Pekan.

Ibu tunggal dari Kuala Pahang, Pekan itu berharap projek mega tersebut bakal memberi sinar baru kepada diri dan keluarganya.

Projek Agropolitan Pekan di Runchang, yang termasuk dalam pelan induk pembangunan Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECER) itu dilancarkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak, hari ini.

Bagi menjayakan projek tersebut, Yuni yang kematian suami sejak lima tahun lalu, sanggup berpindah ke penempatan baru. Pengorbanannya itu berlandaskan kepada harapan untuk menggapai impian ke arah sebuah kehidupan lebih baik.

Yuni yang ditemui baru-baru ini, merupakan seorang daripada 1,450 keluarga termasuk kalangan Orang Asli, yang bakal terlibat dalam projek berskala besar tersebut. Ia dilaksanakan oleh kerajaan dengan hasrat untuk mengangkat kehidupan penduduk miskin tegar di kawasan terbabit ke tahap lebih baik.

Wanita itu dan beberapa lagi peserta perintis projek itu telah diberikan latihan oleh beberapa agensi berkaitan, bagi mendedahkan mereka dengan pelbagai kemahiran mengenai selok-belok pelaksanaan projek tersebut.

Projek Agropolitan Pekan melibatkan kawasan seluas 1,825 hektar dengan kos keseluruhan dianggarkan RM90 juta.

Projek tersebut dilaksanakan melalui pembangunan serantau bersepadu, di mana 700 keluarga miskin tegar akan ditempatkan semula di kawasan baru di Tanjung Batu, Bebar dan Kubang Panjang di Lepar. Sementara 750 keluarga Orang Asli pula terlibat melalui pendekatan 'in-situ'.

Melalui projek tersebut, kerajaan berhasrat dapat mengubah kehidupan golongan miskin tegar dengan meningkatkan pendapatan isi rumah daripada RM360 kepada kira-kira RM1,500 sebulan.

Projek tersebut juga akan menjadi pemangkin kepada pertumbuhan ekonomi kawasan setempat dan Pahang amnya, apabila dijangka mewujudkan kira-kira 5,000 pekerjaan baru.

Selain itu, ia juga bertujuan meningkatkan aktiviti-aktiviti perniagaan mikro dan industri kecil sederhana (IKS) serta membina masyarakat berdikari dan berdaya saing atau kompetitif.

Sebenarnya, Projek Agropolitan Pekan merupakan satu daripada empat projek agropolitan dalam ECER, termasuk pembangunan Kelantan Utara dan Selatan dan Besut-Setiu di Terengganu.

Justeru, projek tersebut menggalakkan pembangunan pusat pertumbuhan di kawasan luar bandar serta mempercepatkan pertumbuhan ekonomi melalui aktiviti pertanian dan perladangan.

Pada masa sama, projek tersebut akan membantu mengimbangi pertumbuhan pembangunan antara kawasan bandar dan luar bandar, serta menyediakan pendapatan berterusan kepada keluarga miskin di wilayah ekonomi itu, seiring dengan hasrat kerajaan untuk membasmi kemiskinan tegar menjelang tahun 2010.

"Projek agropolitan ini merupakan model ekonomi baru yang akan mengukuhkan rangkaian nilai ekonomi melalui pelaksanaan kaedah bersepadu," kata Ketua Pegawai Eksekutif Majlis Pembangunan ECER, Datuk Jebasingam Issace John ketika taklimat kepada media baru-baru ini.

Beliau berkata, satu keunikan Projek Agropolitan Pekan ialah pelaksanaan aktiviti utama, sekunder dan sokongan untuk para pesertanya.

Di bawah projek ini katanya, perladangan kelapa sawit dan ternakan kambing biri-biri telah dikenal pasti sebagai aktiviti utama.

Ternakan kambing biri-biri di bawah projek itu dijangka menjadikan daerah Pekan sebagai pengeluar kambing biri-biri utama negara pada masa depan.

Justeru, bagi merealisasikan hasrat tersebut, sebanyak 1,000 ekor kambing biri-biri baka Dorper dari Australia telah dibawa masuk di bawah fasa pertama pada 23 Julai lalu dengan kos hampir RM2 juta.

Aktiviti sekunder projek ini pula antara lain membabitkan aktiviti hiliran berkaitan kelapa sawit dan penternakan kambing biri-biri serta industri sarang burung, jahitan, akuakultur, akuaponik dan penanaman cendawan.

Bagi memastikan peserta memperoleh lebih banyak pendapatan daripada aktiviti sokongan atau hiliran, maka beberapa pusat seperti pusat pengumpulan, pemprosesan dan pembungkusan, penyembelihan turut diwujudkan.

Untuk memastikan kejayaan projek tersebut, maka Felda telah diberi peranan sebagai agensi pelaksana utama dalam menguruskan para peserta dan aktiviti-aktiviti berkaitan.

Pemilihan Felda itu dirasakan tepat berdasarkan kepada rekod kejayaan agensi tersebut dalam membangun dan mengangkat kehidupan puluhan ribu warga peneroka Felda di seluruh negara sehingga mendapat pengiktirafan antarabangsa.

Sementara Majlis Pembangunan ECER (CERDC) pula akan bertindak sebagai fasilitator dan penyelaras keseluruhan projek bagi memastikan setiap pencapaian projek disiapkan mengikut rancangan.

Selain Felda, agensi kerajaan lain yang terlibat termasuk Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI) yang turut berperanan dalam melatih dan membimbing para peserta.

Apa yang pasti, pelaksanaan Projek Agropolitan Pekan membuktikan komitmen tinggi kerajaan di bawah konsep 1Malaysia, bagi mengubah nasib penduduk luar bandar tanpa mengira latar belakang dan kaum.

Justeru apa yang diharapkan, peserta dapat berubah minda mereka untuk mengubah nasib dan mempunyai motivasi untuk terlibat secara total dalam projek ini.

(Sumber : Utusan Malaysia Online)

Sabtu, Jun 13, 2009

Sekilas Pandang Model Ekonomi Baru

AKHIR-AKHIR ini kita diberitahu yang struktur ekonomi kita kena diubah. Matlamatnya supaya pekerja akan mendapat pendapatan yang lebih tinggi melalui usaha-usaha yang lebih inovatif dan kreatif.

Pada suatu masa dulu, pendapatan pekerja kita sama dengan Singapura, Korea Selatan dan Taiwan. Tapi kini mereka telah jauh meninggalkan kita. Apakah pada suatu masa, kita perlu memikirkan ada baiknya negara memiliki gaji pekerja terendah kerana ini dapat menarik pelabur asing yang mencari tempat pelaburan dengan kos pengurusannya lebih murah daripada negara asal mereka.

Apabila negara-negara seperti China, Vietnam dan India muncul dengan beberapa reformasi ekonomi negara masing-masing, tenaga pekerja di negara-negara tersebut jauh lebih rendah daripada kita. Ini membuatkan tumpuan pelabur asing mengalihkan tumpuan pelaburan mereka kepada negara-negara tersebut.

Bagi negara seperti Singapura dan Hong Kong, mereka telah berjaya meningkatkan tahap pengeluaran ke tahap yang lebih tinggi dirantai penilaian. Iaitu daripada yang berintensifkan tenaga pekerja kepada yang berintensifkan modal.Bagaimanapun negara-negara ini masih bergantung kepada eksport barangan seperti negara kita. Apabila negara-negara yang mengimport barangan kita seperti Amerika Syarikat, Jepun dan Eropah mengalami kemelesetan, eksport kita pun jatuh. Kita seterusnya mengalami penurunan Keluaran Dalaman Negara Kasar (KDNK) yang negatif 6.2 peratus untuk suku pertama 2009.

Oleh itu sesuatu perlu dilakukan dan inilah yang menyebabkan pemikiran ke arah model ekonomi baru. Apa sebenarnya komponen-komponen kepada model ekonomi baru ini? Kita belum tahu lagi kerana ia masih lagi digubal. Sesuatu yang agak drastik dan radikal juga perlu dilakukan sekiranya kita ingin melonjakkan pendapatan tenaga pekerja kita pada masa akan datang. Kita difahamkan model ini akan dihuraikan dalam Rancangan Malaysia Kesepuluh (2011-2015).

Sementara itu elok rasanya kita lihat apakah arah aliran dunia masa akan datang. Apakah benda-benda yang bakal mencorakkan dunia masa akan datang? Kita bukan bercakap 50 tahun lagi tetapi dalam masa 10 ke 20 tahun saja. Dr. James Canton, Pengerusi dan Ketua Eksekutif, Institute of Global Futures memberikan arah aliran berikut:

Pertama ialah bagaimana bentuk tenaga masa depan. Ini melibatkan krisis tenaga, masa depan selepas minyak, dan juga pilihan selain minyak seperti hidrogen. Peranan kritikal tenaga akan mencorakkan setiap aspek kehidupan kita dalam abad ke-21 ini.

Kedua, ekonomi berinovasi. Transformasi ekonomi global berdasarkan pertemuan dagangan bebas, teknologi, demokrasi, memacu tugas baru, pasaran baru, globalisasi, keamanan dan keselamatan. Empat alat yang berkuasa bagi ekonomi berinovasi ialah Nano-Bio-IT-Neuro.

Ketiga, tenaga kerja seterusnya. Bentuk tenaga kerja masa depan akan berubah. Akan terdapat pelbagai jenis budaya dan untuk berdaya saing mesti menerima inovasi.

Keempat, perubatan untuk kehidupan yang panjang. Kuasa-kuasa utama yang bakal mengubah perubatan seperti nanotek, neurotek dan genomik untuk kehidupan yang lebih sihat dan lebih lama.

Kelima, sains ganjil. Sains masa depan akan mengubah setiap aspek kehidupan, budaya dan ekonomi kita seperti nanobilogi dan pelbagai alam semesta.

Keenam, keselamatan masa depan. Ancaman utama kepada kehidupan dan nyawa kita beralih daripada jenayah kepada pengganas hingga kepada pengawalan minda. Apakah bentuk landskap risiko abad ke-21?

Ketujuh, masa depan globalisasi: budaya dalam pertembungan. Keadaan terbaru perdagangan dunia dan persaingan, kebangkitan China dan India, perbalahan budaya dan nilai serta perebutan ideologi masa depan.

Kelapan, perubahan iklim masa depan. Bagaimana persekitaran akan berubah dan bagaimana kita perlu bersedia menghadapi kepanasan global, pencemaran udara dan ancaman kepada kesihatan (misalnya pandemik H1N1).

Kesembilan, masa depan individu. Berdepan dengan ancaman teknologi, kerajaan dan ideologi dalam bergelutan untuk menegakkan hak manusia, kebebasan individu di abad ke-21.

Kesepuluh, masa depan China dan Amerika Syarikat. Masa depan dua kuasa besar ini daripada kapitalisme kepada demokrasi, daripada inovasi kepada keselamatan bakal membentuk dunia masa depan. Terima atau tidak, inilah hakikat.

Untuk mewujudkan ekonomi berinovasi, empat kuasa penggeraknya ialah nanoteknologi, bioteknologi, teknologi maklumat dan rangkaian dan neuroteknologi. Nanoteknologi ialah manipulasi benda dikadar skala atomik menghasilkan ubat-ubat baru, tenaga, barang-barang dan mesin.

Bioteknologi pula membabitkan usaha merungkai asid deoksiribonukleik (DNA), sains kehidupan dan impak genomik ke atas penjagaan kesihatan, penyambungan kehidupan dan perubatan.

Teknologi maklumat dan rangkaian. Impak pengiraan, cip mikro dan internet kepada kerjaya, komunikasi, pekerjaan, kreativiti dan hiburan.

Neuroteknologi ialah penggunaan peralatan, ubat-ubatan dan bahan-bahan untuk memulih, mengurus dan meningkatkan prestasi dan fungsi mental.

Di manakah kedudukan kita dalam bidang-bidang ini? Kebanyakan syarikat kita segan untuk melaburkan wang dalam penyelidikan dan pembangunan iaitu kunci kepada teknologi masa depan.Untuk mencapai hasrat anjakan ini tentu sekali kita bergantung kepada tenaga pekerja kita.

Apakah corak persediaan disekolah-sekolah dan di institusi pengajian tinggi buat pelajar-pelajar dan tenaga pekerja untuk dunia masa depan? Apakah sistem pendidikan kita mampu menampung kehendak ekonomi masa depan ini?

Apakah perubahan-perubahan kepada kurikulum sekolah rendah, menengah dan universiti yang selaras dengan kehendak pasaran dan dunia masa depan? Bagaimana pula tentang mereka yang menjadi guru, pensyarah dan profesor-profesor yang bakal mendidik tenaga pekerja, baik di peringkat vokasional sekali pun? Latihan jenis apa yang perlu diberikan kepada mereka yang mendidik dan melatih?

Kita mengakui aset utama sesebuah negara ialah penduduknya. Itulah sebabnya negara yang tidak mempunyai sumber alam seperti Jepun dan negara-negara Eropah mampu berdaya saing di tahap tertinggi kerana sumber manusianya. Pendidikanlah menjadi kunci kepada kejayaan mereka.

Untuk membentuk suatu model ekonomi baru mungkin tidak sesukar pelaksanaannya.

DATO' SALLEH MAJID ialah bekas Presiden Bursa Saham Kuala Lumpur (kini Bursa Malaysia)

Sabtu, Mei 09, 2009

Daya Saing, gaji, inovatif & kreatif

Daya saing, gaji tinggi, inovatif dan kreatif

SAYA tertarik dengan hasrat untuk meningkatkan tahap gaji pekerja kita kepada tahap yang lebih tinggi. Maknanya gaji pekerja kita lebih tinggi daripada sekarang. Ini sesuatu yag sudah lama patut dilakukan.

Dulu, dalam tahun 1970-an, kedudukan dengan negara-negara seperti Taiwan, Korea Selatan, Singapura lebih kurang sama saja. Kini, selepas 30 tahun, kita sudah jauh ditinggalkan mereka.

Gaji pekerja di negara-negara tersebut jauh lebih tinggi daripada kita. Di negara kita daripada 1991 sehingga 2003, dikatakan purata gaji naik hanya 1 peratus sedangkan negara-negara tersebut pada satu masa sama dengan kita naik 10 peratus.

Kalau tengok Singapura, menteri mereka gaji paling lumayan. Perdana Menteri mereka gaji berpuluh ganda gaji Presiden Amerika Syarikat. Sebab apa? Sebab orang putih kata, "kita bagi kacang, kita dapat monyet."

Yang naik berpuluh kali ganda di negara kita bukan gaji pekerja tapi harga rumah, harga hartanah naik gila-gila. Sebab apa? Bukan orang yang beli rumah nak duduk di rumah itu tetapi nak jadi bahan spekulasi.

Masyarakat yang suka spekulasi ini, tahu-tahulah... Pasaran saham pun orang Melayu mana tahu nak lakukan spekulasi? Naiklah melambung macam Repco dulu sampai RM150 sesaham. Bila tengok tiada isi, tapi orang kejar juga macam nak gila.

Bila kita tegur jangan beli, dia balas balik menyembur kita mengatakan apa kita peduli, bukan duit kita. Inilah yang menyebabkan segala-galanya jadi bahan spekulasi.

Tengoklah ayam pun jadi bahan spekulasi. Kerajaan suruh turunkan harga pasal kita tahu orang takut makan babi, dia tak mahu. Bukankah biadab? Kita mesti ajar sikit mereka ini.

Macam juga yang jual rumah harga gila-gila. Bila suruh buat rumah murah, semua tak mahu kononnya tak untung. Kementerian Perumahan kita entah buat apa pun tak tahu.

Berapa ramai orang yang beli rumah terpedaya. Rosak sana-sini, kopak-kapik dan yang ambil pinjaman rumah tak siap pun beribu. Bila pemaju tak boleh jual rumah, mereka buat pameran. Yang bingung-bingung, tengok ada potongan sikit pun beli. Patut mereka ini dibiarkan saja.

Cuba bayangkan dalam tahun 1978 harga rumah teres dua tingkat di Taman Tun Dr. Ismail, Kuala Lumpur, suatu kawasan perdana ialah RM60,080. Pada 1989, harganya RM200,000. Sekarang, cuba teka harga rumah yang sama, dinding sama, kawasan kecil sikit lagi batu-bata sama. Kalau tak ada RM600,000, jangan cakap.

Gaji akauntan 1978 yang baru mula kerja RM2,000, sekarang gaji mula akauntan pun RM2,000 juga. Itu sebabnya ramai yang kerja luar negara kerana lebih diiktiraf titik peluh mereka. Lepas itu, bila tiba krisis macam sekarang, ada syarikat ambil kesempatan. Kononnya krisis, jadi kena kurangnya kos, bagi VSS kepada kakitangan supaya boleh ambil anggota yang lebih murah lepas mereka berhenti.

Sikap begini memang menjadi lumrah syarikat swasta. Sampai bila pun orang kita tak ke mana. Kemudian kita berhasrat nak tingkatkan daya saing negara. Satu hajat yang murni. Sekarang bandingkan negara kita dengan 134 negara lain, kita duduk nombor 21. Dua tahun lepas kita nombor 19. Empat tahun dulu kita nombor 16. Maknanya, kita dah jatuh. Laporan Daya Saing Dunia dari Switzerland (World Competitiveness Report) menyatakan orang yang buat bisnes dengan kita beri beberapa faktor yang menjadi penghalang utama.

Bukan saya yang kata, tapi boleh laporan ini sendiri. Nombor satu penghalang: Perkhidmatan awam yang kurang cekap. Kedua, rasuah. Ketiga, jenayah dan kecurian (dua orang mengandung mati kena ragut, mat rempit menjadi-jadi, tengah tukar tayar, kena tembak di siang hari). Keempat, ketidakstabilan dasar (hari ini naik tol, esok tak jadi). Kelima, tenaga kerja yang kurang terlatih, bukan tak terlatih tapi kurang terlatih. Mana tidaknya, ramai orang Bangladesh, Indonesia, Myanmar dan sebut saja rakyat mana - kita ada. Malahan ada kawasan yang dia kontrol.

Jadi kita tengok jiran kita nombor lima. Rakyat dia satu per sepuluh daripada penduduk kita. Ini menunjukkan yang membuatkan sesebuah negara itu berdaya saing ialah bakat rakyatnya. Jepun, Switzerland, semua tak ada hasil bumi tetapi duduk di atas tangga berdaya saing. Kita macam-macam hasil bumi ada tetapi bukannya makin naik, tetapi makin menurun.

Saya setuju produktiviti perlu ditingkatkan. Macam saya tulis dulu, kalau setiap orang pekerja tambah kerja 10 minit sehari, kalau tiga juta pekerja dah ada 20 juta minit bertambah. Ini tidak - terlekat dengan kesesakan lalu lintas saja berjam-jam. Nak naik pengangkutan awam, tak cukup koc. Bau busuk dan hapak, tak ada hawa dingin, tak cukup line, nak kena hantar pergi stesen. Kalau tinggalkan kereta, hilang radio.

Di mana datangnya inovatif dan kreatif pekerja kalau tidak diberikan latihan? latihan untuk jadi inovatif dan kreatif tak sama macam pergi kelas biasa. Inovatif dan kreatif guna otak sebelah kanan, logik, matematik dan hujah guna otak sebelah kiri. Jadi macam mana nak digerakkan otak sebelah kanan. Memadaikah kalau dengan menyuruh jadi inovatif dan kreatif. Kalau dia segan nak baca buku, (rakyat Malaysia baca purata dua halaman setahun), yang ada pengetahuan mana nak dapat ilmu?

Pelatih yang bakal melatih inovasi dan kreativiti sendiri mesti dilatih dahulu. Macam tongkat ali dah bertahun-tahun di hutan kita, orang luar datang buat macam-macam dengannya. Kita yang tidak kreatif.

Amang bijih pun boleh jadi bahan perkilangan tapi bank kita akan tolak sebarang permohonan berkaitan perkara-perkara sebegitu. Jadi, satu golongan saja nak jadi kreatif dan inovatif, tak jadi juga. Bila orang bank kita tak biasa dengan sesuatu yang pelik sikit, bukan dia nak cari pakar dalam bidang pelik tersebut, dia akan senang sahaja tolak permohonan.

Dunia sekarang, dunia pengetahuan. Ekonomi sekarang, ekonomi pengetahuan K-ekonomi. Kita sudah siapkah nak pindah kepada K-ekonomi? Inovatif dan kreatif bukan lagi K-ekonomi tetapi era konsep atau dunia konsep. Di mana kita dengan nanoteknologi misalnya?

DATO' SALLEH MAJID ialah Felo Utama Fakulti Ekonomi, Universiti Kebangsaan Malaysia. Beliau juga bekas Presiden Bursa Saham Kuala Lumpur (kini Bursa Malaysia)

Image Hosted by ImageShack.us

Jumaat, Januari 16, 2009

E-Niaga : Mudah & Berkesan

(Klik untuk keterangan lanjut)
'Kedai

Bina Kedai Online Anda Sendiri Dengan menggunakan Tema NiagaKit dan sistem Wordpress yang percuma, anda boleh membina kedai online dan menjual produk anda di Internet.

NiagaKit merupakan sebuah pakej kedai online yang berlandaskan sistem wordpress. Kami membina sendiri tema kedai online tersebut dan menggunakan plug-in tertentu untuk membolehkan sistem ini berjalan lancar. Para pelanggan hanya perlu membayar RM500/RM640 untuk mendapatkan sistem kedai online yang sudah lengkap. Kami akan memasang kedai online kepada mereka, membeli domain + hosting untuk mereka, menyediakan khidmat support untuk mereka dan sebagainya.Apa yang para pelanggan akan lakukan kelak hanyalah memasukkan gambar produk dan mengubah sedikit setting web. Kami juga menyediakan manual dalam bentuk PDF dan video bagi mengajar para pelanggan bagaimana ingin menggunakan sistem ini.

Kenapa Perlu Menggunakan NiagaKit Untuk Kedai Online Anda?
  • Mudah Untuk Digunakan
  • Bantuan Disediakan
  • Web Hosting & Domain Disediakan
  • Mesra Pengguna
dan banyak lagi. Paling penting anda jimat banyak masa, duit dan tenaga
untuk membina kedai online anda sendiri!

Image Hosted by ImageShack.us

Selasa, Oktober 07, 2008

Malapetaka Riba

Riba Punca Sistem Ekonomi Runtuh

Oleh : MOHD. NAHAR MOHD. ARSHAD


KEDUDUKAN ekonomi Amerika Syarikat (AS) semakin buruk. Meskipun Washington cuba menutup kedudukan ekonominya, namun data dan fakta sudah lama melaungkan kegagalan ekonomi kapitalis itu.

Dengan kedudukan defisit akaun semasa yang terus pincang, hutang kerajaan yang menggunung, pengangguran yang tinggi, nilai hartanah dan portfolio yang merudum, rakyat AS melihat ekonomi kapitalis yang kononnya menjanjikan seribu satu impian bertukar menjadi ekonomi parasit meratah kekayaan yang ada.

Amerika Syarikat sebenarnya sudah ditelan lubang hitam krisis hutang yang parah, mungkin paling parah dalam sejarah kemanusiaan.

Pelbagai punca dicari bagi menjelaskan krisis yang berlaku. Namun, fakta sebenarnya ialah sistem ekonomi yang berpaksikan riba pasti akan hancur.

Melihat kepada krisis di AS, sesungguhnya benarlah firman Allah SWT dalam surah al-Baqarah ayat 276, “Allah susutkan riba dan mengembangkan sedekah”.

Semuanya berpunca daripada kaedah mengembangkan ekonomi dengan menggalakkan pemberian hutang dan hutang itu pula meningkat dari masa ke masa kerana adanya riba. Maka, si kaya yang menyimpan di bank khayal dengan janji kekayaan yang meningkat oleh riba. Di satu pihak lagi, si miskin yang berhutang terus miskin kerana hutang dan beban riba.

Institusi kewangan yang menjadi agen riba ibarat badut yang membaling bebola berwarna. Bebola tersebut ibarat produk-produk kewangan yang menarik. Tangan kanan badut ibarat si kaya dan tangan kirinya ibarat si miskin.

Kedua-duanya inginkan produk kewangan tersebut. Tepuk sorak penonton adalah upah buat si badut. Semakin banyak bebola di baling dan disambut, semakin kuatlah tepuk sorak penonton dan semakin ghairahlah si badut.

‘Pengembangan’ oleh riba bermakna semakin banyak dan pantaslah bebola berwarna yang perlu dibaling dan disambut oleh si badut. Sehingga ke satu tahap, pasti kesemua bebola akan terjatuh!

Pengibaratan di atas menjelaskan konteks modus operandi institusi kewangan masa kini. Hakikatnya, jumlah kekayaan ‘sebenar’ adalah terhad untuk satu masa tertentu. Namun, riba telah memperdayakan kita dengan ‘menggandakannya’ meskipun pada realitinya, gandaan dari riba itu sebenarnya tidak bernilai - ibarat buih.

Panik dalam sistem kewangan tercetus apabila si kaya cuba menterjemahkan kekayaan yang ada dalam nilai yang sebenar. Maksudnya, bukan kekayaan dalam bentuk jumlah pada helaian kertas atau angka yang tercatat.

Untuk memenuhi tuntutan si kaya, si miskin dikerah oleh institusi kewangan untuk membayar hutang termasuk dengan ribanya sekali. Malang kerana si miskin tidak mempunyai apa-apa untuk dipersembahkan. Maka, rumah, kereta dan apa sahaja milik si miskin dirampas oleh institusi kewangan untuk dinilai semula.

Tetapi, tidak ada sesiapa yang mampu dan ingin membeli harta-harta yang dirampas itu. Ini kerana si kaya sudah hilang yakin pada kekayaan yang dimilikinya, dan si miskin pula sudah jatuh papa. Pinjaman juga sukar untuk diperolehi di mana-mana. Lantaran, semakin merudumlah nilai harta-harta tersebut.

Maka tembelang modus operandi institusi kewangan pecah terbongkar. Institusi kewangan rupanya memberi pinjam berlipat kali ganda daripada jumlah aset yang ada. Ketidakseimbangan aset-liabiliti semakin membesar apabila impak riba diambil kira. Panik berlaku di mana-mana.

Apabila kerajaan AS cuba menyelamatkan institusi-institusi kewangannya dengan pakej AS$700 bilion, kerajaan itu juga sebenarnya sudah lama dihimpit beban hutang dan riba. Kelulusan pakej menyelamat itu dilihat melengkapkan episod terakhir kejatuhan AS sebagai kuasa ekonomi dunia.

Image Hosted by ImageShack.us

Jumaat, Ogos 15, 2008

Ikon Koprat Muslim

Tan Sri Syed Mokhtar Al-Bukhary

Penganugerahan tokoh Maal Hijrah 1429 kepada ikon korporat Muslim, Tan Sri Syed Mokhtar Albukhary telah dibuat pada majlis sambutan Maal Hijrah yang diadakan di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putratrajaya (PICC). Anugerah itu telah disampaikan oleh Seri Paduka Baginda Yang Di-Pertuan Agung Al Wathiqu Billah Tuanku Mizan Zainal Abidin Ibni Al Marhum Sultan Mahmud Al Muktafi Billah Shah, disaksikan oleh 3,000 orang termasuk Pendana Menteri dan isteri, menteri-menteri kanan kabinet dan para pembesar luar negeri.

Menurut Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), Dato’ Haji Wan Mohamad bin Dato’ Syeikh Abdul Aziz yang juga ahli Jawatankuasa Kecil Pemilihan tokoh Maal Hijrah 1429H, anugerah ini diberi kepada warga Malaysia yang banyak berjasa membantu kemajuan ummah dan membuktikan dirinya sebagai teladan bagi umat Islam. Tan Sri Syed Mokhtar Albukhary telah memperlihatkan ciri-ciri yang luar biasa dan menjadi teladan yang baik bukan sahaja untuk dicontohi oleh umat Islam tetapi juga warga Malaysia,” jelas beliau.

Anugerah Tokoh Maal Hijrah telah diperkenalkan pada tahun 1987 dan para penerima terdahulu termasuk Allahyarham Profesor Tan Sri Ahmad Mohamed Ibrahim, seorang cendekiawan undang-undang Islam, Allahyarham Raja Tun Mohar Raja Badiozaman, pejuang urustadbir piawaian paling tinggi, Datuk Dr Halim Ismail, pengarah urusan pertama Bank Islam dan Profesor Di Raja Ungku Abdul Aziz Ungku Abdul Hamid, Naib Canselor Pertama Universi Malaya.

YAYASAN AL-BUKHARY


Yayasan Albukhary menjadi saluran untuk Tan Sri Syed Mokhtar Albukhary menyampaikan sumbangan kebajikannya. Di tubuhkan pada tahun 1996, ia telah melangkah setapak demi setapak dan mendapat pengiktirafan sebagai sebuah yayasan kebajikan Islam antarabangsa. Dengan berpegang kepada ajaran Islam, ia memheri tumpuan kepada lima bidang utama: agama, kebajikan sosial, pendidikan, kebudayaan dan inisiatif antarabangsa.

Agama

Sumbangan paling awal yayasan disalurkan kepada pembinaan dan pengubahsuaian masjid yang sangat diperlukan apabila bilangan umat Islam bertambah ramai dan pembangunan perbandaran menjadi semakin pesat. Setakat ini, ía telah membina lebih 20 masjid di kawasan luar bandar dan bandar di merata Malaysia. Sumbangan terbesarnya ialah kepada projek membaik pulih Masjid Negara berusia 40 tahun di ibu kota Kuala Lumpur, yang digunakan sebagai tempat untuk majlis rasmi negara, pengebumian pemimpin negara, tempat untuk bersolat dan menjadi daya tarikan pelancong. Yayasan Al-Bukhary turut membiayai umat Islam miskin untuk menunaikan fardu haji di Makkah.

Kebajikan Sosial

Syed Mokhtar sentiasa memperjuangkan kesaksamaan sosial, menjadikan pembasmian kemiskinan sebagai satu keutamaan. Yayasan al-Bukhary bekerjasama dengan kerajaan dan pertubuhan bukan kerajaan untuk menaiktarafkan hidup golongan miskin tegar, dengan memberikan bantuan yang diperlukan. Ia juga melaksanakan beberapa inisiatifnya sendiri untuk membantu fakir miskin, kebanyakannya ditumpukan kepada Kompleks Al-Bukhary di Kedah - yang mempunyai rumah anak yatim, hospital dan pusat dialysis untuk fakir miskin tegar. Semua kemudahan dan perkhidmatan di sini diberikan secara percuma kepada fakir miskin bagi membolehkan mereka hidup dengan selesa.

Pendidikan

Bagi Syed Mokhtar, setiap insan berhak mendapat pendidikan. Justeru beliau menghulurkan tangan kepada kanak-kanak yang kurang bernasib baik menerusi Yayasan Al-Bukhary memberi mereka harapan untuk membina masa depan yang lebih baik. Menerusi Program Tuisyen al-Bukhary murid miskin luar bandar diberi tuisyen percuma bagi membolehkan mereka lulus di dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM). Pelajar cemerlang dari seluruh dunia pula dibantu menerusi pemberian Biasiswa al-Bukhary. Kini seramai kira-kira 300 pemegang Biasiswa Al-Bukhary dari lebih 40 negara Islam sedang belajar di Malaysia. Bakal pemegang Biasiswa Al-Bukhary akan dapat melanjutkan pengajian tinggi di Universiti Al-Bukhary yang sedang dibina di Kompleks Al-Bukhary di Alor Setar.

Universiti bertaraf antarabangsa ini akan menawarkan kursus pengajian perakaunan, teknologi informasi dan komunikasi (ICT) dan sains gunaan supaya para pelajar Al-Bukhary boleh pulang ke tanah air dan membantu negara masing-masing. Dengan demikian ia membantu membina dunia Islam yang lebih kuat dan lebih progresif. Yayasan juga telah memberi bantuan kewangan kepada projek membina universiti seperti UTAR dan Universiti Wawasan untuk mengukuhkan kedudukan Malaysia sebagai pusat pendidikan serantau. Yayasan Al-Bukhary turut menaja beberapa fellowship di universiti seperti Oxford Centre of Islamic Studies, untuk meningkatkan kecemerlangan di kalangan umat Islam dan dunia Barat, lebih-lebih lagi selepas serangan 11 September.

Kebudayaan

Hadiah gemilang Yayasan al-Bukhary kepada dunia ialah Muzium Kesenian Islam Malaysia. Kesenian adalah duta bagi mana-mana budaya dan Muzium Kesenian Islam Malaysia memaparkan warisan budaya dan kesenian Islam kepada umat Islam dan bukan Islam. Muzium ini menyimpan lebih 7000 artifak yang melambangkan kekayaan dunia Islam terutama dari China dan Asia Tenggara. Sejak dibuka pada 1998, muzium ini turut menganjurkan pameran, syarahan, seminar dan aktiviti kanak-kanak untuk membantu menyemaikan kefahaman dan penghargaan terhadap dunia Islam di kalangan masyarakat.

Aktiviti ini juga menggalakkan dialog dan syarahan di kalangan cendekiawan sebagai sebahagian daripada program memperkaya budaya. Kebanyakan pameran ini dianjurkan dengan kerjasama muzium terkenal di Eropah, Timur Tengah dan Asia. Ia mengharumkan nama Malaysia di persada intelektual dan budaya dunia. Muzium ini telah menerima anugerah daripada Pusat Penyelidikan Kebudayaan dan Kesenian Islam OIC kerana memelihara Warisan Budaya Islam dan menggalakkan kecemerlangan di kalangan cendekiawan.

Inisiatif Antarabangsa

Sumbangan Yayasan Al-Bukhary terus bercambah, seiring dengan perkembangan empayar perniagaan Syed Mokhtar ke luar negara. Kini Yayasan Al-Bukhary diiktiraf sebagai pertubuhan kebajikan Islam yang memberi sinar harapan kepada umat Islam yang miskin, sakit dan terpinggir dalam dunia Islam - di khemah pelarian Afghan, pusat bantuan bencana alam di Iran dan Pakistan, penempatan semula pelarian di Bosnia dan program membantu kanak-kanak jalanan di Afrika Selatan.

Ia telah membina dan menguruskan rumah anak-anak yatim untuk mangsa tsunami di Acheh, hospital untuk pesakit Aids di Uganda, masjid di India, Indonesia dan Afrika Selatan, sumbangan kewangan untuk Program Bantuan Kemanusiaan di Lubnan, Sekolah Sains dan Teknologi di Sarajevo dan membiayai pengajian Islam di Universiti United Kingdom dan Amerika Syarikat.

Melestarikan Amal Untuk Muslimin

Selepas 10 tahun menjalankan pelbagai aktiviti amal dan kebajikan, pada 2007 Yayasan Al-Bukhary berpindah ke bangunannya sendiri di Kuala Lumpur. Dari situ ia menyelia perkembangan dunia kedermawanan - dunia yang berkembang lebih pesat daripada entiti perniagaan Syed Mokhtar sendiri.

Bangunan itu melambangkan ketetapan dan komitmen jangka panjang Yayasan Al-Bukhary untuk membantu membina masa depan yang lebih cerah di kalangan mereka yang terbabit. Ia adalah hajat Tan Sri Syed Mokhtar untuk membantu membuka peluang kepada orang lain, supaya mereka juga boleh melakukan perkara yang serupa di kemudian hari.

( Sumber : Majalah Al-Islam )

Image Hosted by ImageShack.us

Pesanan Seorang Ahli Koprat

Tips Kejayaan Syed Mokhtar Al-Bukhary
Dipetik dari : http://www.maer-kiput.blogspot.com

Syed Mokhtar al-Bukhary
merupakan tokoh Maal-Hijrah 2008, berikut merupakan tip-tip dan rahsia kejayaan beliau dalam bidang perniagaan sebagaimana yang dapat dilihat hari ini dengan mempunyai sebuah Yayasan Al-Bukhari bagi membantu anak Melayu/Bumiputera yang kurang berkemampuan untuk menuntut pelajaran serta membantu usaha perkembangan Islam di Malaysia.

1. Ada sebab kenapa saya bekerja seperti tiada hari esok. Agenda sosial dan kerja-kerja kemasyarakatan itulah antara sebabnya. Saya mahu meninggalkan warisan untuk anak bangsa yang kekal berpanjangan.

2. (Berkenaan know who) Bangsa lain tak mengapa tapi orang Melayu kena berdamping dengan orang politik sedikit-sedikit. Tapi masalahnya kita tidak mahu melalui kesusahan; banyak yang mahu senang dengan mendampingi orang politik semata-mata.

3. Tiada apa-apa rahsia. Saya ini hamba Allah (SWT) biasa, budak dangau macam saudara semua juga. Tuhan jadikan manusia ini sama sahaja. Proses kematangan saya yang membezakannya. Saya percaya sesiapa pun boleh menjadi apa sahaja asalkan mereka berusaha dengan tekun. Tetapi tentulah ia memakan masa. Tiada jalan singkat.

4. Saya mengenali kekuatan dan kelemahan saya. Apa yang tidak mampu buat saya akan minta orang lain tengok-tengokkan. Saya melalui jalan yang susah tapi itulah jalan yang kekal.

5. Kita perlu menggunakan kepakaran mereka (bangsa Cina) kerana mereka jauh lebih maju dan mahir daripada kita. Apa yang kita kurang faham kita berkongsi dengan tujuan untuk belajar dengan mereka. Apabila sudah faham baru kita boleh menjaga kepentingan kita.

6. Saya sedih melihat sistem sekolah pondok di Kedah. Saya ada cita-cita mahu memodenkan sekolah pondok. Kita kena maju.

7. Saya terlibat dalam perniagaan ini kerana saya tiada pilihan lain.

8. Untuk memajukan perniagaan, memang kena banyak sabar dan kuat berusaha.

9. Tidak ada jalan singkat. Saya belajar tentang perniagaan ini sejak kecil lagi dan saya juga biasa kena tipu.

10. Saya pun suka kemewahan. Saya pun suka tengok dunia, ke Tokyo, New York dan London. Saya pun suka pakai baju elok. Tapi kita hendak bermewah setakat mana, hendak pakai baju banyak mana, hendak tidur dalam berapa rumah satu malam, hendak makan pun sampai larat mana?

11. Dalam hidup ini kita sebenarnya tidak ada status; ada masa diatas, ada masa di bawah.

12. Ketika Allah (SWT) memberikan kemewahan, kita kena turun ke bawah, tengok mana-mana yang boleh dibantu. Allah (SWT) beri rezeki melalui kita untuk kita tolong orang lain. Rezeki itu bila-bila masa dia boleh ambil balik. Jika ada orang korporat Melayu yang tidak mahu turun ke
bawah mungkin kerana bayangan duit itu lebih kuat daripada yang lain.

13. Korporat Cina turun ke bawah membantu. Orang Cina ada pelbagai persatuan. Kita tidak ada; kalau ada pun berpecah. Orang Melayu kita tidak mahu bekerjasama kerana perasaan dengki menguasai diri. Sudahlah tak mahu berusaha, apabila orang lain berusaha mereka marah.

14. Rezeki yang ada itu sebenarnya untuk orang lain. Memang dari segi hukum pun begitu. Kita kena keluar zakat dan fitrah. Tetapi zakat fitrah banyak mana sangat. Islam agama yang adil; ia minta sedikit saja. Oleh itu, kalau ada duit yang lebih ia seharusnya dibelanjakan dengan baik.

15. Saya tak kisah kalau saya tak buat semua ini. Saya boleh tak buat apa-apa dan balik ke Alor Star. Tetapi saya rasa hidup ini sia-sia. Orang Kedah kata kalau mati nanti mata tidak tutup rapat kerana tanggungjawab depan mata kita tidak buat. Orang lain ambil kekayaan kita, ambil hak kita dan pergunakan kita, kita masih tidak buat apa-apa !

16. Saya ada emotional attachment kepada agama, bangsa dan ummah. Saya bukan individualistik. Diri saya tidak penting. Pangkat dan gelaran ini kepada saya tidak mustahak.

17. Saya sedih media tonjolkan saya begini. Saya malu kerana orang Cina kaya beratus-ratus kali ganda daripada saya. Tapi saya tahu orang Melayu kalau hendak berjaya kena kerja kuat tidak kira siang malam. Kita ada kekuatan yang Tuhan beri melebihi daripada bangsa lain. Tetapi untuk maju kita perlu berusaha.

18. Saya asal daripada tidak ada apa-apa. Apa yang saya tidak tahu saya belajar, minta tolong daripada orang. Saya tidak malu. Saya bukannya mencuri. Saya usaha sendiri. Sikap pemalas dan pemalu ini yang orang Melayu kena atasi. Kita kena berani kerana benar. Apabila kita dapat keuntungan dan rezeki lebih, bolehlah kita menolong orang.

19. Kaya itu bukanlah kepada diri sendiri. Kaya itu adalah kepada kumpulan perniagaan ini, kepada bangsa dan kepada orang ramai. Saya hanya memegangnya untuk sementara sahaja.

20. Saya tiada keinginan untuk menyimpan kekayaan ini untuk anak dan isteri. Duit ini tidak akan kekal. Saya percaya hanya perkara yang baik yang kita lakukakan akan kekal. Bukan duit yang akan melindungi saya nanti tapi apa yang saya lakukan sekarang.

21. Saya perlu terus mencari peluang dan perniagaan lain supaya kita terus dapat bantu orang lain mengembangkan diri masing-masing. Saya bukan buat semua ini untuk diri saya semata-mata.

22. Ada juga yang saya usaha tapi tak dapat dan orang tak tahu. Apa yang saya dapat itu yang jadi masalah kononnya Syed Mokhtar sapu semua. Bangsa lain memegang pelbagai kepentingan dalam ekonomi, siapa pun tak kata apa. Ini masalah orang Melayu. Di kampung orang Melayu
berpecah kerana politik, di bandar berpecah kerana ini (wang).

23. Saya percaya kalau rezeki itu Allah (SWT) beri kepada saya ia bukan untuk saya tetapi untuk orang ramai juga. Orang tidak tahu banyak syarikat yang saya ada ini gagal dan tidak maju kepada saya tetapi orang tidak tahu.

24. Banyak orang percaya bahawa dia mesti ada RM10 juta atau RM20 juta dalam tangan baru hidup boleh selamat. Ini yang menyebabkan mereka hanyut daripada menolong orang lain. Mereka lebih takutkan diri sendiri. Mereka lupa bahawa kekayaan tidak boleh membantu
selama-lamanya.

25. Orang kata saya takda duit tapi banyak hutang. Orang berniaga mana yang tak berhutang. Tapi mesti tahu bagaimana hendak meminjam dan membayarnya semula. Ada cara boleh kita buat. Tapi sebelum berhutang RM100 juta mesti sudah fikir bagaimana hendak membayarnya balik. Mesti ada tanggungjawab. Banyak orang mahu senang tapi tidak ramai yang mahu bertanggungjawab.

26. (Perasaan setiap kali mendapat rezeki). Saya ini kata orang Kedah, lebai kodok bukan lebai pondok. Tapi saya tahu hal-hal asas. Kalau mahu saya minta terus dari Tuhan. Tuhan beri manusia akal dan fikiran. Kalau hendak pakai baju dan seluar biarlah padan dengan badan.

27. Kesenangan yang saya perolehi ini datang dengan tanggungjawab (bila pinjam bayar balik dan buat amal jariah). Kalau hendak dibandingkan dengan bangsa lain, perniagaan saya ini tidak ada apa. Tetapi walaupun sedikit tetapi yang sedikit itu ada berkatnya.

28. Saya suka kalau nikmat sedikit yang saya dapat itu orang lain boleh berkongsi sama.

29. Saya kadang-kadang kecewa dan sedih melihat anak orang alim yang sesetengahnya lupa diri setelah mendapat kekayaan. Saya pun sama seperti orang lain suka hendak ke luar negara tetapi kita tidak boleh lupa kubur kita dan asal usul kita. Di kampung kita mungkin ada jiran-jiran yang perlukan bantuan.

30. ……kalau tidak mungkin saya sudah ke Haatyai dan jadi nakal. Saya manusia yang banyak buat kesilapan. Tetapi saya insaf, beristighfar dan jalan lagi. Sejak awal saya ada kesedaran mahu mengekalkan hak kita sebagai orang Melayu.

31. Saya kata kepada diri sendiri kalau kerana itu saya terpaksa bersusah sedikit pun tidak mengapa.

32. Kekayaan ini Tuhan beri kepada saya untuk saya menolong orang lain pula. Saya percaya kepada keberkatan rezeki. Hari ini kita tolong orang, esok lusa orang akan tolong kita pula dengan cara yang lain.

33. Kalaupun tidak sanggup tunggu 34 tahun seperti saya berilah sedikit masa untuk faham selok belok perniagaan, Insya Allah (SWT) boleh maju.

34. Kita jangan cepat putus asa. Putus asa boleh tapi kena cepat-cepat kuatkan semula semangat untuk bangkit balik. Jangan jadikan agama hanya satu tempat untuk kita bergantung apabila kita susah. Tanggungjawab ibadah adalah tugas seharian.

35. Lifestyle ? Saya tidak ada lifestyle yang kena masuk kelab sana dan sini. Tapi tak semestinya saya tidak boleh turun ke kelab. Orang Melayu kalau hendak ke depan mesti ada cara hidup yang fleksibel, boleh naik dan turun.

36. Lifestyle ini sebenarnya satu penyakit. Saya biasa pakai Mercedes tapi sekarang saya pakai Proton Perdana untuk sokong kereta nasional. Kereta itu pun cukup untuk bawa saya ke mana-mana.

37. Tiada sebab orang kenapa Melayu tidak boleh maju. Ini saya berani perang dengan sesiapa pun. Orang Melayu boleh maju. Kalau saudara jadi wartawan saudara kena tanam semangat suatu hari nanti mahu ambil alih akhbar ini. Tidak ada sebab kenapa ia tidak boleh berlaku.

38. Kejayaan dan kelemahan orang Melayu bukan disebabkan oleh bangsa kita dan agama kita. Ia berkait dengan sikap dan cara kita berfikir. Gigih, tekun dan tidak mudah putus asa merupakan kunci kejayaan kita. Tapi perkara ini kurang wujud dalam cara orang Melayu berfikir.

39. Tuhan memberi peluang kepada siapa saja yang bekerja kuat. Apa yang ada pada saya ini hanya usaha. Kalau anak dangau macam saya boleh, tidak ada sebab orang lain terutama mereka yang dari pekan tidak boleh.

40. Kita tidak usahlah selalu mengulang-ulang perkara yang boleh memberikan kesan psikologi negatif kepada orang Melayu (kereta dan rumah besar). Kita kena kurangkan bercakap tentang kereta besar dan rumah besar. Sesiapa pun mahu pakai kereta mewah tapi bukan itu matlamatnya.

41. Orang Melayu sebenarnya kena membantu diri sendiri, kena bekerja keras dan fokus.

42. Sikap merendah diri perlu sentiasa ada dalam diri seseorang walau setinggi mana pun kejayaan dicapai.

43. Apa yang saya buat ini (kerja-kerja sosial) semuanya bermula daripada didikan orang tua saya sendiri.

44. Saya sendiri berhutang sambil berniaga dan buat sumbangan amal jariah. Saya tak mahu tunggu hutang habis baru hendak buat semua ini. Saya takut kalau hutang habis saya pun mati dan apa pun tak sempat saya buat.

45. Saya biasa saja. Hidup saya tidak berubah, dari dulu beginilah. Saya terima apa saja nikmat yang diberikan oleh Allah (SWT). Tidak ada segelas air, ada setengah gelas pun saya bersyukur.

46. Kalau kerana sedikit bantuan itu mereka lulus peperiksaan dan hidup mereka menjadi lebih baik, saya sudah gembira. Saya tidak boleh buat banyak. Alhamdulillah, lebih baik buat sedikit daripada tidak buat langsung.

47. Saya tiada minat untuk beli kapal layar atau kapal terbang. Saya fikir kalau saya beli sesuatu biarlah orang ramai boleh pakai. Saya suka kalau saya beli sesuatu yang mahal, biarlah orang ramai boleh pakai.

48. Saya gembira dapat membantu. Saya mahu orang lain merasai (kesenangan) apa yang saya pernah rasa. Saya tahu bagaimana perasaanya. Saya kata kepada diri saya, apa yang saya dapat saya mesti beri orang lain merasainya sama. Jangan beri kurang, lebih tak mengapa. Itu yang membuat hati saya seronok.

49. Saya rasa saya ingin menyumbang lebih daripada ini. Saya kata kepada kawan-kawan ini baru warm-up saja; kita belum berjalan lagi. Saya rasa kita terlalu banyak ketinggalan...

Image Hosted by ImageShack.us

Ahad, Ogos 10, 2008

Andai Zakat Diterima

Di Seluruh Dunia
Oleh: Nazmy Sannusi


Istilah zakat bukanlah suatu yang asing bagi masyarakat Islam. Malah zakat merupakan salah satu rukun Islam yang wajib dilaksanakan mereka yang cukup syarat-syaratnya. Disebalik rukun dan kewajipan itu zakat juga adalah untuk menjaga kebajikan bagi umat Islam, dan menjadi satu instrumen paling efektif dalam membantu umat Islam keluar dan kepompong kemiskinan.

Namun mekanisme seperti zakat ini tidak hanya dipraktikkan oleh kalangan orang Islam sahaja. Agama-agama lain seperti Kristian dan Yahudi juga turut memiliki tabung kebajikan masing-masing khusus untuk membangunkan masyarakat mereka. Pun begitu, zakat adalah satu cara umat Islam yang lebih berkemampuan dan kaya ‘menyucikan’ harta dan hati mereka daripada sebarang perlakuan dan niat yang buruk sesama manusia.

Dari sudut amalan kewangan berlandaskan Islam, andainya Islam diterima dan diamalkan oleh semua manusia sejagat, tidak mustahil masalah kemelaratan dan ketidakseimbangan ekonomi yang berlaku di kalangan negara-negara miskin tak akan berlaku. Selain mengharamkan sebarang bentuk penindasan yang berpunca daripada dunia kapitalis kini, Islam juga menitikberatkan soal kesaksamaan hak serta kekayaan.

Disebabkan kesedaran masyarakat sejagat tentang ketidakadilan ekonomi ini, maka adalah penting jika negara kaya dapat berkongsi kekayaan mereka dengan negara miskin. Malah idea berkenaan penubuhan agensi pelaksana untuk menguruskan wang derma dari negara kaya
pernah dibangkitkan sejak dahulu lagi di Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB). Akan tetapi ia telah dibantah oleh negara-negara besar dan menggantikannya dengan penubuhan agensi Bretton Woods seperti Bank Dunia dan Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF).

Andainya semua negara bersetuju menghulurkan bantuan seperti zakat ini, mungkin istilah negara-negara miskin dan Dunia Ketiga tidak akan wujud. Jika mekanisme zakat diamalkan di semua negara, pasti rakyat sejagat akan cepat merasai faedahnya dan ekonomi dunia akan bergerak dalam nada yang lebih seimbang tanpa perlu bergantung kepada kuasa kapitalis yang diamalkan ketika ini. Masalah kemiskinan juga mungkin dapat diatasi dalam masa hanya beberapa tahun sahaja.


Jika Bill Gates membayar zakat

Sebagai tanbahan, Islam juga boleh menyelesaikan masalah kemiskinan. Andaikan zakat yang dihulurkan oleh masyarakat dunia adalah dalam bentuk wang tunai. Menurut syarat zakat, 2.5 peratus daripada hasil pendapatan keseluruhan selama setahun perlu dizakatkan. Majalah Forbes tahun 2004 melaporkan seramai 587 individu tersenarai sebagai billionaires dicatatkan di seluruh dunia.

Jika digabungkan, jumlah kekayaan mereka semua menjangkau AS$1 .9 trilion atau bersamaan RM7 trilion. Maka, jika pada tahun 2004 kesemua hartawan ini membayar zakat sebanyak 2.5 peratus daripada hasil kekayaan mereka itu, dunia bakal menerima suntikan tunai berjumlah AS$47.5 billion untuk disumbangkan kepada penduduk negara miskin. Cuba bayangkan Bill Gates yang memiliki kekayaan hampir AS$56 billion pada tahun 2006, memperuntukkan secebis 2.5 peratus kekayaannya itu untuk membayar zakat, pasti antara AS$1 .4 billion dapat disumbangkan - cukup untuk membiayai bantuan makanan kepada rakyat Afrika Barat untuk tempoh setahun!

Kiraan ini hanya terhad kepada 587 individu terkaya dunia sahaja. Cuba bayangkan andainya enam bilion masyarakat seluruh dunia berganding bahu membayar zakat dan dikumpulkan di dalam dana zakat global? Secara keseluruhan jumlah Keluaran Dalam Negara Kasar atau KDNK global yang dianggarkan pada tahun 1999 adalah AS$27,357 billion atau bersamaan RM94 trillion.

Jika 2.5 peratus daripada jumlah KDNK global ini disumbangkan untuk zakat, sejumlah AS$683.95 billion dapat disalurkan ke tabung zakat global. Walaupun penulisan ini hanyalah dalam bentuk gambaran, tetapi dunia pasti dapat membayangkan betapa hebatnya peranan zakat dalam menyatukan kekayaan masyarakat global serta kuasanya dalam mengurangkan masalah kemiskinan dan kebuluran.

Malah dengan jumlah sebanyak ini juga dijangka dapat menyelesaikan masalah kebuluran yang melanda kebanyakan negara Afrika lain yang sehingga kini masih bergelumang dengan masalah ini. Malah dengan wang sebanyak ini, ia bukan sahaja cukup untuk membantu memberi bantuan makanan kepada mereka yang miskin tetapi juga mampu menggerakkan ekonomi sesebuah negara. Wang zakat boleh disumbang dalam pelbagai bentuk, selain bantuan secara terus kepada fakir miskin, ia juga boleh digunakan untuk memberi bantuan mikro kepada golongan miskin yang ingin memulakan perniagaan kecil.

Bagi masyarakat petani dan peladang, wang zakat dapat disalurkan dalam bentuk geran untuk membeli peralatan pertanian seperti bji benih, baja bagi membolehkan mereka bercucuk tanam. Selain itu, mereka juga boleh membuka bengkel kenderaan, industri kecil-kecilan yang sekali gus dapat membuka peluang pekerjaan dan mengurangkan kemiskinan. Dengan wujudnya situasi sebegini, masalah kemiskinan seluruh dunia dapat dibanteras dengan pantas.

Begitulah dapat diandaikan betapa hebatnya peranan zakat jika ia diterima pakai oleh kalangan masyarakat global tanpa mengira agama. Walaupun agensi antarabangsa yang bernaung di bawah PBB ketika ini giat menjalankan usaha membanteras kemiskinan dan kebuluran, namun usaha itu tidak menampakkan hasilnya. Malah jurang kekayaan antara negara Dunia Pertama dan Dunia Ketiga semakin melebar.

Pasaran bebas membunuh

Andaikan 5 hingga 10 peratus daripada jumlah zakat pertanian yang dihasilkan seluruh dunia, ditambah lagi dengan zakat ternakan disumbangkan kepada agensi pelaksana yang menguruskan zakat kepada masyarakat miskin seluruh dunia, masalah kebuluran pasti akan dapat dihapuskan dengan cepat.

Bagaimanapun, sistem pasaran bebas yang diamalkan kini menimbulkan ketidakadilan dan di dalam kebanyakan kes, ia hanya memberi kemenangan kepada sebelah pihak sahaja. Ia diakui sendiri oleh pemimpin Vatican, Pope Benedict IV di dalam bukunya berjudul Jesus of Nazareth, beliau mengutuk tindakan negara-negara maju yang merompaik harta serta warisan yang dimiliki oleh negara-negara Dunia Ketiga seperti di Afrika sekali gus memiskinkan lagi negara terbabit. Maka dapatkah kita melihat antara sistem yang diamalkan oleh manusia sekarang dengan peraturan yang diperkenalkan oleh Islam yang menjaga keadilan kedua-dua belah pihak?

Image Hosted by ImageShack.us
Editor : Ekonomi dunia kini menggunakan sistem kapitalis, yang kuat dan kaya raya akan memanipulasikan yang lemah dan miskin.

10 Langkah Untuk Kaya

Robert Kiyosaki adalah seorang ahli perniagaan dan pelabur yang pernah melalui zaman sukar dalam kehidupan, malah pernah jatuh miskin sehingga terpaksa tidur dalam kereta selama 3 minggu kerana tidak mampu membayar sewa rumah. Beliau akhirnya berjaya mengubah hidup sehingga berjaya dan berkongsi pengalamannya melalui buku 'RICH DAD POOR DAD'. Berikut adalah langkah-langkah disarankannya untuk menjadi kaya :

1. Ambil Keputusan untuk menjadi kaya


Banyak yang kita boleh belajar mengenai diri seseorang daripada perkataan-perkataan yang digunakannya. Kata-kata yang dilontarkan dan disimpan di dalam kotak fikiran membentuk dunia seseorang tanpa disedarinya. Kita terdengar orang berkata "saya hanya memerlukan duit yang mencukupi untuk membayar sewa rumah". "Saya perlukan beberapa ringgit saja sebelum dapat gaji esok". "Selepas selesai membayar bil-bil ini, saya tak tahu macamana keluarga saya nak hidup". Kata-kata seumpama ini sebenarnya sering digunakan oleh orang miskin yang fokus mereka hanyalah kepada survival kewangan. Mereka miskin kerana gagal mengurus wang. Jadi mereka yang berfikir begini atau menggunakan perkataan-perkataan ini selalu bergelut dengan survival kewangan, tanpa mengira berapa banyak pendapatan yang mereka perolehi.

Golongan pertengahan pula menggunakan perkataan-perkataan yang berbeza pula sebab mereka mempunyai idea bagaimana untuk menggunakan wang. "Rumah kita adalah aset yg paling penting dan pelaburan kita yg terbesar". "Setiap bulan kami ketepikan sedikit wang untuk disimpan bagi membayar pendahuluan rumah yang kami impikan". "Kami menabung untuk pengajian anak di kolej dan persaraan". Golongan pertengahan memberi tumpuan kepada keselesaan. Sebab itu ramai daripada mereka berkata, "Saya tidak mau menjadi kaya, saya hanya mau hidup selesa".

Bagaimanapun orang kaya menggunakan perkataan yang berbeza ; "Bagaimana anda membiayai pusat membli belah itu? Adakah melalui rakan kongsi atau pinjaman?". "Saya membeli saham itu melalui syarikat saya kerana kesannya dari segi cukai dalam jangka panjang adalah lebih baik". Orang kaya menggunakan perkataan-perkataan yang menjurus kepada aset. Mereka tidak fokus kepada survival jangka pendek atau dari hari ke hari, atau asyik memikirkan perbelanjaan seperti orang miskin. Mereka juga tak tertumpu kepada keselesaan dan pemilikan liabiliti menggunakan kad kredit seperti golongan pertengahan. Orang kaya menjadi kaya kerana mereka fokus kepada pemilikan jangka panjang aset atau harta seperti saham, bon, perniagaan dan hartanah yang memberi hasil. Maka tak hairan ada orang kaya yang rela mengorbankan makan minum, gaji yang diterima tiap bulan, percutian atau keselesaan tinggal di rumah yang cantik; untuk membina atau memiliki aset sebenar. Jadi, ambil keputusan untuk menjadi kaya, walaupun hari ini anda tak mempunyai wang, kerana keadaan itu hanya sementara.

2. Buat keputusan jenis masalah kewangan yang anda kehendaki

Hanya ada 2 jenis masalah kewangan; tak cukup wang atau terlalu banyak wang. Malangnya kebanyakan orang menghadapi masalah tak cukup wang. Ramai orang tau bagaimana bekerja untuk mendapatkan wang, tetapi mereka tak tau bagaimana mempunyai sumber tenaga dan wang bekerja untuk mereka. Jka anda ingin menjadi kaya, anda mesti pastikan segala wang lebihan mendatangkan lebih banyak wang. Anda perlu tau apa yang harus dilakukan dengan wang yang berlebihan itu sebelum ia menguasai anda. Kebanyakan orang berbelanja secara boros atau hanya menyimpan wang di dalam bank jika ada wang lebih.

3. Tulis rancangan anda dan ikut rancangan itu

Jika anda telah memilih untuk menjadi kaya walaupun hari ini anda tak mempunyai wang, buat rancangan dengan beberapa matlamat asas :

  • tukar ciri pendapatan anda. Mulakan perniagaan secara separuh masa.
  • ubah ciri perbelanjaan. Tukar perbelanjaan peribadi kepada perbelanjaan perniagaan.
  • sahkan perniagaan.
  • beli aset melalui perniagaan.
Kembangkan rancangan anda, pada waktu yg sama anda mesti bertahan untuk hidup kurang selesa buat sementara waktu. Hari ini anda perlu bersedia untuk tidak mempunyai cukup wang, tetapi bukan miskin.

4. Buat keputusan di mana anda mau membuat urusan perbankan

Anda boleh bezakan golongan kaya, miskin dan pertengahan daripada tempat mereka mendapatkan wang atau di mana mereka melakukan urusan perbankan. Bank bagi orang miskin ialah pajak gadai yang memberi pinjaman atas aset. Manakala golongn pertengahan mempunyai kewajaran kredit untuk menggunakan bank, serta simpanan dan pinjaman. Satu bentuk kredit popular bagi kumpulan ini ialah kad kredit yang amat mudah diperolehi. Orang kaya juga menggunakan bank, tetapi mereka berurusan dengan bank-bank yang berbeza. Mereka menggunakan khidmat bank pelaburan, atau menjadi modal persendirian daripada individu-individu kaya, atau wang dari institusi-institusi lain seperti syarikat insurans atau pasaran saham. Orang kaya yang berjaya sebagai ahli perniagaan, ia lazimnya tak menghadapi masalah mengumpul wang yang banyk dan mendapatkan pada kadar yang lebih baik.

5. Bijak pilih kawan dan rakan kongsi


Salah satu sebab orang kaya menjadi lebih kaya ialah mereka bergaul di kalangan orang kaya. Kebanyakan pelaburan yang baik datang daripada rakan-rakan yang kaya, bukan daripada broker saham atau broker hartanah. Jadi, pilih rakan-rakan yang mempunyai aspirasi untuk menjadi kaya, hidup selesa atau sekadar meneruskan hidup sahaja. Rakan-rakan yang hanya mau hidup selesa atau hidup cukup makan tidak akan faham mengapa anda ingin menjadi kaya, dan tanpa sedar mereka akan menurunkan semangat anda.

6. Beri masa kepada diri sendiri

Membina portfolio perniagaan dan pelaburan memerlukan masa. Membina perniagaan tak seperti mencari pekerjaan. Jika bekerja dengan orang lain, anda akan dibayar gaji, tetapi jika berniaga anda mungkin tak bergaji selama beberapa tahun. Sebab itu ada baiknya di peringkat awal anda berniaga secara separuh masa. Ada pandangan menyatakan 90% daripada perniagaan gagal dalam tempoh 5 tahun pertama. Antara puncanya ialah kekurangan ilmu dan pengalaman. Lagi pun perniagaan bukanlah sesuatu yang boleh anda pelajari di sekolah. Perniagaan adalah kombinasi pendidikan formal, pengalaman dan keberanian. Punca lain ialah wang. Anda mungkin pernah mendengar ungkapan 'membunuh angsa yang mengeluarkan telur emas'. Apabila memulakan perniagaan, ramai orang membunuh anak angsa itu sebelum ia cukup tua untuk mengeluarkan telur emas itu. Dalam kata lain kebanyakan perniagaan kecil tak mempunyai cukup modal, dan pemilik perniagaan cuba menyara hidupnya dan keluarga dengan perniagaannya yang belum cukup kukuh. Jadi, perniagaannya sering tak cukup modal sedangkan ia memerlukan wang untuk berkembang.

7. Mula kecil, impian besar

Hari ini anda mungkin mempunyai sedikit simpanan dan berfikir tak ada gunanya kerana anda tak akan ke mana. Sedangkan kawan anda mempunyai wang berjuta ringgit, tak mungkin anda dapat mengejarnya. Jika anda terus berfikir begitu, memang benar anda tak akan menempah kemajuan dalam hidup. Anda cuma membandingkan diri sendiri dengan orang yang lebih berjaya, dan cuba menyainginya, tetapi tidak menjadikan dia sebagai mentor atau kejayaannya sebagai inspirasi. Impikanlah sesuatu yang lebih besar walaupun anda harus bermula deagan sesuatu yang kecil. Mempunyai impian yang besar adalah penting kerana di dalamnya terdapat bahan-bahan yang penting untuk berjaya: harapan, kemahuan, kecintaan, tenaga, kepercayaan, semangat, inspirasi dan kreativiti. Bahan-bahan ini menjadikan hidup lebih bermakna. Ceritakan kepada orang lain mengenai impian anda itu, biar mereka mengkritiknya. Gunakan kritikan-kritikan itu untuk mengukuh keinginan anda itu.

8. Fokus

Tinggalkan atau kurangkan aktiviti yang kurang mendatagkan faedah dan beri tumpuan kepada pekerjaan yang anda ingin lakuknn. Jika anda ingin mempunyai kedudukan kewangan yang baik pada masa depan, anda harus menginsafi kelalaian lalu dan perbetulkan kegiatan anda hari ini.

9. Jadi lebih besar dengan lebih cepat

Masalah dalam perniagaan kecil ialah anda harus menjalankan semua kerja sendiri kerana tidak mempunyai modal mencukupi mengambil pekerja. Peniaga kecil bermula secara kecil dan terus dengan perniagaan itu. Jika anda ingin berkembang maju dan lebih besar, perniagaan atau pelaburan yang anda buat mesti bekerja untuk anda. Satu perniagaan kecil kurang berkesan utk menjadikan anda kaya, anda harus mempunyai lebih banyak perniagaan-perniagaan kecil itu. Mereka yang mempunyai impian kecil, berfikir kecil sering kali terpaksa bekerja keras dengan pulangan yang sedikit. Jadi, cuba fokus; dapatkan ilmu serta pengalaman sebanyak mugkin, mula secara kecil-kecilan, dan kembangkan perniagaan secepat mungkin. Lebih banyak aset yang anda miliki, berkurangan kerja yang perlu anda lakukan dan lebih banyak wang akan anda perolehi.

10. Lebih banyak anda berkongsi, anda menjadi lebih kaya

Jika anda tamak, kedekut atau terlalu takut untuk berbelanja, lebih lama tempoh yang akan anda ambil untuk menjadi kaya. Fokus untuk melakukan lebih banyak walaupun mendatangkan pulangan yang kurang, tetapi untuk lebih ramai orang. Anda perlu berkongsi kekayaan dengan orang lain seramai mungkin. Bermurah hatilah dan cuba berkongsi. Jika anda berbuat demikian, anda akan menjadi lebih kaya berbanding mereka yang hanya bekerja untuk diri sendiri.

Image Hosted by ImageShack.us
Editor : Diharap tips ini dapat menjadi panduan anda.

Jumaat, Ogos 08, 2008

M'bangunkn Ekonomi Ummah

Membangunkan Ekonomi Ummah

Oleh: DR. MOHD.ASRI ZAINUL ABIDIN

Apabila saya menyebut keperluan umat Islam tolong-menolong dalam soal ekonomi, ada yang menyatakan hal ini tidak patut disebutkan. Nanti akan difahami oleh sesetengah pihak sebagai ‘perkauman’.

Pandangan itu dinyatakan kerana saya ingin menggalakkan masyarakat muslim membantu membeli produk-produk keluaran saudara-saudara muslim. Saya tidak menyuruh memulaukan barangan ‘orang lain’. Saya cuma mengajak agar diberikan keutamaan disebabkan beberapa faktor, antaranya; keadaan ekonomi umat Islam yang agak ketinggalan terutama sebagai kuasa pengeluar sedangkan kita mempunyai kuasa membeli. Juga pembabitan umat Islam di tanah air dalam bidang perniagaan masih tidak kukuh.

Para peniaga muslim menghadapi cabaran di sudut persaingan. Agak sukar melihat pasar raya besar milik muslim atau memasarkan barangan keluaran muslim. Kedai yang dimiliki oleh umat Islam dan produk muslim juga terhad. Lebih daripada itu, kita dapati agak sukar selain daripada muslim membeli produk umat Islam.

Keadaan ini tentu akan menjadi lebih buruk sekiranya umat Islam sendiri tidak membeli di gerai, kedai dan pasar raya yang dimiliki oleh saudara muslim mereka. Keadaan menjadi lebih buruk jika umat Islam tidak membantu membeli produk muslim.

Di peringkat antarabangsa, negara-negara umat Islam bergantung kepada dunia Barat. Inilah salah satu faktor yang menjadikan dunia Islam dayus terhadap Barat. Padahal banyak bahan mentah dimiliki oleh umat Islam terutamanya minyak. Tetapi masih gagal untuk menjadikan dunia Islam blok yang digeruni.

Kita masih gagal mewujudkan kesatuan dagang yang kukuh dalam dunia Islam. Maulana Abu Hasan ‘Ali al-Nadwi r.h. pernah mengkritik dunia Arab dalam tulisannya dengan menyatakan: “Mestilah bagi dunia Arab sebagai dunia Islam bebas (memiliki sendiri) dalam perniagaan, harta, industri dan pendidikan. Bangsa mereka tidak boleh memakai melainkan apa yang tumbuh di buminya dan ditenun dengan tangannya. Sesungguhnya dunia Arab tidak dapat memerangi Barat – jika keadaan memerlukan demikian – selagi mereka memerlukan Barat dalam soal harta, pakaian dan barangan. Tidak ada pena yang digunakan untuk menandatangani sesuatu perjanjian dengan Barat, melainkan pena tersebut dibuat di Barat. Tidak ada senjata yang digunakan untuk memerangi Barat, melainkan senjata itu dibuat di Barat. Sesungguhnya adalah memalukan apabila umat Arab tidak dapat mengambil manfaat daripada sumber kekayaan dan kekuatan mereka sendiri. Adalah memalukan apabila air kehidupan yang mengalir di dalam urat mereka akhirnya sampai ke tubuh orang lain.” (Abu Hasan ‘Ali al-Nadwi, Maza khasira al-‘Alam bi Inhitat al-Muslimin, m.s. 416, Kaherah: Maktab al-Sunnah).

Inilah realiti, kita hamba penjajahan ekonomi. Sekalipun sesetengahnya kelihatan mewah, banyak negara umat Islam meminta sedekah. Keadaan ini benar-benar mendesak. Dunia sudah berubah, bukan hanya kekuatan senjata menentukan penguasaan sesuatu bangsa atau negara terhadap percaturan dunia. Ekonomi juga menentukan perubahan peta.

Firman Allah dalam surah al-Anfal: 60: (maksudnya): "Dan sediakanlah untuk menentang mereka (musuh-musuh Islam) dengan apa yang kamu mampu dari segala jenis kekuatan dan dari pasukan-pasukan berkuda yang disiapkan, untuk menggerunkan musuh Allah dan musuh kamu, serta musuh-musuh yang lain dari mereka yang kamu tidak mengetahuinya; sedang Allah mengetahuinya. Dan apa sahaja yang kamu belanjakan pada jalan Allah akan disempurnakan balasannya kepada kamu, dan kamu tidak akan dianiaya".

Ayat ini adalah perintah Allah untuk muslimin menyediakan kekuatan menghadapi musuh umat. Kekuatan itu ialah dari jenis apa sahaja yang mampu menggerunkan musuh. Kuda, salah satu daripadanya yang dapat dilihat di zaman penurunan al-Quran dan juga selepas itu.

Pada zaman sekarang, senjata-senjata canggih menggerunkan musuh dan umat Islam mesti berusaha menyiap dan memilikinya. Di samping itu, kekuatan ekonomi adalah senjata baru dalam membina kekuasaan yang mampu menggerunkan musuh. Maka membina kekuatan ekonomi adalah tuntutan agama.

Malangnya kita cuai dan alpa. Kata Dr. Yusuf al-Qaradawi: “Kekuatan ekonomi kita terbengkalai. Kita hidup di bumi Allah yang paling strategik, paling baik dan subur. Bumi yang paling banyak galian yang tersimpan dalam perutnya dan kekayaan yang bertebaran di atasnya. Malangnya kita tidak menggerakkan kekayaan kita, tidak bertani di bumi kita, tidak menghasilkan keluaran dari bahan galian sedangkan bahan mentahnya dikeluarkan dari bumi kita... jadilah kita dalam banyak keadaan pengguna bukan pengeluar, pengimpot bukan pengilang. Kadangkala kita menghasilkan produk yang kita tidak memerlukannya dan kita abai menghasilkan barangan yang sangat kita perlukan. Kita berbangga dengan memiliki kereta-kereta mewah antarabangsa, sedang kita tidak tahu untuk membuat basikal sekalipun.” (Dr. Yusuf al-Qaradawi, Aina al-Khalal, m.s.12-13, Beirut: Muassasah al-Risalah)

Dalam keadaan sebeginilah umat Islam dalam semua peringkat dituntut melahirkan sikap persaudaraan Islam. Menghasilkan produk keluaran muslim yang berkualiti adalah kewajipan. Demikian juga membeli produk muslim, atau di kedai dan pasar raya milik orang Islam. Di peringkat antarabangsa berdagang sesama negara umat Islam adalah kewajipan.

Kita mesti insaf, bahawa akidah Islam yang diajar al-Quran dan al-Sunah mewujudkan rangkaian ikatan persaudaraan (ukhuwah Islamiah) yang kukuh. Di atas akidah teguh ini menjadikan umat dahulu bergerak seiring secara bermatlamat mengeluarkan manusia daripada kegelapan.

Pergerakan itu berlaku atas perasaan tanggungjawab yang besar terhadap agama Allah demi membebaskan manusia dari kezaliman segala sistem yang wujud kepada keadilan Islam yang luhur. Segala kepentingan diri diletakkan di belakang demi kepentingan kegemilangan Islam.

Apabila akidah muslimin lemah, maka lemahlah seluruh kekuatan lain, termasuk bidang ekonomi. Kata Muhammad Qutb: "(Berpunca) daripada kemunduran akidah, timbullah segala macam kemunduran yang menimpa dunia Islam... kemunduran ilmu, ketamadunan, ekonomi, peperangan, pemikiran dan kebudayaan". (Muhammad Qutb, Waqi’una al-Mu’asir)

Sepatutnya daripada akidah lahirnya rasa ukhuwah (persaudaraan) sesama muslim yang menggerakkan ekonomi dan kekuatan umat. Daripada akidah yang teguh dapat dibentuk sikap bertanggungjawab terhadap seluruh strategi demi membangunkan umat. Tanpa akidah hilanglah ikatan ukhuwah Islamiah yang menjadi penggerak kepada pembangunan ekonomi. Sedangkan ini adalah sesuatu yang dituntut. Daripada Abi Burdah, daripada Abi Musa, katanya: Sabda Nabi s.a.w.: “Sesungguhnya kaum al-‘Asy‘ariyin apabila habis bekalan mereka dalam peperangan, atau kurang makanan keluarga mereka di Madinah, mereka himpunkan apa yang ada pada mereka dalam satu kain. Kemudian mereka membahagikan dalam satu bekas dengan sama rata. Sesungguhnya mereka daripada-ku dan aku daripada mereka". (riwayat al-Bukhari dan Muslim).

Dalam hadis ini, Rasulullah memuji sikap tolong-menolong, bantu-membantu serta perasaan mengambil berat antara satu sama lain. Baginda memuji sikap yang ditunjukkan oleh kaum al-Asy’ariyin yang jamin-menjamin kebajikan sesama mereka. Maksud: “Sesungguhnya mereka daripadaku dan aku daripada mereka” ialah menggambarkan redhanya Nabi s.a.w. dengan tindakan mereka. Betapa yang mereka lakukan menepati ketaatan kepada Allah. Tolong-menolong sesama sendiri atau puak, atau bangsa atau kumpulan dalam daerah kebajikan dan takwa tidak dianggap sebagai perkauman yang sempit.

Kata al-Syeikh Muhammad al-Mubarak ketika menghuraikan hadis di atas: “Sesungguhnya Nabi s.a.w. memerangi assabiah (perkauman) yang semata-mata disebabkan keturunan, lalu menggantikannya dengan ikatan akidah dan prinsip. Namun baginda menganggap kaum al-Asy’ariyin sebahagian daripada baginda".

Ini disebabkan prinsip yang sama iaitu jamin-menjamin dan bantu-membantu dalam harta. Juga membahagikan harta sesama sendiri dalam hal darurat dan keperluan. (Muhammad al-Mubarak, Nizam al-Islam, Mabadi’ wa Qawa’id ‘Ammat).

Kalaulah tolong-menolong sesama puak diizinkan dan dipuji oleh Rasulullah tentulah tolong-menolong sesama muslim dalam keadaan Islam dimusuhi dan ditindas lebih dituntut. Bahkan tolong-menolong, bantu-membantu dan jamin-menjamin sesama muslim di dalam perkara kebaikan adalah tuntutan persaudaraan Islam. Sabda Nabi s.a.w.: “Bandingan seorang mukmin dengan seorang mukmin yang lain bagaikan satu bangunan, kuat-menguatkan antara satu sama lain.” (riwayat al-Bukhari dan Muslim).
Tolong-menolong membangunkan ekonomi adalah salah satu cara terbesar pada masa ini dalam menunaikan tanggungjawab menguatkan umat. Sekiranya individu umat memiliki kuasa ekonomi serta mereka beriman dan beriltizam, maka masyarakat Islam akan menjadi kuat.

Namun jika ekonomi umat lemah, sistem zakat tidak berjalan dengan jaya, kita menjadi peminta sedekah daripada orang lain dan Islam dipandang hina. Dr. Mustafa Khin di dalam Nuzhah al-Muttaqin ketika menghuraikan hadis di atas, menyebut: Bandingan yang dibuat dalam hadis ini bertujuan menggalakkan bantu-membantu dan tolong menolong sesama mukmin.

Pembinaan umat tidak sempurna dan berhasil kecuali sebahagian umat membantu dan menguatkan sebahagian yang lain. Seorang mukmin tidak dapat bersendiri dalam urusan dunia dan agama.

Selagi kita tidak dapat membina kekuatan ekonomi, sehingga mampu berdiri dengan sendiri, kita akan terus menjadi umat yang lemah. Pandangan masyarakat dunia terhadap kita menjadi hambar. Apakah mampu selepas itu kita mencanangkan Islam agama yang membina kekuatan sesuatu umat dan ketamadunannya?

Malanglah bagi kita jika tidak habis-habis bising tentang barangan makanan yang bercampur unsur haram, namun kita masih gagal menghasilkannya sendiri. Malanglah pengajian di masjid dan surau jika gagal meningkatkan kesedaran ekonomi umat di kala hal itu patut diberi kesedaran.

Bahkan dalam soal ekonomi, kita tidak wajar mementingkan persoalan latar politik dan sempadan negeri. Saya kurang gembira jika ada kejayaan seseorang pelajar, tidak ditonjolkan oleh media kerana latar negerinya. Padahal, sama seperti ekonomi, pendidikan sepatutnya melampaui batasan negeri dan kefahaman politik.

Sekiranya kesedaran ukhuwah Islamiah mengenai tanggungjawab bantu membantu membangunkan ekonomi umat ini berjaya diterapkan, maka peluang ke arah menjayakannya di peringkat pelaksanaan adalah terbentang luas. Saya nyatakan demikian berdasarkan faktor-faktor berikut:

1. Kuasa membeli yang tinggi


Jumlah umat Islam yang banyak membawa kepada secara kelompok mereka memiliki kuasa membeli. Jumlah umat menjadikan keperluan barangan dan makanan mereka juga tinggi. Jika kuasa membeli ini dimanfaatkan, tentulah berlakunya kitaran ekonomi yang kuat di kalangan masyarakat Islam tempatan dan antarabangsa.

2. Isu halal haram

Isu-isu mengenai makanan tidak halal menimbulkan keresahan umat Islam. Ini disebabkan umat Islam gagal menghasilkan makanan mereka. Jika kesempatan ini diambil agar memastikan keselamatan umat Islam dalam soal makanan, maka kita menggesa mereka berdikari dan mampu menjadi pengeluar, bukan sekadar pengguna.

3. Ketegangan yang wujud

Ketegangan antara blok Barat dan umat Islam boleh membantu mewujudkan umat yang lebih memiliki jati diri dan berdikari. Jika pelancong-pelancong Arab enggan ke Barat lagi, mengapa tidak kita jadikan mereka juga mesti menggunakan dan menghasilkan barangan negara-negara Islam.

Jika ukhuwah Islamiah itu benar-benar digilap sehingga ke peringkat penghayatan dalam ekonomi, umat Islam mempunyai potensi menjadi umat yang berdikari dan mempunyai jati diri dalam ekonomi. Ekonomi adalah senjata baru yang mempunyai pengaruh besar dalam mencaturkan kejatuhan dan kebangkitan sesuatu bangsa.

Perjuangan menegakkan ekonomi yang bersifat membina kekuatan umat adalah tanggungjawab setiap muslim zaman ini.

- DR. MOHD.ASRI ZAINUL ABIDIN ialah Mufti Kerajaan Negeri Perlis

http://www.drmaza.com

Image Hosted by ImageShack.us
Editor : Sila ke website Dr. MAZA untuk dapatkan artikel lain dan yang terkini.

Perniagaan Runcit di Malaysia

Sektor peruncitan di negara ini merupakan antara bidang perniagaan yang boleh menjanjikan keuntungan tinggi bersandarkan keadaan rakyat di negara ini yang sememangnya gemar menbeli-belah di samping mendapatkan barang keperluan seharian mereka.

Tradisi aktiviti peruncitan secara moden pula boleh dikesan sejak dari zaman pemerintahan Inggeris lagi apabila banyak kedai runcit kepunyaan saudagar dari India dan milik imigran dari Tanah Besar China dibuka di bandar-bandar besar Tanah Melayu.

Ada diantara kedai-kedai tersebut menjadi warisan sehingga kini dan diusahakan pula oleh anak cucu mereke dengan reka bentuk kedai asal tetap dikekalkan dan penggunaan alat kira seperti sempoa masih dipraktikkan.

Bagi orang Meleyu pula, ada golongan yang berani terbabit dengan akitiviti ini dengan membuka kedei-kedai runcit kecil di kawasan luar bandar dan kampung. Walaupun saiz operasinya tidaklah sebesar saiz operasi kedai runcit milik bangsa lain, tetapi fungsinya sebagai pembekal barangan kering dan basah untuk masyarakat luar desa tidak boleh diabaikan.

Sehingga ke hari ini, aktiviti peruncitan seperti ini masih berterusan. Yang membezakan antara dulu dan sekarang adalah kedai runcit bangsa lain sudah berkembang menjadi pasar raya besar manakala kedai runcit milik orang Melayu masih mengekalkan operasinya secara sederhana serta tidak mampu bersaing dengan kedai milik bangsa lain.

Jika ada perbezaan sekalipun, mungkin kini orang Melayu sudah berani untuk membuka kedai runcit di kawasan bandar dan sekitar taman perumahan dengan operasinya dibesarkan sedikit menjadi pasar mini (mini market).

Satu revolusi baru dalam sektor peruncitan negara dikesan berlaku pada awal tahun 1990-an apabila Jaya Jusco Berhad, sebuah syarikat peruncitan terbesar di Jepun dipelawa memasuki pasaran negara ini oleh bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad.

Bermula pada tahun itu, operasi syarikat tarbabit terus berkembang sehingga pada tahun 2005 dilaporkan hasil jualan syarikat berkenaan melebihi RM1 bilion dengan 13 cawangan pasar raya Jusco berada di negara ini. Dengen situasi keadaan negara ini, tidak mustahil sekiranya pendapatan syarikat ini bakal terus berkembang dengan jualan dijangka mencecah lebih dari RM2 bilion pada tahun ini.

Kemudian sekitar tahun 1993, muncul pula gergasi penuncitan dari Eropah yang mula mengintai untuk memasuki pasaran di negara ini. Carrefour mengambil giliran dan sehingga kini kumpulan terbabit mempunyai 13 cawangan di seluruh negara.

Apa yang menarik mengenai Carrefour ialah, kumpulan terbabit menguasai pasaran peruncitan di Eropah dan menduduki tangga kedua di dunia dari segi keuntungan selepas Wal-Mart dari Amerika dengan jualan berjumlah RM309.6 bilion di seluruh dunia.

Industri peruncitan negara kemudian menyaksikan pula kemasukan Tesco pada sekitar tahun 2000 hasil usaha sama di antara syarikat terbabit dengan Sime Darby Berhad. Tesco merupakan syarikat peruncitan keempat terbesar di dunia dengan jualan melebihi AS RM237 bilion setahun.

Andai ada syarikat tempatan yang mampu menyaingi syarikat gergasi ini, cuma Kumpulan Mydin Mohamad Holdings Berhad yang bermula pada tahun 1956 dengan 15 cawangan di seluruh negara serta jualan melebihi AS$111 juta setahun dapat bersaing dengan mereka.

Bagaimanapun pasar raya Mydin mungkin tidak boleh dibandingkan dengan gergasi-gergasi peruncitan yang lain kerana dari segi keuntungan, saiz operasi dan khidmat selepas jualan, Mydin boleh dianggap masih di belakang lagi.

Dari segi segman pemasaran juga, Mydin cuma menguasai golongan kelas yang berpendapatan sederhana dan rendah sahaja. Sedangkan golongan yang mempunyai pendapetan melebihi RM2000 sebulan masih tertumpu pada pasar raya besar yang lain.

Di sini satu persoalan mengapakah kerajaan melalui syarikat-syarikat pelaburan milik kerajaan seperti Khazanah Holdings dan yang lain tidak mahu atau tidak berani untuk melakukan palaburan dalam sektor ini sedangkan industri ini amat besar pasarannya?

Jika pengurusan dan pentadbiran yang dibimbangkan, maka jika diteliti nama-nama pengurus di syarikat antarabangsa terbabit, kita akan mendapati hampir separuh daripadanya adalah orang Melayu yang pastinya beragama Islam.

Sebagai contoh, daripada 13 cawangan Jusco di negara ini, lapan pengurusnya adalah Melayu. Ini tidak termasuk lagi pengurus-pengurus kanan dan kumpulan pengurusan atasan yang lain. Ini tidak ditambah lagi dengan pengurus-pengurus Melayu dari Carrefour, Tesco atau Giant.

Yang pastinya kita tidak akan ketandusan kelompok profesional untuk mengurus atau mentadbir sebuah syarikat peruncitan berteraskan Islam sepenuhnya sekiranya ada pihak yang berani untuk melabur dan terlibat secara serius dalam industri ini

Andai masalah modal pula dibangkitkan, terdapat banyak sumber umat Islam yang boleh digunakan. Tabung Haji misalnya mempunyai ratusan juta wang umat Islam di negara ini yang boleh digunakan sebagai modal pelaburan.

Buat masa kini, Tabung Haji hanya banyak terbabit dengan aktiviti pelaburan yang dianggap selamat seperti pertanian dan pembinaan. Walaupun pelaburan Tabung Haji ini boleh dianggap menguntungkan, namun ia mengambil masa yang panjang untuk menghasilkan keuntungan.

Sebagai contoh aktiviti perladangan memerlukan tempoh antara tujuh hingga lapan tahun sebelum pokok sawit dapat mengeluarkan hasil sekaligus memberikan pulangan kepada pelabur. Sesuatu yang patut dipertimbangkan juga adalah harga minyak sawit berada di pasaran komoditi. Maka harga minyak sawit bersifat tidak statik sama seperti getah yang mengalami kenaikan harga dan penurunan harga mengikut pasaran dunia.

Sektor peruncitan pula menjanjikan sesuatu yang amat berbeza. Dengan anggaran penduduk Islam di negara ini yang melebihi 10 juta orang, pelaburan terhadap pasar raya besar menjanjikan keuntungan dan kecairan modal yang pantas kecuali jika terdapat situasi salah urus atau masalah lain seperti bencana alam atau peperangan.

Bayangkan dengan kewujudan sebuah pasar raya besar seperti ini, umat Islam di negara ini mempunyai satu pilihan alternatif yang lebih praktikal untuk membeli-belah dan berbelanja. Di samping itu kecairan tunai umat Islam dapat disalurkan kepada satu sistem ekonomi yang turut dipunyai oleh umat Islam sendiri.

Adalah sesuatu yang menarik sekiranya usaha ini dapat menjadi realiti. Andai syarikat-syarikat gergasi peruncitan antarabangsa mampu menembusi negara-negara Islam tidak mustahil juga peluang syarikat milik umat Islam mampu untuk berkembang di negara Islam yang lain adalah besar juga.

Dengan jaringan pasaran industri peruncitan umat Islam yang besar dari negara di Timur Tengah ke negara China, industri ini bukan sahaja mampu menjana ekonomi umat Islam malah dapat membantu memasarkan produk-produk yang dijamin halal dan bersih.

Image Hosted by ImageShack.us
Editor : Adakah maklumat ini berguna untuk anda...?

Contact Me

Sekiranya anda ada sebarang pertanyaan atau cadangan, sila guna borang di bawah :

Template by - Abdul Munir | Daya Earth Blogger Template