Custom Search

Memaparkan catatan dengan label Tamadun dan Islam. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Tamadun dan Islam. Papar semua catatan

Khamis, Februari 05, 2009

Yahudi Peluk Islam 2

Dipetik dari : www.majelisalfath.multiply.com

Aku dilahirkan sebagai seorang Yahudi Rusia. Perjuanganku bermula semasa aku berumur 19 tahun. Keyakinanku terhadap tuhan kerap berbolak-balik. Cita-citaku dalam hidup ini mulanya adalah nak menjadi seorang bintang rock. Aku tinggal di US dan bekerja sebagai setiausaha..... sungguh melucukan..

Suatu malam aku berjalan ke dapur, tiba-tiba ternampak satu lembaga hitam, rupanya kawan serumahku. Aku masih ingat bertanya dia "Boleh tak aku simpan vodka ini dalam peti ais?. Lepas tu kami bersalaman dan kembali ke bilik tidur. Selepas itu, kehidupan aku berubah secara tiba-tiba.

Kawan aku ini adalah seorang muslim. Dia adalah orang Islam yang pertama aku kenali. Oleh sebab terlampau kuat semangat ingin tahu aku pun bertanya kepada dia tentang Islam... Aku Tanya dia pasal sembahyang 5 waktu, perang jihad, siapa Muhammad?

Perbualan kami turut disertai bersama dengan seorang kawan Kristian kami bernama Wade. Jadi kami pun membentuk dialog antara agama Islam, Yahudi dan Kristian. Dalam sesi tersebut kami telah menemui banyak perbezaan dan persamaan.

Tanpa kusedari minatku telah bertukar daripada seks, dadah dan berpesta kepada pencarian mendalam kepada agama. Satu pencarian yang aku perlu lengkapkan. Pencarian kepada tuhan dan pencarian bagaimana untuk mengikuti perintah tuhan.

Dalam kesungguhanku mencari kebenaran, aku bertanya kepada diriku. Ok, kita mula cara mudah, ada berapa tuhan sebenarnya? Aku yakin ada satu je.. sebab kalau banyak tuhan akan jadi lemah sebab pasti berlaku perselisihan dan pergaduhan... Satu tuhan adalah keyakinanku, dan pilihanku.

Suatu ketika dulu aku buka mindaku kepada kemungkinan wujudnya tuhan. Aku analisa pandangan orang yang percaya dan tak percaya. Yang membuatkan aku menyebelahi orang yang percaya adalah ungkapan 'setiap rekaan mesti ada perekanya'. Dengan keyakinan sedemikian dalam diriku akhirnya aku sedar dengan yakin bahwa tuhan itu wujud. Aku masa tu masih tak dapat menjelaskannya tetapi jauh dalam lubuk hatiku aku percaya.

Ketakjuban yang baru aku jumpa ni diikuti dengan rasa tanggungjawab terhadap Penciptaku. Dunia beragama kemudian menjadi tumpuanku.


Lepas tu aku bertanya pada diriku "Mana aku akan mula?" Secara lisan ada ribuan jenis kepercayaan. Aku perlu juruskan kepada hanya beberapa kepercayaan sahaja. Macam mana aku nak selesaikan masalah ini? Mula-mula cari yang percaya pada satu tuhan sahaja. Ini aku masukkan dalam kepala otakku. Tentu sekali ini logik sebab aku hanya percaya pada satu tuhan sahaja."

Ok, lepas tu.. "ini maknanya kita tolak agama Hindu dan Buddha sebab keduanya percaya pada banyak tuhan. Jadi tinggal 3 saja agama yang ada satu tuhan iaitu Islam, Yahudi dan Kristian.... Jadi oleh sebab aku ni Yahudi aku mula dengan Judaism (Ugama Yahudi) terdapat satu tuhan, beberapa Rasul, '10 Commandments', Taurat, jiwa Yahudi...apa,.. apa jiwa Yahudi?

Masa aku buat kajian perkara ini menghantui fikiranku. Ceritanya 'Jika seseorang tu dilahirkan sebagai Yahudi dia ada jiwa Yahudi dan mereka mesti menganut Judaism (agama Yahudi)'.... tunggu jap..kalau macam tu ni dah jadi diskriminasi kan? Sedangkan agama itu patut universal (menyeluruh).

Jadi tuhan juga buat jiwa Yahudi, jiwa Kristian dan jiwa Muslim dan jiwa Hindu? Aku ingat semua manusia diciptakan sama sebagai manusia? Jadi kalau seseorang itu dilahirkan dalam sesuatu agama dengan ketentuan tuhan, maka dia mesti berada dalam agama tersebut walaupun akhirnya seseorang tu mendapati agamanya sesat?...hmmm aku tak percaya ..camtu zalim tuhan..ini mustahil.

Satu hal lagi yang peliknya dalam Judaism tak ada konsep neraka...yang ada syurga je...kalau macam tu kenapa nak buat baikkan? Kenapa hidup ni tak buat dosa je? kan elok? Kalau aku takde rasa takut dengan pembalasan atas kejahatan yang aku lakukan kenapa aku perlu berlaku baik dalam hidup?

Kita teruskan..Aku dapati Christianity (agama Kristian) ok, ada satu tuhan, seorang anak, seorang bapa dan roh suci...macam mana nak kata semua ni satu tuhan 1+1+1 =3 bukan satu? Jadi macam mana yang dikatakan percaya satu tuhan?

Penjelasan lepas penjelasan, persamaan lepas persamaan dan perbandingan lepas perbandingan, analogi lepas analogi.. aku tak dapat terima konsep ini... Ok kita tengok isu lain pula...

Jesus mati disebabkan dosa kita dan dia lakukan sedemikian sebab kita telah dipenuhi dengan 'dosa asli'. Jadi, Jesus Christ anak tuhan perlu dikorbankan untuk menyelamatkan semua orang daripada neraka dan menyembuhkan kita daripada dosa yang diberikan kepada kita oleh Adam..

Ok, kalau begitu maknanya kamu mengatakan bahawa kita dilahirkan sebagai orang yang telah sedia berdosa? Dan untuk jadi orang yang berdosa seseorang itu perlu melakukan satu dosa baru boleh jadi begitukan? Jadi kamu beritahu aku yang bayi yang baru lahir telah melakukan kesalahan berdosa? Yang ni pelik.. takkan sebab kesalahan satu orang semua manusia kena pikul dosanya? Apakah maksud pegangan sebegini? Seksa semua orang walaupun satu orang melakukan kesalahan? Kenapa tuhan buat undang-undang macam tu? Tuhan tak zalim..mustahil... tak logik... aku tak percaya.

Jadi Jesus Christ mati kerana beliau 'mengasihi manusia'.. Nanti dulu dalam Bible disebut Jesus berkata "Bapa, kenapa aku dibuat begini?" Bermakna Jesus tak faham kenapa dia dibunuh secara kejam.. Tetapi kamu kata dia secara sukarela dikorbankan.... Walau apapun aku tetap tak dapat terima kepercayaan begini. Ok, agama selanjutnya adalah Islam....

Islam bermaksud penyerahan diri. Kepercayaan umumnya adalah satu tuhan, solat 5 waktu sehari semalam, infaqkan 2.5% zakat tahunan kepada fakir miskin, berpuasa bulan Ramadan.. dan mengerjakan Haji sekali seumur hidup jika mampu. Ok, tak ada yang sukar untuk difahami.
Tak ada yang bercanggah dengan logik akalku. Al-Quran adalah kitab mukjizat. Banyak bukti saintifik telah diperolehi daripadanya sejak 1,400 tahun yang lalu.

Ok. Islam telah melepasi tapisan awalku tentang keagamaan.. Tetapi aku ingin bertanya beberapa soalan yang mendalam tentangnya.. Adakah Islam itu menyeluruh? Ya.. semua orang boleh faham kepercayaan yang asas ini. Tiada analogi atau persamaan yang diperlukan.. Adakah ianya selaras dengan Sains? Sudah tentu.. terdapat berdozen ayat-ayat al-Quran yang menjelaskan tentang Sains moden dan teknologi.


Semakin aku membuat kajian ke atas ratusan fakta logik yang aku baca dan buat kajian, satu perkara lagi mengetuk fikiranku...yang paling utama sekali Islam.. nama agama. Aku dapati ianya disebutkan banyak kali di dalam Al-Quran.

Walau bagaimanapun, mengingat semula kajianku yang lepas. Aku tak ingat pun melihat satu perkataan Judaism di dalam 'Old Testament" atau Christianity di dalam 'New Testament". Perkara ini amat besar dan mustahak. Kenapakah kita tak jumpa nama agama masing-masing dalam kitab berkenaan? Sebab... memang tidak ada nama agama dalam kitab tersebut ..Saya pun berfikir.. Judaism datang daripada perkataan "Juda" dan "ism" sementara Christinity daripada perkataan "Christ" dan " ianity"...


Jadi siapakah Juda ini? Dia adalah ketua kabilah Hebrew ketika tuhan menurunkan wahyu kepada manusia. Jadi agama ini dinamakan daripada nama seseorang.. Ok.. kita tengok pula siapakah Jesus Christ. Dia adalah orang yang menyampaikan risalah tuhan kepada golongan Yahudi. Jadi, kesimpulannya agama ini dinamakan dengan nama manusia.
Bercanggah dengan fakta, agama Judaism dan Christinity tidak ada disebutkan dalam kitab suci mereka.. Bagi aku ini sangat pelik.. aku tak boleh terima.

Kalaulah aku jual barang dari rumah ke rumah dan aku cakap pada tuan rumah "Tuan nak beli barangan (tiada nama)? Tentu sekali jawapan logik adalah "Apakah barangan (tiada nama) ini dipanggil?.. Pasti saya takkan dapat menjual walau satu produk pun yang tiada nama, bukan ?
Menamakan sesuatu adalah perkara asas manusia menentukan objek baik secara fizikal atau bukan fizikal. Kalau agama yang hendak dianuti dan disebar kepada manusia di atas mukabumi, tentu sekali ianya mesti ada nama.

Sudah tentu sekali nama agama adalah nama yang diberikan oleh tuhan yang maha Esa? Aku yakin macam tu... tepat sekali.. Nama Judaism dan Christianity tidak ditulis dalam kitab suci mereka, manusia yang ciptakannya bukan tuhan. Kenyataan yang tuhan menurunkan agama untuk manusia ikuti tanpa nama adalah mustahil pada pendapat aku... Tak masuk akal.

Pada hujah ini, Judaism dan Christianity dah hilang kredibiliti sebagai asli, logik dan menyeluruh sebagai sebuah agama daripada pandanganku. Islam adalah hanya satu agama yang ada nama agamanya tercatat dalam kitab suci,,,, ini sangat penting dan bermakna bagiku.


Aku kini menyedari aku wajib mengikuti Islam.......kemudian aku mengucap syahadah...aku bersyukur diketemukan dengan kebenaran. Dulu aku dalam kegelapan ..kini aku dalam cahaya kebenaran..

Allahu Akbar.......

Image Hosted by ImageShack.us

Yahudi Peluk Islam

Josh Hassan, yahudi peluk Islam

Susunan SITI AINIZA KAMSARI


Jika saya tidak memeluk Islam, mungkin saya seorang penganut Hindu atau seorang Kristian. Tetapi mengapa saya hendak menyembah seorang Nabi (Nabi Isa a.s) sedangkan baginda sendiri tidak pernah mengaku dirinya mempunyai ciri-ciri ketuhanan untuk disembah oleh manusia.

Demikian pengakuan Josh Hassan, yang dilahirkan sebagai Yahudi. Menjelang usia 10 tahun, kedua-dua orang tua saya memasukkan saya ke Conservative Syanagogogue. Ia terletak di Brookline, Massachussetts yang majoriti penduduknya terdiri dari bangsa Yahudi. Saya dihantar ke situ semata-mata bagi mempelajari bahasa Hebrew dan mendalami agama Yahudi itu sendiri.

Kebanyakan tenaga pengajar terdiri daripada Yahudi dari Israel yang berjaya membuatkan saya percaya kepada kebenaran agama itu. Di usia semuda itu, saya seorang yang percaya kepada wujudnya tuhan. Juga begitu berminat untuk membaca kisah-kisah dari Kitab Taurat dan Kitab Perjanjian Lama yang kesemua ini menjadikan saya menjadi seorang kuat berpegang kepada Yahudi melebihi dari ibu bapa saya sendiri dan rakan-rakan saya yang lain.

Begitu pun ketika dalam pengajian mengenai Yahudi dan Israel di Rumah Ibadat Yahudi itu saya ditemukan dengan satu agama yang agak baru kepada saya, iaitu Islam. Namun yang lebih mengejutkan apabila Islam juga mempercayai Tuhan yang Satu 'sebagaimana' ajaran utama Yahudi. Saya begitu tertarik dengan kepercayaan umat Islam terhadap Allah, kitab suci mereka al-Quran serta menunaikan haji ke Mekah.

Namun, oleh kerana pengajian di situ mempunyai agenda tersembunyi iaitu tarikan kuat terhadap Israel, fikiran saya telah kuat dipengaruhi bahwa Islam terdiri daripada pengganas-pengganas yang sentiasa bertindak kejam dengan menjadikan orang Yahudi sebagai sasaran serangan letupan dinamit.

Saya perlu berpegang teguh bahawa orang Yahudi, merupakan umat terpilih dan orang Arab itu, terdiri daripada mereka yang kesemuanya jahat belaka. Sejak itu saya tidak lagi mendengar mengenai Islam sehinggalah pada tahun 1999.

Dalam tempoh itu, terutamanya dari tahun 1994 hingga 1995 keluarga saya telah menukar daripada ajaran Yahudi yang ortodoks kepada yang lebih liberal yang kami panggil Yahudi Baru (Reform Jews). Melaluinya Rabbi kami bukan lagi kosher. Namun di suatu saat saya mula meragui kemampuan Rabbi, iaitu seorang pemimpin suci sebagai lelaki yang memimpin kesemua penganut Yahudi supaya mendekati Tuhan.

Kekecewaan terhadap agama Yahudi yang semakin tumbuh dalam diri menyebabkan tanpa ada pilihan lain, minat saya kembali semua kepada agama Kristian.

Saya berasa agak kagum ketika itu melihatkan agama Nasrani ini kerana sepertinya agama itu mempunyai kekuatan yang tersendiri setelah sedikit demi sedikit saya mendapati Yahudi merupakan agama yang korup.

Lalu saya melangkahkan kaki buat pertama kali dalam upacara sembahyang di sebuah gereja dan cuba bercakap dengan para paderi ketika itu. Tetapi saya menghadapi saat yang paling sukar yang pernah saya lalui untuk mempercayai Nabi Isa a.s sebagai dewa atau tuhan yang layak untuk disembah. Tetapi saya terpaksa memaksa diri saya untuk menyembah kepada 'Anak Tuhan' itu dengan sedaya upaya tetapi saya masih tidak menemui jawapan.

Oleh kerana saya masih keliru, saya terus mempelajari Catechism (Soal Jawab Kristian) dan mengikut upacara sembahyang tanpa saya melakukan upacara baptis terlebih dahulu. Tambahan pula, saya belum boleh diterima dalam mazhab Katholik kerana seseorang yang hendak memeluk Katholik perlu mempelajari terlebih dahulu selama sembilan bulan.

Tetapi andai kata saya meninggal dunia sebelum sempat sembilan bulan, adakah para paderi tersebut akan bertanggungjawab terhadap status agama saya. Sedangkan mereka tahu saya mempunyai niat memeluk Kristian.

Saya akhirnya tidak mampu untuk menerima Kristian kerana seperti yang saya dengar sebelum ini dan seperti yang saya pelajari, agama itu dipenuhi doktrin-doktrin yang tidak benar.

Pada 26 Januari 1999 saya terus berhenti menghadiri kelas-kelas mengenai ajaran Kristian. Tindakan itu begitu menggembirakan orang tua saya. Tetapi saya masih percaya mengenai wujudnya Tuhan Yang Satu dan sehinggalah pada suatu hari ketika berada di sebuah perpustakaan dan melalui rujukan saya melalui Ensiklopedia Britannica saya menjumpai kisah Nabi Muhammad SAW.

Namun saya amat sedih apabila diceritakan mengenai baginda dikatakan telah menyembelih kesemua orang Yahudi yang berasal daripada pelbagai kabilah terutama semasa baginda berhijrah ke Madinah.

Saya berasa sungguh marah dan keliru dalam masa yang sama, saya telah diajar sedari dulu mengenai tindakan Rasulullah yang membunuh dan menyembelih orang Yahudi menyebabkan kini saya seolah-olah telah kehabisan pilihan.

Namun saya tahu bahawa ensiklopedia itu juga korup dan saya bercadang untuk mengenali rumah ibadat dalam islam iaitu masjid seperti yang disebut dalam ensiklopedia itu.

Sehinggalah pada 28 Februari 1999 saya ternampak sebuah masjid di Jalan Prospect di Boston dan tanpa membuang masa saya mengunjungi masjid tersebut.

Hati saya begitu berdebar-debar kerana saya mudah dikenali sebagai Yahudi dengan identiti yang saya miliki. Sehinggalah saya dibawa menemui anggota jemaah masjid tersebut sebaik sahaja mereka selesai melakukan ibadat.

Saya menyatakan hasrat untuk mempelajari Islam kepada mereka dan tanpa disangka-sangka perkara tersebut disambut baik oleh mereka. Saya umpama dihujani hadiah dalam satu masa yang sama, apabila kesemua lelaki di masjid itu berlumba-lumba memberi penerangan mengenai Islam kepada saya.

Saya begitu terharu dengan sambutan yang diberikan dan merasakan tempoh untuk saya memeluk Islam semakin dekat dan saya cukup bersedia untuk melafazkan kalimah syahadah.

"Tetapi adakah anda pasti? Anda tidak dipaksa untuk melakukan perkara ini (memeluk Islam!)," ujar mereka dalam nada bersaudara dan mesra. Saya agak terkejut dan mengakui saya tidak perlu terburu-buru untuk membuat keputusan sehinggalah saya benar-benar mantap dan mengenali Islam dengan lebih dekat lagi.

Jadi, hari itu saya belum memeluk Islam secara rasmi. Namun ia merupakan hari Sabtu yang indah apabila kami terus berkenalan daripada semua anggota jemaah masjid yang terdiri daripada pelbagai bangsa dan berbeza latar belakang.

Saya mendapati mereka semua mempunyai tujuan dan matlamat yang sama, iaitu menyembah Tuhan yang satu, iaitu Allah SWT. Sehinggalah pada 6 Mei 2000, saya kembali ke masjid, yang ketika itu saya perhatikan para jemaah sedang menunaikan solat zuhur dan sujud kepada Allah.

Saya sudah tidak dapat menunggu lebih lama. Sejurus selesai mereka berjemaah, saya tampil untuk memeluk Islam secara rasmi. Dalam seumur hidup saya, mengucap dua kalimah syahadah itu kemudiannya didapati merupakan perkara terbaik yang pernah saya lakukan. Tetapi kalaulah saya melakukan lebih awal lagi, tidakkah itu adalah lebih baik lagi?!.

Image Hosted by ImageShack.us

Stereotaip kita beranggapan bahawa yahudi itu jahat dan kejam tetapi di dalam al-Quran menyebut bahawa "Sesungguhnya orang-orang yahudi, kristian dan syabiin, iaitu orang-orang yang beriman kepada Allah dan hari akhirat dan mengerjakan perbuatan baik, mereka akan memperoleh upah (pahala) dari Tuhannya (Allah SWT); mereka tidak merasa ketakutan dan menaruh dukacita". al-Baqarah ayat 62.

Jadi, Islam mengajar umatnya tentang kebaikan dan menghulurkan ikatan persaudaraan kepada sesiapa yang ingin mendekati Islam tak kira sama ada dia yahudi atau kristian atau tidak beragama. Dari penjelasan saudara Josh Hassan itu kita boleh tahu bahawa anak-anak yahudi memang telah dididik sejak dari kecil lagi untuk memusuhi Islam dan orang arab. Itu bukan salah dia tetapi itu adalah kesalahan mereka yang mengajarnya untuk menjadi seorang pendendam. Kesalahan masyarakatnya yang mendidik dia sebegitu dan kesalahan penyokong perjuangan masyarakatnya yang bersama-sama memusuhi Islam dan arab. Apabila sudah biasa terdidik sebegitu maka kepercayaan dan keyakinannya amat mendalam terhadap apa yang dipelajarinya.

Justeru itu, umat Islam perlu menggunakan pendekatan baru untuk menerangkan tentang kebenaran Islam. Memanfaatkan media elektronik seperti internet untuk menyampaikan ajaran Islam sebenar. Diluar sana jemaah Islamiyah perlu berterusan menyampaikan pengajaran Islam dan menunjukkan sifat-sifat yang mulia terhadap orang lain. Walaupun ada dikalangan orang Islam itu sendiri yang menjadi perosak, golongan yang menjadi penggerak kepada contoh-contoh Islam yang mulia perlu menggiatkan lagi usaha bukan saja membentuk semula orang Islam yang sudah menyimpang jauh tapi juga dapat menarik lebih ramai orang bukan Islam untuk mendekati ajaran Islam sebenar. Sebagaimana kekuatan Islam itu tertegak dari dua sumber iaitu al-Quran dan hadis maka kekuatan umat Islam juga mesti tertegak dengan dua sumber itu media penyampai dan penggerak kepada usaha penyampaian.

Kelemahan umat Islam hari ini berpunca daripada usaha musuh menyampaikan propaganda memburukkan Islam menggunakan media dan jaringan gerakan melemahkan ajaran dan umat Islam. Hari ini terdapat usaha dikalangan kita untuk mengukuhkan kedua-dua medium ini tetapi belum cukup kuat untuk menandingi usaha musuh Islam yang mendapat dana dan sokongan berterusan. Mungkin seorang yahudi Islam boleh membantu memberi idea atau saranan kepada kita kerana kita sedia maklum bahawa orang yahudi ini mempunyai otak yang bijak dan tau cara-cara bagaimana melahirkan bangsa dan keturunan yang bijak-bijak. Mungkin saudara seperti Josh boleh membantu. Kenapa tidak kita pelajari dari mereka. Fikir-fikirkanlah....

Sabtu, Oktober 18, 2008

P'niagaan Yg Tak Pernah Rugi

“Sesungguhnya orang-orang yang membaca kitab Allah, mendirikan sembahyang dan membelanjakan (dijalan kebaikan) sebahagian dari rezeki yang kami berikan kepada mereka, dengan diam-diam dan terang-terang, mereka itu mengharapkan perniagaan yang tidak pernah rugi”.

(Fathir : 29)

Oleh : HAIRIE

Mereka itu mengharapkan perniagaan yang tidak pernah rugi dalam ayat ini adalah satu ungkapan yang penuh makna dan rahsianya. Persoalannya apakah perniagaan itu? Mengapa ia tak pernah rugi? Persoalan ini memerlukan akal untuk memikirkannya dan mencari sebab mengapa ia dikatakan sedemikian.

Sebelum itu dijelaskan bahawa mereka yang mengharapkan perniagaan yang tak pernah rugi ini adalah orang-orang yang membaca kitab Allah yakni Al-Quran, mereka yang mendirikan sembahyang dan membelanjakan dijalan kebaikan sebahagian rezeki yang diperoleh. Sama ada mereka melakukan semua itu secara diam-diam atau terang-terangan iaitu mereka tidak menunjukkan serta memberitahu kepada sesiapa pun amalan mereka itu atau dengan cara sebaliknya iaitu apa yang mereka perbuat dapat diperhatikan oleh orang lain.

Tidak bermakna dia sengaja hendak menunjuk-nunjuk sebaliknya apa yang diperbuat olehnya sememangnya tak dapat disembunyikan misalnya sembahyang berjemaah atau memberi sedekah secara terbuka di khalayak ramai. Apa yang penting ialah niat dan keikhlasannya melakukan semua itu kerana Allah sama ada secara terang-terangan di depan orang ramai atau dia bersendirian di rumah.

Ini bermakna membaca kitab, mendirikan sembahyang dan membelanjakan sebahagian harta untuk kebaikan adalah satu urusan yang mempunyai nilai yang berharga sehinggakan sesiapa yang mengamalkannya akan diberi ganjaran yang menguntungkan. Apa kaitannya dengan perniagaan? Dalam berniaga ada pihak yang menjual atau menawarkan barang atau perkhidmatan dan ada pihak yang membeli atau menggunakan perkhidmatan tersebut. Setiap barang yang dijual perlu dibayar dengan harga yang setimpal.

Dalam konteks perniagaan ini, apa yang dijual itu ialah kitab Al-Quran, sembahyang dan amalan kebaikan. Adakah ada orang yang mahu membelinya atau menerimanya untuk dikerjakan. Pemilik perniagaan ini yakni Allah menawarkan ganjaran pahala yang besar dan syurga kepada mereka yang mahu mengerjakannya dengan segala kos dan usaha yang dilakukannya sendiri.

Tentunya ganjaran yang diberikan nanti adalah lebih besar dari segala kos dan segala tenaga serta masa yang digunakannya untuk melaksanakan apa yang ditawarkan itu. Kita yang melaksanakannya adalah pembeli dan tentunya dalam usaha tersebut kita menggunakan pengorbanan. Kita korbankan wang ringgit untuk mengerjakan kebaikan, wang ringgit merupakan rezeki yang kita peroleh hasil dari usaha titik peluh kita sendiri di dunia. Adakah kita sanggup korbankan sebahagian rezeki itu untuk melakukan amalan kebaikan. Begitu juga sembahyang, kita korbankan tenaga dan masa kita untuk melaksanakannya sebentar ketika kita sedang sibuk dan asyik dengan urusan dunia. Apakah kita sanggup luangkan sedikit masa dan tinggalkan sementara kesibukan dunia kita untuk menunaikan sembahyang. Manakala membaca kitab Al-Quran merupakan satu usaha untuk mencari kebenaran dengan memikirkan apa yang disampaikan dalam kitab tersebut. Apakah kita mampu memikirkannya dan melaksanakan apa yang diperintahkan dan apa yang dilarang.

Selain itu, terdapat banyak petunjuk serta pengajaran yang boleh diperoleh melalui al-Quran. Kitab Allah ini adalah satu mukjizat yang sangat besar yang perlu diteliti dan dikaji oleh manusia kerana setiap ayat yang disampaikan akan membongkar seribu satu persoalan yang akan memberi kesedaran serta pengajaran untuk kita mencari jalan menjadikan hidup kita lebih baik lagi di dunia bagi mencapai kebahagian serta menjamin kesejahteraan kita di akhirat kelak.

Apabila kita mampu memikirkannya serta mengetahui segala persoalan yang timbul dalam hati dan fikiran kita sudah tentunya kita dapat melakukan apa yang terbaik untuk kita tanpa melengah-lengahkan masa lagi. Kerana kesedaran itu akan menuntut kita supaya sentiasa berubah bagi merebut apa yang ditawarkan dalam perniagaan ini. Inilah yang dinyatakan sebagai perniagaan yang menguntungkan dan tidak pernah rugi kerana apabila kita mampu untuk berubah maka kita mampu memperbaiki diri kita, meningkatkan lagi kualiti hidup kita walaupun mungkin tidak kaya harta benda namun dengan mensyukuri apa yang ada sekarang menjadikan hidup kita rasa selesa tanpa dibebankan dengan pelbagai masalah yang sering dihadapi oleh mereka yang tidak mahu berfikir dan mengambil pengajaran dari apa yang ditunjukkan dari kitab al-Quran, dari apa yang berlaku di sekeliling kita dan apa yang terjadi ke atas orang lain.

Walaupun ada orang yang kaya raya apa gunanya sekiranya ia menjadi rebutan pihak lain, pihak lain disini bermaksud perompak, anak-anak atau waris yang berebut harta keluarga, musuh yang tak senang hati dengan kita sehingga menyaman kita di mahkamah. Bahkan kerana lalai dengan kekayaan itu hasil dari usaha perniagaan di dunia maka kita pun terlupa untuk berniaga dengan Allah, kita tak mau membeli amalan kebaikan, kita tak mau membeli sembahyang dan kitab al-Quran dari Nya. Kita lebih suka membeli kereta mewah, banglo mewah, melancong ke eropah, membeli buku perniagaan dan berfikir untuk meluaskan lagi empayar perniagaan atau kedudukan dalam sesuatu organisasi supaya lebih mudah mendapat banyak keuntungan.

Lalu kita pun terpedaya dan terdedah kepada pelbagai bahaya dan ancaman kerana kita tidak berbuat baik pada orang lain, pada alam ini, pada masyarakat dan rakyat. Kita tinggalkan sembahyang lalu kita akan mudah terpengaruh dengan kejahatan, terdedah pada ancaman dan mudah diburu musuh dan menjadi mangsa. Ini kerana kita tiada benteng pertahanan diri, kita sangat mudah terdedah pada penyakit, kita dengan mudahnya diancam dengan sihir yang menggunakan jin dan iblis sebagai perantara. Kerana kita tidak diberi petunjuk dan tiada kesedaran untuk berfikir tentang segala persoalan kehidupan akibat terlalu sibuk memikirkan tentang keuntungan dunia maka kita akan banyak melakukan kesilapan, kita tidak akan sedar bahawa apa yang kita perbuat itu mendatangkan kemudaratan.

Maka itulah, kekayaan yang diperolehinya nanti akan habis digunakan untuk mengubati penyakit, dirompak oleh pencuri, membayar saman atau kos turun naik mahkamah atau denda hukuman mahkamah, kereta mewahnya remuk akibat kemalangan, rumahnya terbakar dan banyak lagi bencana-bencana yang akan timbul sekiranya kita leka dan menolak perniagaan dengan Allah yang tidak pernah rugi. Itulah akibat mereka yang lalai dengan peringatan Allah lalu Dia menurunkan peringatan kepada mereka dengan menurunkan bencana ke atas apa yang mereka sukai dan sayangi dari harta-harta dan anak-anak serta isteri mereka. Mereka tidak mengharapkan perniagaan dengan Allah kerana mereka merasakan diri mereka mampu berdikari dan mempunyai pangkat, kuasa, kelulusan pendidikan yang tinggi serta mempunyai banyak pengaruh untuk mendapatkan apa yang mereka ingini.

Kita dapat perhatikan dimana-mana saja mereka ini sentiasa dalam kerugian walaupun mereka terus menerus berusaha keras untuk mengumpul kekayaan dunia namun akhirnya apabila mati harta kekayaan itu tidak dibawa sebaliknya hanya amalan mereka iaitu sembahyang, kesan membaca al-Quran dan kebaikan yang pernah mereka lakukan sepanjang hidup di dunia. Itulah perniagaan yang tidak pernah rugi dan ia kelak akan dibalas dengan ganjaran yang setimpal dengan segala kos, masa dan tenaga yang kita gunakan untuk melaksanakannya.

Semoga kita semua mendapat petunjuk untuk memahami apa yang disampaikan dan memikirkan lebih lanjut lagi untuk diri sendiri. InsyaAllah...

Image Hosted by ImageShack.us

Ciri-ciri Orang Beriman

“Kitab itu tiada diragukan, menjadi pemimpin untuk orang-orang yang memelihara dirinya dari kejahatan. Orang-orang yang beriman (percaya) kepada yang ghaib, tetap mengerjakan sembahyang dan menafkahkan (membelanjakan di jalan kebaikan) sebahagian dari rezeki yang kani berikan kepada mereka. Dan orang-orang yang bberiman kepada wahyu yang diturunkan kepada engkau (Muhammasd) dan wahyu yang telah diturunkan sebelum engkau, dan mereka yakin akan adanya hari akhirat. Itulah orang-orang yang mengikut pimpinan Tuhan dan itulah orang-orang yang berbahagia (beruntung).”

( Al-Baqarah : 2-4 )

Oleh : HAIRIE

Intipati utama dalam ayat-ayat ini ialah mengenai ciri-ciri orang yang beriman. Ciri-ciri yang dijelaskan tersebut ialah :

1. Membaca kitab al-Quran dan kitab-kitab sebelumnya
2. Percaya kepada yang ghaib
3. Tetap mengerjakan sembahyang
4. Membelanjakan sebahagian dari rezeki untuk jalan kebaikan
5. Percaya dan yakin kepada hari akhirat

Mereka yang melaksanakan dan tetap dengan ciri-ciri di atas pastinya akan berbahagia atau beruntung. Mengapa berbahagia dan beruntung? Apa yang ada pada kitab-kitab tersebut? apa yang ada pada perkara ghaib? Apa tujuannya bersembahyang? Apa perlunya membelanjakan sebahagian rezeki untuk kebaikan? Apa faedahnya percaya pada hari akhirat? Pastinya persoalan-persoalan ini akan timbul dalam hati sanubari pada diri setiap manusia.

Kitab al-Quran adalah kitab yang memberi petunjuk dan pengajaran kepada manusia, ia merupakan satu mukjizat yang sangat besar sekiranya isi kandungannya difikirkan secara mendalam dan dikaji secara praktikal. Sungguhpun kitab-kitab sebelumnya sukar untuk ditemui seperti kitab Taurat, Zabur dan Injil namun al-Quran adalah pelengkap kepada kitab-kitab tersebut dan menyampaikan apa yang pernah disampaikan menerusi kitab-kitab tersebut. Kalau pun ada kitab-kitab tersebut seperti Injil namun ia tidak asli lagi dan mempunyai banyak versi yang tentunya isi kandungannya berbeza-beza dan telah diubah oleh tangan-tangan manusia sejak kitab itu diulang cetak.

Apa untungnya membaca kitab al-Quran? Sebagai pemberi petunjuk dan pengajaran pastinya ia akan memberi bimbingan kepada kita apa yang boleh dan apa yang tidak boleh. Setiap apa yang disampaikan mempunyai hikmat-hikmat yang tersendiri dan hikmat-hikmat itu hanya akan muncul sekiranya ia diusahakan. Apabila manusia memperoleh keuntungan dari pengajaran ini maka berbahagialah mereka kerana dengan kurnia serta rahmat Allah yang dicari dan ditemui dengan petunjuk dari al-Quran manusia mampu menikmati keuntungan yang tak terduga.

Perkara ghaib adalah sebahagian yang dinyatakan oleh kitab al-Quran untuk manusia mempercayainya. Perkara ghaib amat sukar untuk dipercayai kerana sifat manusia itu yang lebih percaya dan yakin dengan apa yang dapat diperhatikannya secara mata kasar sahaja. Ini kerana sifat kejadian lahiriah manusia itu adalah bersifat zahir dan nyata iaitu disertai dengan deria untuk melihat, merasa, mendengar, menghidu dan menyentuh. Sedangkan perkara ghaib tidak boleh dikesan oleh deria-deria ini.

Namun, ada segelintir manusia yang bijak menyatakan bahawa manusia mempunyai deria ke-6 yang tidak bersifat lahiriah. Barang siapa yang mampu menggunakan deria ini maka dia mampu untuk mencapai sesuatu yang sukar untuk dijangka dan difikirkan oleh seorang manusia biasa. Kepercayaan sebegini sebenarnya adalah lahir dari kepercayaan terhadap perkara ghaib, deria yang mampu mengetahui perkara ghaib akan menjadikan seseorang itu yakin dengan sesuatu yang tidak mustahil. Keyakinannya terhadap apa yang tidak nampak dan tidak terjangkau oleh pemikiran orang lain menyebabkan seseorang itu mampu melaksanakan apa yang orang lain tidak mampu melakukannya, dan seseorang itu akan terus berusaha untuk mencapai apa yang dia yakini.

Sembahyang adalah satu perintah yang boleh memelihara diri daripada kejahatan, faedah-faedah sembahyang tidak nampak dalam masa terdekat tetapi hasilnya boleh diperoleh setelah beberapa lama ia dilakukan. Ini adalah antara salah satu sifat perkara ghaib, walaupun sekarang ini ada antara faedah-faedah sembahyang itu telah boleh difahami dan dirasai oleh manusia namun banyak lagi yang masih belum diketahui.

Sembahyang bukan sahaja membersihkan diri dari dosa yang dilakukan sama ada secara sengaja atau tidak sengaja, ia juga membentuk disiplin seseorang serta merapatkan barisan umat Islam melalui jemaah. Kajian saintis kini menemui setiap pergerakan dalam sembahyang itu mampu untuk memulihkan diri seseorang bukan sahaja secara lahiriah tetapi juga batiniah. Dari segi lahiriah ia bukan semata-mata senaman yang menggerakkan seluruh anggota tubuh badan tetapi juga melancarkan aliran darah dalam diri manusia melalui gerakan berdiri sehinggalah bersujud yang mengalirkan darah dari hujung kaki sehinggalah ke otak. Aliran darah yang lancar bermakna akan menjadikan seorang manusia itu cergas fizikal dan cerdas fikiran.

Sementara dari segi batiniah, sembahyang akan membentuk keyakinan kepada seseorang bahawa setiap kebaikan yang dilakukannya akan dibalas dengan ganjaran yang setimpal. Inilah yang menggalakkan seseorang untuk berusaha melakukan kebaikan dan memperbaiki dirinya untuk meninggalkan sisa-sisa kejahatan yang masih ada pada dirinya. Setiap amalan kebaikan itu tak semudah perlaksanaannya, ia tidak boleh dilakukan secara percuma dan ia perlukan satu pengorbanan.

Lantaran itulah, membelanjakan sebahagian daripada rezeki yang diterima seseorang itu ke jalan kebaikan adalah salah satu pengorbanan untuk mendapatkan ganjaran yang dijanjikan Allah. Pengorbanan itu tidak terbatas hanya kepada wang ringgit sahaja, kurnia Allah kepada manusia tidak hanya pada rezeki sahaja bahkan kurnia Allah sangat banyak dan melimpah. Antara lain-lain kurnia Allah ialah kelapangan masa, kemampuan tenaga dan kecerdasan akal fikiran.

Adakah seseorang itu sanggup mengorbankan masanya untuk jalan kebaikan dengan harapan mendapat ganjaran dan keredhaan Allah? Adakah seseorang itu sanggup mengorbankan tenaganya untuk berusaha melaksanakan apa yang diperintah dan meninggalkan apa yang ditegah? Adakah seseorang itu sanggup mengorbankan kebijaksanaannya dan kepandaiannya untuk kebaikan orang lain dan agama Allah.

Segala apa yang dilakukan manusia itu bermula dengan kepercayaannya terhadap kitab-kitab Allah, percaya kepada perkara ghaib, menunaikan sembahyang dan ibadat lain dan membelanjakan sebahagian rezeki untuk kebaikan adalah semata-mata disebabkan oleh kepercayaan dan keyakinannya terhadap hari akhirat. Setiap apa yang dikerjakannya itu merupakan satu rangkuman kebaikan yang akan dibalas dengan ganjaran yang hanya akan diperoleh pada hari akhirat kelak.

Bahkan ada antara ganjaran itu dikurniakan dahulu semasa masih hidup di dunia namun ganjaran yang lebih besar akan diberikan pada hari akhirat kelak. Hari akhirat mempunyai beberapa fasa dan fasa terakhir ialah apabila setiap orang itu dibalas dengan ganjaran yang paling besar setelah melalui pelbagai tapisan dan halangan yang ia lulus melaluinya. Kejayaan melepasi tapisan dan halangan inilah yang memerlukan rangkuman amalan-amalan kebaikan yang pernah dilakukan semasa masih diberi kesempatan untuk melakukannya semasa masih hidup di dunia.

Dalam mendefinisikan bagaimana seseorang itu boleh menerima ganjaran di akhirat kelak ialah dengan pengiraan timbangan pahala yang diperolehinya bagi setiap amalan kebaikan yang dikerjakan. Jika timbangan pahala itu lebih berat dari dosanya di hari perhitungan akhirat kelak maka layaklah seseorang itu diberi ganjaran sebagai penghuni syurga di mana di dalamnya terdapat pelbagai lagi ganjaran-ganjaran yang tak terjangkau oleh kemampuan manusia untuk memikirkannya. Maka itulah, antara ciri-ciri orang beriman ialah apabila mereka melaksanakan 5 perkara tersebut. Ia adalah pokok utama kepada cabang-cabang amalan-amalan kebaikan yang lain yang akan disampaikan secara lebih lanjut lagi menerusi ayat-ayat al-Quran yang lain kelak.

Jika kita mampu memahami asas-asas bagi ciri-ciri orang yang beriman ini, maka pastinya kita akan mampu memahami penjelasan lanjut yang akan disampaikan oleh kitab al-Quran sama ada secara jelas atau tidak jelas. Namun harus diperingati, ada antara ayat-ayat itu tidak jelas dan pemahaman setiap orang adalah berbeza-beza sehinggakan ada yang tersesat oleh pemahamannya yang tidak tepat. Walaupun begitu, kita tidak boleh menidakkan pemahaman seseorang dan sekadar mampu untuk menasihati supaya fikirkan semula apa yang difahaminya supaya tidak terjatuh ke lembah kesesatan. Sememangnya setiap manusia itu ada kelemahan dan sentiasa melakukan kesilapan. InsyaAllah, Allah sentiasa memberi pimpinan dengan petunjuk Nya kepada mereka yang tidak taksub dengan dirinya dan sentiasa berusaha melakukan kebaikan untuk dirinya dan memperbaiki dirinya dari sebarang kejahatan. Yang baik itu datangnya dari Allah dan yang jahat itu datangnya dari diri kita sendiri.

Image Hosted by ImageShack.us

Jumaat, Oktober 17, 2008

Islam Membentuk Generasi

Peranan Islam dalam Melahirkan Generasi Melayu Tersusun

Oleh :  MOHD. KHAIRI WAN ALI

Al-Quran ada menyebut tentang manusia yang dijadikan berpuak-puak (kelompok kecil), atau kaum (kelompok yang lebih besar) ataupun juga berbangsa-bangsa (yang berada dalam sesebuah negara). 

Sama ada puak, kaum waima bangsa sekalipun, semuanya mempunyai kawasannya (atau wilayahnya) yang tersendiri. Pun begitu, semuanya tidak kekal malah ada yang dihapuskan langsung dari muka bumi.

Cuma Islam turut juga menyebut tentang perubahan kepada nasib sesuatu bangsa. Perubahan ini ke arah keperkasaan. 

Pada titik inilah Islam boleh memainkan peranannya kepada manusia yang inginkan panduan dan pedoman dalam mengharungi cabaran kehidupan yang sungguh besar, kompleks dan rumit ini.

Dari sini, dapatlah disenaraikan saranan Islam kepada generasi Melayu yang inginkan penyusunan. Lapisan susunannya ialah:

  1. Menjaga institusi keluarga, termasuklah peranan suami sebagai ketua keluarga, dan isteri tetap sebagai sumber bantuan atau sokongan kepada si suami yang bertindak di atas keputusan keluarga;
  2. Mengekalkan musyawarah dalam komuniti Islamnya (dalam sesuatu kawasan), termasuklah menentukan wakil yang dipilih daripada yang terbaik antara warga komuniti;
  3. Menguruskan sumber - kekayaan dan populasi - komuniti Islam (yang berpaksikan tatacara zakat dan baitulmal) secekap mungkin;
  4. Tetap merujuk kepada keputusan ramai sebagai tunjang tindakan demi mengelak kontroversi atau perselisihan;

Dengan erti kata lain, bukanlah status raja, majlis (atau organisasi), ulama, tokoh dan sebagainya yang menjadi susunan dalam kehidupan yang bertakhtakan Islam. 

Ini kerana susunan sedemikian bukanlah susunan kehidupan untuk sesebuah generasi tetapi adalah peranan-peranan yang boleh dimainkan hasil daripada ilmu, status, kedudukan yang ada pada mereka. 

Lagi pun Islam menekankan aspek 'yang terbaik' untuk dijadikan asas dalam pemilihan pemimpin atau ketua. Ini sekali lagi, bererti bukan susunan atau status yang dititikberatkan, tetapi kualiti dan kemampuan untuk menjalankan tugas/peranan. 

Mereka boleh datang dari keturunan raja- raja, atau pun golongan intelek dan ulama. Apa yang penting ialah kesanggupan untuk menjadi ketua, yang pastinya satu jawatan yang perlu dijalankan mengikut keadilan, amanah, kebijaksanaan dan keberanian.

Sungguh pun begitu, sememangnya tidak boleh dinafikan bahawa semua pihak tersebut diperlukan untuk memajukan sesebuah generasi, tetapi ini bukanlah paksi kehidupan. 

Keharmonian dalam sesebuah keluarga akan menggambarkan keadilan yang dilaksanakan, kesamarataan dalam pembahagian hak, kebijaksanaan dalam pengurusan keluarga dan sebagainya, termasuklah ketokohan kepimpinan si suami, serta dokongan daripada si isteri adalah paksi kehidupan. 

Seterusnya kecemerlangan keluarga ini boleh dijadikan asas kepada peranannya di peringkat yang lebih tinggi iaitu di tahap komuniti pula, dan seterusnya ke satu kawasan atau wilayah yang lebih besar seperti sebuah negara. 

Demikianlah paksi kehidupan Islam. Perlu juga dinyatakan di sini, jika kehidupan itu tidak berpaksi, maka umatnya akan menjadi seperti buih yang boleh diapung dan dibawa oleh mana-mana arus yang melanda. Ketika arus meganya ialah Barat, maka buih itu pun menghala ke Barat. 

Bila Rusia menawarkan teknologi nuklear, maka buih pun bergerak ke Rusia. Dan jika Barat jatuh - satu situasi yang besar kemungkinannya berlaku akibat krisis kewangan kapitalisme Barat yang sedang runtuh dek tidak mengamalkan dasar sandaran emas kepada mata wang - ke mana agaknya buih itu akan dibawa oleh arus tersebut? 

Tentunya Islam, kerana Islam tetap dengan paksi sandaran emasnya, seperti yang termaktub dalam kewangan dinar dan Malaysia adalah yang terulung dalam mekanisme dinar ini.

Sebagaimana yang telah diketahui umum, Islam adalah panduan dan pedoman. Maksudnya, terpulang kepada mana-mana bangsa atau umat manusia untuk memanfaatkannya atau pun menolaknya. 

Apa yang pasti, paksi kehidupan Islam jelas terpacak di dalam al-Quran dan Sunnah, sama seperti mata wang dinar yang bersandarkan emas.

Tegasnya, paksi susunan ialah kesatuan (seperti dalam institusi keluarga) dan musyawarah (yang menentukan suara majoriti).

Persoalannya, apakah akan terjadi jika dituruti susunan raja-majlis-ulama-tokoh-dan seterusnya? 

Jawapannya boleh, tapi apakah ada kesatuan dan musyawarah? Kalau ada, di tahap kewibawaan mana?

Image Hosted by ImageShack.us

Ahad, September 14, 2008

Mukjizat Al-Quran

Al-Quran mukjizat terbesar Rasulullah SAW

Oleh : Nasron Sira Rahim
bhnews@bharian.com.my


Kandungan kitab miliki rahsia mengenai kehidupan perlukan kajian mendalam


RABU ini (17 Sept. 2008), sekali lagi umat Islam menyambut ulang tahun peristiwa terbesar dalam sejarah Islam iaitu turunnya al-Quran, mukjizat terbesar Allah SWT kepada Nabi Muhammad SAW pada 17 Ramadan yang turut dikenali sebagai Nuzul Quran.

Ada ulama berpendapat al-Quran diturunkan kepada Rasulullah untuk disampaikan kepada seluruh umat manusia menerusi tiga peringkat. Peringkat pertama, al-Quran diturunkan Allah secara keseluruhannya ke suatu tempat dinamakan Lauhil Mahfudz.

Peringkat kedua, al-Quran dibawa keseluruhannya dari Lauhil Mahfudz ke Baitul Izzah iaitu suatu tempat yang terletak di langit dunia. Proses ini berlaku pada malam lailatul qadar seperti firman-Nya dalam ayat pertama surah al-Qadr: "Sesungguhnya Kami menurunkan (al-Quran) ini pada malam lailatul qadar."

Seterusnya, al-Quran diturunkan dari langit dunia kepada Nabi Muhammad menerusi perantaraan malaikat Jibrail AS secara berperingkat dan turunnya ayat pertama adalah pada 17 Ramadan bersamaan 6 Ogos 610.

Peristiwa penurunan ayat pertama hingga kelima dari surah al-Alaq itu juga menjadi petanda kerasulan Nabi Muhammad ketika Baginda berada di Gua Hira, di bukit Jabal Nur berhampiran Makkah.

Ayat itu adalah: "Bacalah (wahai Muhammad) dengan nama Tuhanmu yang menciptakan (sekian makhluk). Ia mencipta manusia daripada segumpal darah. Bacalah, dan Tuhanmu Yang Maha Pemurah. Yang mengajar manusia melalui pena dan penulisan. Ia mengajarkan manusia akan apa yang tidak diketahuinya."

Ayat al-Quran mengandungi 114 surah diturunkan selama 23 tahun dengan 13 tahun di Makkah (1,456 ayat) dan sepuluh tahun di Madinah (4,780 ayat).

Selepas disampaikan Rasulullah, nas al-Quran dipelihara melalui tiga cara iaitu hafalan sahabat, naskhah yang ditulis untuk nabi serta naskhah yang ditulis untuk simpanan sahabat. Selain itu, Rasulullah turut mengulang ayat al-Quran di hadapan Jibrail setahun sekali dan pada akhir hayat Baginda, Rasulullah khatam al-Quran sebanyak dua kali di hadapan Jibrail.

Bagaimanapun, kebanyakan sahabat yang menghafaz al-Quran syahid dalam peperangan menegakkan agama Allah menyebabkan perlunya al-Quran dikumpul dan dijilidkan.

Sejarah penjilidan al-Quran bermula pada pemerintahan Uthman Affan dan setiap nas disusun mengikut tertib ditunjukkan Rasulullah sebelum Baginda wafat. Uthman menubuhkan jawatankuasa khas untuk membukukan al-Quran diketuai Zaid bin Tsabit selain Abdullah bin Zubair, Sa'id 'Ash dan Abdur Rahman bin Harits bin Hisyam.

Jawatankuasa itu mengumpul serta menyalin nas al-Quran hingga dibukukan selain memperoleh lembaran nas yang disalin Abu Bakar as-Siddiq daripada puterinya Hafsah. Antara lain, jawatankuasa itu menjejak penghafaz al-Quran untuk mendengar hafalan mereka dan semua hafalan itu ditulis kembali dalam dialek Quraish untuk mengelakkan perbalahan sesama kaum.

Akhirnya, jawatankuasa itu berjaya menyalin serta menjilid lima al-Quran yang dinamakan al-Mushhaf dan empat daripadanya dikirimkan ke Makkah, Syria, Basrah dan Kufah untuk disalin pihak di sana. Sebuah lagi al-Quran disimpan untuk kegunaan Uthman RA dinamakan Mushhaf al-Imam dan selepas itu, semua lembaran salinan al-Quran yang ditulis sebelum pembukuan dibakar.

Ayat al-Quran turut memiliki rahsia tersendiri mengenai kehidupan yang disampaikan kepada manusia secara jelas atau memerlukan kajian mendalam. Hal ini diakui Allah menerusi firman-Nya: "Inilah ayat-ayat al-Quran yang mengandungi hikmah." (Surah Yunus, ayat pertama).

Allah sudah menerangkan secara jelas mengenai pelbagai fakta sains yang melampaui pemikiran manusia walaupun pada masa ayat al-Quran diturunkan, zaman ketika itu masih dianggap kuno dan belum terdedah kepada ilmu sains.

Antara fakta sains yang ditemui dalam al-Quran iaitu semua cakerawala bergerak secara terapung (Yaasiin: 40), bumi bergerak (An-Naml: 88), atom adalah benda terkecil (Yunus: 61), semakin tinggi semakin sukar bernafas (Al-An'aam: 125), makhluk berpasangan (Adz-Dzaariyaat: 49), proses kejadian manusia (Al-Mu'minuun), kegunaan besi (Al-Hadiid: 25) dan langit yang terkawal (Al-Anbiyaa': 32).

Selain itu, kajian lain yang dijalankan mendapati jumlah sesetengah perkataan yang berlawanan dalam bahasa Arab adalah sama antaranya perkataan dunia dan akhirat disebut masing-masing sebanyak 115 kali.

Perkataan lain adalah malaikat dan syaitan (88 kali), hidup dan mati (145 kali), faedah dan kerugian (50 kali), kesusahan dan kesabaran (114 kali), lelaki dan perempuan (24 kali), ummah dan penyampai (50 kali), iblis dan memohon perlindungan daripada iblis (11 kali), musibah dan bersyukur (75 kali), bersedekah dan berpuas hati (73 kali) serta zakat dan berkat (32 kali).

Golongan muslimin dan jihad (41 kali), emas dan kemurahan hidup (lapan kali), keajaiban dan fitnah (60 kali), minda dan nur (49 kali), lidah dan sumpah (25 kali), nafsu dan ketakutan (lapan kali), bercakap di khalayak ramai dan berdakwah (18 kali).

Jumlah perkataan lain yang dianggap ajaib ditemui adalah solat (lima kali), bulan (12 kali), tahun (365), lautan (32 kali) dan daratan (13 kali). Jumlah lautan dan daratan ini apabila ditukar dalam bentuk peratus adalah bersamaan dengan jumlah sebenar kawasan laut dan darat yang ada di dunia ketika ini iaitu masing-masing 71.111 peratus dan 28.889 peratus.

Misteri yang terkandung dalam ayat al-Quran ini membuktikan kitab berkenaan bukanlah rekaan seorang manusia melainkan ia dihasilkan oleh suatu kuasa yang mentadbir seluruh alam ini yakni Allah.

Image Hosted by ImageShack.us

Sabtu, September 13, 2008

Kecintaan Pada Dunia

KEHINAAN MEREKA YANG CINTAKAN DUNIA

AL-QURAN berdepan dengan masyarakat jahiliah, adalah suatu gambaran bagaimana risalah Islam mencabar fahaman kebendaan bila dan dimana saja. Allah s.w.t telah pun mengisahkan melalui wahyu makki. Keseluruhan surah ayat-ayat yang turun di Makkah, memperlihatkan sikap Al-Quran terhadap manusia yang berfahaman kebendaan, materialisme atau orang-orang jahiliah.

CIRI-CIRI DAN SIFAT MANUSIA MATERIALISME

1. Egois, Bangga dengan Keakuan Diri

Al-Quran menyebutkan salah satu diantara sifat mereka adalah, angkuh terhadap keakuan diri. Egois ini berpunca dari cinta diri secara benlebih-lebihan, khususnya pada peringkat masa kanak-kanak, bagi manusia yang bersandarkan kepada benda semata.

Al-Quran mengingatkan kita pada sebahagian orang mukmin yang kembali kepada keputusan semula (mengingkari janji setia berperang) kerana kekalahan yang mereka terima di medan pertempuran Uhud. Allah s.w.t. berfirman, yang maksudnya: “Dan segolongan telah memperhatikan diri sendiri, mereka menyangka yang tidak benar terhadap Allah sw.t, seperti sangkaan jahiliah." (Al-Imran: 154)

Ayat ini mendedahkan sikap segolongan masyarakat mukmin yang ikut berperang di medan pertempuran Uhud, yang hanya memikirkan diri sendiri bagaimana dapat menyelamatkan daripada mara bahaya yang dihadapi. Sangkaan mereka bahawa keselamatan hidup itu bukan di medan pertempuran.

Firman Allah s.w.t. yang bermaksud: “Mereka berkata, apakah ada bagi kita sesuatu dalam urusan ini. Katakanlah sesungguhnya urusan itu seluruhnya di tangan Allah s.w.t. Mereka menyembunyikan di dalam hati mereka apa yang tidak mereka terangkan kepadamu. Mereka berkata, sekiranya ada bagi kita sesuatu (hak campur tangan) dalam urusan ini, nescaya kita tidak akan dibunuh di sini. Katakanlah jika sekiranya kamu berada di rumahmu, nescaya orang-orang telah ditakdirkan akan mati terbunuh itu keluar (juga) ke tempat mereka terbunuh". (Al-Imran: 154)

Pengertian ayat ini, bermakna Al-Quran menjawab, sekaligus menolak pemikiran mereka bahawa dengan jauhnya dari medan pertempuran akan terselamat daripada mati. Mati dan hidup perkara yang telah ditentukan oleh Allah s.w.t. Dan datangnya, seseorang tidak mengenal tempat di mana dia mati, sekali pun ia berada di dalam numahnya. Pemikiran mereka bermaksud ingin lari dari kesusahan. Kesengsaraan menanggung akibat perang, mempertahankan jiwa dan kesukaran menerima akibat-akibat tententu bagi diri mereka.

Ciri-ciri seperti ini adalah sebahagian tanda orang-orang jahil dan manusia materialisme. Tetapi, bagi orang yang beriman akan berfikir kehidupan orang lain, sebagaimana mereka berfikir untuk kehidupan dirinya.

2. Bermegah Dengan Darah Kebangsawanan

Di antara sifat atau ciri-ciri manusia yang berfahaman kebendaan itu ialah, rasa megah dengan darah kebangsawanan. Seperti kaum Nabi Nuh a.s. yang berasal dari kelompok darah kehormat yang mengkehendaki pengikut risalah Nabi Nuh a.s. hanya terdiri daripada golongan mereka sahaja. Dan tidak sukakan kaum lain dan fakir miskin turut sama dengan mereka.

Oleh kerana itu, risalah yang dibawa baginda tidak dapat membezakan pengikut yang beriman diantara mereka. Mereka menyatakan rasa bangga sebagai salah satu sebab mereka tidak beriman dengan ajaran itu. Mereka beranggapan hidup bersama kaum dhaif akan menjatuhkan darjat kebangsawanannya. Allah s.w.t. tegaskan sikap mereka itu dalam firmanNya, yang bermaksud: “Mereka berkata, apakah kami akan beriman kepadamu, padahal yang mengikuti kamu adalah orang-orang yang hina.” (Asy-Syu'ra: 111)

Demikian juga Al-Quran mengisahkan orang-orang jahiliah dan kaum materialisme di Semenanjung Arab pada zaman Nabi Muhammad s.a.w., iaitu di mana mereka menolak risalah kenabian baginda dan kemukjizatan Al-Quran. Dalilnya kerana Allah s.w.t. tidak mengutus rasul dari salah satu di antara orang-orang besar atau pemimpin mereka di Makkah atau di Taif. Dalil mereka itu terungkap jelas dalam Al-Quran, seperti firman Allah s.w.t., yang bermaksud:
“Dan mereka berkata, mengapa Al-Quran ini tidak diturunkan kepada seorang besar dan salah satu dua negeri (Makkah dan Taif)". (Az-Zukhruf : 31)

Adat resam dan tradisi masyarakat jahiliah, tidak mengizinkan yang bukan orang kaya atau bukan berasal dari keluarga pemimpin diangkat menduduki kepemimpinan mereka. Hal ini, Rasulullah s.a.w. bukanlah berasal dari salah satu kedua-dua golongan itu. Dan bukan pula yang lebih sesuai menjadi Rasul mengeluarkan kata-kata kebenaran kepada mereka menurut pandangan orang-orang Jahiliah.

3. Rasa Bangga Dengan Harta dan Kekuatan

Suatu perkara biasa bagi manusia bermegah diri dengan harta dan kekuatan, seperti Allah s.w.t. terangkan di dalam Al-Quran mengenai jawapan kaum Saba yang menentang risalah Nabi Sulaiman a.s. “Mereka berkata: Kita adalah orang-orang yang memiliki kekuatan dan juga memiliki keberanian yang sangat. Terpulanglah perintah engkau wahai tuan puteri, maka lihatlah apa yang engkau perintahkan". (An-Naml: 33)

Al-Quran menunjukkan bahawa bagaimana dugaan mereka di dalam menghadapi musuh dengan ketiadaan kekuatan lain kecuali kekuatan kebendaan. Banyak lagi ayat Al-Quran yang menyatakan dugaan mereka itu keliru dan tidak tepat. Malah lebih jauh dari itu, mereka merasa bongkak dan sombong dengan kekuatan material yang dimiliki. Allah s.w.t. telah pun berfirman, yang maksudnya: “Dan Kami tidak mengutus kepada sesuatu negeri seorang pemberi ingatan, melainkan orang yang hidup mewah di negeri itu, mereka berkata : Sesungguhnya kami mengingkari apa yang kamu diutus untuk menyampaikannya. Dan mereka berkata: Kami lebih banyak mempunyai harta dan anak (daripada kamu) dan kami sekali-kali tidak akan diazab" (Al-Saba: 34-35)

Al-Quran telah mencatat kesombongan kaum 'Ad yang menolak risalah Nabi Hud a.s. Hal ini dinyatakan Allah s.w.t. dalam firmanNya yang bermaksud: “Adapun kaum ‘Ad maka mereka menyombongkan diri di muka bumi tanpa alasan yang benar, dan mereka berkata, siapakah yang lebih besar kekuatannya dari kami". (Al-Fussilat: 15)

4. Memandang Rendah Orang Awam.

Yang dimaksudkan di sini ialah adanya rasa diri lebih unggul, berbangga dengan kekuatan kebendaan dan harta yang dimiliki sehingga merendahkan dan meremehkan orang-orang hina yang melaungkan dakwah dan meremehkan kemanusiaan yang tinggi, keadilan dan kasih sayang.

Anggapan mereka tidak ubah seperti orang yang tidak berguna, dan tidak sepatutnya bercakap sedemikian. Demikianlah penghinaan yang diterima Nabi Musa a.s, yang mendapat hinaan dari Firaun. Seperti firman Allah s.w.t. yang bermaksud: “Dan Firaun berseru kepada kaum (seraya) berkata. Hai kaumku, bukankah kerajaan Mesir ini kepunyaanku dan (bukankah) sungai-sungai ini mengalir di bawahku maka apakah kamu tidak melihatnya. Bukankah aku lebih baik dari orang yang hina ini yang hampir tidak dapat menjelaskannya (perkataannya).

Mengapa tidak dipakaikan kepadanya gelang dari emas (maksudnya kenapa Tuhan tidak memakaikan gelang emas kepada Musa sebab menurut adat kebiasaan mereka apabila seseorang akan diangkat menjadi pemimpin, mereka mengenakan gelang dan kalung emas kepadanya sebagai tanda kebesaran) atau malaikat datang bersama-sama dia untuk mengiringinya". (Az-Zukhruf : 51-53)

Nabi Muhammad s.a.w. di dalam menghadapi masyarakat materialisme jahiliah tidak jarang pula menerima perlakuan yang kurang manusiawi, dihina dan diperolok-olokkan. Allah s.w.t. berfirman yang bermaksud: “Dan apabila orang-orang kafir itu melihat kamu, mereka hanya membuat kamu menjadi olok-olok. Mereka mengatakan, apakah ini orang yang mencela tuhan-tuhanmu, padahal mereka adalah orang-orang yang ingkar mengingat Allah s.w.t yang Maha Pemurah". (Al-Anbia : 36)

“Dan berkatalah pemuka-pemuka kafir diantara kaumnya dan yang mendusta akan menemui hari akhirat kelak dan yang telah Kami mewahkan mereka dalam hidupan di dunia. Orang ini tidak lain hanyalah manusia seperti kamu, dia makan yang kamu makan, dan meminum dari yang kamu minum. Dan sesungguhnya jika kamu sekalian mentaati manusia yang seperti kamu, nescaya bila demikian, kamu benar-benar menjadi orang yang merugi.” (Al-Mukminun : 33-34)

Sebagai garis umum di dalam masalah ini Al-Quran menyampaikan kepada kita bahawa orang-orang materislisme dipengaruhi di dalam kehidupan mereka dari dua hal.

  1. Pertama : Tertipu dengan kemewahan dan kemilauan harta benda.
  2. Kedua: Menghina dan mengolok-olok orang-orang yang beriman.
Dalam hal ini Allah s.w.t. menyatakan dalam firmanNya yang bermaksud: “Kehidupan dunia ini dihiasi dalam pandangan orang-orang kafir dan menghina orang-orang yang beriman.” (Al-Baqarah : 212)

5. Takbur (Sombong)

Kesombongan adalah pintu gerbang masuknya rasa memuji diri berlebih-lebihan. Dengan kesombongan, takbur boleh memalingkan dan memesongkan pandangan agama kepada rasa bongkak, takbur. Takbur pangkat, jabatan, keturunan, harta atau juga banyak anak. Dalam waktu yang sama, mereka pula memandang rendah dan mengecilkan erti dan peranan orang lain. Orang sombong meniti jalan melawan, menentang yang benar dan mendukung kebatilan.

Allah s.w.t. berfirman menyifatkan orang seperti ini dalam firmanNya yang bermaksud: "Aku akan memalingkan orang-orang yang menyombongkan dirinya di muka bumi tanpa alasan yang benar. Jika melihat kekuasaanKu, mereka tidak beriman kepadanya. Dan jika melihat jalan yang membawa kepada petunjuk, mereka tidak mahu menempuhnya. Yang demikian itu adalah kerana mereka mendustakan ayat-ayat Kami dan mereka selalu lalai daripadanya.” (Al-A’raf : 146)

Orang sombong (takbur) ialah orang yang melampaui batas. Mereka lebih mengutamakan kehidupan dunia, pangkat atau darjat, harta benda atau kefanatikan lain-lain sifat. Allah s.w.t. ada menyatakan dalam firmanNya yang bermaksud: “Adapun orang yang melampau dan lebih mengutamakan kehidupan dunia, maka sesungguhnya nerakalah tempat kediamannya". (An-Nazi’at: 37-39)

6. Kedekut dan Tamak Haloba.

Kedekut adalah satu sifat egois yang melekat pada diri manusia materialisme. Bakhil menafkahkan hartanya dan kedekut membantu orang-orang yang perlu ditolong sebagai tanggungjawab hidup bersama dengan masyarakat lain. Al-Quran telah melukiskan sifat-sifat mereka dengan ucapan, sebagaimana firman Allah s.w.t. yang bermaksud: “Dan apabila dikatakan kepada mereka, nafkahkanlah sebahagian dari rezeki yang diberikan Allah s.w.t. kepadamu, maka orang-orang kafir (manusia materialisme) berkata kepada orang-orang yang beriman : Apakah kami akan memberi makan kepada orang-orang yang jika Allah s.w.t. menghendaki tentulah Dia akan memberinya makan? Ingatlah, kamu ini berada dalam kesesatan yang nyata.” (Yasin : 47)

Ayat ini menerangkan bagaimana jawapan kaum kafir materialis terhadap permintaan orang-orang mukmin untuk menyedekahkan sedikit hartanya buat orang-orang yang berhajat dan amat perlu mendapat pertolongan dan bantuan. Jawapan yang terkeluar dari mulut mereka melainkan olok-olok kepada orang yang beriman.

Mereka berkata, permintaan itu tidak semestinya kepada kami dan sepatutnya minta kepada Tuhanmu. Sebab Tuhanmu punya kuasa, maka lebih utama bagi orang-orang mukmin memohon kepadaNya untuk memberi makan orang-orang yang perlu dibantu. Jawapan mereka ini dipenjelaskan di dalam firman Allah s.w.t. yang bermaksud: “Mereka menjawab : Kami (orang-orang materislisme) dahulu tidak termasuk orang-orang yang mengerjakan solat. Dan kami tidak pula memberi makan orang-orang miskin (kerana egois). Dan adakah kami memperkatakan yang batil bersama dengan orang yang memperkatakannya (iaitu perbincangan yang menodai dan memutar belitkan kebenaran Islam, bermakna mempertahankan kedudukan kepemimpinan mereka). Dan adakah kami mendustakan hari pembalasan (sebab mereka percaya kepada dunia saja)". (Al-Mudassir: 4346)

Selain sikap kedekut mereka itu, disertai pula dua sifat yang membawanya semakin teruk iaitu : Sifat bermusuhan dan sifat menyekutukan Allah s.w.t. Allah s.w.t. telah pun mengancam mereka dengan mencampakkannya ke dalam neraka kelak, seperti firmanNya yang bermaksud: “Humbankanlah olehmu berdua dalam neraka setiap orang yang ingkar berdegil. Yang sangat-sangat menghalangi suatu kebajikan, melanggar hukum agama, lagi meragui kebenaran. Yang menyembah benda lain beserta Allah s. w.t., maka humbankanlah mereka ke dalam seksaan (azab) yang sangat pedih". (Qaf: 24-26)

7. Suka Membantah dan Mengada-adakan

Al-Quran menyifatkan manusia materialisme adalah orang yang suka membantah dengan memberikan alasan yang salah (batil) bila berbincang dengan orang-orang yang benar. Menggunakan jawapan kebatilan itu bermaksud bersandar atau berselindung kepada tujuan-tujuan tertentu. Sesuatu yang benar, tidak akan mungkin selari dengan keinginan yang hendak mereka capai. Oleh itu, untuk menjaga tujuan-tujuan itu, mereka bertungkus-lumus mendukung dan menumpang pada kebatilan agar keinginan mereka menjauh dari kebenaran.

Allah s.w.t. ada menyebutkan dalam firmanNya yang bermaksud: “Orang-orang yang kafir membantah dengan yang batil agar dengan demikian mereka melenyapkan yang hak". (Al-Kahfi : 56)

8. Ingkarkan Hari Kiamat

Selama mereka itu di bawah tipu daya dan kilauan kehidupan dunia, selama itu pula mereka tidak melihat akan akhirnya (kiamat) dunia yang fana itu. Mereka buta terhadap pahala dan dosa di dalam kehidupan dunia yang terhad ini. Tujuan-tujuannya ialah bagaimana dapat atau tidak, harta dunia. Mereka beranggapan tiada dunia lain (akhirat) kecuali dunia ini saja.

Demikianlah keadaan manusia, ekoran mendambakan hawa nafsu di hadapan mereka, seperti apa yang ditunjuk oleh Allah s.w.t. dalam farmanNya yang bermaksud: “Dijadikanlah pada pandangan manusia kecintaan kepada apa-apa yang diingini iaitu: wanita, anak-anak, harta yang banyak dari jenis emas, perak, kuda pilihan, binatang ternak dan sawah ladang. Itulah kemewahan hidup di dunia dan di sisi Allah s.w.t tempat kembali yang baik (Syurga)". (Al-lmran : 14)

Tetapi, manusia yang berfahaman kebendaan serta egois, tetap berkeyakinan dan mempertahankan kehendak nafsu duniawi. Sehingga tidak disedari, bahawa gerak-geri mereka telah dikuasai oleh nafsu tamak dunia semata-mata yang pada akhirnya akan mengingkari hari kebangkitan, iaitu hari kiamat. Allah s.w.t. ada berfirman yang bermaksud: “Apakah Ia menjanjikan kepada kamu sekalian, bahawa bila kamu telah mati dan menjadi tanah dan bertulang-tulang, kamu sesungguhnya akan dikeluarkan (dari kuburmu). Jauh sekali (dari kebenaran) apa yang diancamkan kepada kamu itu. Kehidupan itu, tidak lain hanyalah kehidupan kita di dunia ini, kita mati dan kita hidup dan sekali-kali tidak akan dibangkitkan lagi". (Surah Al-Mukminun: 35-37)

Sikap mereka yang tidak percaya akan adanya hari kebangkitan sesudah mati, menunjukkan bahawa:
  1. Pertama: Mereka itu tertipu oleh kehidupan dunia.
  2. Kedua: Tak kisah atau berpura-pura bodoh dengan adanya hidayah Allah s.w.t. dan risalah Nabi s.a.w. kepada umat manusia seluruhnya.
Firman Allah s.w.t. yang bermaksud: “Sesungguhnya mereka itu tidak mengharapkan (tidak percaya) pertemuan dengan Kami, dan merasa puas dengan kehidupan dunia serta merasa tenteram dengan kehidupan itu, dan mereka melalaikan ayat-ayat Kami.” (Yunus : 7)

( Sumber : Majalah Hidayah )

Image Hosted by ImageShack.us

Jumaat, September 12, 2008

Islam Akhir Zaman

AKHIR ZAMAN NANTI ISLAM HANYA TINGAL NAMA

Oleh : Ahmad Idris

Ulama terkenal yang mendapat julukan "Hujatul Islam”, Imam Al-Ghazali dalam kitab HIDAYAHNYA menjelaskan:

Ketahuilah bahawa agama Isam itu berisikan dua hal :

  • PERTAMA : meninggalkan semua larangan-larangan Allah,
  • KEDUA : Adalah menunaikan segala perintah-perintahnya. Dan yang dua hal ini, yang lebih berat adalah meninggalkan larangan-larangan Allah, dan yang kedua adalah menunaikan perintahnya.
Sebab tidak ada yang mampu untuk meninggalkan larangan-larangan Allah, kecuali orang-orang yang sudah sampai kepada tahap “shiddiqiin”.

Empat belas abad yang lalu, pada saat-saat keemasan Islam bermula dibawah pimpinan baginda Muhammad s.a.w, Islam menjadi kebanggaan umat. Pengaruh Islam dengan cepat menyebar hampir ke seluruh dunia, pada hal jumlah umat Islam ketika itu baru sedikit kalau dibandingkan dengan yang lainnya.

Ini tidak lain berkat kekuatan akidah Islamiyah yang tertanam dengan kukuh dalam jiwa umat Islam ketika itu, dan ketaatan mereka dalam menjalankan agama sesuai dengan tuntutan Allah dan RasulNya, berdasarkan satu hukum yang bersumberkan dari Al-Quran.

Pada waktu itu Nabi Muhammad s.a.w memperingatkan kepada sahabat-sahabatnya, bahawa kelak di akhir zaman Islam hanya tinggal nama saja. Sebagaimana yang disebutkan oleh baginda dalam hadis riwayat Imam Baihaqi bersumber dari Ali r.a. yang ertinya: “Akan datang pada manusia satu zaman, dimana pada saat itu Islam tidak tinggal melainkan namanya, dan Al-Quran tidak tinggal melainkan tulisannya, masjid-masjid bagus tetapi kosong dari Hidayah, ulama-ulama termasuk manusia paling buruk yang berada di bawah langit, kerana dari mereka
timbul beberapa fitnah dan fitnah itu akan kembali kepada mereka.”

Dalam hadis tersebut dijelaskan bahawa kelak datang suatu masa dimana Islam akan tinggal nama saja, dan Al-Quran tinggal tulisannya saja, masjid-masjid kosong dari hidayah, serta ulama menjadi manusia yang paling jelek. Mengapa boleh terjadi Islam tinggal nama sahaja? Kerana banyak orang mengaku Islam, tetapi perbuatan sehari-hariannya, tidak mencerminkan moral Islam, hanya nama saja yang Islam.

Islam dijadikan sebagai alat untuk mendapatkan surat-surat penting dalam kegiatan hariannya, supaya ia menjadi mudah dan tidak mengalami sebarang kesulitan. Oleh itu kita jumpai di sana sini ramai orang Islam yang masih menderhakai syariat Islam. Sembahyang ikut kemahuannya sahaja, ada yang sembahyang seminggu sekali, dan ada yang sembahyang setahun dua kali.
Ada yang enggan mengerjakan puasa Ramadan, kerana dinilai dengan mengganggu kegiatan kerja, atau dengan alasan-alasan lain yang sengaja diada-adakan.

Begitu juga dengan kewajipan zakatnya, mereka tidak sedar bahawa harta yang dikuasainya itu adalah anugerah Allah s.w.t yang di dalamnya ada sebahagian hak bagi anak yatim dan fakir miskin. Tiba-tiba sahaja mereka menunaikan fardu haji tanpa mempedulikan harta yang digunakan untuk menunaikan fardu haji itu. Dengan bangga pulang dan tunaikan haji namanya diubah, ada gelaran “Al-Hajj” atau “Haji”, pakaian pun berubah dengan serban dan songkok putih di kepala, sedangkan perilakunya melanggar syariat Islam. Hakikatnya, haji yang demikian ini, tidak dikehendaki oleh agama Islam.

Isyarat Rasulullah s.a.w ini, rasanya memang sudah ada gejala-gejalanya sekarang, dimana minat mempelajari agama Islam semakin kurang, bahkan bahagian yang menyekolahkan anak-anak mereka biasanya dihubungkan ilmu ekonomi yang cerah dan menguntungkan anak-anak itu di masa depan.

Ibu bapa tidak mengambil sikap menyekolahkan anak-anaknya bagi mendalami agama Islam yang benar untuk disebarkan pada masyarakat umum. Banyak orang yang bercakap tentang Islam, padahal dirinya sendiri tidak mengamalkannya. Bijak memutar lidah untuk meyakinkan orang agar pencaya kepada dirinya bahawa dia benar-benar orang yang memperjuangkan agama Islam. orang yang mengaku dirinya berpengetahuan agama dan cuba merubah pekara-pekara yang haram semacam jadi halal. Malah hukum dalam Al-Quran kalau boleh mahu disesuaikan dengan zaman, bukannya keadaan zaman disesuaikan dengan ketentuan Al-Quran?

Sebenarnya, orang-orang jenis ini menyimpan sifat munafik. Sebagaimana sabda Nabi s.a.w, yang ertinya: “Kamu berbicara tentang Islam, tetapi kamu tidak mengamalkan ajarannya.”
Dalam satu hadis Rasulullah s.a.w. yang bermaksud: “Islam akan hancur sebagaimana hancurnya kain yang sangat buruk sehingga orang tidak akan mengetahui lagi apa itu puasa, apa itu solat, apa itu haji dan apa itu sedekah".

"Maka kitab Allah diterbangkan di malam hari, sehingga di bumi tidak tertinggal lagi satu ayat pun. Mereka berkata: Kamu dapati bapa-bapa kamu dahulu mengucapkan kalimah ‘tiada Tuhan melainkan Allah’. Dan orang-orang itu pun tidak mengetahui apa itu solat, apa itu puasa, apa itu haji dan apa itu sedekah.” (Hadis riwayat Ibnu Majah)

Dalam satu sabda Nabi s.a.w. yang lain diterangkan bahawa kelak Al-Quran akan kembali ke tempat asal turunnya, dengan secara yang mengaum, seperti mengaumnya lebah yang berterbangan, maka Allah bertanya: “Ada apa engkau?” Dia menjawab: “Ya Tuhan! Dari Mu kami turun, kepada Mu kami kembali. Kami dibaca, tetapi kami tidak diamalkan".

Maka sabda Nabi s.a.w ini agaknya sekarang sudah mula kita rasai kesannya didalam masyarakat Islam kita sekarang. Al-Quran boleh saja akan hilang dari atas muka bumi ini, dan cuma yang tinggal hanyalah tulisannya saja. Bacaannya akan diperindahkan buat mengikuti “Musabaqah” agar mendapat namanya terukir, tetapi kandungan isinya tidak diamalkan dalam kehidupan sehari-hari.

Termasuk juga isi hadis yang di atas tadi iaitu masjidnya banyak tapi kosong dari hidayah. Kalau kita mahu mengamatinya secara terperinci dengan saksama terutama di bandar-bandar besar, jemaah masjid makin hari makin ramai lebih-lebih kalau tiba bulan Ramadan, sehingga kadang-kadang masjid ataupun surau/madrasah tidak muat. Manakala khatib dan para penceramahnya juru dakwah yang kurang ilmu pengetahuannya dalam bidang agama, namun boleh dan mampu menyampaikan ceramahnya secara ilmiah, walaupun isinya secara halus memperdaya keaslian hukum Islam, sementara perilakunya tidak mewarnai sebagai seorang Islam, dan hatinya tidak lagi dapat hidayah dari masjid.

Dalam isyarat Rasulullah, s.a.w itu juga ada menyebut di akhir zaman akan ada ulama-ulama yang tergolong manusia paling jelek yang hidup permukaan di bumi ini. Tidak lain sebabnya ialah dari ulama-ulama itu timbulnya fitnah-fitnah dikalangan masyarakatnya, khususnya dikalangan umat Islam. Fitnah timbul dari permainan lidah, dengan fatwa menghalalkan yang haram termasuk urusan agama dianggap urusan dunia, da urusan dunia dianggap sebagai urusan agama yang harus ditaati.

Pada hakikatnya bahawa para ulama sebagai “bintang” yang dibuat pedonan bagi orang-orang yang mengalami kegelapan darat dan laut. Sebagaimana yang disabdakan oleh Nabi Muhammad s.a.w yang entinya : "Sesungguhnya perumpamaan ulama di bumi itu bagaikan bintang di langit yang dijadikan petunjuk oleh manusia di kegelapan darat dan laut. Apabila bintang itu terbenam maka mereka akan tersesat jalan". (HR Imam Ahmad)

Demikianlah apa yang telah diingatkan oleh Rasulullah s.a.w kira-kira lebih dari 14 abad yang lampau, dimana kesan-kesannya sudah pun kita rasai sekarang ini. Marilah kita sama-sama meningkatkan amal ibadat kita dan membawanya sebagai bekalan menghadap Allah s.w.t diakbirat kelak. Amin.

Image Hosted by ImageShack.us

Selasa, September 09, 2008

Zakat Fitrah

Salah satu syarat agama yang mengajak kesalihan sosial adalah zakat, yang secara umum tidak terikat dengan waktu (zakat mal). Ertinya boleh dikeluarkan bila saja asal mencapai nisab dan haul. Namun zakat fitrah ada tempoh waktunya. Menurut jumhur ulama, ia hanya boleh dikeluarkan semasa menjalankan puasa Ramadan sampai sebelum perlaksanaan solat Aidilfitri.

JENIS zakat ini mungkin lebih akrab dengan kita lantaran perlaksanaan pengeluarannya yang serentak bagi pemeluk agama Islam di muka bumi ini. Semua umat Islam yang “mampu” berbondong-bondong mengeluarkan zakatnya untuk di bagikan kepada orang-orang yang lebih berhak. Ada yang membagikan langsung kepada sasaran penerima zakat, ada pula yang menyerahkan kepada amil zakat agar pembahagiannya lebih merata.

Di hari-hari biasa, mungkin tidak sedikit orang yang kelaparan dan tak terurus makannya, tapi boleh dibilang tak ada kata 'lapar’ di hari raya Aidilfitri yang penuh kemenangan setelah menunaikan puasa Ramadan sebulan penuh. Semua berbahagia. Yang miskin, yang petani, yang hidup sebatang kara, semua ikut merasakan kemenangannya.

Perintah untuk menunaikan zakat Fitrah ini mula diwajibkan pada bulan Ramadan tahun ke-2 Hijrah, sekaligus sebagai tahun diwajibkannya puasa Ramadan. Zakat fitrah disyariatkan dengan tujuan menyucikan jiwa orang-orang yang melaksanakan puasa sekaligus meringankan beban penderitaan yang selama ini selalu menyelimuti orang-orang fakir, yang diharapkan dapat membantu mencukupi keperluannya saat Aidiltitri.

Pada tataran inilah, agama tampak begitu indah. Agama bukan sekadar menampakkan wajahnya dengan kenyataan-kenyataan yang melulu bicara hubungan kemanusiaan belaka, lebih dari itu ia mengajarkan agar pemeluknya juga membangun hubungan kepada lingkungan sekitarnya.

Menurut Imam Malik, Syafi’i, Ahmad dan sebahagian ulama, zakat fitrah itu hukumnya fardu. Hal ini berdasarkan hadis dari lbnu Abbas, “Rasulullah s.a.w. memfardukan zakat fitrah pada bulan Ramadan atas seluruh umat Islam satu Sha’ (2,304 kg) kurma atau satu Sha’ gandum bagi hamba sahaya dan orang merdeka, baik lelaki mahupun perempuan, dan baik anak kecil mahupun dewasa.”

Walaupun hadis tersebut menunjuk pada jenis makanan tertentu yang identiti dengan makanan pokok di daerah Arab, bukan bererti masyarakat yang tinggal di daerah bukan tanah Arab harus mengeluarkan zakat fitrah berupa jenis makanan tersebut, melainkan disesuaikan dengan makanan pokok daerah setempat.

Makanan pokok daerahlah yang menjadi keutamaan. Yang dimaksud dengan makanan pokok adalah makanan yang dimakan sehari-hari dari pagi hingga petang yang menguatkan, baik pada masa subur mahupun masa sulit. Bukan yang dikonsumsi pada masa sulit saja. Andaikan makanan asasnya berupa beras seperti di Malaysia, atau jagung seperti di pesisir Mesir misalnya, maka jenis makanan itulah yang mesti dikeluarkan. Besaran zakat fitrah yang harus dikeluarkan adalah satu Sha’ setara dengan 2,304 kg per kepala.

Orang yang diwajibkan membayar zakat fitrah adalah orang mempunyai kelebihan harta dari keperluan asasnya. Sedikitnya satu sha’ gandum, kurma atau beras dan makanan orang yang wajib nafkah baginya pada hari dan malam hari raya. Kelebihan itu tidak termasuk rumah, perabot rumah tangganya dan keperluan pokok lainnya.

Disamping harus mengeluarkan untuk dirinya sendiri, orang yang berzakat juga harus mengeluarkan untuk isteri dan anaknya yang masih kecil dan tidak punya harta. Adapun anak-anaknya yang sudah dewasa, menurut Mazhab Hanafi dan Malik, muzakki (pemberi zakat) tidak wajib mengeluarkan zakat fitrah atas nama mereka, sekalipun mereka masih menjadi tanggungannya dan belum bekerja. Sebab setelah akil baligh, seorang ayah tidak memiliki kekuasaan sama sekali atas mereka. Sementara Mazhab Syafi’i dan Hambali menyebut bahawa ayah tetap wajib memberikan zakat fitrah atas nama mereka jika mereka belum mampu menafkahi dirinya kerana belum bekerja.

BILA MENGELUARKAN ZAKAT FITRAH?

Ehwal perintah menunaikan zakat fitrah ia berkaitan erat dengan Aidilfitri. Hanya saja tentang batasan waktu wajib, seperti biasa para ulama berbeza pendapat. Menurut jumhur ulama, waktu wajib untuk membayarkan zakat fitrah adalah sejak terbenamnya matahari di akhir bulan Ramadan, kerana waktu itulah yang disebut dengan waktu fitrah (berbuka). Oleh kerananya, yang meninggal setelah terbenamnya matahari pada akhir Ramadan, wajib dikeluarkan zakat fitrahnya.

Adapun mendahulukan pembayaran fitrah dan waktu wajibnya, menurut Mazhab Syafi ‘i dibolehkan sejak awal bulan Ramadan Sedang Mazhab Maliki dan Hambali, hanya dibolehkan sekurang-kurang tiga hari sebelum Aidilfitri. Sementara menunda pembayarannya, menurut Syafi’i dan Hambali, tidak dibolehkan tanpa uzur, bahkan mereka mengharamkannya.

Ada satu hadis Ibnu Abbas r.a yang menyebutkan, “Telah diwajibkan oleh Rasulullah s.aw zakat fitrah sebagai pembersih bagi orang-orang yang puasa dari perbuatan sia-sia dan ucapan kotor dan memberi makan bagi orang-orang miskin. Barang siapa yang memberikannya sebelum solat Aidilfitri, maka zakat itu diterima. Dan barang siapa yang memberikan sesudah solat Aidilfitri, zakat itu sebagai sedekah biasa.” (HR. Abu Daud, Ibnu Majah dan al-Hakim)

Berbeza dengan pendapat di atas, ulama Mazhab Hanafi mempunyai pandangan lain. Mereka berhujah bahawa waktu wajib membayar zakat fitrah adalah sejak terbitnya matahari pada Aidilfitri, kerana zakat fitrah ibadah yang berhubungan dengan fitrah. Keterkaitan ini mempunyai makna khusus yang menunjukkan waktu pembayarannya. BiIa seseorang meninggal sebelum terbit matahari pada Aidilfitri, ia tidak wajib membayai zakat, namun bila seseorang membayar zakat fitrahnya pada awal bulan Ramadan atau sebelumnya hukumnya boleh.

Di samping itu, Mazhab Hanafi juga membolehkan penundaan membayar zakat fitrah setelah solat Aidiltitri, kerana di dalam zakat fitrah terdapat makan tolong-menolong. Oleb kerana itu, menurut mereka keterlambatan membayar zakat fitrah tidak dapat mengugurkan kewajiban untuk membayarnya.

Adapun mengenai bayi yang lahir sebelum terbenam matahari, ulama sepakat, wajib dikeluarkan zakat fitrah baginya dan yang yang meninggal sebelum matahari terhenam, tidak wajib zakat.

Bagi kita, polemik di atas tidak perlu terlalu dipersoalkan. Masing-masing punya landasan yang kuat. Tinggal kecenderungan kita mengikuti ulama yang kita anggap ijtihadnya paling rasional dan logik. Itu saja.

SIAPAKAN YANG BERHAK DAN TIDAK BERHAK MENERIMA ZAKAT FITRAH

Kerana zakat fitrah termasuk kategori zakat, maka tidak boleh menyerahkan kepada orang yang dilarang menerima zakat harta seperti :

  • orang kafir yang menentang Islam
  • orang murtad fasik yang merosak Islam dengan kefasikannya
  • orang kaya baik dengan harta mahupun dengan usahanya
  • penganggur yang sanggup berusaha tapi tidak mahu berusaha
  • ibu bapa, anak mahupun isteri. Menyerahkan kepada ibu bapa, anak mahupun isteri sendiri, maka sama dengan menyerahkan kepada dirinya sendiri.
Mengingat zakat fitrah ditujukan untuk memenuhi keperluan yang mendesak pada keadaan tertentu, iaitu hari raya, maka yang lebih utama, tentu adalah tetangga dan penduduk setempat. Kecuali bila di daerah itu tidak ada orang fakir, maka dipindahkan ke daerah jiran, sebagaimana pendapat Malikiah. Demikianlah urutannya, ada garis-garis keutamaan mana yang lebih didahulukan.

Kalau zakat mal, sebagaimana kita ketahui dan kesepakatan para ulama, sasarannya sudah jelas ditujukan kepada asnaf (golongan) yang lapan, tidak demikian halnya dengan zakat fitrah. Setidaknya ada tiga pendapat yang mengiringi tentang siapakah yang paling berhak untuk menerima zakat fitrah ini :

  1. Pendapat pertama, wajib menyerah zakat fitrah kepada golongan yang berhak menerima zakat, iaitu sebagaimana dinyatakan dalam surat at-Taubah: 60. Pendapat ini dikeluarkan oleh Mazhab Syafi’i.
  2. Pendapat kedua, boleh diherikan kepada asnaf lapan namun memperutamakan kepada golongan fakir. Ibnu Qayyim mengatakan, pengkhususan zakat fitrah bagi orang-orang miskin saja merupakan hadiah dari Nabi s.a.w. Nabi tidak pernah membagikan zakat fitrah sedikit-sedikit kepada golongan lapan, tidak pernah pula menyuruhnya, tidak dilakukan oleh seorang pun dari para sahabat dan orang-orang sesudahnya. Pendapat ini lebih kuat dibandingkan dengan pendapat yang mewajibkan pembagian zakat fitrah pada asnaf lapan.
  3. Pendapat terakhir, mewajibkan kekhususan kepada orang-orang fakir saja. Pendapat ini dari kelompok Mazhab Maliki. Mereka menyatakan, sesungguhnya zakat fitrah itu hanya boleh diberikan kepada golongan fakir dan miskin. Tidak kepada petugas zakat, tidak pada orang mualaf, tidak dalam membebaskan perhambaan tidak pada orang yang berhutang, tidak untuk orang yang berperang dan tidak pula untuk ibnu sabil yang kehabisan bekal untuk pulang, bahkan tidak diberi kecuali dengan sifat fakir.
Apabila suatu negara tidak ada orang fakir, maka dipindahkan ke negara jiran dengan perbelanjaan dari orang yang mengeluarkan zakat, bukan diambil dari zakat, supaya tidak
berkurang jumlahnya.

Mudah-mudahan ulasan singkat tentang zakat fitrah ini semakin membukakan mata hati kita untuk selalu peduli terhadap mereka yang hidup susah dan menderita.

Untuk berbuat baik kepada sesamanya, kita boleh melakukan bila-bila saja, tidak perlu harus menunggu saatnya wajib berzakat tiba.

( Sumber : Majalah Hidayah )

Image Hosted by ImageShack.us

Ahad, September 07, 2008

Dua Kalimah Syahadah


WUJUDKAN PERPADUAN UMAT ISLAM SEDUNIA

KALIMAT syahadat yang merupakan kalimat pengakuan bahawa “Tiada Tuhan melainkan Allah dan Muhammad itu pesuruhNya” merupakan suatu kuasa yang amat kuat bagi menyatupadukan umat Islam daripada berbagai-bagai bangsa dan kaum. Dua ‘Kalimat Syahadat’ inilah yang menyebabkan seorang Cina, Arab, India, Inggeris, Melayu dan Iran mengakui dirinya ‘Muslim’ walaupun ia berada di tengah-tengah bangsanya yang bukan Islam.

Kalimat syahadat sesuatu yang melampaui batasan warna kulit, sempadan, iklim, bahasa dan adat manusia yang sempit. Demikianlah kenyataan yang hakiki, terbukti di depan mata kepala manusia. Kalimat syahadatlah yang dengan begitu cepat dapat melenyapkan perasaan permusuhan kabilah dan penindasan sesama bangsa Arab jahiliah yang tidak pernah kunjung padam itu.

Islam pernah melantik seorang pemuda kulit hitam (Usamah) sebagai ketua tentera Islam yang jujur, dipercayai oleh orang ramai dan di dalamnya ada pembesar-pembesar mereka. Nyata sekali, kalimat syahadat dapat mengatasi masalah perkauman. Kenapa manusia masih mahu mencari lagi selain daripada kalimat tersebut?

Bernad Show pernah berkata: "Islam telah mengiklankan persaudaraan semenjak seribu tiga ratus lima puluh tahun lalu, iaitu suatu masa yang tidak wujud dikalangan orang Rom, Eropah dan Amerika. Apabila anda bertanya kepada seorang Arab atau India, kepada Parsi (Iran) atau Afghan "Siapa anda?", dia menjawab, "Saya Muslim". Tetapi seorang Barat (bukan Islam) apabila anda bertanya kepadanya. “Siapa engkau?”, dia akan menjawab, “Saya Inggeris, Itali atau Amerika.” Orang-orang Eropah meninggalkan agama, sebaliknya, berpegang kepada kebangsaan dan keturunan mereka. Inilah sebesar-besar dalil menunjukkan, Islam dapat menyatupadukan antara beberapa percaturan fahaman dan perbezaan warna kulit, bahasa, tanpa memandang sebarang keturunan dan iklim.

Sejarah tidak dapat menafikan satu kenyataan bahawa, kaum minoriti bukan Islam dapat hidup dengan aman dan damai dalam negara yang kaum majoritinya mengucap dua Kalimat Syahadat. Sebaliknya, kaum minoriti Islam yang hidup dalam negara kaum majoriti bukan Islam, sukar untuk hidup dengan aman dan damai, kadang-kadang diusir, seperti di Burma dan Israel. Orang-orang bukan Islam dapat hidup dengan aman, damai dan makmur di negara yang majoritinya Islam, seperti di Malaysia ini. Demikianlah kenyataan yang dapat disaksikan pada hari ini.

Tak dapat dinafikan oleh sesiapa pun bahawa salah satu sebab yang menimbulkan persengketaan dan permusuhan sesama umat manusia, dahulu atau sekarang, yang sudah berlaku mahupun yang sedang berlaku, adalah berpunca dan lahir daripada penyakit perkauman dan fanatik kepada kaum masing-masing.

Fahaman sempit kaum Yahudi, dan fahaman kolot orang-orang Barat (bukan Islam) adalah diantara punca terbesar yang membawa dunia kini ke kancah pertelingkahan dan permusuhan yang tidak kunjung padam. Tuduhan ini tidak melulu dan bukan palsu. Apakah tidak benar kenyataan tersebut? Kalau orang-orang Barat itu tidak kolot, sebaliknya bersikap liberal, masakan mereka masih mahu menyokong dan membantu kaum Yahudi yang bengis dan kejam itu! Sedangkan mereka sendiri melihat kekejaman kaum Yahudi terhadap pelarian Palestin.

Manusia yang fanatik dan kolot sahaja yang akan menyebelahi manusia yang kejam dan jahat. Penyakit perkauman tidak dapat dihapuskan hanya dengan kenduri buah durian atau hidangan pulut kuning. Penyakit ini tidak dapat dilenyapkan hanya dengan pesta kebudayaan, melalui tarian atau nyanyian. Penyakit perkauman akan dapat di hapuskan hanya dengan kerelaan hati manusia turun sujud menerima kalimat Syahadat.

Kerana buktinya sudah jelas dan terang. Kegawatan umat Islam kini, dan perpecahan di kalangan mereka adalah berpunca daripada mereka kurang mengerti konsep syahadah itu sendiri atan akidah mereka telah dicemari dengan konsep-konsep lain yang dibawa oleh penjajah. Ini perlu diteliti sebelum kita membuat tanggapan terhadap masalah perpecahan di kalangan umat Islam. Malah perlu diteliti juga, apakah kepentingan kebendaan sudah mengatasi kepentingan pengabdian diri terhadap Allah Yang Maha Esa, atau sebaliknya.

Dalam usaha untuk menghapuskan penyakit perkauman, Al-Quran telah meletakkan beberapa konsep dan garis panduan yang unggul untuk manusia seluruhnya. Firman Allah s.w.t: "Wahai manusia hendaklah takut akan Tuhan yang telah menjadikan kamu yang satu". (al-N isa’: 1)

Perkataan “manusia” dalam ayat di atas merupakan suatu nilai yang amat tinggi menurut pandangan Islam. Kerana manusia yang dimaksudkan itu adalah tergolong di dalamnya lelaki dan perempuan, hamba dan raja, yang berkulit hitam dan putih, yang berhidung mancung dan berhidung penyek. Seolah-olah seruan itu melaungkan: Wahai manusia seluruhnya takutlah kepada Allah Yang Maha Esa, dan kembalilah kepada perdamaian dan perpaduan sejagat tanpa membezakan warna kulit, kaya miskin, tidak ada raja yang harus disembah, tidak ada manusia yang harus diperhinakan sebagai binatang, malah binatang juga harus diberi belas kasihan.

Perkataan manusia itu juga memberi gambaran kepada kita bahawa: perpaduan menurut kacamata Islam bukan terhad kepada sesuatu bangsa itu sahaja, sebagaimana Yahudi untuk Yahudi, Cina untuk Cina, Melayu untuk Melayu. Tidak, tidak demikian. Tetapi perpaduan menurut pandangan Islam untuk seluruh umat manusia di atas muka bumi ini. Segala hasil mahsul di atas permukaan bumi ini adalah segala usaha makhluk yang memerlukannya, tetapi harus dipergunakannya dengan cara yang baik, bukan dengan cara yang haram, dirompak, ditipu dan sebagainya.

Firman Allah s.w.t, "Tidaklah Kami utuskan engkau (hai Muhammad,), melainkan untuk memberi rahmat kepada manusia seluruhnya". (Al-Anbiya’: 107)

Walau pun manusia dijadikan Tuhan berlainan; berpuak-puak, bersuku-suku dan berbangsa-bangsa, malah berlainan bahasa, bukan bererti dijadikan untuk bermusuh-musuhan dan berkelahi sesama mereka, tetapi adalah untuk kenal-mengenali dan bekerjasama dalam sebuah masyarakat yang besar, dan juga untuk menginsafkan seluruh manusia tentang betapa berkuasanya Allah menciptakan manusia daripada setitik air mani dalam berbagai-bagai bentuk dan rupa, dan manusia tidak berdaya pula untuk mengubah apa yang telah diciptakan oleh Allah.

Firman Allah s.w.t, "Sesungguhnya Kami jadikan kamu lelaki dan perempuan dan jadikan kamu pula bepuak-puak dan berbangsa-bangsa supaya kamu berkenal-kenalan antara satu sama lain". (Al-Hujarat: 13)

Perkataan “takwa’’ dapat pula difahamkan bahawa seseorang itu tidak harus sombong dan bongkak sebagai suatu bangsa yang mulia kerana semata-mata memiliki kekayaan dan pangkat yang tinggi, sebab kemuliaan seseorang itu hanya dikira dan sejauh mana ketakwaannya kepada Allah Yang Maha Esa itulah saja tempat yang harus disembah dan dipuja, hasil daripada ketakwaan dan amal kebajikannya harus diperhitungkan sama ada seseorang itu mulia atau sebaliknya.

Firman Allah s.w.t: "Bahawa semulia-mulia kamu disisi Allah ialah yang paling bertakwa di antara kamu". (al-Hujurat: 13)

Dan perkataan ‘asal keturunan yang satu’ adalah menunjukkan kepada kita bahawa Islam menganggap manusia adalah satu; satu dalam keturunan, satu dalam kejadian, satu tempat hidup, satu tempat lahir dan akan kembali ke tempat yang satu, malah harus menyembah Tuhan yang satu, tegasnya satu, satu dalam segalanya. Firman Allah s.w.t : "Manusia itu adalah umat yang satu ". (a-Baqarah: 213)

Dari itu dapatlah difahamkan bahawa Islam adalah sebuah agama yang amat mementingkan perpaduan dan menggalakkan agar manusia bersaudara sejagat, tanpa memandang warna kulit, sempadan dan keturunan, kerana manusia kesemuanya daripada keturunan yang satu, iaitu Adam dan Hawa.

Ali bin Abi Talib ada berkata, yang bermaksud: “Manusia jika dikira daripada segi asal keturunan, adalah sama saja, ibu bapa mereka ialah Adam dan Hawa. Jika mereka mahu bermegah-megah dengan asal keturunan mereka yang mulia, maka tanah dan air adalah asal kejadian mereka.”

Jika seluruh manusia di permukaan alam ini sudah sedar dan insaf akan asal kejadian mereka yang sebenarnya, maka sudah tentu tidak akan lahir perbuatan hina-menghina dan rendah-merendahkan antara satu sama lain. Malah tidak akan berlaku permusuhan dan perkelahian sesama mereka. Kalimat syahadat di atas tadi, telah memberi erti kepada kita bahawa tiada Tuhan yang disembah dengan sebenarnya melainkan Allah: Allah sajalah tempat tumpuan segala makhluk, tiada hukum yang paling sempurna kecuali hukum Allah, Allahlah tempat rujukan bagi seluruh manusia dalam menyelesaikan segala masalah; baik urusan peribadi, masyarakat mahupun negara, masalah orang Islam mahupun bukan Islam.

Firman Allah s.w.t: "Maka jika kamu berbalah dalam suatu perkara maka hendaklah kamu kembali kepada Allah". (al-Nisa’: 59)

Dalam hal ini, seorang aktivitis Harakah Islamiah, al-ustaz Said Hawa, pernah menegaskan di dalam bukunya bahawa di antara sebab-sebab yang menimbulkan perbalahan dan persengketaan sesama umat Islam kini adalah sudah lupa sebahagian ayat-ayat Allah dan hukumNya. Dengan kata lain, mereka mengambil setengahnya dan menolak setengah yang lain, maka lantaran itulah mereka berpecah-belah dan bersengketa.

Ini berdasarkan firman Allah s.w.t : "Tetapi mereka sengaja, melupakan sebahagian daripada apa yang mereka telah diberi peringatan dengannya: maka kami timbulkan diantara mereka permusuhan dan kebencian sampai hari kiamat". (al-Maidah: 14)

Sesungguhnya, tidak dapat dinafikan bahawa punca persengketaan umat Islam adalah disebabkan sebahagian mereka memerintah dengan mengambil sebahagian hukum Allah tetapi menolak sebahagian hukum Allah yang lain. Umat Islam yang cintakan agamanya sudah tentu tidak akan berdiam diri apabila melihat keadaan demikian berlaku dihadapannya. Ini akan mengakibatkan pertembungan di antara golongan yang cintakan agamanya. Sebenarnya suasana inilah yang ada pada hari ini, yang membuatkan kaum muslim seluruhnya berada dalam keadaan dilema.

Untuk melenyapkan perbalahan dan persengketaan itu, maka umat Islam mestilah turun sujud menyembah Allah dan berhukum dengan hukum Allah dalam semua bidang kehidupan, dan mesti menghapus semua hukum ciptaan manusia daripada kamus hidup setiap Muslim. Keraguan terhadap kemampuan hukum Allah dalam menyelesaikan setiap masalah, termasuk masalah masyarakat majmuk, hendaklah dikikiskan daripada hati kaum Muslimin. Tegasnya, umat Islam haruslah kembali menghayati Islam secara syumul, baik peribadi, masyarakat dan negara.

Dalam semua tindakan, niat dan cita-cita umat Islam hendaklah dihadapkan kepada Allah semata-mata. Firman Allah s.w.t : "Katakanlah, sesungguhnya sembahyangku, ibadatku, hidupku dan matiku untuk Allah". (al-An’am: 162)

Seruan ulama-ulama Islam kembali kepada Islam secara syumul dengan berpandukan kepada Al-Quran dan Sunah adalah satu seruan yang suci dan satu usaha yang gigih dan amat penting dalam menyatupadukan umat Islam di negara ini dan negara-negara yang lain.

Dengan ini kita mesti berdakwah mengajak umat Islam supaya kembali kepada hukum Allah yang menepati konsep syahadah yang sebenarnya. Kita percaya, dalam dalam usaha ini, kita tidak akan terlepas daripada penentangan golongan yang buta agama dan golongan sekular yang berkembang biak di dalam masyarakat Islam.

Tegasnya, konsep tauhid yang terpancar daripada kalimat syahadah tadi adalah memainkan peranan yang terpenting dalam menyatukan hati kaum Muslimin seluruhnya. Gambarkan sahaja bagaimana keadaan yang bakal dicapai kalau kaum Muslimin sama-sama membuang kepentingan diri dengan menjunjung segala perintah Allah, setiap kali timbul perselisihan di kalangan mereka, masing-masing segera kembali kepada keputusan Allah dan RasulNya tanpa banyak bicara dan redha dengan hukum Allah.

Jika keadaan ini benar-benar berlaku, sudah pasti umat Islam tidak akan bergaduh lagi. Tetapi alangkah sedihnya manusia Iblis yang keras kepala serta tidak mahu tunduk kepada hukum Allah: masih ada berkeliaran dalam masyarakat, maka perjuangan Islam itu sentiasa tergugat, dan cita-cita untuk membawa kedamaian sering terbantut. Kita percaya itulah cara-cara ujian Allah terhadap hamba-hambaNya yang mukmin.

Apabila Islam menekankan bahawa teras atau asas perpaduan itu mesti bertitik tolak daripada konsep Syahadah atau Akidah, maka bagaimana Islam boleh mendirikan perpaduan dalam negara yang penduduknya adalah masyarakat majmuk? Apakah nasib yang akan diterima oleh orang-orang bukan Islam?

Persoalan-persoalan inilah yang sering dihadapkan oleh musuh-musuh Islam dan orang-orang Islam sendiri yang buta agama. Sesungguhnya, Islam telah menggariskan beberapa peraturan untuk orang-orang bukan Islam yang mendiami negara Islam. Kafir zimmi akan dilayan secara kafir zimmi, manakala kafir harbi akan dilayan secara kafir harbi. Untuk lebih jelas lagi, perhatikanlah kepada beberapa jawapan yang diberikan oleh Islam.

FirmanAllah s.w.t : "Tidak ada paksaan dalam agama". (al-Baqarah: 256)

Firman Allah s.w.t : "Dan jika mereka condong kepada perdamaian, maka condonglah kepadanya". (Al-Anfal: 61)

Sabda Rasulullah s.a.w : "Sesiapa yang menyakiti kafir zimmi maka sesungguhnya ia menyakiti diriku".

Untuk mengetahui hak-hak orang bukan Islam dengan lebih lanjut lagi bolehlah rujuk kepada buku Abul al-A’la Maududi di bawah tajuk: “Hak-hak bukan Islam Dalam negara Islam". Maka insyaAllah kita akan dapat jawapan apakah Islam boleh menjamin perpaduan ataupun tidak dalam masyarakat majmuk.

CETUSAN DARIPADA SEMANGAT SYAHADAH

Dua kalimat Syahadah merupakan satu tenaga yang amat kuat bagi mengikat hati dan jiwa berbagai-bagai kaum dan bangsa menjadi satu. Dengan ini, setiap Muslim yang terjebak ke dalam kancah perbalahan sesama sendiri, maka haruslah menyemak kembali, apakah keyakinan mereka, tindak-tanduk mereka sudah menepati konsep syahadah yang sebenarnya.

Dan hendaklah membersihkan akidah mereka jika terdapat gejala-gejala “riddah” dan “nifaq”, kerana dengan cara inilah kejernihan akan dapat diwujudkan kembali di kalangan umat Islam.

( Sumber : Majalah Hidayah )

Image Hosted by ImageShack.us

Contact Me

Sekiranya anda ada sebarang pertanyaan atau cadangan, sila guna borang di bawah :

Template by - Abdul Munir | Daya Earth Blogger Template