Custom Search

Jumaat, Oktober 17, 2008

Islam Membentuk Generasi

Peranan Islam dalam Melahirkan Generasi Melayu Tersusun

Oleh :  MOHD. KHAIRI WAN ALI

Al-Quran ada menyebut tentang manusia yang dijadikan berpuak-puak (kelompok kecil), atau kaum (kelompok yang lebih besar) ataupun juga berbangsa-bangsa (yang berada dalam sesebuah negara). 

Sama ada puak, kaum waima bangsa sekalipun, semuanya mempunyai kawasannya (atau wilayahnya) yang tersendiri. Pun begitu, semuanya tidak kekal malah ada yang dihapuskan langsung dari muka bumi.

Cuma Islam turut juga menyebut tentang perubahan kepada nasib sesuatu bangsa. Perubahan ini ke arah keperkasaan. 

Pada titik inilah Islam boleh memainkan peranannya kepada manusia yang inginkan panduan dan pedoman dalam mengharungi cabaran kehidupan yang sungguh besar, kompleks dan rumit ini.

Dari sini, dapatlah disenaraikan saranan Islam kepada generasi Melayu yang inginkan penyusunan. Lapisan susunannya ialah:

  1. Menjaga institusi keluarga, termasuklah peranan suami sebagai ketua keluarga, dan isteri tetap sebagai sumber bantuan atau sokongan kepada si suami yang bertindak di atas keputusan keluarga;
  2. Mengekalkan musyawarah dalam komuniti Islamnya (dalam sesuatu kawasan), termasuklah menentukan wakil yang dipilih daripada yang terbaik antara warga komuniti;
  3. Menguruskan sumber - kekayaan dan populasi - komuniti Islam (yang berpaksikan tatacara zakat dan baitulmal) secekap mungkin;
  4. Tetap merujuk kepada keputusan ramai sebagai tunjang tindakan demi mengelak kontroversi atau perselisihan;

Dengan erti kata lain, bukanlah status raja, majlis (atau organisasi), ulama, tokoh dan sebagainya yang menjadi susunan dalam kehidupan yang bertakhtakan Islam. 

Ini kerana susunan sedemikian bukanlah susunan kehidupan untuk sesebuah generasi tetapi adalah peranan-peranan yang boleh dimainkan hasil daripada ilmu, status, kedudukan yang ada pada mereka. 

Lagi pun Islam menekankan aspek 'yang terbaik' untuk dijadikan asas dalam pemilihan pemimpin atau ketua. Ini sekali lagi, bererti bukan susunan atau status yang dititikberatkan, tetapi kualiti dan kemampuan untuk menjalankan tugas/peranan. 

Mereka boleh datang dari keturunan raja- raja, atau pun golongan intelek dan ulama. Apa yang penting ialah kesanggupan untuk menjadi ketua, yang pastinya satu jawatan yang perlu dijalankan mengikut keadilan, amanah, kebijaksanaan dan keberanian.

Sungguh pun begitu, sememangnya tidak boleh dinafikan bahawa semua pihak tersebut diperlukan untuk memajukan sesebuah generasi, tetapi ini bukanlah paksi kehidupan. 

Keharmonian dalam sesebuah keluarga akan menggambarkan keadilan yang dilaksanakan, kesamarataan dalam pembahagian hak, kebijaksanaan dalam pengurusan keluarga dan sebagainya, termasuklah ketokohan kepimpinan si suami, serta dokongan daripada si isteri adalah paksi kehidupan. 

Seterusnya kecemerlangan keluarga ini boleh dijadikan asas kepada peranannya di peringkat yang lebih tinggi iaitu di tahap komuniti pula, dan seterusnya ke satu kawasan atau wilayah yang lebih besar seperti sebuah negara. 

Demikianlah paksi kehidupan Islam. Perlu juga dinyatakan di sini, jika kehidupan itu tidak berpaksi, maka umatnya akan menjadi seperti buih yang boleh diapung dan dibawa oleh mana-mana arus yang melanda. Ketika arus meganya ialah Barat, maka buih itu pun menghala ke Barat. 

Bila Rusia menawarkan teknologi nuklear, maka buih pun bergerak ke Rusia. Dan jika Barat jatuh - satu situasi yang besar kemungkinannya berlaku akibat krisis kewangan kapitalisme Barat yang sedang runtuh dek tidak mengamalkan dasar sandaran emas kepada mata wang - ke mana agaknya buih itu akan dibawa oleh arus tersebut? 

Tentunya Islam, kerana Islam tetap dengan paksi sandaran emasnya, seperti yang termaktub dalam kewangan dinar dan Malaysia adalah yang terulung dalam mekanisme dinar ini.

Sebagaimana yang telah diketahui umum, Islam adalah panduan dan pedoman. Maksudnya, terpulang kepada mana-mana bangsa atau umat manusia untuk memanfaatkannya atau pun menolaknya. 

Apa yang pasti, paksi kehidupan Islam jelas terpacak di dalam al-Quran dan Sunnah, sama seperti mata wang dinar yang bersandarkan emas.

Tegasnya, paksi susunan ialah kesatuan (seperti dalam institusi keluarga) dan musyawarah (yang menentukan suara majoriti).

Persoalannya, apakah akan terjadi jika dituruti susunan raja-majlis-ulama-tokoh-dan seterusnya? 

Jawapannya boleh, tapi apakah ada kesatuan dan musyawarah? Kalau ada, di tahap kewibawaan mana?

Image Hosted by ImageShack.us

0 ulasan:

Contact Me

Sekiranya anda ada sebarang pertanyaan atau cadangan, sila guna borang di bawah :

Template by - Abdul Munir | Daya Earth Blogger Template