Custom Search

Memaparkan catatan dengan label Ptadbiran dan Pmerintahan. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Ptadbiran dan Pmerintahan. Papar semua catatan

Khamis, Mei 06, 2010

Hasil, Besar, Cepat cermin transformasi kerajaan

Perubahan sistem penyampaian menerusi 6 NKRA sasar perkhidmatan lebih cekap, berkesan kepada rakyat.


APABILA Datuk Seri Najib Razak, mengumumkan perkhidmatan awam akan diubah untuk disesuaikan dengan perubahan masa, rakyat tidak menjangka ia akan menjadi program besar-besaran. Perdana Menteri (PM) amat serius mahu perkhidmatan awam yang mampu memenuhi keperluan semasa dengan lebih baik, disertai peningkatan kecekapan dan kepantasan. Baru-baru ini beliau mengumumkan Program Transformasi Kerajaan, atau ringkasnya GTP, bagi melaksanakan perubahan dalam perkhidmatan awam. Beliau melantik Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Seri Idris Jala, untuk memacu dan memantau proses transformasi ini. Ikuti sedutan wawancara Datuk Ahmad A Talib bersama Idris mengenai tugas yang menanti beliau menerusi rancangan Soal Jawab di TV3.

Secara ringkasnya, apakah dia GTP?

Hasil, Besar, Cepat. Inilah tiga perkataan utama yang mencerminkan GTP. Secara asasnya kita mahu berusaha keras mengubah sistem penyampaian kerajaan agar kita boleh menyampaikan perkhidmatan kepada rakyat dengan cara yang cekap dan berkesan.


Jadi, Datuk Seri tekankan kepada usaha kepada hasil yang memberi impak besar, secara pantas?

Ya, hasil yang besar, dengan cepat. Sebabnya ialah PM mahu kita mencapai Wawasan 2020, hanya ada 10 tahun lagi. Untuk mencapai status negara maju, banyak yang perlu kita lakukan. Sebab itu kita kena tukar pendekatan untuk capai hasil dengan cepat.

Ketika Wawasan 2020 dikemukakan 10 tahun lalu, persekitarannya berbeza, perkhidmatan awam berbeza, suasana berbeza. Kini, 10 tahun kemudian, keadaan berlainan, PM berlainan, landskap berlainan. Bagaimanakah hendak mengubah pendekatan ini untuk disesuaikan dengan masa sekarang. Bolehkah ia dilaksanakan?

Saya sangat yakin ia boleh dilaksanakan jika kita semua melakukannya bersama-sama. Wawasan yang dicetuskan Tun Dr Mahathir Mohamad sangat menakjubkan. Isunya sejak 10 tahun lalu kita memang membangun, masalahnya negara lain juga turut berkembang, setengahnya melangkah lebih maju daripada kita. Di dunia di mana semua negara bersaing untuk perdagangan, pendidikan dan keupayaan, kita mesti bergerak cepat. Kita bernasib baik mempunyai PM yang fokus memastikan kita semua berkembang.

Jika kita tidak mengadakan GTP, dan tidak merancang, berdasarkan sistem penyampaian dan rangka kerja semasa, amat sukar kita mencapai Wawasan 2020?

Sangat sukar, kerana kita kesuntukan masa. PM kita mempunyai pendekatan yang sangat strategik. Beliau mengemukakan empat tonggak untuk kita berusaha mencapai Wawasan 2020.

Pertama sekali secara perbandingan beliau menyamakan tonggak pertama, Satu Malaysia iaitu Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan, sebagai bumbung. Kemudian ada dua tonggak iaitu transformasi ekonomi menerusi Model Ekonomi Baru dan transformasi kerajaan yang saya terajui menerusi GTP. Asasnya ialah Rancangan Malaysia Kesepuluh dan Kesebelas. Inilah empat tonggak yang menjadi pelan hala tuju untuk memandu kita ke arah Wawasan 2020. Saya fikir tidak banyak negara di dunia yang mempunyai pelan hala tuju yang begitu jelas.

Bagaimana GTP bermula?

PM bertanya soalan mudah, jika kita mahu mencapai Wawasan 2020, mari tanya rakyat apa yang mereka mahu kita ubah. Banyak kajian dan kaji selidik dijalankan, ada Kaji Selidik Merdeka dijalankan Merdeka Centre, termasuk analisis media, dalam semua kaji selidik ini, jelas kerajaan perlu ubah sistem penyampaian, enam bidang utama yang rakyat mahukan perubahan besar, perubahan fundamental, bukan sekadar perubahan kecil.

Pertama ialah menangani jenayah, membanteras rasuah, memastikan infrastruktur asas luar bandar, memperbaiki pengangkutan bandar, memperbaiki prospek dan kualiti hidup rakyat berpendapatan rendah dan akhirnya, memperbaiki tahap pendidikan, untuk memastikan penuntut, pemimpin masa depan boleh berkembang.

Selepas GTP dilancarkan, Datuk Seri tentu sekali bercakap dan mendengar pelbagai maklum balas ramai orang. Apakah reaksi rakyat biasa mengenai program ini?

Ada beberapa komen mereka. Apabila kita selesai di makmal, merangka apa yang kita mahu buat. Kita adakan hari terbuka dua hari, di Lembah Klang, di Selangor, 5,000 orang datang. Di Sarawak (1,500), Kota Kinabalu (2,000).

Komen pertama, mereka sokong sepenuhnya usaha transformasi ini, 75 peratus sokong sepenuhnya, 78 peratus setuju dengan inisiatif khusus dalam NKRA. Yang negatifnya dan sedikit positif, ialah mereka yakin kita boleh mencapainya dalam masa 100 tahun. Mereka tidak fikir kita boleh lakukannya dengan cepat. Bagi mereka perkataan kerajaan, perkhidmatan dan pantas tidak boleh wujud bersama-sama. Ia tidak boleh tidur sekatil, malah tidak dalam bilik tidur yang sama sekali pun.

Reaksi Datuk Seri?

Saya tidak terkejut. Sebab itu kita letakkan ramai kakitangan awam, 250 kakitangan awam, kita letakkan mereka di dalam makmal untuk cari penyelesaian masalah kepada enam NKRA tadi.

Bagaimana mereka dipilih?

Kami minta kakitangan awam paling bijak dan paling cekap untuk cari penyelesaian. Dalam tempoh enam minggu, kami buat semua analisis, penyelesaian masalah dan segala yang remeh-temeh agar apabila kami kemukakan untuk pelaksanaan, semua aspek sudah diteliti dan boleh buat dengan cepat. Reaksi kakitangan awam menakjubkan.

Adakah Datuk Seri maksudkan keseluruhan kakitangan awam?

Ya, keseluruhan perkhidmatan awam. Saya percaya kumpulan terasnya, 250 ini, sudah kemukakan penyelesaiannya dengan cepat, selebihnya, iaitu yang bertanggungjawab terhadap keseluruhan output/daya pengeluaran, sudah bersetuju sepenuhnya yang program ini harus bergerak ke depan. Idea ini datang daripada mereka, bukan saya. Saya cuma ketua pasukan sorak yang mengumpulkan semua pihak, meletakkan semua aspek data untuk dianalisis.

Saya katakan yang hasilnya adalah penyelesaian mengagumkan. Dalam masa enam minggu, kita dapat selesaikan masalah dengan begitu memberangsangkan dari segi kepelbagaian aspek yang lengkap (granularity) dalam penyelesaiannya.

Kaedah ini dulu dipanggil sesi sumbang saran, tapi sekarang istilah lebih popular ialah makmal?

Ya, perbezaannya ialah sesi sumbang saran ini sangat intensif selama enam minggu. Kita bukan adakan sesi sehari dan kemudian balik. Mereka tinggalkan kerja harian untuk bertugas di sana. Moto kami ialah seperti lagu ‘Hotel California’, anda boleh keluar bila-bila masa, tetapi anda tidak akan dapat meninggalkannya sehingga dapat menyelesaikan masalah. Mereka juga panggil tempat itu ‘Rumah Panas’ (Hot House).

Mereka menghabiskan masa lama di sana. Benarkah?

Betul. Ada satu makmal di mana mereka bekerja hingga jam 5 pagi.

Makmal yang mana?

Makmal mengenai Pengurusan Data. Kita ada enam makmal NKRA, satu dipanggil Makmal Perpaduan, satu mengenai Pengurusan Data yang perlu mengadakan sistem yang betul supaya kami boleh memantau kemajuan KPI.

Apakah pemantauan yang dilakukan PM, adakah beliau melawat makmal?

PM dan menteri Kabinet sentiasa datang. Bagi setiap NKRA ada menteri penerajunya. Jadi mereka sentiasa datang ke makmal meninjau kemajuan. Setiap bulan PM pengerusikan mesyuarat Pasukan Petugas Khas Sistem Penyampaian serta semua wakil kementerian dan Jawatankuasa Pemandu yang mengelola semua tugas ini. PM sangat mengambil berat secara langsung (hands-on), setiap Jumaat saya pengerusikan mesyuarat yang dipanggil Mesyuarat Penyelesaian Masalah.

Dalam mesyuarat ini saya hanya mahu tahu masalah. Kalau kakitangan awam kata tiada masalah, apabila bermesyuarat dengan PM, tiada kemajuan, tentu ada yang tidak kena. Jadi setiap Jumaat kita bermesyuarat cari masalah, ada masanya masalah kewangan, tidak cukup sumber, jadi kita cari penyelesaiannya. Kemajuan sangat memberangsangkan dalam suku pertama lalu.


Sekarang ia dipanggil GTP, sebelum itu NKRA, pada awalnya KPI, jadi pengubahsuaian dilakukan hingga ia menjadi GTP. Datuk Seri memang terbabit sejak mula?

Betul. Idea asalnya ialah mengenai KPI, Petunjuk Prestasi Utama.

Adakah Datuk Seri bersetuju bahawa kegagalan dan kejayaan GTP bergantung sebahagian besarnya kepada perkhidmatan awam?

Setuju sepenuhnya. Kalau perkhidmatan awam tidak bergerak, tiada yang bergerak, dan kini mereka bergerak.

Apa yang mencetuskan ‘gerakan’ itu?

Biar saya beri contoh yang baik mengenai menangani jenayah. Menteri bertanggungjawab, Datuk Seri Hishammuddin Hussein, berada di sana siang malam mengetuai projek ini. Di makmal kita analisis kejadian jenayah sepanjang tahun lalu. Kita dapati sebahagian besar jenayah berlaku di 50 kawasan panas (hotspot). Satu daripada cadangan yang diberikan kakitangan awam ialah penempatan polis di 50 hotspot ini.

Ini adalah hasil yang dicadangkan di makmal?

Ya. Apabila kita tempatkan 14,000 polis di kawasan panas ini, dan pasukan sukarela seperti Jabatan Pertahanan Awam (JPAM) dan Rela, seramai 3,160 ditempatkan di sana, hasilnya, jenayah jalanan berkurangan dengan ketara sebanyak 33 peratus pada suku pertama, dengan mengambil kira jenayah meningkat sejak tiga tahun lalu setiap tahun.

Malah indeks jenayah, iaitu jumlah semua jenis jenayah buat kali pertama dalam tiga tahun, jenayah jalanan, turun 11 peratus. Ini hasil yang luar biasa! Apabila saya bandingkan dengan apa dilakukan di United Kingdom di bawah pentadbiran Tony Blair, didapati mereka mencatat penurunan hanya selepas dua tahun program sama dijalankan.

Datuk Seri mendapat hasil dalam masa tiga bulan?

Ya, selepas tiga bulan ia mula menampakkan hasil. Mengenai pendidikan pula, di makmal kita dapati cabarannya ialah 40 peratus kanak-kanak yang masuk sekolah rendah tidak pernah ke tadika. Jadi apabila masuk Tahun Satu, mereka terpaksa mengejar kerana pengajaran adalah berdasarkan 60 peratus lagi yang mendapat pendidikan asas di tadika. Tahun Dua mereka tidak dapat kejar, masalah ini akan terus menggunung. Apa yang kita buat ialah kita lancarkan bilangan tadika paling besar pernah diadakan dalam satu tahun.

Menerusi kepemimpinan Tan Sri Muhyiddin Yassin, beliau memberi fokus yang besar untuk pendidikan. Untuk kali pertama dalam sejarah, kita bina paling banyak kelas tadika. Pada Januari, kita buka 929 tadika yang memberi manfaat kepada 18,000 kanak-kanak. Pada Oktober hingga Disember tahun lalu, kami melatih 15,500 guru pemulihan membantu mengajar kanak-kanak bermasalah membaca dan mengira di tadika.

Kita kini memberi penarafan kepada 7,616 sekolah rendah. Program Penarafan Sekolah Terbaik dan Terburuk, kita minta semua pengetua dan guru untuk fokus untuk memperbaiki gred penuntut.

Kita ada ‘tool kit’ yang mana kita tahu dengan tepat guru mana dalam kelas mana yang gagal dalam subjek mana.

Ini adalah pengalaman sebenar?

Ya, ini pengalaman sebenar di lapangan. Kami percaya jika kita terus fokus, kita akan perbaiki kualiti sekolah rendah, supaya dengan adanya asas kukuh, di sekolah menengah nanti kita boleh laksanakan langkah intervensi, diikuti akhirnya dengan pendidikan tinggi. Pendidikan adalah proses mengambil masa panjang, supaya pada 2020 kita akan berdiri sama tinggi dengan negara lain.

Berapa jauhkah kita ketinggalan?

Kita tidak terlalu jauh di belakang. Kecuali sejak tiga tahun lalu trend matematik dan sains kita menurun, kita berada pada peringkat pertengahan. Kita perlu memperbaikinya.

Saya fikir kita boleh menghentikan penurunan ini sekarang?

Sebab itu kita perlu mempunyai asas yang kukuh sekarang. Ada pandangan mengatakan kita boleh memperbaikinya pada peringkat universiti, tetapi pengalaman banyak negara yang mengadakan transformasi pendidikan ialah, bermula dengan peringkat asas. Seperti membina rumah, kalau asasnya tak kukuh, rumah tidak boleh dibina. Ia mesti bermula di sekolah rendah.

Perubahan minda, sebab pada akhirnya mesti ada yang memacu perubahan ini. Datuk Seri memacu secara keseluruhan,tetapi bagaimana hendak pastikan perubahan ini diteruskan?

Sebenarnya, bukan kami memulakan perubahan ini. Rangka perubahan minda ini saya sebutkannya sebagai unsur yin dan yang. Bayangkan yin dan yang. Fokus kepada yin dulu, iaitu kepada tindakan. Maknanya buat dulu, buat sekolah tadika, letakkan polis di tempat jenayah, letak CCTV buat sekarang bukan esok, bila anda sudah buat, barulah minda berubah, itu adalah unsur yang.

Lebih cepat kita memastikan mereka bertindak, melakukan sesuatu, lebih cepat minda berubah. Kalau kita beritahu mereka kita hendak buat transformasi, kita katakan mesti berubah, tetapi tidak menggerakkannya, tiada yang akan berubah. Itu bukan caranya. Kita mesti lakukan perubahan cara mereka melakukan sesuatu, barulah perubahan minda berlaku. Jika dibuat berulang-ulang, mesti berjaya. Sebab itu saya katakan kejayaan GTP boleh dicerminkan melalui tiga perkataan – Hasil, Besar, Cepat.

Datuk Seri sangat yakin. Adakah keseluruhan perkhidmatan awam menyerap semangat ini?

Bagus. Apa yang kita buat, ialah fokus kepada enam NKRA, kita juga tidak boleh lupakan pencapaian kementerian lain, Ministerial Key Result, kita jelaskan mengenainya di dalam buku. Kita baru saja selesai membuat penilaian KPI kementerian dan PM sudah menilai mereka. Saya amat gembira dengan kerja dilaksanakan di sana. Jika kita terus fokus dan meneruskan kerja ini, saya yakin Wawasan 2020 boleh dicapai. Kita tidak boleh lalai.

Datuk Seri Seri berada dalam semua enam NKRA ini, dan memberikan input?

Ya, saya ada pasukan dinamakan Jawatankuasa Pemandu, yang bertugas memacu transformasi ini. Adalah penting diingat kami pemandu, bukan orang yang membuatnya. Misalnya untuk perangi jenayah, bukan kami yang akan ditempatkan di kawasan panas, polis yang akan membuatnya, mereka melakukannya dengan baik. Polis sangat cemerlang. Tiada cara kami boleh kurangkan jenayah tanpa komitmen penuh daripada polis.

Saya percaya kalau kita beritahu orang, jangan takut jenayah, itu tidak akan berkesan. Caranya ialah memastikan lebih ramai polis di kawasan panas, orang ramai rasa selamat. Adalah tidak benar pelancong berasakan negara kita tidak selamat. Perbandingan Piawaian Antarabangsa Jenayah menunjukkan kita hanya mencatat 750 jenayah bagi 100,000 penduduk, di UK 7,900 jenayah bagi 100,000. Singapura yang kecil mencatat 650 bagi 100,000. Jadi, kenapa kita letak jenayah sebagai satu daripada bidang keutamaan? Ini kerana kebimbangan mengenai trend yang mencatat peningkatan.

Mengenai kesesakan lalu lintas, ia semakin menyesakkan. Bagaimana ini boleh diatasi?

Di dalam makmal kita teliti masalah ini. Ada dua perkara, pertama bilangan pengguna pengangkutan awam hanya 10 peratus, selebihnya menggunakan kenderaan sendiri atau teksi. Sebab itu sesak. Penyelesaiannya mudah, tingkatkan bilangan pengguna pengangkutan awam kota. Pertama, kita lihat kapasiti LRT tidak mampu memenuhi keperluan. Dengan segera, dalam masa tiga bulan sejak Januari kita tambah 8 set 4 koc kereta api, yang bagusnya secara serta-merta kita menambah bilangan pengguna LRT kepada 955,000 pengguna.

Jadi pemilik LRT tentu gembira?

Itu tidak mencukupi. Kita telah menempah 29 set koc LRT yang akan diterima menjelang akhir tahun ini. Dengan segera, hampir sejuta pengguna baru LRT diwujudkan. Kita juga mengambil kira aduan mengenai Pudu Raya. Ada orang kata Pudu Raya bagaikan ‘Neraka Dunia’. Sekarang, kita lakukan banyak pembaharuan, kita jadikannya nampak lebih cantik. Cabaran utama di Pudu Raya ialah setiap hari 1,000 bas dari seluruh negara berkumpul di sini. Apa yang mesti kita lakukan di makmal ialah kita pecahkan masalah itu.

Sekarang kita sedang bina Terminal di Bandar Tasik Selatan, akan siap pada November tahun ini, 70 peratus siap, yang akan mengambil 250 bas dari Selatan, Johor dan Melaka. Mereka tak akan masuk ke Pudu Raya, kemudian kita adakan perkhidmatan ‘shuttle’. Kita juga sedang bina satu lagi di Gombak untuk bas dari Utara dan Timur, 250 bas. Maknanya menjelang suku pertama tahun depan 500 bas yang selalunya datang ke Pudu Raya, dialihkan dari jalan raya di sekitar Pudu Raya. Selain 1,000 bas, ada 40,000 kereta datang ke Pudu Raya untuk ambil penumpang, sebab itu sesak.

Kita juga sibuk memperbaiki 400 tempat menunggu bas yang buruk dan rosak. Menjelang akhir tahun ini saya harap hampir semua siap. Banyak kerja dibuat untuk membaiki, tapi saya yakin kalau kita terus fokus, dalam masa tiga bulan ini saya nampak banyak pembaikan. Kita boleh buat. Saya juga hampir lupa mengenai laluan bas. Misalnya jika anda datang dari Taman Sri Muda, Shah Alam, kalau nak datang KL Sentral, mengambil masa 65 minit kerana ada 30 perhentian bas. Sekarang kita buka laluan baru menggunakan Kesas, hanya ada empat perhentian.

Tambang naik atau tidak?

Sama juga. Jadi pengguna boleh datang gunakan laluan ini, dengan empat perhentian, hanya 25 minit. Kita panggil cara ini, bas ekspres transit, sudah laksanakan di empat koridor.

Boleh Datuk Seri terangkan mengenai apa dilakukan untuk Sabah dan Sarawak?

Perkara utama di Sabah dan Sarawak ialah program infrastruktur asas, itu permintaan rakyat di sana, di tempat terpencil, mesti perbaiki jalan, elektrik, rumah dan air. Untuk kali pertama sejak kita merdeka, kita ada program pembangunan luar bandar secara agresif, terutama di Sabah dan Sarawak.

Jalan luar bandar yang akan dibina dalam tempoh tiga tahun akan datang ialah 1001 peratus lebih daripada tahun sebelumnya. Elektrik 500 peratus, perumahan 250 peratus lebih, air di kawasan luar bandar 700 peratus. Setakat ini program ini, 70 peratus peruntukannya akan memberi manfaat kepada Sabah dan Sarawak. Di sana keperluan mendesak.

Dengan wawasan ini, sebarang kegagalan adalah kegagalan kita sendiri?

Ya. Itu mengenai transformasi sosial. PM banyak bercakap mengenai transformasi ekonomi, Model Ekonomi Baru, kita akan adakan makmal untuk NKEA – Aktiviti Ekonomi Utama Nasional (turut babitkan sektor swasta), minggu depan kita adakan bengkel untuk 1,000 orang, agar apabila kita kenal pasti NKEA, seperti GTP, untuk dua bulan, kemudian kita adakan hari terbuka, di Semenanjung, Sabah dan Sarawak, untuk orang ramai.

Seterusnya kita akan terbitkan buku, (itu pelan hala tuju), menjelang akhir tahun ini, program transformasi ekonomi. Kemudian kita akan pantau sama seperti pemantauan GTP. Apabila kita buat itu, barulah rakyat akan mula faham, apa yang PM sedang buat, dalam usaha kita mencapai Wawasan 2020.

Datuk Seri pernah berada dalam sektor swasta dan kini dalam kerajaan, kepuasannya berbeza. Apa lagi yang buat anda rasa sudah menyumbang secara bermakna?

Dalam kerajaan, semuanya mengenai rakyat. Cabaran dalam kerajaan ialah memahami apa yang rakyat mahukan? Siapakah rakyat? Banyak segmen berbeza. Kadang kala majoriti rakyat adalah senyap. Anda perlu benar-benar dengar apa majoriti senyap mahu, berbanding mereka yang lantang walaupun ada kalanya mereka mencerminkan apa yang majoriti senyap mahukan.

Jika dapat pandangan semua rakyat, jalankan program berkesan, apabila rakyat puas hati, itulah yang penting. Saya ingin sampaikan dua mesej ini jika boleh, iaitu orang kata benar bahawa masa kini kita diwarnai oleh masa lalu, tetapi yang indahnya ialah kita sendiri boleh menentukan corak warna masa depan sendiri. PM memberi kita peluang menentukan sendiri corak masa depan dan kita berusaha menentukan ke arah itu.

Mesej kedua ialah jika rakyat berjumpa kakitangan awam, tolonglah katakan sesuatu yang baik dan positif kepada mereka, kerana saya percaya jika kita berbuat demikian, mereka akan menjadi lebih baik. Hellen Keller berkata, hadapkan wajah anda ke arah cahaya matahari, dan anda tidak akan nampak bayang

Sabtu, Januari 17, 2009

Pemerintahan Khalifah Islam

SISTEM PEMERINTAHAN KHALIFAH

Saya ingin membicarakan satu topik yang boleh menjadi penyelesaian kepada penderitaan umat Islam hari ini. Kita amat sedih sekali dengan kejadian yang menimpa saudara kita di Gaza Palestin akibat serangan Zionis hanya dengan alasan untuk menghentikan serangan roket pejuang Hamas. Tidak perlulah bangsa terkutuk sejak zaman nabi-nabi terdahulu itu berdolak-dalik untuk terus menipu dunia dan bangsa-bangsa lain. Zionis dari kalangan Yahudi ini sememangnya sangat sakit hati dengan umat Islam serta ajaran Islam kerana Kitab al-Quran secara terang-terangan telah mendedahkan sikap bangsa ini sejak dari dahulu lagi.

Oleh sebab itulah, puak-puak zionis ini cuba mencari pengaruh dan cuba hendak menguasai pemimpin-pemimpin yang mahu mengikut telunjuk dengan menawarkan pelbagai habuan untuk mereka. Tidak hairanlah sekiranya Bush dan Perdana Menteri Belanda suatu ketika dulu sanggup melaksanakan agenda-agenda zionis untuk memusnahkan negara Islam dan memburuk-burukkan ajaran Islam serta Nabi Muhammad SAW. Bercakap mengenai USA, usahlah kita terlalu menaruh harapan yang tinggi kepada presiden barunya kelak Barrack Obama kerana bukan dia yang menentukan sesuatu keputusan sebaliknya adalah ahli kongres.

Dan kita sedia maklum bahawa ada di kalangan ahli-ahli kongresnya berketurunan Yahudi dan menyokong kuat kewujudan Israel. Di belakang ahli-ahli kongres tersebut berdiri kukuh sekumpulan jutawan, ahli perniagaan dan pakar-pakar berketurunan yahudi yang mempunyai pengaruh kuat terhadap ekonomi USA dan penentuan dasar-dasar luar melalui agen mereka di kongres. Sebab itulah Tun Dr. Mahathir Mohamad pernah menyatakan bahawa USA adalah proksi yahudi Israel. Bahkan USA turut dianggap sebagai jajahan Israel kerana USA tidak pernah tidak bersetuju dengan tindakan yang dilakukan oleh Israel terhadap Palestin semenjak dahulu lagi dan sedia membekalkan peralatan senjata kepada Israel untuk menghadapi dunia Arab.

Jadi, dalam isu Palestin ini di mana perginya dunia Arab? Kenapa negara-negara Arab sekelilingnya tidak membantu Palestin? Iran walaupun cukup lantang membela Palestin namun presidennya tidak berani mengambil risiko kerana ia dikelilingi oleh ramai musuh bukan saja dari tentera USA yang bertapak di Iraq dan Afghanistan bahkan negara-negara Arab lain yang sudah dirasuah oleh USA dengan pelbagai bantuan untuk memajukan ekonomi keluarga diraja Arab melalui harta dan tenaga rakyat dan melindungi tampuk kuasa kerajaan raja Arab yang diberi secara percuma oleh bekas penjajah British dan Perancis setelah berjaya memecahkan empayar khalifah Uthmaniyah pada tahun 1914.

Kenapa USA dan Barat takut dengan pemerintahan Khalifah? Adakah pemerintahan Khalifah seperti sebuah kerajaan Republik atau Persekutuan? Pada pandangan saya, pemerintahan Khalifah merupakan satu sistem yang mempertanggungjawabkan kepada seorang pemimpin yang dilantik dan diiktiraf memerintah sesebuah wilayah atau negara untuk menjaga hak dan keselamatan wilayah atau negara yang mempunyai fahaman yang sama dengannya iaitu Islam. Sebenarnya, dalam bentuk sistem kerajaan yang ada pada hari ini sistem khalifah masih boleh dipraktikkan melalui penubuhan kesatuan seperti OIC.

Namun, kesatuan ini lesu dan tidak diterajui oleh seorang pemimpin yang ultra yang mampu menggerakkan pertubuhan ini secara lebih efektif. Yang berlaku sekarang adalah, masing-masing mementingkan diri sendiri dan sukar untuk saling mempercayai sesama sendiri. Semua ini berlaku kerana tiada ukhwah Islamiah atau persaudaraan Islam sejati, yang ada adalah persaudaraan atas kepentingan ekonomi dan kuasa. Disebabkan ekonomi bergantung kepada USA dan barat maka kepentingan untuk menjaga hubungan dengan USA dan barat diutamakan. Begitu juga kuasa mereka bergantung kepada bantuan bekalan senjata dari USA dan barat untuk mempertahankan kekuasaan mereka dari pemberontak dalaman dari kalangan rakyat mereka sendiri serta hasutan dari USA yang memfitnah Iran sebagai ancaman kepada dunia Arab lain.

Negara-negara Islam hari ini terutama di dunia Arab sebenarnya telah dipecahbelahkan oleh musuh Islam yang berselindung di belakang pentadbiran negara USA iaitu yahudi Israel. Bukan saja negara Islam saja yang dipecahbelahkan malahan pegangan agama umat Islam di seluruh dunia pun cuba dipecahbelahkan dengan pelbagai fahaman hedonisme, jenama-jenama yang mengagungkan budaya hidup USA, fahaman-fahaman kebebasan dan sebagainya. Tanpa disedari, mereka yang mendokong budaya USA dan jenama USA ini secara tidak langsung telah dijajah oleh USA melalui pemikiran dan minda mereka.

Seharusnya, dikalangan negara Islam perlu mempunyai seorang pemimpin yang ultra berani bukan saja hanya tahu bersuara lantang di persada forum dunia tetapi lebih penting memulakan segala apa yang dilaungkannya itu dalam negara yang berada dibawah pemerintahannya sendiri. Jika dia bersuara pertingkatkan kemajuan ekonomi negara Islam maka ia perlu dimulakan di negaranya sendiri. Memang akan ada pemimpin negara Islam lain yang tidak mengambil peduli tetapi akan ada dikalangan rakyat mereka yang pakar dalam bidang ekonomi akan berusaha untuk membantu merealisasikan saranan tersebut. Sudah ada pemimpin sebegitu sebelum ini dan ia adalah dari negara kita sendiri. Apa yang dikata akan dikota, tidak kira kawan atau lawan semuanya hormat.

Jika sistem khalifah dipraktikkan dalam OIC, tentunya kepimpinannya berupaya untuk mengarahkan setiap negara Islam yang berada dibawah naungannya untuk menghantar tentera ke Palestin bagi menghalau keluar tentera Israel dari tanah yang telah dirampas dan dicerobohi. Malangnya, negara Islam di dunia Arab terlebih dahulu telah dikuasai oleh USA melalui pengaruh dan pengkalan tenteranya. Inilah yang dikatakan sebagai 'Yajud & Majud', binatang bertubuh manusia keluar melata dari sarangnya di USA ke seluruh pelusuk dunia mewujudkan pengkalan tenteranya untuk memecahbelahkan bangsa-bangsa lain di dunia. Sesiapa yang menentang akan dimusnahkan dengan kejam.

Sementara 'Dajal' sewenangnya mengarah pengikutnya yang diberi habuan harta benda dan pangkat, kemudiannya melaksanakan perintah 'dajal' untuk menguasai dunia melalui teknologi dan komputer. Teknologi untuk memusnahkan harta benda dan komputer untuk merosakkan pegangan agama dan pemikiran manusia. Perkembangan peristiwa yang berlaku pada hari ini telah banyak memberi kefahaman tentang akhir zaman yang pernah diberitakan sama ada melalui wahyu mahupun hadis nabi. Justeru, sebagai umat Islam berhati-hatilah jangan sampai kita terpengaruh dengan fitnah 'dajal'. Jika umat Islam bersatu dan berpegang teguh pada ajaran Islam pastinya 'dajal' itu tidak berupaya 'memerintah' jika tiada orang yang hendak menurut perintahnya.

'Yajud & Majud' itu tidak akan mampu mengganggu gugat keselamatan dan keamanan umat Islam bila mana melihat segerombolan umat Islam bersatu berjuang bergerak dari semua arah timur, barat, utara dan selatan mengepung kedudukan pengkalan tentera mereka. Umat Islam kini ada di pelusuk dunia namun ia ibarat buih yang mudah dibawah arus dan pecah dipukul ombak, bukankah lebih baik kelebihan ini digunakan untuk mengepung kedudukan musuh Islam. Umat Islam memerlukan seorang lagi pemimpin yang berani, pemimpin yang digambarkan seperti 'Imam Mahdi' untuk menyatupadukan umat Islam. Mengepung kedudukan musuh seperti 'Saladin atau Salehudin al-Ayubi'.

Ramai dikalangan kita umat Islam biasa menanti kehadiran 'pemimpin' itu untuk 'bersekutu' dengannya, namun awas jangan pula sampai terpedaya dan terperangkap dengan pemimpin yang berjuang melalui pertubuhan 'pengganas'. Untuk membezakan keduanya adalah melalui pendekatan yang digunakannya iaitu 'diplomatik'. Pemimpin pengganas tidak berjuang melalui saluran diplomatik. Jika diplomatik melalui rundingan gagal maka tindakan tegas diambil, itupun masih juga melalui diplomatik iaitu kerjasama tentera kerajaan Islam yang bersekutu. Fikir-fikirkanlah.

Image Hosted by ImageShack.us

Isnin, Disember 01, 2008

PKR di Sarawak

Parti Keadilan Rakyat Mahu Tawan Sarawak

Beralih kepada hal politik seketika, merujuk kepada sumber berita dari 'pautan ini' keinginan PKR untuk menawan Sarawak menarik perhatian saya untuk mengulas sedikit. Kerana sebagai rakyat negeri ini semestinya saya lebih mengetahui serba sedikit mengenai selok belok politik di negeri ini dan sambutan terhadap mana-mana parti politik dari semenanjung.

Situasi politik di negeri ini cukup berbeza dengan negeri-negeri lain di Malaysia sejak dari sebelum merdeka lagi. Melihat keadaan politik di Semenanjung apakah rakyat negeri ini boleh menerima mana-mana parti politik dari sana. Walaupun ada rakyat negeri ini yang menyokong kehadiran parti-parti tersebut sama ada PKR maupun UMNO, namun ia adalah minoriti. Keinginan PKR hendak menawan Sarawak adalah berikutan negeri ini bakal menghadapi pilihanraya negeri tahun depan.

Rakyat negeri ini masih menyokong kuat mana-mana parti komponen dari negeri ini sendiri kerana hanya mereka yang memahami adat, adab dan budaya rakyat pelbagai kaum dan etnik di negeri ini. Walaupun adakalanya pembangunan yang dibawa BN tidak sampai ke kawasan sesetengah rakyat namun pelan pembangunan yang dibawa adalah amat jelas dan rakyat nampak akan usaha-usaha pembangunan yang sedang dibawa.

Lagipun pemimpin-pemimpin politik negeri ini yang berada dalam kerajaan tidak banyak menimbulkan karenah yang menjelekkan serta terlibat dengan isu-isu yang dibenci oleh rakyat seperti rasuah dan pertikaman lidah antara mereka sendiri sebagaimana yang berlaku dalam parti-parti UMNO dan MCA. Masalah seperti itu tidak akan mempopularkan seseorang pemimpin tetapi hanya akan menggambarkan betapa kepimpinan dalam parti itu tidak seia sekata dan bersatu hati dalam menghadapi sesuatu isu. Rakyat negeri ini boleh menilai perkara-perkara seperti ini.

Perdebatan sesama sendiri hanya akan membantutkan usaha pembangunan, namun begitu pemimpin-pemimpin negeri ini tidak seharusnya selesa dengan kedudukan mereka. Ini kerana saya pernah mendengar keluhan sesetengah rakyat Sarawak dari kawasan pedalaman dan rumah panjang bahawa mereka tidak teragak-agak akan memangkah pembangkang dalam pilihanraya sekiranya kawasan mereka tidak menerima pembangunan terutama jalan raya dan bekalan air serta elektrik.

Ini jelas berdasarkan undian dalam PRU12 separuh daripada pengundi di kawasan rumah panjang telah memilih BEBAS dan alasan mereka ialah tidak pernah pun wakil-wakil rakyat dari BN menjenguk mereka untuk bertanya khabar bahkan tuai rumah mereka pun tidak diberitahu bahawa pada hari tersebut akan diadakan pengundian. Ini bermakna tiada pegawai kerajaan yang berhubung dengan tuai rumah, jika pada saat penting sebelum hari pengundian pun pegawai kerajaan tidak ambil peduli apatah lagi pada hari-hari lain. Daripada 100 orang dalam senarai pengundi, hanya 24 orang yang datang mengundi dan 12 orang saja yang memangkah BN.

Daripada analisis keputusan PRU12 lepas, rata-rata yang menyokong BN adalah dari kawasan yang telah mempunyai kemudahan asas dan mudah dihubungi dengan jalan raya dan pengangkutan darat. Namun demikian, dengan perkembangan teknologi serta sumber maklumat yang mudah diakses, rakyat negeri ini sudah mampu untuk membuat penilaian dengan membuat perbandingan pembangunan kawasan mereka dengan kawasan lain yang lebih maju dan cepat membangun.

Ini dapat diperhatikan dan didengari luahan rakyatnya ketika saya melawat Tenom, Sabah. Bandar Tenom suatu ketika dahulu adalah antara bandar yang termaju dan membangun di kawasan pedalaman Sabah. Namun, akibat perubahan masa pembangunan di bandar itu menjadi lambat sebaliknya kawasan lain yang dulunya hanya pekan kini semakin pantas membangun telah setanding dan mungkin lebih baik dari Tenom, contohnya Beufort. Begitu juga di Papar, Sabah biarpun berada hanya beberapa puluh kilometer dari Kota Kinabalu namun ia kelihatannya seperti sebuah pekan kecil sahaja yang menjadi persinggahan untuk ke Beufort, Keningau dan Tenom.

Seharusnya pemimpin komponen BN sama ada di Sabah maupun Sarawak, tidak harus berasa selesa dengan kedudukan mereka. Jangan menyangka bahawa mereka akan berterusan mendapat sokongan kerana kini rakyat dari kalangan generasi baru kian bertambah dan sudah cukup matang untuk berfikir. Keadaan kini sudah berubah dan suasana politik tidak akan lagi sama seperti tahun-tahun sebelumnya.

Pemimpin negeri ini harus peka dengan perubahan ini namun untuk PKR menawan Sarawak adalah sesuatu yang sukar kerana rata-rata majoriti penduduk peribumi negeri ini tidak dapat menerima kehadiran mereka, melainkan penduduk yang rasa kecewa dengan pemimpin kerajaan yang pentingkan diri, keluarga dan kroni mereka tidak teragak-agak akan memangkah pembangkang. Keadaan seperti inilah yang akan cuba dimanupulasikan oleh pembangkang terutama PKR dan DAP di Sarawak.

Image Hosted by ImageShack.us

Jumaat, November 28, 2008

Kualiti Mykad

Beberapa hari yang lalu sidang Parlimen mengutarakan isu mengenai kualiti Mykad yang rendah sehingga menyebabkan banyak mykad rakyat Malaysia yang rosak diadukan kepada Jabatan Pendaftaran. Saya sebagai rakyat faham akan sebarang kelemahan dan kekurangan yang wujud dalam pengeluaran Mykad generasi pertama. Tetapi sekiranya ia tidak diperbaiki dan berulang lagi dengan Mykad yang baru maka bukan rakyat yang tak faham tapi pihak yang mengeluarkannya yang tak faham-faham dengan aduan kerosakan yang semakin meningkat setiap tahun.

Setelah masalah ini diajukan barulah menteri-menteri berkenaan memberi penjelasan akan menggantikannya dengan sejenis bahan yang tahan lentur dan cip yang tak mudah berkarat. Penggantian ini perlu disegerakan dan tidak perlu menunggu terlalu lama untuk diluluskan kerana ia hanya melibatkan kualiti dan jenis bahan penghasilan Mykad. Yang penting adalah fungsi Mykad itu sebagai dokumen pengenalan diri setiap rakyat Malaysia dalam apa jua urusan rasmi dan boleh bertahan dari sebarang kerosakan melainkan hilang akibat kecuai pemilik Mykad. Benar, kecuaian tidak boleh dimaafkan tetapi bagaimana pula dengan mykad yang mudah rosak bukan disebabkan kecuaian pemilik tetapi kerana kualiti mykad itu sendiri? Adakah pemiliknya harus dipersalahkan?

Saya sendiri mempunyai mykad generasi pertama yang sudah beberapa kali terkopak. Kelihatannya ia diperbuat dengan kepingan kertas yang berlapis-lapis dan pada luarannya barulah dilapis dengan plastik. Cipnya pun sudah berkarat akibat hawa dan kelembapan disimpan di dalam dompet. Setiap kali terkopak setiap itu jugalah saya gamkan dengan gam cap gajah supaya tidak terkopak dengan teruk. Itu adalah inisiatif saya dalam memelihara mykad saya agar tidak perlu menggantikannya dengan dikenakan bayaran caj oleh Jabatan Pendaftaran. Walaupun caj tak lah mahal sangat tetapi dari segi intergriti, kerosakan mykad itu bukan disebabkan oleh kecuaian atau kesalahan saya. Sudah ada usaha untuk menjaga dan memeliharanya dengan baik namun jika buatannya tak berkualiti pastinya ia akhirnya akan rosak. Ini melibatkan intergriti pihak yang mengeluarkannya kerana tidak menilai kenapa ia rosak dan adakah patut rakyat dipersalahkan.

Berkenaan dengan rakyat Malaysia yang masih tidak mempunyai Mykad pula ia berkaitan dengan piagam pelanggan jabatan berkenaan. Adakah berkhidmat untuk rakyat atau rakyat miskin yang tinggal di hulu pedalaman yang sukar dihubungi dengan jalan raya darat perlu bersusah payah mengeluarkan belanja semata-mata hendak membuat mykad sedangkan mereka sudah turun temurun sejak dari moyang lagi sudah tinggal di kawasan pedalaman hidup dalam keadaan daif di hutan dan mungkin kurang arif atau berilmu tentang kepentingan memiliki mykad. Mereka tidak pun mendapat elaun perjalanan untuk ke bandar berdekatan bagi membuat mykad. Saya hairan kenapa yang berkuasa dan memiliki keupayaan dan kekayaan wang ringgit dan harta benda tidak mahu menggunakan segala kelebihan dan kemudahan pengangkutan darat dan udara yang mereka ada untuk pergi mencari dan menuju ke tempat kawasan penduduk yang jauh di pedalaman bagi membuat mykad mereka yang hidup miskin dan susah ini. Balik-balik rakyat yang selalu dipersalahkan.

Tiada alasan pihak berkenaan mempersalahkan rakyat kerana gaji mereka dibayar menggunakan wang cukai rakyat dan mereka bekerja untuk rakyat. Apa saja kesusahan rakyat mereka perlu bantu dan mencari mereka yang susah walau di kawasan yang sukar sekalipun kerana mereka layak menuntut elaun perjalanan dan tugas luar. Kerajaan dan mana-mana Jabatan dan Perkhidmatan Kerajaan yang diterajui oleh sesebuah parti pemerintah tidak boleh bersikap angkuh, banyak alasan dan membisu sahaja apabila kredibiliti dan keazaman mereka dalam berkhidmat dipersoalkan rakyat. Kerana lambat laun mereka kelak akan ditolak dalam pilihanraya kerana rakyat pada hari ini walaupun tinggal jauh di pedalaman sudah tahu menilai dan membezakan taraf pembangunan yang diterima oleh mereka dengan kawasan yang lain.

Image Hosted by ImageShack.us

Jumaat, Oktober 24, 2008

Prinsip Pemerintahan Islam

PRINSIP PEMERINTAHAN ISLAM

Oleh : SAODAH ABD. RAHMAN

POLITIK atau perkara berkaitan dengan kepimpinan dan kenegaraan merupakan satu bidang yang amat rumit serta berisiko tinggi. Setiap individu yang melibatkan diri dalam bidang ini perlu bersedia menghadapi risiko apabila gagal menunaikan tugas kepimpinan memerintah negara. Jawatan pemimpin dan pemerintah bukan merupakan satu pekerjaan yang kekal atau berbentuk warisan. Jawatan ini adalah berkaitan dengan amanah Allah kepada individu yang mempunyai kebolehan, kepakaran dan kebijaksanaan dalam mengendalikan urusan kemasyarakatan dan kenegaraan.

Dalam arena politik dan kepimpinan, kerjasama di antara pemimpin dan rakyat merupakan satu prinsip kepimpinan yang tidak boleh diabaikan. Islam memperkenalkan sistem kepimpinan dan pemerintahan berlandaskan kepada amanah sebagai khalifah Allah di muka bumi ini. Setiap umat Islam mempunyai tugas masing-masing dalam mengendalikan urusan keduniaan berlandaskan kepada wahyu dan kepimpinan Rasulullah SAW.

Pemimpin atau pemerintah dianggap sebagai wakil rakyat untuk mengendalikan urusan kenegaraan dan kemasyarakatan berdasarkan kepada prinsip kepimpinan dalam Islam seperti mana dilakukan oleh Rasulullah SAW dan para sahabat baginda.

Apabila konsep kepimpinan ditafsirkan sebagai amanah yang berbentuk wakil rakyat maka secara jelas menunjukkan bahawa setiap pemimpin dan pemerintah tidak mempunyai kuasa mutlak untuk menguasai dan mewarisi negara yang dipimpin dan diperintah oleh mereka.

Pemimpin dan pemerintah perlu akur kepada suara rakyat jika mereka tidak dapat memenuhi harapan dan impian rakyat dalam mengendalikan urusan keduniaan. Jika mereka mempunyai keupayaan dan kebolehan memerintah dan memimpin serta menyemarakkan keamanan, kestabilan politik, ekonomi serta bijak mengatasi rintangan dan permasalahan maka rakyat perlu akur kepada suara dan arahan pemimpin dan pemerintah.

Apabila seseorang pemimpin tidak mempunyai keupayaan dalam kepimpinan dan pemerintahan maka pelbagai permasalahan akan wujud dalam negara. Ketika ini rakyat perlu bersuara dan mengkritik kepimpinan dengan tujuan meminta dan menyeru supaya menyerahkan jawatan tersebut kepada orang yang lebih berkemampuan dan layak. Ini merupakan satu bentuk kepimpinan dalam Islam.

Perletakkan jawatan akibat kegagalan dalam kepimpinan bukan merupakan satu perkara yang aib, malah ia merupakan satu pengorbanan untuk kebaikan negara dan masyarakat. Sikap akur kepada suara rakyat merupakan satu bentuk penghormatan diri yang dimiliki oleh pemimpin Islam yang berwibawa.

Jawatan pemimpin hanyalah satu amanah dan tugas untuk mengendalikan urusan rakyat dan negara. Jika rakyat tidak memerlukan kepimpinannya maka beliau terlepas daripada memegang amanah berat yang dipikul selama ini.

Kepimpinan dan pemerintahan dalam Islam berunsurkan kepada kejujuran, keadilan, kebijaksanaan dan jiwa kemanusiaan yang tinggi. Jika ciri-ciri ini disebatikan dalam pemikiran dan hati nurani para pemimpin dan pemerintah negara Islam maka tidak akan berlaku perselisihan atau pertarungan hebat untuk memegang jawatan tertinggi dalam kepimpinan.

Pertarungan dan perselisihan di antara para pemimpin dan pemerintah yang wujud dalam negara Islam masa kini adalah akibat daripada salah tafsir dalam memahami konsep dan prinsip dalam kepimpinan dan pemerintahan. Ini disebabkan pemikiran dan jiwa umat Islam sering dikaburkan dengan keindahan dan kemewahan yang akan dinikmati ketika mereka dilantik menjadi pemimpin dan pemerintah.

Pemikiran dan jiwa yang dihiasi dengan keindahan material dan keduniaan menyebabkan umat Islam sering tersungkur apabila menjadi pemimpin negara. Prinsip dan konsep kepimpinan dalam Islam terkubur apabila para pemimpin dan pemerintahan Islam beranggapan bahawa kuasa yang dimiliki itu merupakan satu kuasa mutlak, dan hak serta keistimewaan negara dijadikan hak milik diri dan ahli keluarga. Ini merupakan satu dilema yang paling getir dihadapi oleh dunia Islam masa kini.

Kekayaan

Negara Islam yang mempunyai sumber kekayaan paling bernilai menjadi negara miskin kerana harta dan kekayaan negara dimiliki oleh para pemimpin dan dikongsi bersama pelabur asing. Kemiskinan yang wujud dalam negara-negara Arab yang terkenal dengan sumber kekayaan dunia perlu dijadikan tauladan kepada para pemimpin dan pemerintah dalam negara ini.

Umat Islam perlu memahami bahawa negara adalah hak milik penghuni dalam negara tersebut. Setiap sumber kekayaan negara perlu dikongsi bersama dengan rakyat. Tanggungjawab para pemimpin dan pemerintah perlu berasaskan kepada konsep kecintaan kepada rakyat dan merupakan amanah Allah dalam mengendalikan urusan makhluknya di muka bumi ini.

Jawatan pemimpin bukan merupakan satu jawatan yang terlalu istimewa mengikut perspektif Islam. Ia hanya merupakan tugas dan amanah yang berat dan akan dipersoalkan oleh Allah di hari Akhirat. Oleh itu setiap pemimpin perlu akur kepada suara dan rintihan rakyat supaya kepimpinan mereka direstui oleh rakyat dan diberkati oleh Allah.

Konsep dan prinsip kepimpinan Islam perlu disemat dalam pemikiran dan jiwa umat Islam supaya setiap individu yang dilantik menjadi pemimpin dan pemerintah memahami bahawa setiap pergerakan dan aktiviti mereka dipantau oleh masyarakat. Ini merupakan satu cara untuk membentuk sistem politik dan keperibadian umat Islam bersesuaian dengan konsep dan prinsip sebagai khalifah Allah di muka bumi ini.

Konsep dan prinsip kepimpinan yang berunsurkan demokrasi yang dilaksanakan oleh Rasulullah SAW dan para sahabat perlu dijadikan panduan umat Islam. Rasulullah SAW tidak mewarisi jawatan khalifah kepada ahli keluarga baginda atau individu tertentu. Baginda menyerahkan perkara tersebut kepada masyarakat untuk menentukan siapakah yang layak menjadi pemimpin selepas baginda.

Konsep keterbukaan menjadi amalan kepada para sahabat Rasulullah SAW semasa memimpin negara. Abu Bakar secara terbuka meminta umat Islam menyokong dan taat kepada beliau jika beliau melaksanakan tugas dengan baik. Beliau juga menggalakkan masyarakat mengkritik dan menyuarakan tentangan terhadap beliau jika beliau gagal dalam melaksanakan tugas.

Abu Bakar juga menyeru masyarakat menentang dan memecat beliau daripada jawatan khalifah jika beliau gagal dalam pemerintahan dan ingkar meletakkan jawatan. Oleh itu perlucutan jawatan dalam kepimpinan dan pentadbiran akibat kelemahan dan kegagalan para pemimpin dan pentadbir merupakan satu fenomena biasa dalam sistem politik dan pemerintahan dalam Islam.

Berdasarkan kepada prinsip dan konsep kepimpinan dan pemerintahan dalam Islam maka diharapkan setiap pemimpin dan pentadbir dalam negara ini menumpukan perhatian kepada tugas dengan sebaik mungkin semoga sumbangan dan pengorbanan mereka direstui oleh rakyat dan diberkati oleh Allah.

Oleh itu rakyat dan pemimpin dalam negara ini perlu bekerjasama untuk menjadikan Malaysia sebuah negara Islam yang maju.

Image Hosted by ImageShack.us

Kpimpinan Pikul Amanah Brat

KEPIMPINAN PIKUL AMANAH BERAT

Oleh : SITI SHAMSIAH MOHD. SUFI

KETIKA Abu Zar meminta Rasulullah SAW supaya meletakkan dirinya dalam barisan kepimpinan dan pentadbiran negara, Baginda lantas menyatakan bahawa Abu Zar memiliki kelemahan yang tidak melayakkannya untuk menjawat jawatan sebagai pentadbir negara.

Baginda Rasulullah SAW mengingatkan bahawa jawatan sebenarnya amanah yang sangat berat dan amanah ini hanya akan menyebabkan kekesalan dan duka cita semata-mata, kecuali jika jawatan tersebut disandang oleh kalangan yang layak.

Pada ketika yang lain Rasulullah SAW melarang Abdur Rahman bin Samurah r.a daripada meminta-minta untuk menjadi pentadbir negara. Ini kerana perolehan jawatan atas sebab permintaan adalah suatu tugas yang sukar untuk dilaksanakan.

Sebaliknya jika jawatan tersebut disandang atas keperluan negara, tugasan tersebut merupakan sesuatu yang sifatnya lebih mudah untuk dilaksanakan dan ia juga akan menerima bantuan dalam pelaksanaan tugas tersebut.

Kita melihat Sahabat Rasulullah ini hanyalah segelintir dari kalangan yang mendapati bahawa jawatan sebagai pemimpin adalah sesuatu yang dipandang hebat dan dihormati.

Mereka terlupa di sebalik kehebatan dan penghormatan yang diberi adalah tugas rumit dan sekiranya ia tidak dilaksanakan dengan baik maka menyebabkan kesan yang tidak baik kepada orang bawahan dan juga rakyat.

Apabila sampai pada hari pembalasan, maka hanya api neraka yang layak untuk pemimpin yang gagal. Bagaimanapun sebagai insan beriman sekalipun teruja untuk menjadi pemimpin, mereka adalah kalangan yang berhati mulia dan berlapang dada kerana tidak menolak teguran atau nasihat yang diberikan.

Saidina Abu Bakar al-Siddiq dilihat secara sepakat oleh Sahabat-sahabat sebagai orang yang paling layak untuk menggantikan Rasulullah SAW yang wafat sebagai pemimpin umat Islam.

Bagaimanapun sifat tawaduk yang ada pada peribadi beliau menjadikan beliau menerimanya dengan penuh rendah diri. Kesedihan yang masih berkabung dalam hati atas kewafatan Rasulullah SAW juga sangat memberi kesan kepada perasaan beliau pada ketika itu dan menjadikan beliau tidak teruja dengan apa yang diterimanya.

Terbaik

Dalam ucapan sulung sebagai pemimpin, beliau menyatakan pelantikannya sebagai pemimpin tidak memadai untuk menjadi lambang bahawa beliau adalah yang terbaik dari kalangan mereka.

Seterusnya, beliau mengharapkan sokongan selagi berada dalam kebenaran dan sebaliknya, sekiranya umat Islam melihat sebarang keburukan atau kebatilan daripada pihaknya, maka beliau meminta supaya ditegur dan dibetulkan.

Harapan yang sama juga dimajukan oleh pengganti Khalifah Saidina Abu Bakar, iaitu Saidina Umar al-Khattab. Sesuai dengan perwatakannya yang sangat tegas dan bengis, seorang lelaki mewakili rakyat menyambut harapan Saidina Umar dengan mengatakan bahawa sekiranya Khalifah melakukan penyelewengan, pihak rakyat akan membetulkannya dengan menggunakan 'mata pedang'.

Selanjutnya dalam satu peristiwa, Khalifah Saidina Umar al-Khattab berlapang dada menerima teguran daripada seorang wanita berkenaan saranan Khalifah supaya kadar mas kahwin yang diletakkan oleh pihak pengantin perempuan haruslah rendah kadarnya.

Wanita berkenaan menempelak pandangan Khalifah dan menegaskan bahawa sebarang penetapan kadar mas kahwin sememangnya hak pengantin perempuan dan ia tidak sepatutnya dipertikaikan.

Khalifah tidak menganggap teguran tersebut sebagai perkara yang memalukan bahkan menegaskan dengan kata-katanya, "Perempuan ini benar dan Umar telah bersalah".

Penegasan Khalifah seiring dengan doa beliau sebagai seorang pemimpin yang menyebut sebagai, "Semoga Allah merahmati seseorang yang menunjukkan kepadaku tentang keaiban diriku".

Sifat-sifat berlapang dada yang ditunjukkan oleh pemimpin-pemimpin ulung ini membuktikan mereka adalah kalangan insan yang tinggi taqwanya. Mereka tidak mengejar pangkat dan kedudukan, sebaliknya pangkat dan kedudukan itu digunakan untuk mendapatkan keredaan Allah SWT. Melalui jawatan tersebut mereka membuat keputusan dan dasar-dasar kenegaraan yang memberikan kebaikan kepada agama, rakyat dan negara.

Selanjutnya, sangat menarik untuk kita meneladani keperibadian Khalifah Umar Abdul Aziz yang memerintah dari tahun 717H sehingga 720H, sebagai seorang pemimpin dan ketua negara. Sebelum pelantikan tersebut yang dilakukan oleh Khalifah Sulayman Abdul Malik berlaku, beliau beberapa kali berikhtiar supaya Khalifah Sulayman mengubah keputusannya.

Dan apabila beliau menerima pelantikan tersebut, beliau telah merubah budaya dengan meletak jawatan dan memulangkan semula jawatan tersebut kepada rakyat.

Memberi kebebasan kepada rakyat untuk memilih calon yang lebih layak untuk memimpin rakyat dan negara. Akan tetapi, disebabkan beliau sememangnya calon yang paling layak dan amat dekat di hati rakyat, maka beliau juga yang akhirnya dipilih.

Ini menunjukkan bahawa kesediaan beliau untuk meletak jawatan dan mengundur diri daripada menjadi pentadbir negara adalah disebabkan ketakwaannya kepada Allah SWT. Ketakwaan melahirkan kebimbangan untuk menerima tanggungjawab yang amat berat; bimbang sekiranya pelantikan itu hanya mengundang keburukan kepada rakyat dan negara. Kesediaan untuk mengundurkan diri adalah sebahagian daripada usaha memelihara kemaslahatan rakyat.

Daripada pengalaman pemimpin-pemimpin ulung ini, kesediaan menerima teguran, pembetulan sehinggalah ke peringkat berundur diri, bukanlah sikap yang menjatuhkan maruah peribadi. Pengalaman lampau membuktikan sikap dan tindakan tersebut menjadikan golongan rakyat lebih menghormati dan mengagumi keperibadian pemimpin sebegini.

Kebaikan kepimpinan akan dinilai dan dirasai oleh pihak rakyat, maka sia-sialah sikap sesetengah pemimpin yang terus mendakwa dirinya yang paling layak untuk memimpin sedangkan rakyat yang menjadi hakimnya.

Image Hosted by ImageShack.us

Ahad, Ogos 10, 2008

Akui Quran Kitab Progresif

Tony Blair Akui Al-Quran Kitab Progresif


"Bagi saya perkara paling luar biasa berkaitan al-Quran ialah betapa progresifnya kitab ini. Saya menulis dengan penuh rendah diri sebagai seorang penganut agama lain. Sebagai orang luar, al-Quran saya anggap sebagai sebuah kitab yang membawa pembaharuan (reforming), cuba mengembalikan Judaisme dan Kristianiti ke asalnya, sebagaimana yang cuba dilakukan oleh para reformis kepada gereja Kristian berabad kemudian. Al-Quran bersifat inklusif, ia menyanjungi sains serta ilmu pengetahuan, dan membenci karut-marut. Ia praktikal dan mendahului zamandalam sikapnya terhadap perkahwinan, wanita dan pemerintahan/pentadbiran.”
-Tony Blair (Bekas PM Britain 1997-2007)-


Percaya atau tidak, ini adalah pandangan yang dilontarkan Perdana Menteri Britain, Tony Blair. Agak meragukan kerana ia datang daripada sekutu kuat Amerika Syarikat, penganjur ‘perang menentang keganasan’ yang dilihat segolongan besar umat Islam sebagai perang terhadap Islam.
Namun, ini adalah pandangan Blair yang disiarkan jurnal Foreign Affairs keluaran Januari/Februari 2007 dalam artikelnya yang bertajuk 'A Battle for Global Values'.

Hampir keseluruhan rencana tersebut pada dasarnya membincangkan perang menentang keganasan, yang menurutnya bukan sahaja mempunyai kaitan dengan keselamatan atau taktik ketenteraan, tetapi adalah satu peperangan nilai-nilai Barat yang mendukung demokrasi dan kebebasan di satu pihak, menentang ideologi fanatik keagamaan yang juga disebut sebagai ektremisme global di pihak lain.

Artikel ini memang baik dibaca mereka yang berminat dalam kajian oksidental kerana memberi gambaran jelas pemikiran seorang pemimpin besar Barat, khusus berkaitan Muslim dan dunia Islam. Bagi Blair, punca sebenar keganasan dan ektremisme global (sudah tentu yang dimaksudkan adalah pengganas dan ekstremis Islam) adalah peminggiran, pemangsaan dan penindasan politik yang berlaku di dunia Muslim dan Arab. Baginya, ajaran Islam yang berteraskan al-Quran bukanlah penyebabnya. Sebaliknya ajaran al-Quran mampu mengasaskan sebuah empayar yang mengetuai dunia dalam penerokaan pelbagai bidang ilmu, kesenian dan budaya. Malah toleransi lebih dirasai di bumi Muslim berbanding Kristian.

Bagaimanapun pada awal abad ke-19, dunia Arab dan Muslim terperangkap dalam ketidaktentuan, kekacauan dan bersifat defensif. Penjajahan, nasionalisme, penindasan politik dan radikalisme agama membayangi negara-negara Islam, dan ada yang melihatnya sebagai simptom kelemahan Islam. Maka radikal politik menjadi radikal agama, begitu sebaliknya.
Menurut Blair, kumpulan radikal agama (dilabelnya sebagai ekstremis) inilah yang memulakan satu ideologi, pemikiran dan doktrin agama, dan menyebarkannya ke seluruh dunia. Ikhwan Muslimin dengan sokongan ektremis Wahabi dinamakannya secara jelas.

Maka bagi Blair, kesilapan sebenar bukan berpunca dan Barat, tetapi dalam negara-negara Muslim. Pergolakan politik disebabkan tekanan pengganas atau ideologi ini di bumi-bumi Muslim, mengakibatkan ratusan ribu menjadi mangsa. Pergerakan ini menurutnya, hampir menyamai revolusionari komunis di peringkat awal kerana membawa ideologi, satu pandangan hidup, keyakinan yang kukuh dan fanatisme, walaupun tidak begitu tersusun.

Pada mulanya, pergerakan tersebut hanya mengakibatkan perbalahan di kalangan Muslim kerana ada yang menolak fanatismenya, kemudian beralih memerangi Barat dengan hasrat melabel perjuangan mereka sebagai peperangan antara Muslim dan Barat. Dan serangan 11 September adalah buktinya. Maka tegas Blair, keganasan bukan berpunca daripada pencerobohan Afghanistan dan Iraq, sebaliknya telah lama wujud, malah sebelum kejadian di New York itu.

Musuh ideologi ini bukanlah Barat semata-mata, tetapi termasuk Muslim, Kristian, Yahudi, Hindu dan mereka yang percaya kepada toleransi beragama, bersifat terbuka, percayakan demokrasi, kebebasan dan hak asasi manusia yang dianjurkan oleh pihak sekular. Bagi Blair, perjuangan di Iraq dan Afghanistan bukanlah pembebasan daripada penaklukan America Syarikat, sebaliknya matlamat sebenar ektremis tersebut adalah mengelak kedua-dua wilayah itu menjadi negara demokrasi. Malah, kini merekalah yang sengaja melakukan banyak
pembunuhan di Iraq dan Afghanistan.

Katanya lagi, asas ideologi para pengganas ini adalah ektremisme agama, mengikut versi mereka. Bagi mereka, dunia Muslim mestilah diperintah oleh satu oligarki agama yang bersifat semifeudal. Jadi, bagi Blair pekongnya adalah ideologi ini. Lantas beliau menegaskan, serangan pengganas bukan disebabkan penindasan Barat ke atas Muslim, masalah Palestin-Israel, atau pelanggaran Iraq dan Afghanistan.

Maka ideologi inilah yang harus diperangi. Idea-idea keganasan Islamis mesti dikalahkan, mereka mesti disedarkan bahawa sikap mereka terhadap Amerika Syarikat tidak munasabah, konsep pemerintahan yang dianjurkan telah ketinggalan zaman, dan pandangan mereka terhadap kedudukan Wanita serta penganut agama lain adalah reaktionari. Tugas dan tanggungjawab tersebut bukan hanya terletak di bahu Amerika Syarikat, kata Blair. Sekali gus menegaskan Britain adalah sekutu kuat kuasa besar itu, dan tidak akan membiarkannya ‘berjuang’ sendirian.

Dalam era globalisasi ini menurutnya, pertembungan antara ektremisme dan kemajuan dalam menentukan masa depan. Bagi Blair, ideologi ekstremis bukan sahaja tidak disenangi Barat, tetapi juga majoriti umat Islam. Mereka menolak pemerintahan diktator, teokratik mahupun sekular, dan inginkan demokrasi yang dianjurkan Barat. Yang menjadi penghalangnya adalah pejuang-pejuang jihad, penyokong kuat Saddam dan pemberontak di Iraq, dan tauke-tauke dadah, Taliban dan al-Qaeda di Afghanistan.

Blair mengakui, Barat juga melakukan kesilapan dan melanggar hak asasi manusia dalam usaha mereka memerangi keganasan, tetapi tidak mengulasnya secara lanjut. Beliau sebaliknya menegaskan mereka di pihak benar kerana memperjuangkan demokrasi serta menentang keganasan. Malah pantas pula menjelaskan mereka berhasrat mendatangkan keamanan di Iraq, sebaliknya usaha-usaha itu disabotaj golongan ekstremis.

Blair tidak melihat kekacauan di Iraq sebagai reaksi spontan rakyat negara itu menentang penaklukan Arnerika Syarikat, sebaliknya sebahagian daripada strategi ekstremis, seolah-olah semua itu digerakkan satu kumpulan besar yang tersusun. Dengan menolak kritikan dan perbahasan mengenai betul atau salah menjatuhkan Saddam dan Taliban, Blair membayangkan perjuangan Barat untuk menerapkan nilai-nilainya hampir berjaya.

Langkah pertama, menganjurkan demokrasi dengan mengadakan piliharaya di Iraq dan Afghanistan, dan menjaga keamanan mendapat sokongan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu.
Matlamat sebenarnya bukan hanya menukar rejim tetap mengubah nilai. Bagi Blair, ini adalah satu pertempuran berkaitan modeniti, sesetengah boleh dilakukan, dan dimenangi dalam Islam. Namun ektremisme bukanlah suara sebenar Islam, katanya. Jutaan muslim di dunia inginkan kebebasan, bertoleransi dan menghormati agama lain.

Menurut Blair, idea dan nilai Barat inilah yang ingin dijaja ke seluruh dunia, dan mereka tidak boleh lagi berpeluk tubuh. Mereka ingin membuktikan Islam ektremisme bukanlah jawapannya, dan nilai-nilai Barat itulah yang terbaik. Dan jika Barat ingin menang, maka mereka perlu lebih berani, konsisten dan memperjuangkan nilai-nilai tersebut secara menyeluruh.

Antara caranya ialah memperkukuhkan kedudukan golongan moden, moderat dan berada dalam arus perdana di dunia Islam, agar mereka dapat mengalahkan penentang-penentang mereka yang reaksionari. Mereka juga harus menonjolkan nilai-nilai tersebut bukanlah nilai-nilai Amerika atau Anglo-Saxon, sebaliknya nilai-nilai sejagat yang sesuai dipegang warga global. Untuk itu, sokongan golongan yang percaya kepada nilai sama perlu diperolehi.

Blair juga menegaskan, usaha menerapkan nilai tersebut bukan hanya khusus untuk negara-negara Islam yang berhadapan masalah ektremis dan pengganas, tetapi di negara-negara yang rakyatnya hidup dalam ketakutan, tidak demokratik dan mundur seperti Myanmar, Korea Utara, Sudan atau Zimbabwe.

Semua ini tegas Blair, memerlukan dasar luar yang membolehkannya terbabit secara langsung. Sekali lagi, Blair menekankan peri pentingnya menyokong Amerika Syarikat, walaupun ada kalanya kuasa besar ini boleh menjadi ‘sahabat’ yang menyusahkan. Katanya, dunia memerlukan pembabitan Amerika Syarikat, dan yakin masalah-masalah yang dilhadapi Sekarang tidak mungkin dapat diselesaikan tanpanya.

(Sumber : Al-Islam Mac 2007)

Image Hosted by ImageShack.us
Editor : Kemunduran dan penindasan terhadap umat Islam bukanlah kerana ajaran agama Islam, tetapi kerana sikap dan pemahaman umat Islam itu sendiri. Golongan pelampau dalam Islam lebih menonjol dan lebih kuat daripada golongan Islam yang sepatutnya menjadi pemimpin, pelindung dan pembela kepada umat Islam. Sebagaimana dalam pos saya berkaitan kelemahan organisasi, kerana tiada tindakan tegas terhadap golongan ini maka pihak luar yang lebih kuat mengambil alih untuk campur tangan menyelesaikan masalah yang tidak dapat diselesaikan oleh pemimpin Islam yang lemah disamping mengambil kesempatan untuk mengaut kekayaan di bumi Islam.

Contact Me

Sekiranya anda ada sebarang pertanyaan atau cadangan, sila guna borang di bawah :

Template by - Abdul Munir | Daya Earth Blogger Template