PRINSIP PEMERINTAHAN ISLAM
Oleh : SAODAH ABD. RAHMAN
POLITIK atau perkara berkaitan dengan kepimpinan dan kenegaraan merupakan satu bidang yang amat rumit serta berisiko tinggi. Setiap individu yang melibatkan diri dalam bidang ini perlu bersedia menghadapi risiko apabila gagal menunaikan tugas kepimpinan memerintah negara. Jawatan pemimpin dan pemerintah bukan merupakan satu pekerjaan yang kekal atau berbentuk warisan. Jawatan ini adalah berkaitan dengan amanah Allah kepada individu yang mempunyai kebolehan, kepakaran dan kebijaksanaan dalam mengendalikan urusan kemasyarakatan dan kenegaraan.
Dalam arena politik dan kepimpinan, kerjasama di antara pemimpin dan rakyat merupakan satu prinsip kepimpinan yang tidak boleh diabaikan. Islam memperkenalkan sistem kepimpinan dan pemerintahan berlandaskan kepada amanah sebagai khalifah Allah di muka bumi ini. Setiap umat Islam mempunyai tugas masing-masing dalam mengendalikan urusan keduniaan berlandaskan kepada wahyu dan kepimpinan Rasulullah SAW.
Pemimpin atau pemerintah dianggap sebagai wakil rakyat untuk mengendalikan urusan kenegaraan dan kemasyarakatan berdasarkan kepada prinsip kepimpinan dalam Islam seperti mana dilakukan oleh Rasulullah SAW dan para sahabat baginda.
Apabila konsep kepimpinan ditafsirkan sebagai amanah yang berbentuk wakil rakyat maka secara jelas menunjukkan bahawa setiap pemimpin dan pemerintah tidak mempunyai kuasa mutlak untuk menguasai dan mewarisi negara yang dipimpin dan diperintah oleh mereka.
Pemimpin dan pemerintah perlu akur kepada suara rakyat jika mereka tidak dapat memenuhi harapan dan impian rakyat dalam mengendalikan urusan keduniaan. Jika mereka mempunyai keupayaan dan kebolehan memerintah dan memimpin serta menyemarakkan keamanan, kestabilan politik, ekonomi serta bijak mengatasi rintangan dan permasalahan maka rakyat perlu akur kepada suara dan arahan pemimpin dan pemerintah.
Apabila seseorang pemimpin tidak mempunyai keupayaan dalam kepimpinan dan pemerintahan maka pelbagai permasalahan akan wujud dalam negara. Ketika ini rakyat perlu bersuara dan mengkritik kepimpinan dengan tujuan meminta dan menyeru supaya menyerahkan jawatan tersebut kepada orang yang lebih berkemampuan dan layak. Ini merupakan satu bentuk kepimpinan dalam Islam.
Perletakkan jawatan akibat kegagalan dalam kepimpinan bukan merupakan satu perkara yang aib, malah ia merupakan satu pengorbanan untuk kebaikan negara dan masyarakat. Sikap akur kepada suara rakyat merupakan satu bentuk penghormatan diri yang dimiliki oleh pemimpin Islam yang berwibawa.
Jawatan pemimpin hanyalah satu amanah dan tugas untuk mengendalikan urusan rakyat dan negara. Jika rakyat tidak memerlukan kepimpinannya maka beliau terlepas daripada memegang amanah berat yang dipikul selama ini.
Kepimpinan dan pemerintahan dalam Islam berunsurkan kepada kejujuran, keadilan, kebijaksanaan dan jiwa kemanusiaan yang tinggi. Jika ciri-ciri ini disebatikan dalam pemikiran dan hati nurani para pemimpin dan pemerintah negara Islam maka tidak akan berlaku perselisihan atau pertarungan hebat untuk memegang jawatan tertinggi dalam kepimpinan.
Pertarungan dan perselisihan di antara para pemimpin dan pemerintah yang wujud dalam negara Islam masa kini adalah akibat daripada salah tafsir dalam memahami konsep dan prinsip dalam kepimpinan dan pemerintahan. Ini disebabkan pemikiran dan jiwa umat Islam sering dikaburkan dengan keindahan dan kemewahan yang akan dinikmati ketika mereka dilantik menjadi pemimpin dan pemerintah.
Pemikiran dan jiwa yang dihiasi dengan keindahan material dan keduniaan menyebabkan umat Islam sering tersungkur apabila menjadi pemimpin negara. Prinsip dan konsep kepimpinan dalam Islam terkubur apabila para pemimpin dan pemerintahan Islam beranggapan bahawa kuasa yang dimiliki itu merupakan satu kuasa mutlak, dan hak serta keistimewaan negara dijadikan hak milik diri dan ahli keluarga. Ini merupakan satu dilema yang paling getir dihadapi oleh dunia Islam masa kini.
Kekayaan
Negara Islam yang mempunyai sumber kekayaan paling bernilai menjadi negara miskin kerana harta dan kekayaan negara dimiliki oleh para pemimpin dan dikongsi bersama pelabur asing. Kemiskinan yang wujud dalam negara-negara Arab yang terkenal dengan sumber kekayaan dunia perlu dijadikan tauladan kepada para pemimpin dan pemerintah dalam negara ini.
Umat Islam perlu memahami bahawa negara adalah hak milik penghuni dalam negara tersebut. Setiap sumber kekayaan negara perlu dikongsi bersama dengan rakyat. Tanggungjawab para pemimpin dan pemerintah perlu berasaskan kepada konsep kecintaan kepada rakyat dan merupakan amanah Allah dalam mengendalikan urusan makhluknya di muka bumi ini.
Jawatan pemimpin bukan merupakan satu jawatan yang terlalu istimewa mengikut perspektif Islam. Ia hanya merupakan tugas dan amanah yang berat dan akan dipersoalkan oleh Allah di hari Akhirat. Oleh itu setiap pemimpin perlu akur kepada suara dan rintihan rakyat supaya kepimpinan mereka direstui oleh rakyat dan diberkati oleh Allah.
Konsep dan prinsip kepimpinan Islam perlu disemat dalam pemikiran dan jiwa umat Islam supaya setiap individu yang dilantik menjadi pemimpin dan pemerintah memahami bahawa setiap pergerakan dan aktiviti mereka dipantau oleh masyarakat. Ini merupakan satu cara untuk membentuk sistem politik dan keperibadian umat Islam bersesuaian dengan konsep dan prinsip sebagai khalifah Allah di muka bumi ini.
Konsep dan prinsip kepimpinan yang berunsurkan demokrasi yang dilaksanakan oleh Rasulullah SAW dan para sahabat perlu dijadikan panduan umat Islam. Rasulullah SAW tidak mewarisi jawatan khalifah kepada ahli keluarga baginda atau individu tertentu. Baginda menyerahkan perkara tersebut kepada masyarakat untuk menentukan siapakah yang layak menjadi pemimpin selepas baginda.
Konsep keterbukaan menjadi amalan kepada para sahabat Rasulullah SAW semasa memimpin negara. Abu Bakar secara terbuka meminta umat Islam menyokong dan taat kepada beliau jika beliau melaksanakan tugas dengan baik. Beliau juga menggalakkan masyarakat mengkritik dan menyuarakan tentangan terhadap beliau jika beliau gagal dalam melaksanakan tugas.
Abu Bakar juga menyeru masyarakat menentang dan memecat beliau daripada jawatan khalifah jika beliau gagal dalam pemerintahan dan ingkar meletakkan jawatan. Oleh itu perlucutan jawatan dalam kepimpinan dan pentadbiran akibat kelemahan dan kegagalan para pemimpin dan pentadbir merupakan satu fenomena biasa dalam sistem politik dan pemerintahan dalam Islam.
Berdasarkan kepada prinsip dan konsep kepimpinan dan pemerintahan dalam Islam maka diharapkan setiap pemimpin dan pentadbir dalam negara ini menumpukan perhatian kepada tugas dengan sebaik mungkin semoga sumbangan dan pengorbanan mereka direstui oleh rakyat dan diberkati oleh Allah.
Oleh itu rakyat dan pemimpin dalam negara ini perlu bekerjasama untuk menjadikan Malaysia sebuah negara Islam yang maju.
Advertisement
Latar Belakang Editor
Kata Hikmah
(Riwayat at-Tarmizi)
Location Finder for Visitor
Kategori Kandungan
- Cetusan Minda Penulis (13)
- Ekonomi dan Perniagaan (16)
- Freeware Pilihan (4)
- Idea Kreatif (3)
- Iklaneka (1)
- Ilmu dan Pendidikan (17)
- Kembara (4)
- Kepimpinan dan Organisasi (11)
- Kongsi Info (17)
- Motivasi (12)
- Mukah Dalat Oya (5)
- Ptadbiran dan Pmerintahan (7)
- Ramadhan al-mubarak (12)
- Sosial dan Kemasyarakatan (17)
- Tamadun dan Islam (12)
- Teknologi dan Komputer (9)
- Tips dan Petua (9)
- Tokoh dan Kata Hikmah (7)
- Tourism (3)
Freeware Pilihan
Spyware Terminator
CCleaner
Folder Encryption
Removeable Trezor
Sila ke Kategori Kandungan Freeware Pilihan untuk review atau ulasan lanjut
Rakan Blogger
Jerunei Referrer
Social bookmark tool
Jumaat, Oktober 24, 2008
Prinsip Pemerintahan Islam
Dicatat oleh
Rey
0
ulasan
Label: Ptadbiran dan Pmerintahan
Kpimpinan Pikul Amanah Brat
KEPIMPINAN PIKUL AMANAH BERAT
Oleh : SITI SHAMSIAH MOHD. SUFI
KETIKA Abu Zar meminta Rasulullah SAW supaya meletakkan dirinya dalam barisan kepimpinan dan pentadbiran negara, Baginda lantas menyatakan bahawa Abu Zar memiliki kelemahan yang tidak melayakkannya untuk menjawat jawatan sebagai pentadbir negara.
Baginda Rasulullah SAW mengingatkan bahawa jawatan sebenarnya amanah yang sangat berat dan amanah ini hanya akan menyebabkan kekesalan dan duka cita semata-mata, kecuali jika jawatan tersebut disandang oleh kalangan yang layak.
Pada ketika yang lain Rasulullah SAW melarang Abdur Rahman bin Samurah r.a daripada meminta-minta untuk menjadi pentadbir negara. Ini kerana perolehan jawatan atas sebab permintaan adalah suatu tugas yang sukar untuk dilaksanakan.
Sebaliknya jika jawatan tersebut disandang atas keperluan negara, tugasan tersebut merupakan sesuatu yang sifatnya lebih mudah untuk dilaksanakan dan ia juga akan menerima bantuan dalam pelaksanaan tugas tersebut.
Kita melihat Sahabat Rasulullah ini hanyalah segelintir dari kalangan yang mendapati bahawa jawatan sebagai pemimpin adalah sesuatu yang dipandang hebat dan dihormati.
Mereka terlupa di sebalik kehebatan dan penghormatan yang diberi adalah tugas rumit dan sekiranya ia tidak dilaksanakan dengan baik maka menyebabkan kesan yang tidak baik kepada orang bawahan dan juga rakyat.
Apabila sampai pada hari pembalasan, maka hanya api neraka yang layak untuk pemimpin yang gagal. Bagaimanapun sebagai insan beriman sekalipun teruja untuk menjadi pemimpin, mereka adalah kalangan yang berhati mulia dan berlapang dada kerana tidak menolak teguran atau nasihat yang diberikan.
Saidina Abu Bakar al-Siddiq dilihat secara sepakat oleh Sahabat-sahabat sebagai orang yang paling layak untuk menggantikan Rasulullah SAW yang wafat sebagai pemimpin umat Islam.
Bagaimanapun sifat tawaduk yang ada pada peribadi beliau menjadikan beliau menerimanya dengan penuh rendah diri. Kesedihan yang masih berkabung dalam hati atas kewafatan Rasulullah SAW juga sangat memberi kesan kepada perasaan beliau pada ketika itu dan menjadikan beliau tidak teruja dengan apa yang diterimanya.
Terbaik
Dalam ucapan sulung sebagai pemimpin, beliau menyatakan pelantikannya sebagai pemimpin tidak memadai untuk menjadi lambang bahawa beliau adalah yang terbaik dari kalangan mereka.
Seterusnya, beliau mengharapkan sokongan selagi berada dalam kebenaran dan sebaliknya, sekiranya umat Islam melihat sebarang keburukan atau kebatilan daripada pihaknya, maka beliau meminta supaya ditegur dan dibetulkan.
Harapan yang sama juga dimajukan oleh pengganti Khalifah Saidina Abu Bakar, iaitu Saidina Umar al-Khattab. Sesuai dengan perwatakannya yang sangat tegas dan bengis, seorang lelaki mewakili rakyat menyambut harapan Saidina Umar dengan mengatakan bahawa sekiranya Khalifah melakukan penyelewengan, pihak rakyat akan membetulkannya dengan menggunakan 'mata pedang'.
Selanjutnya dalam satu peristiwa, Khalifah Saidina Umar al-Khattab berlapang dada menerima teguran daripada seorang wanita berkenaan saranan Khalifah supaya kadar mas kahwin yang diletakkan oleh pihak pengantin perempuan haruslah rendah kadarnya.
Wanita berkenaan menempelak pandangan Khalifah dan menegaskan bahawa sebarang penetapan kadar mas kahwin sememangnya hak pengantin perempuan dan ia tidak sepatutnya dipertikaikan.
Khalifah tidak menganggap teguran tersebut sebagai perkara yang memalukan bahkan menegaskan dengan kata-katanya, "Perempuan ini benar dan Umar telah bersalah".
Penegasan Khalifah seiring dengan doa beliau sebagai seorang pemimpin yang menyebut sebagai, "Semoga Allah merahmati seseorang yang menunjukkan kepadaku tentang keaiban diriku".
Sifat-sifat berlapang dada yang ditunjukkan oleh pemimpin-pemimpin ulung ini membuktikan mereka adalah kalangan insan yang tinggi taqwanya. Mereka tidak mengejar pangkat dan kedudukan, sebaliknya pangkat dan kedudukan itu digunakan untuk mendapatkan keredaan Allah SWT. Melalui jawatan tersebut mereka membuat keputusan dan dasar-dasar kenegaraan yang memberikan kebaikan kepada agama, rakyat dan negara.
Selanjutnya, sangat menarik untuk kita meneladani keperibadian Khalifah Umar Abdul Aziz yang memerintah dari tahun 717H sehingga 720H, sebagai seorang pemimpin dan ketua negara. Sebelum pelantikan tersebut yang dilakukan oleh Khalifah Sulayman Abdul Malik berlaku, beliau beberapa kali berikhtiar supaya Khalifah Sulayman mengubah keputusannya.
Dan apabila beliau menerima pelantikan tersebut, beliau telah merubah budaya dengan meletak jawatan dan memulangkan semula jawatan tersebut kepada rakyat.
Memberi kebebasan kepada rakyat untuk memilih calon yang lebih layak untuk memimpin rakyat dan negara. Akan tetapi, disebabkan beliau sememangnya calon yang paling layak dan amat dekat di hati rakyat, maka beliau juga yang akhirnya dipilih.
Ini menunjukkan bahawa kesediaan beliau untuk meletak jawatan dan mengundur diri daripada menjadi pentadbir negara adalah disebabkan ketakwaannya kepada Allah SWT. Ketakwaan melahirkan kebimbangan untuk menerima tanggungjawab yang amat berat; bimbang sekiranya pelantikan itu hanya mengundang keburukan kepada rakyat dan negara. Kesediaan untuk mengundurkan diri adalah sebahagian daripada usaha memelihara kemaslahatan rakyat.
Daripada pengalaman pemimpin-pemimpin ulung ini, kesediaan menerima teguran, pembetulan sehinggalah ke peringkat berundur diri, bukanlah sikap yang menjatuhkan maruah peribadi. Pengalaman lampau membuktikan sikap dan tindakan tersebut menjadikan golongan rakyat lebih menghormati dan mengagumi keperibadian pemimpin sebegini.
Kebaikan kepimpinan akan dinilai dan dirasai oleh pihak rakyat, maka sia-sialah sikap sesetengah pemimpin yang terus mendakwa dirinya yang paling layak untuk memimpin sedangkan rakyat yang menjadi hakimnya.
Dicatat oleh
Rey
0
ulasan
Label: Ptadbiran dan Pmerintahan
Sabtu, Oktober 18, 2008
Pelajar Dulu & Sekarang
Sediakan Pelajar Untuk Hadapi Cabaran Dunia Pekerjaan
Oleh : Zin Mahmud
PEPERIKSAAN Penilaian Menengah Rendah (PMR) baru selesai semalam. Dalam akhbar, perbahasan sedang berlaku tentang kepentingan mata pelajaran Sejarah untuk murid-murid di peringkat Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR). Isu sama ada bahasa Inggeris akan terus menjadi bahasa pengantar bagi mata pelajaran Sains dan Matematik juga masih belum selesai.
Tetapi di kalangan majikan dan mereka yang bertanggungjawab mencari kakitangan baru, keluhan susahnya untuk mendapatkan tenaga kerja bersesuaian semakin kuat kedengaran.
Apabila iklan jawatan kosong disiarkan, sememangnya bertimbun-timbun surat permohonan yang datang. Itu tandanya ramai yang berkelayakan di samping susahnya mendapat pekerjaan.
Apabila dipanggil untuk interviu, perhatian utama mereka adalah gaji dan keselesaan tempat bekerja hingga terlupa terhadap apa yang mereka boleh tawarkan kepada syarikat.
Maka timbullah persoalan di kalangan majikan tentang apakah yang institusi-institusi pengajian sediakan bagi pelajar-pelajar mereka untuk menjadi pekerja yang baik. Tetapi kalau hendak mencari salah, janganlah dihalakan terhadap institusi-institusi pengajian tinggi semata-mata. Apa yang diterima oleh IPT adalah pelajar-pelajar dari sekolah, sama ada melalui Matrikulasi, Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM), Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) malah PMR dan UPSR.
Kalau orientasi UPSR terlalu akademik hinggakan berlaku kebocoran kertas peperiksaan, maka akibatnya akan dibawa kepada PMR. Pelajar-pelajar UPSR khususnya di kalangan Melayu berlumba-lumba mendapatkan 5A untuk memasuki sekolah berasrama penuh. Bukan untuk mendapatkan pendidikan dalam erti kata yang penuh. Mata pelajaran Sejarah jika diajar akhirnya bukan untuk melahirkan pelajar-pelajar yang berfikir dan sedar tetapi hanya menambah beban akademiknya.
Tetapi di peringkat PMR, keadaan lebih kritikal. Ini kerana kejayaan PMR merupakan persediaan asas yang penting bagi menghadapi SPM. Bagaimanapun, apa yang berlaku ialah perlumbaan PMR adalah supaya anak-anak itu dapat memasuki sekolah yang bagus, dengan tenaga pengajar bermutu. Maka pelajar-pelajar baik akan diajar oleh guru yang baik. Sementara pelajar bermasalah tidak dapat perhatian yang setimpal.
Hakikatnya, tidak semua pelajar mampu belajar akademik di peringkat SPM. Kalau dahulu, Sijil Rendah Pelajaran (SRP) menyaringi pelajar-pelajar supaya hanya mereka yang mampu dan layak akan meneruskan persekolahan hingga ke peringkat SPM. Golongan yang tidak layak wajar dialirkan ke tempat-tempat lain bagi menyediakan mereka untuk bekerja.
Tetapi itu tidak berlaku. Pelajar-pelajar ini terus diasak untuk mengambil SPM walaupun mereka sudah bosan untuk belajar akademik. Akibatnya mereka hanya menimbulkan masalah disiplin di sekolah-sekolah dan mengganggu pelajar lain.
Harapan ibu bapa terhadap anak-anak mereka adalah tinggi. Walaupun ada antaranya mendapat markah rendah dalam SPM tetapi terus mencapai kelayakan bagi memasuki kolej dan universiti. Hakikat bahawa banyak daripada mereka tidak layak belajar di universiti, ataupun memang tidak berminat untuk melanjutkan pelajaran telah tidak diambil kira. Maka tidak hairanlah generasi lama membuat penilaian bahawa mutu universiti negara ini sudah merosot.
Maka akhirnya mereka belajar juga dan lulus hingga memperoleh ijazah. Kebanyakannya dengan markah sederhana. Lebih parah lagi apabila berlaku amalan kerat dan tampal (cut and paste) ketika membuat tugasan. Tanpa kejujuran akademik ini, apakah yang dapat diharapkan daripada mereka ketika majikan mencari kakitangan-kakitangan baru?
Siswazah baru wajar merupakan golongan yang mempunyai idealisme dalam hidup dan berazam untuk bukan saja mencapai kejayaan dalam bidang mereka tetapi untuk memberi sumbangan melalui perubahan-perubahan. Akan tetapi jika dari awal lagi mereka tidak mempunyai nilai untuk berfikir secara berbeza, maka akhirnya mereka bukan saja menjadi penumpang tetapi adalah beban dalam organisasi.
Setelah tidak berupaya untuk bertahan dalam sektor swasta maka umumnya petugas-petugas Melayu lebih cenderung untuk bekerja dengan sektor awam.
Namun begitu, jika sikap yang dibawa oleh siswazah ke dalam perkhidmatan kerajaan berbentuk lembap, negatif atau tidak dinamik, maka sudah tentu sektor awam yang akan terjejas dengan kakitangan-kakitangan seperti ini. Apabila sifat sederhana dan tidak dinamik ini sudah mendalam, maka ia akan menjadi budaya.
Oleh kerana sekolah-sekolah dan IPTA adalah di bawah penyeliaan kerajaan dan tenaga kerja mereka juga merupakan kakitangan perkhidmatan awam, maka jika budaya lembap ini sudah begitu kukuh dalam jentera kerajaan, ia juga akan ditanam ke atas murid-murid sekolah dan pelajar universiti awam. Akhirnya masyarakat juga menerima budaya ini dan ia juga menyerap ke dalam sektor swasta.
Dicatat oleh
Rey
0
ulasan
Label: Ilmu dan Pendidikan
Contact Me
Advertisement
Affiliate Ads
Welcome to Mukah Division
Ruang Sembang
Post Comments
News Online
Penjana Minda
-
DAKWAH MASA KINI: DARI KONFRANTASI KEPADA ENGAGEMENT - Oleh: Prof Madya Dato’ Dr Mohd Asri bin Zainul Abidin 1. Ramai yang agak terkejut apabila melihat beberapa tokoh memulakan pendekatan dakwah yang berbeza d...7 tahun yang lalu
-
-
Rujukan dan Maklumat
Pengunjung Blog
My Google Friend Connect
Sponsor by :
Copyright© 2008 by jerunei.blogspot.com
