Custom Search

Isnin, Disember 08, 2008

Kisah Tentang Rumah

Dua hari yang lalu rakyat Malaysia dikejutkan dengan kejadian tanah runtuh di Bukit Antarabangsa Selangor melibatkan kemusnahan beberapa buah rumah mewah serta kematian 4 orang mangsa. Ia tidak berhenti di situ saja sebaliknya bakal mengancam rumah-rumah kediaman penduduk yang berdekatan dan tangki air SYABAS. Sehari kemudian kita dikejutkan lagi dengan satu kemalangan ngeri yang melibatkan bas ekspress.

Satu persoalan timbul dalam hati dan fikiran saya, kenapa ia berlaku? Apakah kerana takdir semata-mata atau disebabkan kita kurang ilmu atau banyak ilmu tapi tak menggunakannya kerana habuan kebendaan yang diterima telah mengaburi pandangan mata sehingga menyalahkan takdir. Jika peristiwa malang itu tidak melibatkan orang lain tidaklah menjadi isu besar tetapi kalau apa yang berlaku itu boleh dielakkan sejak dari awal-awal lagi kenapa tidak dilakukan. Jika berlaku sesekali atas punca yang tak boleh dielakkan tidaklah menjadi persoalan tetapi jika ia sering berlaku dan setelah dibuat kajian akibat kecuaian, maka apakah maksudnya itu?

Bukan sedikit kes tanah runtuh yang membabitkan tempat kediaman berlaku selama ini, begitu juga bukan sedikit aduan rakyat tentang keretakan rumah kediaman mereka sama ada sebelum sempat didiami atau setelah didiami hanya beberapa bulan. Kemalangan yang membabitkan bas ekspress pula masih banyak melibatkan kecuaian pemandu dan keadaan bas yang tidak diselenggara dengan baik menyebabkan masalah teknikal. Nyawa rakyat dijadikan taruhan ketika mereka yang berkenaan meraih keuntungan dari perusahaan membina rumah dan pengangkutan awam.

Kejadian yang seringkali berlaku ini, menyebabkan saya berfikir beribu-ribu kali untuk membeli rumah yang diusahakan oleh syarikat pembinaan swasta dan menumpang pengangkutan bas ekspress. Saya sendiri mempunyai beberapa orang rakan yang mengadu masalah rumah kediaman yang dibeli mereka. Belum pun sempat didiami sudah berlaku keretakan dan ada juga yang atap bumbung mereka nak runtuh akibat beban yang berat dari atap genting ditampung oleh kayu yang murah kualitinya dan mudah ditebuk anai-anai serta sejenis serangga yang kerjanya memang mengorek kayu lembut.

Walaupun kita sebagai pembeli masih dapat memantau lokasi dan strukur tanah kediaman yang bakal dibeli namun amat sukar untuk kita membuat penilaian terhadap kualiti perumahan itu kerana konsep "Beli Dulu Buat Kemudian" tak mungkin dapat kita berbuat sedemikian. Bagi yang berkeinginan untuk tinggal di bandar, mungkin tiada cara lain lagi selain membeli saja perumahan yang sedia ada. Kalau bernasib baik maka bolehlah bertahan lama, tapi kalau tak bernasib baik akan berlakulah macam-macam masalah di kemudian hari. Ini satu pertaruhan yang sangat berisiko tinggi, walaupun ada orang akan berkata "Kalau dah ajal, dimana-mana pun boleh mati". Tapi kalau kita tahu punca ajalnya dari awal-awal kenapa tak elak, kenapa masih lagi memperjudikan nasib? Ada juga yang terus membayar pinjaman perumahan tetapi rumah tak pernah siap-siap.

Oleh itu, terpulanglah kepada masing-masing dalam membuat penilaian dan apakah tahap penilaian yang kita tentukan dalam membuat pilihan itu. Pemaju yang tak bertanggungjawab yang masih berterusan melaksanakan projek walaupun sudah mengetahui masalah dan risiko pembinaan mereka, tidak akan memikirkan kepentingan pembeli dan penduduk. Kerana bagi mereka keuntungan yang diperoleh lebih penting dan bagi mengaburi mata pembeli maka bermacam-macam helah dibuat dengan slogan taman perumahan yang mereka bina tersebut.

Ada yang menggunakan slogan rumah dalam taman dengan udara yang segar dengan pemandangan yang cantik dari atas bukit. Kerana slogan yang memperdayakan itu maka kita pun setuju tandatangani kontrak pembelian perumahan yang akan menyukarkan kita untuk berundur lagi. Apa-apa masalah yang berlaku pada masa depan dan kita berusaha untuk menuntutnya dari pemaju pastinya akan menemui jalan sukar.

Kes-kes seperti ini seringkali berlaku dan banyak iktibar yang boleh diperolehi darinya. Namun begitu, kalau tiada pihak yang lebih berkuasa meluluskan projek itu tentunya ia tak akan diteruskan setelah kajian struktur tanah bagi memastikan keselamatannya terjamin. Nampaknya, ada 'Tangan Ajaib' yang membenarkan rentetan semua peristiwa ini berlaku. Ini semua kerana mungkin ditawarkan 'habuan' jika meluluskannya.

Bila saya fikirkan hal ini, sebagai rakyat kita seolah-olah diperbodohkan dan dianiaya sewenang-wenangnya oleh pihak berkenaan. Namun begitu, bukan semua pemaju perumahan yang tak bertanggungjawab, masih ada lagi yang prihatin dan mengambil berat akan kepentingan dan keselesaan pembeli dan penduduk perumahan. Walau apa pun keadaannya, kita sebagai pengguna mesti menggunakan kebijaksanaan kita dengan sebaik-baiknya dalam membuat penilaian dan pemilihan.

Kerana sememangnya ada juga perumahan yang sudah siap bertahun-tahun tetapi tidak ada pembeli kerana lokasinya yang tak sesuai dan kualiti binaan yang agak rendah. Bagi menarik semula minat pembeli maka perumahan itu diubahsuai dan diperbaiki dan tentunya harganya juga turut meningkat. Bagi rumah sebegini, jika sudah bertahun-tahun telah dibina dan penduduk yang sudah lama tinggal disitu tidak mengadu apa-apa masalah yang serius maka mungkin ini satu 'point' yang boleh jadi penilaian penting untuk kita membuat keputusan.

Ada juga diantara kita tak mahu membeli perumahan sedia ada sebaliknya lebih suka membeli tanah dan membina sendiri rumah. Pilihan sebegini sesuatu yang baik tetapi mana mungkin kebanyakan kita mampu membeli tanah di kawasan berdekatan dengan bandar. Tetapi bagi mereka yang diluar bandar pilihan sebegini adalah sesuatu yang sangat baik sekali kerana bukan saja boleh membuat rumah mengikut citarasa sendiri bahkan kita merasa yakin dengan keutuhan binaan asas rumah yang kita bina biarpun dindingnya hanya diperbuat dari kayu atau asbestos. Dikawasan tanah lain pula bolehlah diusahakan dengan pelbagai projek lain yang menguntungkan misalnya pertanian.

Ada antara kita beranggapan tinggal diluar bandar sukar untuk mencapai kemajuan, tetapi sudah ada antara kita yang telah berjaya membuktikan bahawa tinggal di luar bandar juga boleh mencapai kemajuan dan membuat keuntungan yang lumayan. Dengan adanya kemudahan pengangkutan, komunikasi dan perhubungan lain seperti internet, jurang antara bandar dengan luar bandar telah dapat dirapatkan.

Mereka yang berminat berusaha sendiri lebih cenderung untuk tinggal di luar bandar dan mengusahakan sendiri tanah warisan mereka dengan membina rumah sendiri di atasnya, bangunan perniagaan mahupun ladang-ladang pertanian atau penternakan yang akan memberi rezeki kepada mereka dan masyarakat setempat serta masyarakat di bandar berdekatan.

Walau apa pun, kita masing-masing mempunyai halatuju tersendiri dan bersaing untuk mencapai apa yang kita impikan. Namun, jangan pula kita lupa ada cabaran yang akan kita hadapi dan antara cabaran itu ialah tindakan pihak lain yang cuba mengambil kesempatan untuk memperdayakan kita tatkala kita leka dan diulit mimpi indah dengan impian kita. Justeru, gunakanlah kebijaksanaan dan hak kita dengan sebaik-baiknya sebelum terlewat dan tersilap langkah.

Image Hosted by ImageShack.us

0 ulasan:

Contact Me

Sekiranya anda ada sebarang pertanyaan atau cadangan, sila guna borang di bawah :

Template by - Abdul Munir | Daya Earth Blogger Template