Custom Search

Jumaat, Disember 12, 2008

Sejarah & PPSMI

SISTEM SEKOLAH RENDAH DIROMBAK

Bertujuan untuk meningkatkan lagi intergrasi rakyat Malaysia yang terdiri daripada pelbagai kaum semenjak dari bangku sekolah rendah lagi dengan memahami sejarah nasional dan memperkukuhkan lagi ilmu pengetahuan generasi akan datang menerusi penguasaan Bahasa Inggeris. Artikel penuh berita ini boleh dirujuk menerusi 'pautan ini'.

Saya amat bersetuju dengan langkah tersebut kerana semenjak di bangku sekolah lagi bermula dari tingkatan satu keputusan subjek Sejarah saya sentiasa cemerlang. Pastinya saya dan sesiapa saja yang dapat menguasai subjek ini dapat memahami intipati pengajaran sejarah. Namun, kelemahan paling ketara pembelajaran Sejarah di peringkat sekolah ialah semata-mata menghafal dan menghuraikan peritiwa sejarah berdasarkan sebab dan akibat mengikut kronologi apa dan bagaimana peristiwa sejarah itu berlaku.

Sejarah tidak diajar dengan menekankan apa pengajaran yang boleh diambil dari peristiwa lalu dan bagaimana hendak memperbaiki kesilapan lalu dan mengulangi kejayaan yang pernah dicapai menggunakan pendekatan baru sesuai dengan keperluan zaman semasa. Sebab itu dalam ujian subjek Sejarah dahulu soalan-soalannya banyak berkisar tentang peristiwa yang telah berlaku dan tidak menekankan idea bagaimana sejarah itu boleh membentuk generasi masa depan yang harmoni dengan cara pemikiran yang kritikal dan analitikal.

Namun kini setelah dewasa, bentuk pengajaran sejarah lalu yang kaku dan tidak berkembang tidak pun membekukan pemikiran saya dan penilaian semula perlu dibuat untuk mengambil iktibar dari sejarah yang pernah dipelajari dibangku sekolah. Kini tedapat banyak medium pembelajaran baru yang boleh dimanfaatkan atau kita boleh ambil pengajaran darinya. Saya suka menonton channel History dan Discovery rangkaian TV ASTRO.

Menerusi rancangan tersebut dapat diperhatikan cara orang barat atau negara maju memanfaatkan sejarah. Ada antara rancangan mengenai sejarah lalu mereka huraikan secara terperinci menerusi gambaran semula visual menggunakan komputer. Kemudian mereka hubungkaitkan penciptaan terkini atau strategi yang pernah digunakan tamadun dahulu diaplikasikan semula dalam bentuk yang baru menerusi penciptaan semula menggunakan teknologi canggih terkini. Tetapi asas dan prinsipnya adalah daripada sejarah.

Mereka tidak belajar sejarah semata-mata, mereka belajar dari sejarah untuk memperbaiki kehidupan dan memperkukuhkan kekuatan mereka menerusi ikatan perpaduan dan penciptaan teknologi untuk memperbaiki kelemahan lalu. Cuba anda fikirkan, kenapa European Union (EU) ditubuhkan? Kenapa Amerika Syarikat terbentuk? Apakah semata-mata untuk merapatkan hubungan antara wilayah sebagaimana ASEAN ditubuhkan? Bukan, kedua-duanya ditubuhkan kerana mereka dahulunya pernah berperang sesama sendiri dan melihat bakal ancaman yang lebih besar jika mereka terus berpecah belah dan tidak seia sekata dalam membuat keputusan.

Pasti dari perpaduan ini dan pengalaman belajar dari sejarah itu, para cendiakawan mereka dari pelbagai bidang mengambil kira akan peranan sejarah dalam membentuk proses evolusi sesuatu perkembangan dan kemajuan kehidupan masyarakat mereka. Walaupun demikian, dalam usaha mereka itu muncul pula masalah baru iaitu kerosakan akhlak generasi mereka dengan pelbagai masalah sosial. Tapi dikalangan rakyat mereka yang sememangnya telah didedahkan dengan cara pemikiran tinggi ada diantaranya cuba menilai semula kehidupan mereka kenapa berlakunya masalah keruntuhan akhlak ini. Lalu ada yang menemui jalan penyelesaiannya iaitu Islam. Dalam mengejar kemajuan, manusia tidak boleh mengabaikan prinsip dan hukum kehidupan sejagat. Mereka nampak semua itu ada dalam ajaran Islam dan cuba mengambil iktibar dari kejayaan dan keruntuhan tamadun Islam terdahulu.

Tatkala masyarakat barat kembali membuat penilaian terhadap kehidupan mereka menerusi sejarah, masyarakat kita pula baru mula melihat akan kepentingan sejarah. Ada antara kalangan kita yang berpengaruh mengakui kepentingan sejarah tetapi kerana kepentingan sendiri atau kelompok mereka sanggup memecah belahkan sistem melalui dasar 'pecah dan perintah' supaya kepentingan mereka tidak terancam sekiranya perpaduan dan kesedaran wujud di kalangan masyarakat. Kita ingin benar melihat mereka ini tidak beretorik semata-mata dan mengata orang tapi dia yang lebih. Kita mau melihat tindakan segera dan pantas, kita perlukan pemimpin yang ULTRA untuk berhadapan dengan golongan yang ingkar dan kuat menentang ini.

Bukan bermakna menghadapi mereka dengan kekerasan tetapi melalui kebijaksanaan dan hujah. Kita sudah pun melihat ciri-ciri kepimpinan ULTRA yang terpimpin melalui sejarah lalu banyak membawa kejayaan kepada bangsa, agama dan negaranya. Ada juga kepimpinan ULTRA yang tidak terkawal sehingga memusnahkan negara dan masa depan rakyatnya sebagaimana yang berlaku kepada Jerman dan Jepun semasa perang dunia kedua dahulu. Namun, kemunculan kepimpinan ULTRA baru yang lebih sederhana telah mampu membawa negara mereka ke era kebangkitan yang memajukan kembali negara mereka dari kemusnahan perang. Inilah peranan sebenar sejarah, bukannya belajar sejarah untuk mengenang peristiwa lalu tetapi mengenangnya untuk memikirkan bagaimana untuk menjadi lebih baik dan mengelak dari kesilapan sama berulang.

Usaha memperkasakan subjek Sejarah bermula dari sekolah rendah amat dialu-alukan, walaupun agak terlambat daripada tiada langsung berbuat apa-apa lebih baik ada usaha untuk melaksanakannya. Tetapi dari segi tahap kemajuan pemikiran, kita agak terlambat kerana tidak mahu belajar dari sejarah secara serius dan menganggap ia tidak penting. Yang penting bagi kebanyakan kita ialah subjek Sains dan Matematik kerana ia boleh membawa kemajuan yang akhirnya hanya merosakkan kerana kita tak mahu ambil iktibar dari sejarah. Seharusnya kita boleh belajar banyak dari orang barat dan negara maju lain kerana mereka lebih dahulu 'makan garam' dan kita boleh mengelak kesilapan yang pernah mereka lakukan dalam sejarah mereka.

PPSMI DITERUSKAN

Kerana itu PPSMI diteruskan kerana kita dilihat oleh pencetus idea ini terlalu jauh ketinggalan sehingga tidak mampu mengejar kemajuan yang baik dalam tamadun barat atau negara maju. Jika hanya bergantung kepada ilmu dalam bahasa melayu kita tidak banyak mendapat ilmu yang bermanfaat. Kita tidak berupaya untuk menterjemah sekian banyak ilmu kerana kita kekurangan cendekiawan dari pelbagai bidang yang mahu berkongsi pengetahuan dan pengalaman mereka dengan menulisnya menjadi sebuah buku untuk rujukan dan panduan orang lain.

Dari segi memartabatkan bahasa melayu sebagai bahasa kebangsaan, ia dilihat sebagai satu ancaman dan merosakkan penggunaan bahasa melayu sebagai bahasa kebangsaan yang boleh menyatupadukan rakyat. Bagi saya, PPSMI dahulunya saya melihatnya begitu tetapi setelah dinilai semula ada baiknya ia diteruskan tetapi usaha memartabatkan bahasa melayu perlu terus dilakukan dengan pendekatan yang lebih baik. Walaupun ada pihak mengatakan kenapa tidak diperbaiki penguasaan bahasa inggeris melalui subjek bahasa inggeris itu sendiri atau aktiviti-aktiviti lain di sekolah yang boleh membantu penguasaan bahasa inggeris di kalangan pelajar.

Peranan PPSMI bukannya menekankan penguasaan bahasa inggeris, sebaliknya menekankan penguasaan ilmu pengetahuan yang sumbernya banyak dikarang dalam bahasa inggeris oleh cendiakiawan-cendiakawan dalam dan luar negara. Dari aspek ini PPSMI memang sangat penting kerana kita memang agak ketinggalan walaupun banyak infrastruktur-infratsruktur berteknologi tinggi dibina yang pada pandangan orang mencerminkan kemajuan sesebuah masyarakat dan negara. Namun, harus diingat, momokan 'infrastruktur kelas pertama mentaliti kelas ketiga' adalah wajah sebenar sebahagian masyarakat kita hari ini.

Apakah momokan itu sekadar cakap-cakap orang semata-mata? Kalau dikaji dan diperhatikan memang pun begitu, lihat saja bagaimana teruknya sistem penyelenggaraan kemudahan awam dan bangunan kita, bagaimana rakusnya pemaju-pemaju perumahan terus membina bangunan di lereng-lereng bukit, bagaimana hodohnya bandar-bandar dan pekan-pekan kita dicemari sampah sarap selepas selesainya sesuatu upacara keramaiaan. Apakah itu tandanya masyarakat kita ramai yang tidak mahu membaca atau kurangnya bahan bacaan dalam bahasa melayu sehingga mereka tidak peka dan prihatin dengan bencana yang menimpa jika langkah-langkah perlu tidak diusahakan untuk mengatasi masalah yang bakal timbul akibat kecuaian kita.

PPSMI bukan semata-mata untuk mempelajari sains dan matematik tetapi juga boleh digunakan untuk mempelajari ilmu lain yang disampaikan dalam bahasa inggeris termasuk dalam subjek sejarah tadi. Kita mahu membina generasi masa depan yang celik ilmu yang diharap suatu hari kelak boleh memperkembangkan lagi ilmu mereka kepada generasi seterusnya bukan saja mengarangnya dalam bahasa inggeris tetapi mengarangnya dalam bahasa melayu. Jangan kita bandingkan kemajuan orang Jepun atau Korea yang boleh maju dengan bahasa ibunda mereka. Sejarah kemajuan mereka mengambil jangka masa beratus tahun bermula dari generasi pertama dahulu yang perlu belajar bahasa inggeris atau bahasa lain seperti jerman terlebih dahulu untuk mengambil ilmu teknologi dari negara asing.

Atas keprihatinan generasi Jepun dahulu, mereka memperkasakan bangsa mereka dengan menterjemah lebih banyak ilmu pengetahuan dan pengalaman mereka ke dalam buku bahasa Jepun. Pengetahuan itu terus berkembang kerana adanya generasi Jepun sekarang yang telah membuat kajian sendiri dan ada juga yang belajar di luar negara kemudian kembali ke Jepun membuat kajian dan penyelidikan dan mengarang hasil ilmu dan pengalaman mereka ke dalam bahasa Jepun.

Jika pencinta bahasa melayu kita berfikir cara begini dan generasi kini yang menerima pembelajaran menerusi PPSMI ini tidak lupa kepada bahasa ibunda mereka dan bangsa mereka di masa akan datang, tentunya kedua-dua pihak ini boleh menerima akan kepentingan PPSMI dan kepentingan memelihara bahasa melayu sebagai bahasa yang akan menyatukan rakyat Malaysia. Kembali kepada peranan subjek Sejarah, sudah ada sejarah yang telah membuktikan kejayaan kombinasi kerjasama antara dua pihak ini iaitu kemajuan bangsa dan negara Jepun tanpa membelakangkan peranan bahasa ibunda untuk membangkitkan semangat cintakan negara.

Jika ada antara anda yang belajar sejarah 'Pembaharuan Meiji' di Jepun dalam abad ke-19, beribu-ribu pelajar telah dihantar ke barat untuk belajar ilmu sains dan teknologi. Bermakna mereka akan belajar ilmu itu dalam bahasa Inggeris. Kemudian mereka kembali ke Jepun mempraktikkan ilmu yang dipelajari dan memperkembangkan negara mereka ke arah negara perindustrian. Namun, disebabkan ada segolongan pihak masyarakat Jepun itu yang sangat fanatik dengan bangsanya telah membawa negara itu ke kancah peperangan menggunakan ilmu teknologi yang mereka perolehi dari barat. Tapi kefanatikan mereka disalahgunakan ke arah keburukan.

Belajar dari sejarah, Jepun masih fanatik dengan bangsa mereka selepas tamatnya perang yang telah memusnahkan negara mereka tetapi bukan lagi untuk keburukan. Selepas perang Jepun masih mempunyai ramai generasi yang terpelajar dan berilmu dan usaha untuk membina semula negara mereka tidaklah sukar. Sebab itu hari ini jika kita belajar sejarah Jepun, dapat mengetahui Jepun boleh bangkit semula dengan status negara maju dalam tempoh 20 tahun saja dengan sokongan dan iltizam rakyatnya yang ramai berilmu pengetahuan. Dan hari ini kita tetap dapat melihat bangsa Jepun mampu mengaplikasikan teknologi mereka mengunakan aturcara komputer dalam bahasa Jepun lantaran masih kuatnya semangat patriotisme dan nasionalisme rakyatnya terhadap bangsa dan negara mereka. Kata orang bahasa menunjukkan bangsa dan bangsa yang maju dicerminkan melalui penggunaan bahasanya yang meluas.

Kita baru sedar akan kepentingan masyarakat yang berilmu, tatkala masyarakat bangsa negara lain sudah mencapai kemajuan kita tak akan mampu mengejar mereka dalam masa yang singkat dan kita tak boleh menggunakan pendekatan lama dalam usaha mempertahankan lambang bangsa kita iaitu bahasa melayu. Kita kena berfikiran jauh ke hadapan tetapi generasi masa depan harus dididik supaya jangan lupa sejarah asal usul dan jangan dibuang lambang bangsa mereka. Kerana itu subjek Sejarah perlu diperkasakan semula dan PPSMI perlu ditakrif sebagai cara memperkasakan ilmu generasi masa depan dan boleh digunakan untuk memperkasakan bahasa melayu melalui terjemahan ilmu pengetahuan yang mereka akan perolehi kelak.

Generasi itu kelak perlu dibimbing dan dinasihati sentiasa supaya mereka tidak lupa diri sehingga bangga dengan kemahiran berbahasa inggeris mereka dan kemajuan yang mereka kecapi hasil dari luasnya pengetahuan yang mereka peroleh. Mereka harus diberi kesedaran supaya suatu masa kelak mereka perlu memartabatkan bangsa Malaysia melalui bahasa melayu yang menyatupadukan rakyat Malaysia daripada berbilang kaum. Jika tidak, sia-sianya dasar PPSMI kerana semakin berilmunya generasi seharusnya semakin bijak berfikir dan membantu memartabatkan bangsa serta masyarakat bukannya semakin lupa diri dan bangga diri pentingkan diri sendiri dan kelompok masing-masing.

Image Hosted by ImageShack.us

1 ulasan:

PUTRALAN berkata...

Saya rasa, ia perlu balik ke asal, Bahasa Melayu.

Contact Me

Sekiranya anda ada sebarang pertanyaan atau cadangan, sila guna borang di bawah :

Template by - Abdul Munir | Daya Earth Blogger Template