Mulai 25 Disember lalu, saya sangat sibuk dengan urusan ulang alik ke hospital setelah abang ipar saya mengalami kemalangan yang agak teruk. Kereta yang dipandunya bersama 5 orang anaknya terbabas mengelak kenderaan memotong dari arah bertentang lalu terbalik di dalam parit pada laluan jalan di sebelah. Nasib baik tiada kemalangan jiwa dan hanya cedera ringan dan mulai hari ini sudah boleh keluar dari hospital.
Kejadian berlaku sewaktu hujan agak lebat kira-kira jam 5.40 petang di sebuah laluan jalan raya yang sememangnya dikenali ramai oleh penduduk setempat sebagai 'penuh misteri'. Menurut cerita ipar saya, semasa kejadian sebelum berlaku kemalangan dia tidak lagi menyedari siapa di sekelilingnya dan menganggap hanya dia seorang saja yang berada di dalam kereta pada waktu itu.
Sambil memecut laju di dalam hujan tiba-tiba seperti ada air yang disimbah di cermin hadapan berbentuk segiempat menyebabkan pandangan hadapan tidak nampak. Kebetulan ada juga kenderaan di depan hendak memotong. Dalam keadaan yang penuh kritikal itu untuk mengelak dari bertembung dan pandangan hadapan tidak nampak menyebabkan kereta tak dapat dikawal lalu terbabas berpusing dan terbalik di dalam parit besar yang berair.
Malang Tak Berbau
Sebagai seorang pemandu yang sentiasa memandu kereta, saya sentiasa terfikir tentang kemalangan. Ada orang kata kalau selalu fikirkan tentang hal-hal yang tak baik lambat laun ia akan terjadi pada kita, tapi kata orang itu salah kerana kalau tak difikirkan pun ia boleh terjadi kerana kita cuai tak pernah memikirkan sebab musabab berlakunya kemalangan. Jangan berfikiran sempit dan kolot kerana jika kita tidak cuba mengambil iktibar dari apa yang berlaku kepada orang lain, kita juga akan menghadapi apa yang berlaku kepada mereka jika kita tidak mengambil langkah berwaspada dan bersiap sedia.
Bagi saya, berfikir tentang punca-punca kemalangan dapat memberi maklumat berguna tentang apa yang orang yang telah mengalami kemalangan tersilap dan cuai semasa memandu. Supaya kita tidak mengulangi atau mengikuti apa kesilapan yang mereka lakukan. Perkara ini sentiasa saya ingati ketika memandu kerana hanya sedikit kecuaian saja kita akan menerima padahnya. Terlalu berhati-hati pun tidak bermakna akan selamat kerana tatkala kita memandu secara berhemah orang lain pula yang menyebabkan kita terlibat dalam kemalangan. Hal ini pernah terjadi pada saya gara-gara terlalu berhemah kononnya hendak mengikuti peraturan jalan raya.
Buatlah seberapa banyak peraturan jalan raya sekalipun, jika punca kemalangan itu dari sikap manusia ia tetap akan berlaku setiap hari. Atas sebab itu, secara realitinya saya tidak melihat kepada peraturan jalan raya itu semata-mata tetapi juga melihat kepada sikap pemandu yang memandu di atas jalan raya yang kita pandu. Jika kebanyakan pemandunya agresif dan kasar maka saya perlu ikut rentak mereka. Bukan bermakna secara membuta tuli tetapi secara berhemah iaitu bijak membuat keputusan segera dalam berhadapan dengan sesuatu situasi yang kritikal.
Anggapan bahawa kita tak dapat menduga sesuatu keadaan yang berlaku dijalan raya bagi saya satu anggapan yang salah. Jika kita banyak belajar dan mengkaji bagaimana sesuatu kejadian kemalangan itu boleh berlaku, sebenarnya kita mampu untuk menduganya dan berfikir bagaimana untuk bertindakbalas dengan situasi yang kritikal itu. Sesiapa yang tak pernah terfikir pastinya akan panik dan tak tau nak buat apa lalu menggelabah dan itulah puncanya berlaku kemalangan.
Walaupun ada pepatah mengatakan malang tak berbau tetapi sebagai manusia yang berakal dan diberi ilmu pengetahuan sepatutnya kita boleh menduga sebab kemalangan, mengelak berlakunya kemalangan dan bertindakbalas terhadap keadaan yang boleh menyebabkan kita terlibat dengan sesuatu kemalangan. Kita kena belajar dari sejarah, dari peristiwa yang pernah berlaku. Jika tidak, kita akan menjadi mangsa yang sama terhadap perkara yang sering berulang-ulang yang kita tidak pun mahu mengambil iktibar dan pengajaran darinya.
ALERT
Kita mungkin boleh memandu secara santai dan relaks ketika tidak banyak kenderaan di atas jalan raya tetapi kita tidak akan rasa selesa ketika mana lalu lintas jalan raya sangat sibuk dan banyak kenderaan yang memecut laju dan berderet-deret mengikuti belakang kereta kita. Bagi saya, dalam situasi tersebut bermakna musuh banyak mengelilingi di belakang, di hadapan, di kiri dan kanan saya. Jika saya cuai sama ada saya yang menyebabkan kemalangan atau kenderaan lain itu yang menyebabkan saya terlibat dengan kemalangan.
Ibarat memandu pesawat pejuang melakukan aksi dogfight di atas jalan raya jika saya tersilap langkah dan gagal membuat keputusan segera saya boleh jadi akan menjadi mangsa. Saya tidak tahu bagaimana pemandu lain memandu kenderaan mereka, sebab itu saya perlu awasi mereka yang datang dari depan, belakang kiri dan kanan kerana jika mereka cuai saya pasti menjadi mangsa mereka.
Saya sudah mengambil langkah berjaga-jaga dan memilih keputusan yang akan dibuat jika kenderaan lain cuba mengancam saya. Saya perlu bertindak pantas untuk keluar dari zon yang berpotensi untuk berlakunya kemalangan. Saya sentiasa awasi sekiranya memandu laju jika 100 meter di hadapan terdapat simpang atau kenderaan dari laluan sebelah yang cuba hendak keluar simpang tanpa menoleh lagi atau kenderaan dari arah bertentangan cuba memotong pada jarak yang sangat kritikal.
Saya bukan pemandu yang terlalu berhemah dan bukan pula terlalu agresif, saya adalah pemandu yang bertindak ikut keadaan. Jika jalan lurus dan rata saya akan pecut tapi berwaspada dengan 'musuh' dari arah hadapan dan kiri serta kanan. Jika saya diapit oleh dua kenderaan berat saya perlu keluar dari zon 'bahaya' ini kerana dikhuatiri saya akan 'tersepit'. Jika saya dipotong oleh kenderaan berat kemudian kenderaan berat itu pula lambat setelah diberi laluan untuk memotong saya perlu pantas memecut meninggalkan jauh. Ini kerana kenderaan berat itu menjadi satu ancaman yang cukup bahaya.
Ketika di dalam bandar kadang-kadang ada juga pemandu yang 'kurang ajar'. Saya sudah cukup berhemah dan berhati-hati tetapi disebabkan oleh sikap pemandu sebegini yang datang memecut dan memotong tiba-tiba sambil menge'hon' saya menyebabkan saya perlu ikut rentak kelajuan pemanduan di jalan raya. Ini kerana jika lambat kita hanya menyusahkan orang lain yang hendak cepat. Jika kita laju sama seperti mereka maka prinsip siapa cepat dia dulu anda tak boleh potong akan menyebabkan pemandu lain mengalah dan akan membuli pemandu yang 'lemah' dan 'lembik'. Jadi, kita perlu tegas dan 'garang' dengan pemandu seperti ini dengan menunjukkan ketangkasan kita mencelah menyusup masuk di ruang yang sempit dan sesak.
Sebenarnya, bila saya fikir-fikirkan menjadi pemandu di Malaysia ini tidak perlu terlalu berhemah sebaliknya perlu bijak dan berkemahiran. Sesiapa saja boleh memandu berhemah tetapi tidak semua pemandu mahir untuk mengambil laluan yang betul atau memotong pada waktu yang tepat dan selamat. Mungkin ada yang mahir memandu laju tetapi mereka tidak mahir untuk mengambil ruang yang selamat jika berhadapan dengan keadaan yang kritikal. Saya pernah memandu laju di jalan yang lurus, di satu simpang ingatkan lori itu berhenti kerana jarak saya sudah hampir dengan simpang tersebut tetapi tiba-tiba ia keluar simpang dan saya telah mengagak jika ia keluar tiba-tiba dan saya pecut laju tiba-tiba dengan menyisih sedikit ke tepi jalan dan nyaris-nyaris sisi kanan kereta saya dilanggar oleh muncung lori tersebut. Jika saya berhenti secara mengejut pada jarak yang sudah terlalu hampir pastinya kereta saya tak akan berhenti disitu juga, sebaliknya daya momentum akan menyeret jauh kenderaan saya dan pastinya hadapan saya akan melanggar tepi atau belakang lori tersebut.
Ada juga situasi dimana kenderaan dari arah hadapan berani memotong kenderaan di depannya lagi walaupun jarak kenderaan saya sudah agak hampir dan saya memandu laju. Situasi ini sering berlaku dan selalunya saya akan terus perlahankan kenderaan membiarkan ia memotong. Jika tidak saya akan terbabas. Konsep pemanduan saya ialah jika pemandu jet pejuang melihat musuh dihadapannya menggunakan radar pada jarak beratus-ratus kilometer, saya pula akan melihat 100 meter di hadapan dan 50 meter di belakang supaya saya boleh membuat keputusan untuk bertindak sesuai dengan keadaan.
Apa yang dikongsikan disini cumalah satu realiti, dahulu saya sering melihat iklan di tv atau media tentang pemandu yang berhemah tetapi tatkala kita menjadi pemandu berhemah, kita pula menjadi mangsa oleh pemandu yang tak berhemah, saya pernah menjadi mangsa. Jadi, tidak ada maknanya menjadi pemandu yang 'bersopan santun'. Adalah lebih baik menjadi pemandu yang bijak. Bijak untuk memandu laju, bijak untuk memandu perlahan, bijak berhadapan dengan situasi pemandu lain.
Bukan untuk menidakkan kempen Pemandu Berhemah, sesiapa yang rasakan memandu secara berhemah dapat menjamin keselamatannya, teruskan kerana kita masing-masing mempunyai pengalaman yang berbeza. Semakin jauh kita memandu semakin banyak pengalaman kita tempuhi, semakin lama kita memandu semakin ariflah kita dengan keadaan yang berlaku ketika memandu. Dari situ kita boleh belajar tentang bagaimana menjadi pemandu yang bijak dan mahir. Adakalanya kita tunjukkan pemanduan berhemah, tetapi jika keadaan memerlukan kita memandu secara agresif. Kita harus bijak membuat keputusan dan pertingkatkan kemahiran memandu dengan menimba pengalaman dari orang lain sama ada yang pernah mengalami kemalangan atau yang kita sendiri mengalami saat-saat kritikal.
DAKWAH MASA KINI: DARI KONFRANTASI KEPADA ENGAGEMENT
-
Oleh: Prof Madya Dato’ Dr Mohd Asri bin Zainul Abidin 1. Ramai yang agak
terkejut apabila melihat beberapa tokoh memulakan pendekatan dakwah yang
berbeza d...
6 tahun yang lalu
1 ulasan:
Pandu Cermat.. Jiwa selamat :-)
Selamat Tahun Baru 2“00”9 :-)
Takkan Melayu Hilang Di Dunia
http://TeamPemudaUMNO.blogspot.com
Tiada ‘Hantu’ Di Kuala Terengganu ;-)
http://Forum1Malaysia.blogspot.com
Kite Pakat Undi BN Deh :-)
http://pro-faizal.blogspot.com
Catat Ulasan