TIDAK PEKA IBADAH KERJA
Oleh Saodah Abd. Rahman
Kekuatan umat Islam bergantung kepada sikap dan mentaliti mereka dalam mengendalikan setiap urusan kehidupan mereka di dunia ini. Allah telah menggariskan pelbagai panduan dan perundangan berkaitan dengan urusan keduniaan dan akhirat dengan tujuan untuk membentuk pemikiran dan keperibadian manusia bersesuaian dengan fitrah ciptaan mereka sebagai hamba Allah dan juga khalifah atau pemimpin di dunia ini.
Rasulullah SAW diutuskan kepada manusia dengan tujuan untuk mendidik dan menjelaskan secara terperinci berkaitan dengan perundangan Allah kepada umat manusia. Umat Islam sepatutnya memahami bahawa kehidupan mereka di muka bumi hanya merupakan musafir menuju ke alam baka. Dunia diibaratkan sebagai tempat untuk membekalkan diri bagi kehidupan di alam akhirat. Setiap individu yang berada di dunia ini mempunyai tugas dan tanggungjawab yang akan dipersoalkan oleh Allah di hari akhirat.
Kesedaran mengenai kehidupan yang abadi di hari akhirat kurang meresapi hati nurani kebanyakan umat Islam masa kini. Ini disebabkan umat Islam kurang memahami tugas dan tanggungjawab mereka sebagai hamba Allah dan pemimpin di dunia.
Sifat-sifat buruk seperti malas bekerja, ingin mendapat sesuatu secara mudah, mengambil kesempatan dengan menggunakan pelbagai cara untuk menguasai sesuatu tanpa memikirkan halal atau haram adalah punca yang menyebabkan umat Islam tidak boleh berdaya saing dengan masyarakat bukan Islam yang maju.
Sikap leka dan kurang memahami konsep hidup di dunia menyebabkan umat Islam kurang menumpukan perhatian kepada tugas yang diberikan kepada mereka. Perasaan ingin memajukan diri dengan melatih diri supaya tekun dan gigih dalam melaksanakan tugas kurang wujud dalam sanubari mereka. Golongan seperti ini bukan sahaja gagal melaksanakan tugas yang diamanahkan kepada mereka malah boleh menyusahkan masyarakat dan mencemarkan maruah agama dan negara.
Peristiwa di mana banyak urusan kemasyarakatan tidak dapat dilaksanakan secara berkesan dan sering tertangguh adalah berpunca daripada pegawai dan kakitangan yang memiliki sikap dan mentaliti begini.
Mereka tidak mempunyai perasaan ingin menyiapkan urusan pejabat dan kemasyarakatan dengan segera kerana mentaliti mereka lebih tertumpu kepada gaji dan ganjaran bukan kualiti dalam pekerjaan. Oleh itu mereka sering menangguhkan tugas menyemak dan meneliti setiap urusan berkaitan dengan kemasyarakatan dan kenegaraan.
Sikap begini amat ketara wujud dalam jabatan-jabatan kerajaan dan institusi yang dibiayai oleh kerajaan. Kelewatan atau penangguhan dalam melaksanakan tugas dan tanggungjawab di pejabat tidak memberi sebarang kesan kepada kedudukan ekonomi mereka kerana setiap bulan mereka akan menerima gaji walaupun tidak melaksanakan tugas dengan baik dan pantas.
Suasana begini wujud adalah disebabkan ketua atau pengarah dalam pejabat tersebut tidak memantau sikap dan tingkah laku kakitangan dalam pejabatnya. Suasana akan menjadi lebih parah jika ketua atau pengarah mempunyai sikap dan mentaliti yang sama dengan kakitangannya.
Sikap tidak bertanggungjawab bukan hanya wujud di kalangan kaki tangan kerajaan sahaja malah ia juga berlaku di kalangan para pemimpin politik. Terdapat pemimpin politik yang berjuang untuk kepentingan diri mereka tanpa menghiraukan tugas dan amanah yang diberikan oleh masyarakat kepada mereka.
Peristiwa di mana para pemimpin politik menjadi kaya raya dan menikmati kehidupan mewah dalam masa yang singkat ketika menjawat jawatan tertinggi adalah fenomena yang wujud dalam negara Islam masa kini.
Persoalannya, sejauh manakah golongan ini memahami tugas dan tanggungjawab mereka sebagai pemimpin? Dalam masa yang singkat tidak mungkin bagi seorang pemimpin yang jujur dapat memiliki kemewahan kerana sebahagian besar masa dan tenaga mereka wajib ditumpukan kepada urusan kemasyarakatan dan kenegaraan. Setiap pemimpin perlu memahami tugas utama mereka dalam urusan kepimpinan.
Struktur pembinaan sebuah negara yang kukuh dan bertamadun mempunyai kaitan dengan sikap dan corak pemikiran para pemimpin negara tersebut. Jika kekayaan dan kedudukan dijadikan sebagai objektif perjuangan para pemimpin maka struktur kedudukan negara berada dalam ambang kemusnahan.
Apabila para pemimpin dan pentadbir menunjukkan sikap yang cuai dalam melaksanakan tugas maka para kakitangan bawahan akan mengikut rentak yang sama dengan ketuanya. Jika suasana begini menjadi lumrah kehidupan individu-individu yang memegang amanah rakyat dan negara maka kestabilan politik, ekonomi dan sosial dalam negara Islam akan musnah.
SINGKAT
Suasana begini jelas kelihatan terutama apabila para pemimpin dan pentadbir menunjukkan sikap yang keterlaluan memiliki kekayaan dalam masa yang singkat. Keangkuhan yang berunsur ketamakan yang dimiliki oleh para pemimpin begini boleh menyebabkan masyarakat merasai peranan dan tugas pemimpin sudah tidak berfungsi. Apabila suasana demikian wujud maka rakyat tidak akan menghormati para pemimpin. Kedudukan mereka berada dalam ambang yang rapuh yang boleh diibaratkan sebagai retak menunggu belah.
Kesedaran terhadap tanggungjawab sebagai pemegang amanah daripada Allah dan rakyat jika tidak wujud dalam jiwa para pemimpin, pentadbir dan kakitangan kerajaan maka keseluruhan sistem dan struktur kepimpinan dan pentadbiran negara menjadi pincang.
Apabila suasana begini wujud maka pelbagai kegiatan jenayah, penyalahgunaan kuasa, rasuah dan kegiatan tidak bermoral akan berleluasa dalam negara. Negara yang mempunyai ciri-ciri begini amat ketara dalam dunia Islam.
Perebutan kuasa yang wujud dalam negara Islam masa kini lebih menjurus kepada pertarungan untuk memiliki kekayaan, kedudukan dan kemegahan bukan untuk menegakkan keadilan dan mempertahankan kekuatan agama, negara dan masyarakat. Apabila berlaku perebutan kuasa berasaskan kepada pertarungan berunsurkan hawa nafsu kebendaan maka perancangan untuk kebajikan masyarakat sama ada dalam bentuk material atau spiritual akan terbantut.
Suasana menjadi semakin kemelut jika setiap perancangan kerajaan untuk kebajikan masyarakat dan orang miskin menjadi jambatan untuk para pemimpin politik dan pentadbir memperolehi kemewahan.
Peristiwa di mana projek perumahan untuk orang miskin terbengkalai atau tidak memenuhi kriteria yang dikehendaki oleh kerajaan merupakan satu fenomena yang amat ketara wujud dalam negara Islam.
Sikap rakus dan tidak bertanggungjawab jika tidak dikawal boleh menyebabkan para pemimpin politik dan pentadbir mempergunakan wang zakat dan derma untuk orang miskin dengan jumlah yang besar demi kepentingan diri mereka. Suasana begini wujud dalam negara Islam masa kini.
Ketamakan dan kerakusan terhadap kuasa dan material sehingga ketahap ini merupakan unsur yang boleh memusnahkan sistem kepimpinan dalam Islam.
Halal dan haram jika tidak dijadikan sebagai panduan dalam kepimpinan dan pentadbiran boleh menyebabkan para pemimpin, pentadbir dan orang kaya merampas hak dan keistimewaan yang diperuntukkan oleh negara kepada orang miskin. Suasana begini semakin hari kian ketara.
Keimanan dan ketakwaan bukan berlandaskan kepada setinggi mana ilmu agama dimiliki oleh seseorang pemimpin dan pentadbir tetapi keimanan itu terletak pada hati yang suci dan akal fikiran yang berunsurkan kepada ketakwaan.
Jika hati dan fikiran tidak dapat dikawal oleh nafsu kebendaan maka ilmu agama tidak dapat menyinari hati dan sanubari kerana hati sudah ditimbus oleh debu-debu hitam akibat terlalu ghairah kepada kekayaan sehingga terlupa garis panduan halal dan haram.
Oleh itu berhati-hatilah menjadi pemimpin, pentadbir dan kakitangan kerajaan kerana setiap perbuatan dan tingkah laku akan diperhitungkan oleh Allah di hari akhirat.
DAKWAH MASA KINI: DARI KONFRANTASI KEPADA ENGAGEMENT
-
Oleh: Prof Madya Dato’ Dr Mohd Asri bin Zainul Abidin 1. Ramai yang agak
terkejut apabila melihat beberapa tokoh memulakan pendekatan dakwah yang
berbeza d...
6 tahun yang lalu
0 ulasan:
Catat Ulasan