Custom Search

Isnin, Disember 01, 2008

PKR di Sarawak

Parti Keadilan Rakyat Mahu Tawan Sarawak

Beralih kepada hal politik seketika, merujuk kepada sumber berita dari 'pautan ini' keinginan PKR untuk menawan Sarawak menarik perhatian saya untuk mengulas sedikit. Kerana sebagai rakyat negeri ini semestinya saya lebih mengetahui serba sedikit mengenai selok belok politik di negeri ini dan sambutan terhadap mana-mana parti politik dari semenanjung.

Situasi politik di negeri ini cukup berbeza dengan negeri-negeri lain di Malaysia sejak dari sebelum merdeka lagi. Melihat keadaan politik di Semenanjung apakah rakyat negeri ini boleh menerima mana-mana parti politik dari sana. Walaupun ada rakyat negeri ini yang menyokong kehadiran parti-parti tersebut sama ada PKR maupun UMNO, namun ia adalah minoriti. Keinginan PKR hendak menawan Sarawak adalah berikutan negeri ini bakal menghadapi pilihanraya negeri tahun depan.

Rakyat negeri ini masih menyokong kuat mana-mana parti komponen dari negeri ini sendiri kerana hanya mereka yang memahami adat, adab dan budaya rakyat pelbagai kaum dan etnik di negeri ini. Walaupun adakalanya pembangunan yang dibawa BN tidak sampai ke kawasan sesetengah rakyat namun pelan pembangunan yang dibawa adalah amat jelas dan rakyat nampak akan usaha-usaha pembangunan yang sedang dibawa.

Lagipun pemimpin-pemimpin politik negeri ini yang berada dalam kerajaan tidak banyak menimbulkan karenah yang menjelekkan serta terlibat dengan isu-isu yang dibenci oleh rakyat seperti rasuah dan pertikaman lidah antara mereka sendiri sebagaimana yang berlaku dalam parti-parti UMNO dan MCA. Masalah seperti itu tidak akan mempopularkan seseorang pemimpin tetapi hanya akan menggambarkan betapa kepimpinan dalam parti itu tidak seia sekata dan bersatu hati dalam menghadapi sesuatu isu. Rakyat negeri ini boleh menilai perkara-perkara seperti ini.

Perdebatan sesama sendiri hanya akan membantutkan usaha pembangunan, namun begitu pemimpin-pemimpin negeri ini tidak seharusnya selesa dengan kedudukan mereka. Ini kerana saya pernah mendengar keluhan sesetengah rakyat Sarawak dari kawasan pedalaman dan rumah panjang bahawa mereka tidak teragak-agak akan memangkah pembangkang dalam pilihanraya sekiranya kawasan mereka tidak menerima pembangunan terutama jalan raya dan bekalan air serta elektrik.

Ini jelas berdasarkan undian dalam PRU12 separuh daripada pengundi di kawasan rumah panjang telah memilih BEBAS dan alasan mereka ialah tidak pernah pun wakil-wakil rakyat dari BN menjenguk mereka untuk bertanya khabar bahkan tuai rumah mereka pun tidak diberitahu bahawa pada hari tersebut akan diadakan pengundian. Ini bermakna tiada pegawai kerajaan yang berhubung dengan tuai rumah, jika pada saat penting sebelum hari pengundian pun pegawai kerajaan tidak ambil peduli apatah lagi pada hari-hari lain. Daripada 100 orang dalam senarai pengundi, hanya 24 orang yang datang mengundi dan 12 orang saja yang memangkah BN.

Daripada analisis keputusan PRU12 lepas, rata-rata yang menyokong BN adalah dari kawasan yang telah mempunyai kemudahan asas dan mudah dihubungi dengan jalan raya dan pengangkutan darat. Namun demikian, dengan perkembangan teknologi serta sumber maklumat yang mudah diakses, rakyat negeri ini sudah mampu untuk membuat penilaian dengan membuat perbandingan pembangunan kawasan mereka dengan kawasan lain yang lebih maju dan cepat membangun.

Ini dapat diperhatikan dan didengari luahan rakyatnya ketika saya melawat Tenom, Sabah. Bandar Tenom suatu ketika dahulu adalah antara bandar yang termaju dan membangun di kawasan pedalaman Sabah. Namun, akibat perubahan masa pembangunan di bandar itu menjadi lambat sebaliknya kawasan lain yang dulunya hanya pekan kini semakin pantas membangun telah setanding dan mungkin lebih baik dari Tenom, contohnya Beufort. Begitu juga di Papar, Sabah biarpun berada hanya beberapa puluh kilometer dari Kota Kinabalu namun ia kelihatannya seperti sebuah pekan kecil sahaja yang menjadi persinggahan untuk ke Beufort, Keningau dan Tenom.

Seharusnya pemimpin komponen BN sama ada di Sabah maupun Sarawak, tidak harus berasa selesa dengan kedudukan mereka. Jangan menyangka bahawa mereka akan berterusan mendapat sokongan kerana kini rakyat dari kalangan generasi baru kian bertambah dan sudah cukup matang untuk berfikir. Keadaan kini sudah berubah dan suasana politik tidak akan lagi sama seperti tahun-tahun sebelumnya.

Pemimpin negeri ini harus peka dengan perubahan ini namun untuk PKR menawan Sarawak adalah sesuatu yang sukar kerana rata-rata majoriti penduduk peribumi negeri ini tidak dapat menerima kehadiran mereka, melainkan penduduk yang rasa kecewa dengan pemimpin kerajaan yang pentingkan diri, keluarga dan kroni mereka tidak teragak-agak akan memangkah pembangkang. Keadaan seperti inilah yang akan cuba dimanupulasikan oleh pembangkang terutama PKR dan DAP di Sarawak.

Image Hosted by ImageShack.us

0 ulasan:

Contact Me

Sekiranya anda ada sebarang pertanyaan atau cadangan, sila guna borang di bawah :

Template by - Abdul Munir | Daya Earth Blogger Template