Custom Search

Selasa, Disember 02, 2008

Sekolah Wawasan

Pengalaman Belajar di 'Sekolah Wawasan'

Dahulu ada cadangan agar diperkenalkan sekolah wawasan bagi menggantikan sistem sekolah yang berasaskan kaum. Namun, akibat tentangan pihak-pihak yang cuba mempertahankan kepentingan kaum mereka secara mutlak maka cadangan ini ditolak. Pada hari ini, sekali lagi cadangan untuk memperkenalkan sekolah satu sistem ini kedengaran. Cadangan ini disuarakan semula oleh anak kepada pemimpin yang pernah mencadangkan sekolah wawasan dahulu. Berita penuh melalui 'pautan ini'.

Saya ingin berkongsi pengalaman ketika masih dibangku sekolah dahulu yang pelajarnya terdiri daripada pelbagai kaum dan latarbelakang. Ia mirip kepada sekolah wawasan yang pernah dicadangkan itu. Waktu itu saya pernah belajar di di sebuah sekolah rendah dan 3 buah sekolah menengah yang berbeza sekali keadaannya, kerana bapa saya seorang anggota polis saya terpaksa ikut keluarga dan berpindah sekolah.

Saya pernah bersekolah di SRK Perbandaran No 2 Sibu, SMK Kampung Nangka Sibu dan SMK Rosli Dhoby Sibu. Semasa bersekolah disitu, rakan sekelas saya terdiri daripada pelbagai kaum, melayu sarawak, melayu semenanjung, cina, india, melanau dan iban. Sementara bagi melanau pula terdiri daripada melanau matu, daro, rajang dan mukah. Disebabkan bahagian Sibu ketika itu masih luas belum berpecah kepada beberapa bahagian maka rakyat pelbagai kaum dan etnik dari kawasan pedalaman ada juga yang bermastautin di bandar ini. Pelajar-pelajar melayu semenanjung dan india kerana mengikut bapa mereka yang bertugas sebagai guru, tentera dan polis.

Kemudian, setelah bapa saya berpencen kami kembali ke kampung halaman dan saya bertukar sekolah menengah ke SMK Dalat. Tetapi di sekolah ini walaupun ada juga kaum lain seperti cina dan iban tapi majoritinya adalah melanau sebab Dalat adalah kawasan penempatan melanau. Berlaku sedikit kejanggalan bagi saya kerana selama 16 tahun belajar di sekolah bandar, kejutan budaya di kampung yang kurang produktif dan persaingan yang kurang di kalangan pelajar untuk belajar. Setahun kemudian saya kembali semula bersekolah di bandar Sibu dan sekali lagi saya bergaul dengan ramai kawan yang terdiri daripada pelbagai kaum dan latarbelakang.

Sebagai seorang yang terdidik di sekolah yang terdiri daripada pelbagai kaum dan latarbelakang, saya akui bahawa sistem sekolah pelbagai kaum seperti yang dicadangkan itu memang sangat baik. Walaupun memang ada sekolah yang majoriti pelajarnya hanya satu kaum saja, bagi Sarawak sekolah yang terdiri daripada pelbagai kaum sememangnya sudah wujud sejak dahulu lagi terutamanya sekolah kerajaan di bandar-bandar besar.

Antara kebaikan sekolah yang terdiri daripada pelbagai kaum yang pernah saya rasai ialah tiadanya jurang perbezaan dan saling hormat-menghormati. Saya tetap bercampur dan bersahabat dengan rakan-rakan dari kaum lain, walaupun bahasa pengantar Bahasa Melayu sesekali kami juga berbahasa ibunda sendiri dan adakalanya saya belajar bahasa dengan mereka yang dari kaum lain. Dalam belajar di kelas tiada masalah, kami tetap belajar bersama dan dalam satu kumpulan.

Bahkan saudara saya sendiri yang sama belajar dengan saya di sekolah rendah dahulu waktu itu fasih berbahasa cina kerana semasa di darjah 5 hingga 6, dia memasuki kelas khas cina. Tetapi sekarang, bila saya tanya dia sama ada masih fasih berbahasa cina (mandarin) jawabnya tidak kerana tidak dipraktikkan seharian. Cuma abangnya saja yang masih fasih sehingga kini kerana kawan-kawannya ramai yang cina.

Dari sekolah rendah hinggalah ke menengah saya bergaul dengan banyak kaum. Banyak yang saya boleh belajar dari mereka, bukan setakat bahasa tetapi juga ilmu dan cara belajar mereka. Walaupun ada juga pelajar yang nakal tetapi saya tak ikut rentak mereka, kawan tetap kawan tapi bukan berkawan untuk merosakkan diri. Ketika di SMK Rosli Dhoby saya tinggal di asrama dan disinilah pengalaman yang paling banyak ditimba. Ada sesetengah ibubapa terutama yang beragama Islam mereka khuatir anak-anak mereka bergaul dengan pelajar bukan Islam.

Saya pernah menjadi kanak-kanak dan remaja, satu tempoh yang memudahkan seseorang itu mudah terpengaruh dengan sesuatu ajaran atau fahaman atau apa yang dibuat oleh kawan-kawannya. Tetapi memang benar kata orang, kalau kita dididik dengan betul dan sempurna oleh kedua orang tua kita terutama dari aspek didikan agama maka ke mana-mana pun anak-anak mereka dilepaskan tidak akan mudah terpengaruh dengan unsur luar yang bertentangan dengan ajaran dan didikan ibu bapa di rumah.

Di SMK Rosli Dhoby, saya masih berkawan dengan pelajar cina, india, iban, melayu, melanau daerah lain dan bukan Islam. Masih boleh belajar bersama-sama, bergurau senda, bersaing sesama sendiri secara sihat dan yang penting amalan agama Islam saya masih teguh dan boleh diamalkan semasa tinggal di asrama. Rakan-rakan bukan Islam tidak pun rasa pelik jika saya dan rakan Islam bersembahyang di dalam bilik asrama jika tidak ke sempat ke surau. Saya dan rakan tidak janggal bersembahyang jemaah di bilik asrama, bahkan rakan-rakan bukan Islam tumpang lalu di belakang semasa kami sedang bersembahyang.

Pada waktu subuh pun, rakan-rakan bukan Islam tidak pun komplen atau mengeluh ketika kami bangun seawal 4.30 pagi. Walaupun tidaklah bising sangat cuma bila bangun ketika orang lain nyenyak tidur dengan suasana hening pagi yang sunyi, bunyi-bunyi katil dan tilam serta selipar ketika berjalan tak dapat dielakkan namun kami tetap berhati-hati supaya tidak terlalu bising mengganggu tidur mereka. Perkara ini tidak pun pernah menjadi isu dikalangan kami pelajar pelbagai kaum dan agama yang sudah biasa terdidik seperti dalam satu keluarga.

Cuma ada satu peristiwa yang tak akan pernah saya lupakan iaitu komplot untuk memberi pengajaran kepada seorang pelajar junior asrama yang berlagak hebat dan sombong diri. Susuk tubuh badannya memang besar dan tinggi. Kerana bangga dengan kelebihan dirinya itu serta terlibat dengan persatuan Seni Silat dan Taekwondo dalam satu masa, pernah rakan-rakan saya yang berjawatan pengawas mengadu kepada kami yang bukan pengawas diugut oleh pelajar tersebut. Pelajar tersebut sudah diberi nasihat namun masih bercakap besar bahkan ketua pengawas asrama juga diperlekehnya.

Ketua pengawas asrama kami seorang cina tapi kerana sudah biasa dengan rakan-rakan dari bangsa lain maka dia fasih berbahasa iban dan melayu sarawak. Hubungan kami pelajar bukan pengawas di asrama bersama dengan pengawas asrama memang akrab, sikap pelajar itu yang berlagak dan cuba mengugut pengawas yang menegurnya tidak boleh diterima. Lalu kami membuat satu komplot untuk memberi pengajaran kepadanya.

Apa yang mengkagumkan ialah, bagaimana kami bersama-sama dengan kumpulan pengawas beserta dengan ketuanya sekali mampu duduk sebilik berbincang bagaimana nak mengenakan pelajar itu supaya dia tak cam siapa yang mengenakannya dan memberitahu kepada ketua waden. Bahkan pengawas asrama sendiri juga telah membuat aduan mengenai sikap pelajar tersebut kepada warden asrama, namun dia tetap juga berlagak sombong dan megah.

Satu keputusan pun dibuat, rancangannya ialah dibuat pada waktu malam selepas tamat waktu belajar malam. Rancangannya memang cukup teliti dan bijak hasil dari pandangan semua rakan-rakan, modus operandinya ialah seorang perlu mengintai pelajar tersebut bagi memberitahu satu lagi kumpulan yang menunggu di bilik pelajar tersebut akan kepulangannya. Sementara di bilik pelajar itu, apabila dia telah berada di katilnya seorang akan memadam suis lampu, ketika itulah seorang yang menunggu berdekatan akan menerajangnya ke katil dan beberapa orang lagi akan menumbuknya apabila di sudah terjatuh di katilnya.

Kejadian itu berlaku beberapa saat saja dan rakan-rakan yang menumbuk tadi akan terus beredar dari situ selepas misi berjaya. Keadaan pada masa itu amat kecoh sekali dan saya pada masa itu menunggu di luar beranda bagi menyaksikan perjalanan misi itu dilaksanakan. Kemudian seperti yang dirancang, ketua pengawas akan berlakon membuka suis lampu kononnya hendak meredakan keadaan. Kemudian beberapa pengawas akan datang ke tempat pelajar itu untuk melihat apa yang terjadi dan kelihatan dia sudah terlentang di lantai dengan hidung sikit berdarah. Sebagaimana yang telah dirancang ketua pengawas dan pengawas-pengawas yang lain memberi nasihat kepada pelajar itu bahawa tindak-tanduknya selama ini tidak disukai oleh penghuni asrama yang lain, sebab itu dia ditumbuk.

Apabila ditanya siapa yang menumbuknya, dia sendiri tak dapat cam kerana gelap dan ia berlaku begitu pantas. Walaupun selepas itu, pelajar tersebut ada mengadu kepada warden namun warden pun pernah menerima aduan dari pengawas asrama maka apabila ditanya kepada seluruh penghuni asrama siapa punya kerja itu, tak ada siapa pun mengaku dan semua diam. Namun selepas itu tiada tindakan pun dibuat kerana warden sendiri pun tahu sikap pelajar itu dan memang patut dia dikerjakan. Dengan kerjasama ketua pengawas, kes ini selesai begitu saja dan ia tak pernah pun terbongkar. Selepas itu, taring pelajar tersebut pun tumpul dan tidak berani lagi berlagak sombong dan mengugut pengawas. Pelajar tersebut dapat menerima pengajaran dari peristiwa tersebut dan insaf kerana dia hanya seorang saja sedangkan penghuni asrama lain yang jelek dengan sikapnya bersatu hati dalam menghadapi orang seperti itu.

Inilah makna perpaduan yang sebenarnya, banyak yang saya belajar dalam perpaduan ini. Walaupun berbeza kaum, agama, jawatan (pengawas asrama dan penghuni biasa), kami tetap hormat menghormati antara satu sama lain dan tidak boleh menerima sikap sombong dan berlagak seseorang walaupun dia sebangsa dengan rakan-rakan saya yang lain. Kami masih boleh belajar bersama, tidur di bilik asrama yang sama, berbincang bersama dan 'berkomplot' bersama secara bijaksana dalam menjayakan sesuatu misi menentang 'kejahatan' yang bertentangan dengan budaya umum. Kenangan inilah yang paling saya tak pernah lupakan ketika dibangku sekolah dahulu.

Perbezaan bukan lagi berasaskan perkauman, tetapi sikap dan nilai peribadi seseorang. Walaupun sebangsa sekalipun jika sikapnya yang sombong dan nilai peribadinya yang jelek, rakan sebangsanya yang lain tak akan menghormatinya sebagai anggota dalam kumpulan bangsanya dan berusaha dengan cara terbaik untuk memberi pengajaran kepadanya.

Pengalaman ini bukan menonjolkan budaya samseng atau kumpulan kongsi gelap di sekolah atau asrama sekolah, tetapi lebih kepada budaya saling hormat menghormati dalam hidup pelbagai kaum, latarbelakang dan agama dalam usaha menuntut ilmu di dalam satu sekolah berasrama dengan aman dan harmoni. Jika ada individu atau puak yang melampau, satu tindakan perlu diambil. Ia takkan berjaya jika tiada usahasama, perbincangan, bersatu hati dan masing-masing memainkan peranan masing-masing mengikut perancangan yang telah dibuat. Ia bukan masalah perkauman, tetapi masalah nilai kemanusiaan yang tidak beradab dan menghormati orang lain yang perlu diberi pengajaran yang sewajarnya agar kembali ke jalan yang seiring dengan amalan hidup dalam masyarakat pelbagai kaum, budaya, adab, latarbelakang dan agama.

Apakah pelajar hari ini dengan sistem sekolah yang masih wujud pada hari ini ada nilai dan budaya sebegini? Kebaikan sekolah wawasan sudah terbukti walaupun pengalaman ini bukan dari sebuah sekolah wawasan tetapi ciri-cirinya adalah seperti sekolah wawasan yang diimpikan oleh semua rakyat Malaysia.

Image Hosted by ImageShack.us

0 ulasan:

Contact Me

Sekiranya anda ada sebarang pertanyaan atau cadangan, sila guna borang di bawah :

Template by - Abdul Munir | Daya Earth Blogger Template