Custom Search

Khamis, Disember 24, 2009

2010 Tahun Kreativiti & Inovasi

Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, tahun hadapan akan menjadi Tahun Kreativiti dan Inovasi untuk negara dengan beberapa program sejajar tema itu yang disokong konsep serta semangat 1Malaysia telah diatur.

Kata Perdana Menteri, penekanan kepada aspek inovasi amat penting kerana ia bukan sahaja mewujudkan pekerjaan tetapi juga menggalakkan daya saing negara.

Menurutnya, sejak tahun 2000 lagi, dunia telah melihat kemunculan produk yang amat inovatif seperti iPhone, Blackberry, Twitter, Facebook dan YouTube serta kebangkitan Google yang telah menukar cara penggunaan media dan berkomunikasi.

“Negara-negara yang menyenangi inovasi seperti Jepun, Finland dan Amerika Syarikat (AS) berjaya membangunkan ekonomi dengan lebih maju.

“Inovasi mewujudkan pekerjaan dan menggalakkan daya saing negara. Oleh itu, kita juga mesti menghasilkan impak yang kreatif dalam ekonomi global yang berdaya saing. Janganlah kita membiarkan diri kita ketinggalan di belakang,” kata beliau dalam laman blognya www.1malaysia.com.my di sini hari ini.

Najib menambah, dalam Belanjawan 2010 baru-baru ini, beliau telah menyatakan kewujudan satu model ekonomi baru berasaskan inovasi, kreativiti dan aktiviti tambah nilai yang akan menggandakan pendapatan per kapita rakyat dalam tempoh 10 tahun akan datang.

Katanya, gagasan 1Malaysia atau keperluan untuk memanfaatkan kebolehan daya kreatif semua rakyat Malaysia menyokong ke arah usaha itu.

“Sebagaimana baru-baru ini seorang pakar antarabangsa telah mengiktiraf 1Malaysia sebagai sangat serasi dengan inovasi, bakat bukan hanya didapati dalam sesuatu budaya, tetapi ia tersebar di merata-rata,” katanya.

Pakar yang dimaksudkan beliau ialah Presiden Institut Teknologi Stevens dari AS, Dr. Harold J. Raveche.

Tambah Perdana Menteri, antara aspek penting Tahun Kreativiti dan Inovasi ialah pelancaran Pusat Inovasi Negara (MyNIC) yang akan disokong oleh satu rangkaian pusat kecemerlangan inovasi pada suku pertama tahun berkenaan.

“Tujuan MyNIC mudah sahaja, untuk memajukan keupayaan saintifik dan teknologi kita,” katanya.

Selain itu jelas beliau, penetapan Petunjuk Prestasi Utama (KPI) dan Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA) baru-baru ini turut menyumbang kepada pemupukan budaya inovasi dalam sektor awam.

Katanya, dengan ketibaan Rangkaian Inovasi 4G pada penghujung 2010 yang membawa jalur lebar laju tinggi ke seluruh pelosok tanah air, akan wujud lebih banyak peluang untuk membuat inovasi.

“Malahan, Bank Dunia telah menyatakan bahawa peningkatan 10 peratus dalam penembusan jalur lebar ada hubung kait dengan peningkatan KDNK sebanyak 1.3 peratus.

“Apabila lembaran inovasi kita terus dibuka daripada lipatannya, saya akan memaklumkan kepada anda tentang perkembangannya dan saya juga berminat untuk mendengar kisah-kisah kejayaan anda atau petua-petua peribadi anda bagaimana untuk menjadi lebih kreatif,” katanya.

Sabtu, Disember 12, 2009

Kod Etika Blogger

Kod etika yang patut dijadikan panduan:

  1. Penulis blog perlu jujur dan adil dalam mengumpul, melapor dan menterjemahkan maklumat.

  2. Tidak memplagiat hasil tulisan.

  3. Mengenal pasti sumber yang boleh dipercayai.

  4. Tidak menerbitkan maklumat tidak tepat.

  5. Membezakan antara maklumat sokongan, komentari dan fakta.

  6. Mengakui sebarang kesilapan dan membuat pembetulan dengan segera.

  7. Menerangkan tujuan blog dan membuka perbincangan mengenainya kepada penulis blog lain dan orang ramai.

  8. Memberitahu sebarang aktiviti yang diadakan, kerjasama dan juga agenda peribadi mengenai blog.

  9. Berhati-hati dalam menyiarkan maklumat sensasi yang boleh memberi kesan pada mana-mana pihak.

Jumaat, Disember 11, 2009

Inovasi Organisasi Pemangkin Kecemerlangan

Antara contoh terbaik penerapan inovasi dalam sistem penyampaian perkhidmatan, adalah menerusi penggunaan secara meluas aspek perkembangan teknologi maklumat dan komunikasi (ICT).

Oleh NOR HARTINI SAARI

SETIAP organisasi harus sentiasa berubah mengikut keadaan semasa. Jika ia masih di takuk lama tanpa ada perubahan ke arah kecemerlangan, nescaya ia akan tewas dalam persaingan.

Lambat-laun organisasi berkenaan akan menjadi "hidup segan mati tak mahu" dan mungkin terus terkubur.

Justeru, inovasi berterusan diperlukan dalam mempelbagaikan dimensi bukan hanya mencakupi prosedur kerja tetapi juga dalam cara berfikir, bertindak dan sanggup berubah. Ia perlu supaya terus relevan dan selari dengan keperluan semasa.

Inovasi ini merupakan agenda utama negara yang disentuh dalam Bajet 2010 lalu.

Salah satu inovasi yang ditekankan adalah menerusi tadbir urus dalam sektor awam dan sektor swasta.

Sehubungan itu, inovasi adalah satu ciri penting dalam memastikan perkhidmatan kepada pelanggan sentiasa berada pada tahap cemerlang dan memuaskan mereka.

Bahkan usaha menjadikan elemen inovasi sebagai pemangkin kecemerlangan perkhidmatan perlulah diterapkan kepada semua kakitangan di pelbagai peringkat bermula daripada pengurusan tertinggi hinggalah kepada kumpulan sokongan.

Namun harus diingat bahawa melakukan inovasi tidaklah semudah yang disangka.

Kerap kali pelaksanaan inovasi menemui kegagalan kerana budaya organisasi tidak secocok dengan keperluan untuk melakukan perubahan.

Pelaksanaan inovasi menuntut warga kerja organisasi berfikiran lebih terbuka, tidak jumud dan sentiasa dinamik.

Mereka perlu memperlengkapkan diri dengan ilmu pengetahuan bagi melakukan pembaharuan.

Kegagalan untuk bergerak cepat bersama perubahan ini akan menutup peluang besar yang menyebabkan kakitangan awam akan ketinggalan jauh.

Keadaan yang sama akan berlaku sekiranya kakitangan awam tidak berupaya menguruskan perubahan mendadak ini dengan bijak.

Antara contoh terbaik penerapan inovasi dalam sistem penyampaian perkhidmatan, adalah menerusi penggunaan secara meluas aspek perkembangan teknologi maklumat dan komunikasi (ICT).

Perkembangan ICT kini secara langsung telah mengubah cara bekerja dalam organisasi. Sebagai contoh, ketua-ketua jabatan perlu memahami dan mengikuti perkembangan ICT dan bagaimana kecanggihan dan potensinya dapat digunakan secara paling produktif.

Sesungguhnya penggunaan ICT yang betul dan strategik akan meningkatkan keupayaan untuk mencorak dasar, strategi dan programprogram pembaharuan dalam perkhidmatan awam.

Langkah-langkah ke arah ini sebenarnya telah pun dimulakan tetapi masih banyak yang perlu dilaksanakan.

Apa yang lebih penting ialah ke mana arah tuju organisasi? Apakah agenda masa depan dan bagaimana dapat mengisi masa depan dengan agenda tersebut?

Hakikatnya, teknologi ini membolehkan sesuatu keputusan dibuat dengan pantas dan maklumat dapat disalurkan dengan lebih cepat.

Oleh itu, dalam memenuhi tuntutan pengguna, inovasi dalam sistem penyampaian perlu diberi keutamaan untuk menambah baik mutu perkhidmatan.

Sebagai contoh, pelaksanaan kerajaan elektronik merupakan satu daripada tuntutan tersebut.

Bagaimanapun, sejauh manakah kecemerlangan perkhidmatan awam menerusi teknologi ini dapat memenuhi tuntutan rakyat?

Tidak dapat dinafikan bahawa revolusi ICT dalam perkhidmatan awam telah wujud sejak penubuhan Koridor Raya Multimedia (MSC) pada 1996.

Kewujudan teknologi ini dikatakan dapat meningkatkan akses penyampaian perkhidmatan awam. Ia bukan sahaja dapat memperbaiki perkhidmatan antara kerajaan dan rakyat malah meningkatkan lagi ketelusan dan mengurangkan birokrasi.

Satu ciri utama kerajaan elektronik di Malaysia ialah melalui portal perkhidmatan untuk orang ramai yang dikenali sebagai MyGovernment.

Portal ini turut menyediakan pelbagai maklumat dan perkhidmatan hampir semua agensi kerajaan antaranya e-perkhidmatan, e-syariah, e-perolehan dan sebagainya.

Menerusi e-perkhidmatan, rakyat dapat membuat bayaran seperti lesen memandu, saman, elektrik, telefon dan bil-bil Internet.

Begitu juga menerusi portal e-syariah yang diperkenalkan pada 2005. Ia bukan hanya meningkatkan kualiti perkhidmatan dan kecekapan pengurusan dalaman malah ia mudah untuk bertindak seperti memfailkan pelbagai kes guaman sivil, faraid dan jenayah.

Apa yang lebih menarik, portal ini boleh merentasi negara.

Ia membenarkan para peguam, pendakwa, plaintif dan defendan memfailkan afidavit dalam talian, mendapat tarikh perbicaraan dan lanjutan status kes-kes mereka.

Portal itu juga bertindak sebagai kaunter sehenti pada badan kehakiman. Ia turut membolehkan orang ramai merujuk semua enakmen pentadbiran mahkamah.

Semua ini memudahkan rakyat membuat segala urusan dengan cepat dan pantas.

Sehubungan itu, inovasi dalam sektor awam terutama dalam meningkatkan penggunaan ICT di kalangan kakitangan dan pegawainya adalah penting sebagai proses inovasi atau pembaharuan dan juga bertindak sebagai pemangkin kecemerlangan masa depan negara dan sektor awam khasnya.

Tanpa adanya inovasi terutama dalam penguasaan dan kemahiran ICT ini, kualiti perkhidmatan awam negara akan terus di takuk lama dan hasrat untuk menjadi antara 10 negara paling cekap di dunia menjelang 2020 tentu sukar tercapai.

PENULIS ialah Pegawai Penyelidik,

Pusat Ekonomi dan Kajian Sosial,

Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM)

Sabtu, Oktober 31, 2009

Melonjak ke Tahap Rantaian Nilai Lebih Tinggi

Kunci kepada lonjakan ke tahap rantaian nilai yang lebih tinggi ialah teknologi dan kemahiran tenaga pekerja di sesebuah negara. Mungkin sebagai langkah untuk meningkatkan kefahaman kepada teknologi baru ini perlu latihan atau latihan semula.

Saranan Salleh

ADA beberapa perkara yang mungkin tidak menarik perhatian orang ramai tentang Bajet 2010 baru-baru ini. Pertama ialah perubahan pusat latihan pegawai awam INTAN kepada sebuah pusat latihan antarabangsa.

Dengan ini INTAN akan meluaskan skop latihan kepada lebih luas lagi bidang dan lebih ramai lagi tenaga pengajar daripada pelbagai institusi dan universiti antarabangsa.

Nama-nama Universiti seperti Stanford, Harvard, Carnegie Mellon, Wharton School of Finance misalnya dari Amerika Syarikat dan INSEAD, IMEDE dari Eropah terbayang sebagai universiti yang terkenal di dunia. Selalunya mereka yang menjadi tenaga pengajar di universiti-universiti tersebut terdiri daripada mereka yang mempunyai pengalaman luas dalam sesuatu industri.

Di sinilah rancangan untuk mendedahkan pegawai kerajaan terhadap pengalaman dalam sektor swasta melalui perlekatan dengan syarikat-syarikat milik kerajaan (GLCs). Ia adalah suatu langkah yang wajar dalam usaha melengkapkan pengalaman pegawai-pegawai kerajaan.

Pengalaman ini diharap akan meningkatkan produktiviti amnya. Hanya dengan meningkatnya produktiviti sahaja pendapatan boleh meningkat.

Dalam suatu rancangan televisyen tidak lama dahulu, hos program Hujah melahirkan kesangsian beliau tentang bagaimana pendapatan boleh ditingkatkan di negeri-negeri seperti Kelantan.

Peningkatan pendapatan membabitkan cara baru dalam melakukan sesuatu kerja. Kalau dilihat industri-industri yang ada sekarang, banyak yang masih lagi terikat dengan cara penghasilan yang lama, berteknologi lama sedangkan banyak cara baru telah pun diperkenalkan.

Dalam bidang perkilangan misalnya, loncatan kepada rantaian nilai yang lebih tinggi misalnya memerlukan pengeluaran berasaskan teknologi baru. Banyak produk kita yang dieksport ke negara jiran yang kemudiannya dibungkus dan dilabel olehnya dan dinyatakan sebagai produk hasil negara tersebut.

Dengan melakukan pembungkusan dan pelabelan produk tersebut di negara sendiri, kita sudah menjual barang tersebut dengan harga yang lebih tinggi seterusnya melonjak kepada nilai rantaian yang lebih tinggi.

Kunci kepada lonjakan ke tahap rantaian nilai yang lebih tinggi ialah teknologi dan kemahiran tenaga pekerja di sesebuah negara. Mungkin sebagai langkah untuk meningkatkan kefahaman kepada teknologi baru ini perlu latihan atau latihan semula.

Ramai yang masih menyangka bahawa pelabur asing akan datang melabur sekiranya kos tenaga pekerja rendah. Hakikatnya kalau kita melihat negara-negara yang telah beralih kepada teknologi tinggi, mereka menerima jumlah nilai pelaburan asing lebih tinggi daripada negara yang mempunyai tenaga pekerja bergaji rendah.

Ertinya pelaburan asing akan melabur di mana saja mereka boleh membuat keuntungan dan sekiranya kita masih terikat dengan cara lama kita akan ditinggalkan oleh mereka yang sudah beralih kepada teknologi tinggi atau di rantaian nilai yang lebih tinggi.

Lihat saja dalam bidang bioteknologi, pelbagai perkara boleh dilakukan termasuk Genetically Modified Foods (GMO) seperti buah tomato yang terlindung daripada ulat perosak atau timun yang lebih kerap berbuah. Malahan kita melihat hari ini pelbagai jenis cantuman tanaman boleh dilakukan untuk meningkatkan hasil dan mutu.

Makanan laut kita pernah diharamkan pengimportannya oleh negara-negara Kesatuan Eropah disebabkan aktiviti penghasilan daripada ternakan kepada pengeksportan tidak mematuhi piawaian negara-negara tersebut. Ertinya tidak bersih.

Di sinilah pendidikan dan pendedahan kepada teknologi dan ilmu pengetahuan baru penting dan beban melengkapkan tenaga pekerja ini tidak terletak di atas bahu kerajaan sahaja. Malahan sektor swasta memainkan peranan yang tidak kurang pentingnya.

Ketua-ketua pekerja wajar dihantar untuk latihan keluar negara atau pakar-pakar dalam bidang teknologi masa depan ini dibawa ke sini untuk membimbing pekerja tempatan. Latihan untuk pelatih ini penting supaya menerima kesan penggandaan pekerja yang terlatih.

Rantaian nilai (value chain) bukannya usaha mengurangkan kos tetapi di setiap peringkat aktiviti penghasilan sesuatu produk atau barang, nilai produk tersebut meningkat.

Dalam bidang pertanian misalnya perisian yang mampu memberi arahan untuk penyiraman dan pembajaan tanaman boleh memastikan hasil keluaran yang lebih baik. Air yang digunakan yang dianggap "air mati" kalau dipasangkan peralatan yang boleh "menghidupkan" air tersebut, nescaya hasilnya akan lebih tinggi mutunya.

Perkara yang penting dalam rantaian nilai yang lebih tinggi ialah mutu. Produk pertanian wajar dibungkus dan ditandakan dengan kemas dan baik supaya kebersihannya sentiasa terjamin dan tidak terlambak seperti yang terdapat di Pasar Chow Kit. Keadaan pasar tersebut begitu kotor dan mengaibkan sebagai sebuah negara yang ingin berganjak kepada prasarana kelas satu.

Rantaian nilai bukan sahaja dikaitkan dengan pengeluaran di kilang sahaja tetapi membabitkan juga rantaian bekalan dan pengedaran (supply and distribution chain). Ertinya hubungan antara pengeluar dan pengguna mampu dikurangkan dengan penyusunan semula keseluruhan aktiviti yang membabitkan bekalan dan pengedaran supaya lebih cekap.

Keseluruhan aktiviti tersebut perlu dilihat dan di mana perlu orang tengah dikelolakan semula atau dimansuhkan sama sekali. Misalnya syarikat Federal Express (FedEx) begitu terkenal dengan sistem penyuraian mereka untuk menampung keperluan seluruh dunia. Begitu juga syarikat terkenal WalMart yang memiliki sistem bekalan dan pengedaran terbaik di kalangan syarikat-syarikat runcit. Kesemua anak Sam Walton, pengasas WalMart adalah bilionaire.

Bagi perusahaan pondok di kampung-kampung suatu revolusi berasaskan penyelidikan dan pembangunan secara berkelompok mampu memberikan input yang berguna kepada pengeluar. Agensi-agensi yang sedia ada seperti MARDI, FAMA boleh digabungkan dalam unit R&D tersebut supaya kepakaran yang ada boleh dikongsi bersama beberapa pengeluar.

Pokoknya, unit ini pergi keluar dan mencari (go out and seek) dan tidak menunggu pengeluar perusahaan pondok ini datang mencari mereka. Inilah konsep pemasaran yang boleh diamalkan oleh agensi-agensi kerajaan yang mempunyai peranan untuk meningkatkan lagi produktiviti negara.

Kedua mungkin ramai tidak terbayang apakah impak daripada pemasangan Sistem Jalur lebar Kelajuan Tinggi yang bernilai lebih RM11 bilion ke seluruh negara. Dengan meningkatnya penembusan jalur lebar daripada 27 peratus sekarang kepada sasaran 50 peratus tahun hadapan, pusat-pusat penyelidikan dan pembangunan di kampung-kampung bakal mendapat manfaat daripada pelbagai jenis maklumat yang boleh diakses.

Di sinilah selaku tanggungjawab sosial korporat, syarikat-syarikat milik kerajaan boleh sama-sama menaja pusat-pusat ini supaya terus berkembang dan berkesan kepada masyarakat.

Isnin, Oktober 19, 2009

Hari Malaysia

Isu ini sebenarnya dah lama diperdebatkan kat luar sana, cuma pemimpin atasan sebelum ini yang tutup telinga dan anggap tak penting untuk dijadikan antara hari yang sangat bermakna bagi rakyat Sarawak dan Sabah. Saya tak nak bincangkan apa yang diperdebatkan itu, apa yang nak saya utarakan kat sini adalah dari perspektif atau kaca mata saya sebagai salah seorang warga negeri Sarawak.

Malaysia takkan wujud tanpa penyertaan Sabah dan Sarawak, itulah realitinya. Kenapa Malaysia ditubuhkan boleh rujuk balik buku sejarah. Kalau Sabah dan Sarawak tak nak masuk Malaysia ketika itu pun, dua negeri ni masih boleh merdeka jugak macam negara Brunei tapi lambat sikitlah. Namun, kepuasan menjadi sebuah negara berdaulat tentunya lebih tinggi lagi dari menjadi sebuah negeri dibawah naungan Persekutuan Malaysia. Saya tak nak lanjutkan ulasan tentang perkara ni, takut nanti jadi provokasi pulak.

Sekurang-kurangnya dengan menjadikan hari Malaysia sebagai salah satu daripada tarikh penting dalam kalendar kemerdekaan negara, dapat memberi satu pengiktirafan kepada kedua negeri ini untuk membentuk sebuah negara yang berdaulat. Walau bagaimanapun, penyertaan dalam Malaysia tidaklah memadai sekiranya pembangunan dan kemajuan di negeri ini tidak seperti yang berlaku di semenanjung. Oleh sebab itu, dengan pemberian peruntukan yang besar kepada kedua buah negeri ini sejak kebelakangan ini adalah satu usaha yang sangat baik dari kepimpinan tertinggi negara.

Ada juga suara-suara sumbang dari forum dan blog yang dikendalikan dari kalangan rakan di semenanjung sehingga beranggapan rakyat negeri Sabah dan Sarawak terlalu bersifat kenegerian. Memang tidak dinafikan perkara itu memang wujud, namun perlu difahami juga tentang sejarah kedua-dua negeri ini sebelum menyertai Malaysia dan proses pembangunan dan kemajuan yang agak terpinggir selepas menyertai Malaysia. Tatkala di semenanjung pesat membangun dengan kemudahan jalan raya, bekalan air dan elektrik yang lengkap, di kedua-dua negeri ini masih lagi jauh ketinggalan dengan jaringan jalan raya yang terhad dan teruk, kawasan pedalaman pula masih lagi tidak mendapat bekalan air dan elektrik.

Tentu saja pemimpin-pemimpin atasan tidak mahu menjadi seperti Timor Timur yang dahulunya dibawah pemerintahan Republik Indonesia atau dahulunya perjuangan rakyat Acheh untuk mendapatkan kemerdekaan. Sebelum Acheh mendapat perhatian dan menerima banyak bantuan dan sokongan untuk pembangunan dan kemajuan ekonomi setempat, rakyatnya memberontak kerana tidak berpuas hati dengan kemunduran serta layanan yang tidak adil dari kerajaan pusat sedangkan kekayaan wilayah itu "disedut" untuk pembangunan kemajuan di wilayah pusat.

Pengajaran seperti ini patut dijadikan tauladan oleh pemimpin-pemimpin negara kita untuk memelihara hubungan dan menjalinkan persaudaraan yang lebih rapat melalui usaha 1Malaysia. Ia tidak seharusnya sekadar slogan tetapi perlu diterjemahkan melalui sokongan dan bantuan yang lebih adil untuk membangunkan ekonomi rakyat dan memajukan kemudahan-kemudahan di negeri ini setanding dengan negeri-negeri di semenanjung Malaysia. Kedua-dua negeri ini masih lagi mempunyai banyak sumber kekayaan semulajadi yang belum diterokai sepenuhnya. Seharusnya sumber-sumber ini perlu dijana bukan sahaja untuk memacu kemajuan ekonomi negara tetapi yang lebih penting dapat memberi manfaat kepada rakyat kedua-dua buah negeri.

Jika sebaliknya yang berlaku, ia akan dianggap secara negatif dan diambil kesempatan oleh pihak-pihak tertentu untuk memecahbelahkan perpaduan nasional. Perkara ini perlu dielakkan dan kerajaan pusat perlu mengambil langkah yang lebih proaktif untuk membantu kedua-dua buah negeri ini dalam proses pembangunan dan kemajuannya.

Terima kasih atas pengiktarafan Hari Malaysia, usaha murni yang lebih praktikal perlu banyak dilakukan secara berterusan selepas ini.

Sabtu, Oktober 10, 2009

Pelaburan Emas

MINGGU ini saya bercerita sedikit tentang emas sebagai pelaburan. Sebenarnya emas sudah menjadi bahan pelaburan sejak harganya mula-mula diselaraskan pada tahun 1717 oleh Sir Isaac Newton.

Pada tahun 1971, emas tidak lagi terikat dengan Dolar Amerika dan diperdagangkan secara bebas. Pada 6 Oktober 2009 baru-baru ini, harga emas di pasaran emas dunia melonjak sebanyak AS$24.60 kepada AS$1,041.80 seauns sehari.

Enam bulan dulu harga terendah emas ialah AS$868.70 dan setahun dulu harganya ialah AS$709.50 seauns. Dalam masa setahun harga emas naik sebanyak 46.8 peratus. Lima tahun dulu harga terendahnya ialah AS$412.10 iaitu kenaikan sebanyak 152.8 peratus.

Secara purata seseorang yang melabur jangka panjang mendapat pulangan purata dalam masa lima tahun sebanyak 30.5 peratus. Rasanya pelaburan di pasaran saham sendiri tidak boleh memperolehi keuntungan sebanyak itu.

Tidak ramai yang sedar akan pulangan yang lumayan daripada pelaburan emas. Cara yang baik untuk melabur emas ialah dengan membeli syiling emas atau emas keping selain barang kemas.

Untuk makluman, suatu auns bersamaan dengan 31.10 gram. Bagaimana pun harga jualan emas di institusi kewangan berbeza-beza kerana harga emas bukannya sesuatu yang terkawal.

Banyak kos perkhidmatan seperti insurans diambil kira oleh institusi-institusi ini. Syiling dan emas keping ini boleh diperolehi di bank-bank seperti Maybank dan OUB.

Ada juga yang menggunakan buku pas seperti Public Bank tetapi pelanggan tidak menyimpan dan melihat emas sebenarnya hanya jumlah dan harga semasa pembelian dimasukkan ke dalam buku pas.

Kini ada pembelian dan penjualan boleh juga dilakukan dengan Koperasi Etika Emas yang mempunyai cawangan di seluruh negara.

Kenaikan harga emas tertakluk lazimnya atas tiga faktor utama. Pertama penyusutan nilai dolar Amerika. Apabila nilai dolar Amerika susut harga emas akan naik, apabila dolar Amerika stabil harga emas akan susut.

Emas bertindak sebagai pelindung nilai menentang dolar Amerika. Pada masa ini dolar Amerika lemah dan menunjukkan tanda-tanda akan menjadi lebih lemah.

Ada juga ura-ura negara Asia Barat dan China akan menggunakan mata wang lain selain dolar Amerika disebabkan kelemahan dolar Amerika ini. Walaupun peralihan kepada mata wang selain dolar Amerika (euro misalnya atau mata wang bentuk baru) bukan sesuatu yang boleh berlaku dengan segera, berita itu telah cukup untuk melonjakkan harga emas dunia.

Faktor kedua ialah harga emas akan naik selari dengan kadar inflasi. Apabila inflasi naik, harga emas akan naik selaras dengan inflasi.

Dalam keadaan negara-negara di dunia termasuk kuasa-kuasa ekonomi besar menyuntik pakej rangsangan ekonomi dengan besar seperti AS$787 bilion pakej rangsangan Amerika Syarikat kesannya ialah peningkatan inflasi.

Amerika hanya mengecap duitnya sesuka hati dan ini akan menyebabkan nilai duitnya akan turun.

Faktor ketiga ialah kenaikan harga petroleum akan menyebabkan harga emas naik selari dengan kenaikan kos penghasilan dan penghantaran barangan, jika harga petroleum jatuh. dijangka emas juga akan turun tetapi pada tahap minimum.

Terdapat beberapa cara untuk melabur dalam bentuk emas dan diterangkan secara lengkap di dalam www.gold.org/value. Orang ramai boleh melabur secara langsung dengan membeli emas bulion (jongkong), syiling emas, dinar emas, atau secara tidak langsung melalui gold futures, options, waran atau sijil pelaburan.

Salah satu cara paling popular dan cepat berkembang dalam sekuriti bursa di seluruh dunia yang dikenali dengan nama Gold ETF (Exchange Traded Fund).

Antara bursa saham dunia yang menawarkan Gold ETF ialah di Australia, Amerika Syarikat, Perancis, Hong Kong, Jepun, Mexico, Afrika Selatan, Switzerland, Singapura, Turki dan United Kingdom. ETF ini dalam bentuk sekuriti dan disokong 100 peratus oleh emas secara fizikal.

Pelaburan secara ini berkembang dengan pesat sehingga 38 peratus daripada pelaburan yang dikenal pasti terdiri daripada sekuriti bentuk ini. Di sini belum ada lagi Gold Emas ini diperdagangkan di bursa kita.

Melihat pergolakan yang berlaku sekarang terutama sekali tergugatnya kedudukan Dolar Amerika ekoran krisis ekonomi yang berpunca di Amerika, daripada mereka dan merebak ke seluruh dunia. Orang ramai sudah tentu mencari sesuatu bentuk pelaburan yang lebih selamat daripada pergolakan harga.

DATO' SALLEH MAJID ialah bekas Presiden Bursa Saham Kuala Lumpur.

Ahad, Ogos 09, 2009

Contoh Model Ekonomi Baru

Agropolitan Pekan ubah nasib miskin tegar

"SAYA berharap projek ini akan mengubah nasib kami sekeluarga," tegas Yuni Muhammad, 51, ketika meluahkan kesyukuran kerana menjadi seorang daripada peserta Projek Agropolitan Pekan.

Ibu tunggal dari Kuala Pahang, Pekan itu berharap projek mega tersebut bakal memberi sinar baru kepada diri dan keluarganya.

Projek Agropolitan Pekan di Runchang, yang termasuk dalam pelan induk pembangunan Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECER) itu dilancarkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak, hari ini.

Bagi menjayakan projek tersebut, Yuni yang kematian suami sejak lima tahun lalu, sanggup berpindah ke penempatan baru. Pengorbanannya itu berlandaskan kepada harapan untuk menggapai impian ke arah sebuah kehidupan lebih baik.

Yuni yang ditemui baru-baru ini, merupakan seorang daripada 1,450 keluarga termasuk kalangan Orang Asli, yang bakal terlibat dalam projek berskala besar tersebut. Ia dilaksanakan oleh kerajaan dengan hasrat untuk mengangkat kehidupan penduduk miskin tegar di kawasan terbabit ke tahap lebih baik.

Wanita itu dan beberapa lagi peserta perintis projek itu telah diberikan latihan oleh beberapa agensi berkaitan, bagi mendedahkan mereka dengan pelbagai kemahiran mengenai selok-belok pelaksanaan projek tersebut.

Projek Agropolitan Pekan melibatkan kawasan seluas 1,825 hektar dengan kos keseluruhan dianggarkan RM90 juta.

Projek tersebut dilaksanakan melalui pembangunan serantau bersepadu, di mana 700 keluarga miskin tegar akan ditempatkan semula di kawasan baru di Tanjung Batu, Bebar dan Kubang Panjang di Lepar. Sementara 750 keluarga Orang Asli pula terlibat melalui pendekatan 'in-situ'.

Melalui projek tersebut, kerajaan berhasrat dapat mengubah kehidupan golongan miskin tegar dengan meningkatkan pendapatan isi rumah daripada RM360 kepada kira-kira RM1,500 sebulan.

Projek tersebut juga akan menjadi pemangkin kepada pertumbuhan ekonomi kawasan setempat dan Pahang amnya, apabila dijangka mewujudkan kira-kira 5,000 pekerjaan baru.

Selain itu, ia juga bertujuan meningkatkan aktiviti-aktiviti perniagaan mikro dan industri kecil sederhana (IKS) serta membina masyarakat berdikari dan berdaya saing atau kompetitif.

Sebenarnya, Projek Agropolitan Pekan merupakan satu daripada empat projek agropolitan dalam ECER, termasuk pembangunan Kelantan Utara dan Selatan dan Besut-Setiu di Terengganu.

Justeru, projek tersebut menggalakkan pembangunan pusat pertumbuhan di kawasan luar bandar serta mempercepatkan pertumbuhan ekonomi melalui aktiviti pertanian dan perladangan.

Pada masa sama, projek tersebut akan membantu mengimbangi pertumbuhan pembangunan antara kawasan bandar dan luar bandar, serta menyediakan pendapatan berterusan kepada keluarga miskin di wilayah ekonomi itu, seiring dengan hasrat kerajaan untuk membasmi kemiskinan tegar menjelang tahun 2010.

"Projek agropolitan ini merupakan model ekonomi baru yang akan mengukuhkan rangkaian nilai ekonomi melalui pelaksanaan kaedah bersepadu," kata Ketua Pegawai Eksekutif Majlis Pembangunan ECER, Datuk Jebasingam Issace John ketika taklimat kepada media baru-baru ini.

Beliau berkata, satu keunikan Projek Agropolitan Pekan ialah pelaksanaan aktiviti utama, sekunder dan sokongan untuk para pesertanya.

Di bawah projek ini katanya, perladangan kelapa sawit dan ternakan kambing biri-biri telah dikenal pasti sebagai aktiviti utama.

Ternakan kambing biri-biri di bawah projek itu dijangka menjadikan daerah Pekan sebagai pengeluar kambing biri-biri utama negara pada masa depan.

Justeru, bagi merealisasikan hasrat tersebut, sebanyak 1,000 ekor kambing biri-biri baka Dorper dari Australia telah dibawa masuk di bawah fasa pertama pada 23 Julai lalu dengan kos hampir RM2 juta.

Aktiviti sekunder projek ini pula antara lain membabitkan aktiviti hiliran berkaitan kelapa sawit dan penternakan kambing biri-biri serta industri sarang burung, jahitan, akuakultur, akuaponik dan penanaman cendawan.

Bagi memastikan peserta memperoleh lebih banyak pendapatan daripada aktiviti sokongan atau hiliran, maka beberapa pusat seperti pusat pengumpulan, pemprosesan dan pembungkusan, penyembelihan turut diwujudkan.

Untuk memastikan kejayaan projek tersebut, maka Felda telah diberi peranan sebagai agensi pelaksana utama dalam menguruskan para peserta dan aktiviti-aktiviti berkaitan.

Pemilihan Felda itu dirasakan tepat berdasarkan kepada rekod kejayaan agensi tersebut dalam membangun dan mengangkat kehidupan puluhan ribu warga peneroka Felda di seluruh negara sehingga mendapat pengiktirafan antarabangsa.

Sementara Majlis Pembangunan ECER (CERDC) pula akan bertindak sebagai fasilitator dan penyelaras keseluruhan projek bagi memastikan setiap pencapaian projek disiapkan mengikut rancangan.

Selain Felda, agensi kerajaan lain yang terlibat termasuk Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI) yang turut berperanan dalam melatih dan membimbing para peserta.

Apa yang pasti, pelaksanaan Projek Agropolitan Pekan membuktikan komitmen tinggi kerajaan di bawah konsep 1Malaysia, bagi mengubah nasib penduduk luar bandar tanpa mengira latar belakang dan kaum.

Justeru apa yang diharapkan, peserta dapat berubah minda mereka untuk mengubah nasib dan mempunyai motivasi untuk terlibat secara total dalam projek ini.

(Sumber : Utusan Malaysia Online)

Jumaat, Julai 31, 2009

Menyemarak Tradisi Ilmu Sains

Namun begitu adakah ilmu-ilmu yang baru diterokai manusia itu telah menjejaki dasarnya iaitu berkembang kepada semua golongan dan lapisan masyarakat? Adakah masyarakat mampu memahami perkembangan ilmu tersebut?

Oleh NORKUMALA AWANG


IQRA' yang membawa maksud "bacalah" merupakan wahyu pertama yang diturunkan kepada Nabi Muhammad SAW. Pengembangan ilmu bermula daripada peristiwa turunnya wahyu berkenaan.

Fungsi al-Quran sebagai kitab rujukan segala bentuk ilmu telah dimaklumi. Justeru, pengambilan iktibar daripada al-Quran seharusnya disemarakkan sejajar dengan perkembangan tradisi ilmu.

Terdapat ayat-ayat khusus di dalam al-Quran yang menggambarkan penciptaan alam, keagungan Allah SWT mengatur dan mentadbir sistem bintang dan planet, kejadian manusia dan makhluk lain di atas muka bumi dan pelbagai lagi ciptaan Allah yang kini cuba diterokai oleh manusia.

Namun begitu adakah ilmu-ilmu yang baru diterokai manusia itu telah menjejaki dasarnya iaitu berkembang kepada semua golongan dan lapisan masyarakat? Adakah masyarakat mampu memahami perkembangan ilmu tersebut?

Sekiranya sesuatu ilmu itu hanya berlegar-legar di kalangan golongan tertentu sahaja maka ia bermakna tradisi ilmu belum dapat dikembang dan disemarakkan lagi.

Justeru bagaimana untuk mengoptimumkan sesuatu ilmu tersebut?

Bidang sains kadang kala mempunyai satu stigma bahawa ia terlalu sukar dan tidak mudah difahami oleh "bukan orang sains". Justeru, sains perlu dimasyarakatkan segera. Usaha penyampaian ilmu dan pembudayaan sains perlu diberi nafas baru.

Biarpun masyarakat sering dimomokkan bahawa sains memudahkan kehidupan namun tiada apa-apa makna jika mereka sendiri tidak mengetahui sesuatu ilmu dapat diaplikasikan dan dijadikan teras dalam kehidupan mereka.

Bagaimana untuk memasyarakatkan sains agar pembudayaan ilmu terus dipupuk dalam masyarakat? Jawapannya ialah melalui penulisan dan pembacaan.

Namun jika tiada penulisan, apakah yang boleh dijadikan bahan bacaan? Justeru, usaha memasyarakatkan sains mesti melalui penulisan atau karya-karya sains yang dapat difahami dengan mudah oleh semua lapisan masyarakat.

Karya saintifik bukan hanya untuk mereka yang berada dalam ruang lingkup sains tetapi boleh disampaikan dalam bentuk mudah kepada masyarakat.

Bagaimanapun, yang menjadi kekangannya ialah sikap sesetengah penulis yang lebih suka menghasilkan karya atau artikel untuk golongan tertentu sahaja.

Maka ilmu belum dapat dikembang luas dan disemarakkan lagi dalam erti kata yang sebenarnya. Jadi, situasi ini menyebabkan kurangnya bahan bacaan berbentuk sains dalam masyarakat kita.

Begitu juga dengan isu yang berunsurkan motif keuntungan. Ramai di antara penerbit yang cenderung untuk menerbitkan buku-buku teks atau buku panduan kerana keuntungan yang tinggi dengan sedikit pelaburan.

Tetapi kesannya tidak ke mana kerana ia hanya bermatlamatkan tidak lebih daripada untuk lulus peperiksaan atau mencapai kejayaan dalam sesetengah keadaan.

Tetapi bagaimana untuk mempertingkatkan ilmu dan menyemarakkan tradisi ilmu? Di sinilah wujudnya lompangan dalam masyarakat kita.

Masyarakat tidak minat membaca atau mencari ilmu kerana tiada bahan bacaan khusus berbentuk ilmiah disampaikan secara santai. Sedangkan ilmu boleh didapati dengan lebih mudah melalui pembacaan.

Oleh itu, strategi yang berkesan perlu dilaksanakan bagi mencapai matlamat tersebut seperti mewujudkan hubungan antara penulis, penerbit dan pemasaran.

Jaringan kerja dan perkongsian pintar antara pusat penyelidikan, institusi dan agensi kerajaan serta penerbit juga perlu ditingkatkan dalam kegiatan penulisan, penterjemahan dan penerbitan.

Melalui kerjasama inilah, kepakaran, sumber kewangan, masa dan usaha dapat digembleng dengan lebih berkesan dalam menghasilkan penerbitan atau karya ilmiah yang memikat hati masyarakat untuk membudayakan ilmu.

Juga perlu dijana usaha meningkatkan kesedaran di kalangan pemimpin, teknokrat, sarjana dan profesional bahawa penguasaan, penghayatan dan penyebaran ilmu serta menggunakan ilmu adalah teras bagi kelangsungan sesuatu bangsa dan negara.

Begitu juga dengan usaha memindahkan teknologi melalui latihan dan pendidikan serta menterjemahkan karya ilmu daripada bahasa asing, menerbit dan menyebarkannya kepada khalayak tempatan. Ia akan memperkayakan pemikiran dan pengalaman serta menyediakan banyak pilihan bahan bacaan kepada masyarakat.

Usaha-usaha sebegini diyakini mampu memasyarakatkan sains agar ilmu dapat disemarakkan bukannya bersifat jumud dan tidak dinamik.

Walaupun ia memerlukan sedikit usaha daripada golongan tersebut dalam memasyarakatkan ilmu sains, namun ia dianggap sebagai satu cabaran dalam menyampaikan ilmu Allah kepada orang ramai dengan hanya mengeksploitasi sumber yang ada selaras dengan tuntutan agama untuk dijadikan santapan minda masyarakat awam.

Oleh itu, kerjasama padu semua pihak diperlukan agar tradisi ilmu terus disemarakkan dengan gemilang seperti mana gagasan tamadun Islam dahulu yang ramai melahirkan tokoh-tokoh ilmuwan Islam yang unggul.

PENULIS ialah Pegawai Penyelidik
Pusat Sains dan Teknologi,
Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM)

Khamis, Julai 23, 2009

Sekolah, Keusahawan Sosial, Perpaduan Kaum

SEPANJANG tiga minggu lepas saya melawat tujuh buah sekolah di sekitar England. Lawatan itu adalah untuk memenuhi sebahagian daripada kajian mengenai bagaimana sekolah boleh menjana dana tambahan dengan menggunakan model keusahawanan sosial.

Saya amat kagum dengan sebuah sekolah di Burnley, sebuah bandar kecil yang agak miskin di utara England. Perlombongan arang batu dan sektor pembuatan pernah menjadi industri utama di situ. Tetapi apabila lombong terakhir ditutup pada 1981 dan kilang tayar Michelin ditutup pada 2002, ekonomi Burnley mula merudum. Sehingga kini situasi ekonominya belum pulih sepenuhnya.

Pada 2001, berlaku rusuhan antara kaum di Burnley. Pelbagai faktor menyumbang kepada rusuhan tersebut. Kemiskinan dan situasi ekonomi yang tidak stabil menyemarakkan rasa dendam antara kaum. Ia juga menyebabkan gejala penyalahgunaan dadah serta kegiatan jenayah lain menjadi berleluasa. Akhirnya tercetus rusuhan.

Sehingga kini sikap perkauman masih lagi boleh dirasakan dalam politik setempat. Burnley mempunyai empat ahli majlis perbandaran dari Parti Kebangsaan Britain (British National Party - BNP), sebuah parti nasionalis fasis yang memperjuangkan kepentingan kulit putih.

Sekolah yang saya lawati itu terletak beberapa minit sahaja dari tempat berlakunya rusuhan 2001. Bagaimanapun uniknya, sekolah itu dengan sendiri mengambil inisiatif untuk menjadi pemangkin kepada hubungan antara kaum yang lebih baik.

Semasa tiba, jelas kelihatan betapa bangunan dan persekitaran sekolah itu dibina dengan satu visi yang jelas untuk melaksanakan konsep pendidikan berintegrasi.

Dalam perkarangan kampus itu, terdapat empat buah sekolah, sebuah pusat keagamaan dan sebuah perpustakaan awam. Sekolah tadika, sekolah untuk kanak-kanak istimewa, sekolah rendah dan sekolah menengah untuk pelajar A-Level yang terletak di situ semuanya mempunyai pentadbiran dan guru besar sendiri.

Perpustakaan awam pula dimiliki oleh kerajaan tempatan dan dibuka kepada umum. Sementara pusat keagamaan dijalankan oleh sebuah pertubuhan sukarela dan turut menyediakan kemudahan untuk solat Jumaat.

Bagaimanapun, bantuan kerajaan tidak cukup untuk kegiatan kemasyarakatan bagi menyumbang ke arah perpaduan. Namun oleh kerana keempat-empat guru besar di situ bertekad untuk melaksanakan usaha tersebut, maka mereka berpakat untuk menubuhkan sebuah syarikat keusahawanan sosial.

Syarikat tersebut berdaftar dengan suruhanjaya syarikat dan kini mempunyai 23 pekerja. Guru-guru besar di sekolah di dalam kampus itu menjadi pengarah syarikat berkenaan.

Perniagaan utama syarikat keusahawanan sosial itu ialah menyewakan ruang dan kemudahan sekolah kepada penduduk, syarikat korporat, serta badan bukan kerajaan.

Sebagai sebuah sekolah, mereka turut mempunyai padang dan kemudahan sukan yang turut disewakan. Selain itu, mereka juga menjalankan perusahaan kafeteria dan katering serta percetakan.

Dalam kata lain, syarikat keusahawanan sosial tersebut berfungsi sebagai sebuah perniagaan pengurusan fasiliti yang menguruskan semua aktiviti perniagaan bagi pihak sekolah.

Perniagaan begitu berjaya sehingga mereka menjangka modal pusingan tahun ini akan mencecah RM750,000 manakala keuntungan pula dijangka sekitar RM230,000.

Sebagai sebuah syarikat keusahawanan sosial, semua keuntungan disalurkan kembali untuk mencapai matlamat sosial iaitu membiayai kegiatan kemasyarakatan dan perpaduan kaum.

Syarikat keusahawanan sosial itu berjaya memecahkan tembok yang memisahkan antara kaum.

Kesungguhan pentadbir di sekolah-sekolah itu menyumbang ke arah perpaduan di Burnley memang terbukti. Mereka bersungguhsungguh menjana wang untuk membiayai usaha tanpa perlu mengharap peruntukan kerajaan.

Apabila saya tanya kenapa mereka tidak memohon peruntukan, seorang daripada guru besar itu menjawab: mereka bebas membelanjakan wang tanpa terikat dengan apa-apa agenda politik sekiranya mencari wang sendiri.

Apa yang unik ialah kreativiti dan komitmen mereka sehingga sanggup menubuhkan syarikat dan berusaha memaksimumkan keuntungan, semata-mata untuk membiayai aktiviti sosial.

Bukan itu sahaja. Melalui syarikat keusahawanan sosial itu juga mereka mencipta peluang latihan kerjaya bagi pelajar yang lebih dewasa. Pelajar A-Level, atau sama dengan Tingkatan Enam di Malaysia, diberi peluang untuk bekerja sambilan di perpustakaan, pusat keagamaan, kafeteria, syarikat katering dan juga di kedai percetakan.

Pelajar berkenaan juga diberi peluang untuk menjadi tenaga pekerja sambilan di tadika atau di sekolah kanak-kanak istimewa, sekiranya mereka berminat untuk menceburi bidang pendidikan.

Semua ini boleh dilakukan di kampus sekolah itu kerana perancangan yang rapi sejak awal-awal lagi. Pembinaan sekolah itu dirancang dengan teliti agar semuanya berada di bawah "satu bumbung" dan kemudahan yang ada dikongsi bersama.

Pengalaman melawat sekolah di Burnley ini memperkukuh keyakinan saya bahawa model keusahawanan sosial mempunyai potensi besar untuk negara kita.

Jika di Burnley yang miskin itu pun para pentadbir sekolah biasa sahaja boleh memainkan peranan mereka, maka pasti ada sesuatu yang boleh dilakukan oleh kita di Malaysia jika kita betul-betul mahu mencapai matlamat Satu Malaysia.

Wan Saiful Wan Jan ialah Ketua Pengarah Malaysia Think Tank (www.WauBebas.org) yang kini bertugas di London. Beliau boleh dihubungi melalui email wansaiful@malaysiathinktank.org.

Khamis, Julai 16, 2009

Didik Anak Menjiwai Ilmu

Ilmu itu sebenarnya perlu dicari, dipelajari dan dihayati secara istiqamah. Bak kata pujangga, "gersang bumi tanpa hujan, gersang minda tanpa ilmu, gersang jiwa tanpa amal, gersang hati tanpa iman".

DALAM sistem pendidikan negara, anak-anak telah mula mempunyai chemistry atau hubungan dengan institusi pendidikan seawal usia empat tahun. Lazimnya, mereka dihantar ke taman asuhan seterusnya ke sekolah. Lengkap dengan buku dan alat tulis serta pakaian seragam serta mengikuti sesi persekolahan selama enam atau tujuh jam sehari.

Itu belum termasuk jadual pendidikan sampingan anak-anak, seperti kelas tuisyen, kelas agama dan mengaji al-Quran atau kegiatan ko-kurikulum.

Kehidupan seharian anak-anak yang diprogramkan sebegini rupa menunjukkan kepentingan budaya menimba ilmu. Ia penting dalam membentuk manusia yang seimbang nilai rohani, jasmani, emosi dan intelektualnya. Namun, ada anak-anak yang tidak melihatnya sebagai sesuatu yang memberikan makna yang besar, sekadar suatu rutin yang disusun atur oleh ibu bapa.

Pergi ke sekolah dan menuntut ilmu sepatutnya bukan sekadar rutin kepada persepsi anak-anak. Ia perlu dilihat sebagai kewajipan ke atas orang Islam. Ia bertepatan dengan sabda Rasulullah SAW iaitu "menuntut ilmu itu wajib bagi setiap Muslim."

Anak-anak perlu difahamkan bahawa menuntut ilmu juga diandaikan seperti berjihad ke jalan Allah seperti hadis: "Barang siapa keluar untuk mencari ilmu maka ia berada di jalan Allah sampailah ia kembali" (riwayat al-Tirmizi).

Sebagai ibu bapa pasti ada antara kita yang pernah diajukan persoalan oleh anak-anak seperti: "Ayah, kenapa saya perlu ke sekolah setiap hari?" atau "Ibu, apa perlunya saya belajar bersungguh-sungguh?"

Apa pula agaknya jawapan yang sesuai untuk diberikan? Adakah mencukupi atau tepat dengan mengatakan kepada anak-anak bahawa: "Kamu mesti belajar untuk lulus peperiksaan dengan cemerlang" atau "Kalau nak jadi orang yang ada kerja yang elok dan banyak duit, kenalah pergi ke sekolah dan belajar rajin-rajin."

Jawapan seperti ini ditafsir sesetengah orang sebagai kurang tepat. Ia menzahirkan trend dalam kalangan ibu bapa yang nampaknya bersungguh-sungguh mendidik anak-anak melangkahkan kakinya ke sekolah dengan hanya bermatlamatkan kecemerlangan dalam peperiksaan atau sebagai batu loncatan untuk mendapat kerja.

Bila anak-anak disemai dengan budaya terlalu mengejar kedudukan nombor satu dalam kelas atau deretan 'A' semaksimum mungkin, ia menjadikan mereka mengejar tanda aras (bench mark) tersebut dan tidak berfikir untuk meraih lebih jauh daripada itu.

Banyak impak negatif jika usaha mencari ilmu itu tidak diiringi dengan amalan. Antaranya, anak-anak akan terfokus untuk mengejar objektif yang ditetapkan oleh ibu bapa dan tertekan apabila ia tidak menjadi kenyataan.

Rasa takut dan rendah diri akan wujud jika nombor dalam kelas atau keputusan peperiksaan yang diidamkan oleh ibu bapa tidak dicapai. Akan wujud jugalah situasi di mana sesetengah anak yang "kurang berjaya daripada segi akademik" disisih dan dipandang rendah oleh ibu bapa, keluarga dan masyarakat.

Mereka kemudiannya mencari jalan singkat dalam memujuk diri yang dicap 'kurang bijak' dengan terbabit dalam gejala-gejala negatif seperti merokok, melepak, vandalisme, menagih dadah bahkan membunuh diri.

Hakikatnya, gagal dalam peperiksaan bukanlah bererti mereka sudah tewas dan tidak akan mampu mengharungi cabaran kehidupan di masa mendatang.

Bagi sesetengah anak yang berjaya pula, ilmu yang ditimba itu tidak diamalkan sebaiknya bahkan ia begitu rapuh hilang daripada ingatan selepas berakhirnya peperiksaan atau pengajian. Semudah hilangnya nota-nota atau buku-buku rujukan dari pandangan mata.

Mungkin juga gejala-gejala seperti merasuah dan pecah amanah berlaku disebabkan kedangkalan ilmu atau hanya kelihatan pandai tetapi tidak beramal dengan ilmunya.

Inilah antara senario yang biasa berlaku dalam masyarakat kita. Roh ilmu itu tidak benar-benar meresap di dalam diri sejak kecil, kerana ilmu pengetahuan dicari bersandarkan matlamat-matlamat yang orientasinya kurang tepat - tetapi tidak salah.

Ilmu itu sebenarnya perlu dicari, dipelajari dan dihayati secara istiqamah. Bak kata pujangga, "gersang bumi tanpa hujan, gersang minda tanpa ilmu, gersang jiwa tanpa amal, gersang hati tanpa iman".

Sejak kecil lagi, anak-anak perlu dididik bahawa ilmu pengetahuan bukan hanya untuk dicari dan dipelajari, bahkan ia diamal dan diniatkan kerana Allah SWT. Menurut perspektif Islam, dengan cara itu dapat meningkatkan darjat hidup manusia di dunia dan akhirat.

Ibu bapa sebagai role model yang paling rapat dengan anak-anak wajar memberikan misalan terbaik dalam mendasari kaedah mengamalkan ilmu.

Cara paling mudah adalah untuk menunjukkan minat dan sokongan padu terhadap anak-anak. Contohnya, mengambil berat keperluan dan perkembangan pelajaran mereka dengan meluangkan masa membantu atau bertanyakan kerja rumah yang diberikan guru. Selain itu, mereka juga boleh dinasihati agar memelihara kemurnian ilmu untuk kebaikan di dunia dan akhirat.

Dalam hal beramal misalnya, ibu bapa boleh mengajak anak-anak mengerjakan solat pada awal waktu, tidak culas melaksanakan puasa sunat serta bertadarus bersama-sama. Ini merupakan contoh kaedah pengamalan ilmu yang diperoleh secara hands-on atau praktis secara langsung. Barulah ilmu itu tepat dengan sasaran "dari mata turun ke hati, lalu kekal tersemat di dalam jiwa dan pemikiran."

Dalam hal moral dan tatasusila, ibu bapa wajar menunjukkan contoh pekerti mulia seperti tidak merokok, menjaga percakapan daripada mengumpat atau menutur kata-kata kesat, menjaga adab-adab berjiran, dan sebagainya.

Dengan cara ini, anak-anak akan lebih jelas bahawa ibu bapanya tidak menunjukkan tindak-tanduk yang kontra dengan apa yang dipelajari di sekolah.

Kaedah-kaedah yang dicadangkan sebenarnya tidak sesukar mana dan memerlukan komitmen yang berterusan daripada ibu bapa.

Pokok pangkalnya, sekelumit contoh yang diberikan penulis di atas adalah diyakini mampu menjadi pencetus yang signifikan dalam menceritakan kepentingan mengamalkan ilmu kepada anak-anak.

Ia mampu menjadi pencetus terbaik bagi mereka menjiwai bidang-bidang ilmu yang akan diterokainya kelak bahkan memberikan pulangan lebih lumayan dan terkesan dalam membangunkan martabat anak-anak, ibu bapa, masyarakat, agama dan negara.

(PENULIS ialah Pensyarah di Fakulti Kepimpinan dan Pengurusan, Universiti Sains Islam Malaysia)

Hasilkan Rakyat Berfikir & Berguna

Sistem pendidikan kita hendaklah bertujuan menghasilkan para graduan yang bukan hanya boleh bekerja, tetapi lebih penting, boleh berfikir secara kreatif dan kritikal.

Oleh KASSIM AHMAD


DALAM masyarakat kita ada tiga aliran fikiran berhubungan dengan tamadun Barat: tolak keseluruhan, terima keseluruhan dan yang kritikal iaitu terima yang baik dan tolak yang buruk.

Nyatalah, mereka yang menganjurkan Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam bahasa Inggeris (PPSMI) tergolong dalam aliran kedua. Bagi menyelesaikan masalah ini dengan betul, kita tidak boleh bergantung semata-mata kepada pandangan orang ramai kerana ini soal kebenaran.

Soalan pokok yang mesti kita jawab ialah: "Apakah bentuk negara Malaysia ini? Adakah kita sebuah negara-bangsa yang merdeka dan berdaulat dengan sebuah wilayah, bahasa kebangsaan, sejarah, ekonomi dan budaya yang bersifat khusus (kerana ciri-ciri kebangsaan yang tersebut) dan, pada masa yang sama, universal (kerana kita sebahagian dari dunia global)?

Atau kita hanya sebuah wilayah tanpa ciri-ciri kebangsaan dari dunia global yang dikuasai oleh kuasa besar Anglo-Amerika dengan bahasa Inggeris sebagai bahasa rasminya?

Perpecahan di kalangan rakyat kita tentang perkara ini membuktikan bahawa kita masih tidak pasti tentang perkara ini. Pas umpamanya menolak faham kebangsaan, kerana kononnya bersalahan dengan ajaran Islam.

DAP pula hanya menerima Malaysia yang dicipta oleh Inggeris. Bagi mereka, Kesultanan Melayu Melaka, alam Melayu atau Nusantara dan dunia Islam yang ada hubungan integral dengan Malaysia tidak wujud.

Tetapi, nyatalah kita sebuah negara-bangsa Malaysia yang merdeka dan berdaulat dengan misi dan hak untuk membangunkan tamadun atau subtamadun kita sendiri dalam sebuah dunia global yang mengiktiraf hak nasional itu.

Kalangan yang menganjurkan dua mata pelajaran ini diajar dalam bahasa Inggeris mengandaikan bahawa bahasa kebangsaan kita tidak boleh menjadi bahasa ilmu dalam sains dan matematik. Implikasi daripada pendirian ini ialah bahasa kebangsaan tidak boleh menjadi bahasa ilmu dalam semua bidang, kerana ia tidak boleh menyamai apalagi menandingi bahasa Inggeris.

Nyatalah fikiran ini sama sekali tidak logik, kerana kedudukan bahasa Inggeris yang utama sekarang bukan kerana bahasa itu, tetapi kerana kreativiti bangsa Anglo-Amerika yang memakai bahasa Inggeris yang telah menjadi lingua franca dunia.

Kita harus ingat bahawa sebelum bahasa Inggeris mencapai taraf ini, bahasa-bahasa lain termasuk bahasa Yunani, Latin dan Arab, memainkan peranan sebagai bahasa ilmu dunia.

Implikasinya, bahasa Inggeris tidak akan terus memainkan peranan ini pada masa depan. Kita harus berfikir secara wajar dalam hal ini. Pertama, kita mahu membangunkan tamadun bangsa Malaysia kita sendiri. Ini mesti termasuk mengembangkan ilmu kita dalam sains dan matematik, yakni menjadikan bahasa kebangsaan kita bahasa ilmu dalam kedua-dua subjek ini. Alasan bahawa kita tidak cukup buku dalam kedua-dua mata pelajaran ini tidak boleh dipakai.

Kedua, kita juga mahu rakyat kita pandai dalam bahasa Inggeris untuk berinteraksi dengan dunia dan untuk mendapat manfaat dari gedung ilmu yang terdapat dalam bahasa Inggeris. Bukan pandai dalam bahasa Inggeris sahaja tetapi kita mahu ada sebilangan rakyat kita yang pandai dalam bahasa-bahasa antarabangsa lain seperti Perancis, Jerman, Belanda, Jepun, Rusia, Arab, Mandarin, Tamil dan lain-lain.

Namun, dalam banyak bahasa antarabangsa ini, kita mahu bahasa Inggeris diberi keutamaan oleh kerana keluasan kegunaannya di arena antarabangsa dan kerana gedung ilmu yang terdapat di dalamnya.

Kita harus mengambil langkah-langkah untuk membaiki pengajaran bahasa Inggeris dalam sistem pendidikan kita. Di atas dua tonggak ini, kita bina sistem pendidikan kita. Di sini mungkin ada banyak perkara yang harus diperbaiki.

Pertama, pengajaran bahasa kebangsaan dan bahasa-bahasa ibunda bagi tiga tahun pertama persekolahan. Tujuannya jelas. Kita mahu letak asas kebangsaan kita pada satu tempat yang cukup kukuh. Jika asas ini tidak kukuh, kita tidak boleh berkembang menjadi sebuah negara-bangsa Malaysia yang merdeka dan berdaulat.

Kedua, pengajaran bahasa Inggeris bermula pada tahun keempat. Mutu pengajarannya mesti diperbaiki, seperti mengadakan guru-guru yang mahir dan memakai kaedah pengajaran yang lebih baik.

Ketiga, anak-anak kita jangan diajar dengan kaedah menghafal. Ini tidak akan membangunkan daya kreatifnya.

Sistem pendidikan kita hendaklah bertujuan menghasilkan para graduan yang bukan hanya boleh bekerja, tetapi lebih penting, boleh berfikir secara kreatif dan kritikal.

Inilah yang perlu untuk membangunkan tamadun kita, bukan bahasa Inggeris.

Keempat, suatu sistem pengajaran bahasa-bahasa antarabangsa yang lain perlu diwujudkan, supaya pelajar kita yang ingin melanjutkan pelajaran atau memilih kerjaya mereka seperti bidang-bidang kesarjanaan atau diplomatik, boleh memperoleh manfaat daripada sistem ini.

Kelima, satu sistem pemberian biasiswa kepada murid-murid yang mencapai kecemerlangan tanpa mengira kedudukan kewangan ibu bapa mereka. Begitu juga kepada murid-murid yang mencapai kecemerlangan tetapi tidak mampu untuk melanjutkan pelajaran tanpa biasiswa.

Tidak kira kita dari suku kaum apa dan tidak kira kita dari masyarakat bandar atau luar-bandar, sistem pendidikan kita mestilah bertujuan menghasilkan rakyat yang berfikir, baik dan berguna.

Para pemimpin kita hendaklah berani membuat dasar berdasarkan prinsip, bukan berdasarkan kemudahan. Kritikan yang sihat untuk kebaikan mestilah dipraktikkan dalam semua institusi kita sama ada di Parlimen, Kabinet dan lain-lain.

Adakah ini mustahil bagi kita? Jawabnya tidak ada yang mustahil. Apa yang kita mahu, kita buat.

Selasa, Julai 07, 2009

Membudayakan GOOGLE dikalangan generasi Y

PENGGUNAAN teknologi yang salah akan mengundang kelahiran generasi masa hadapan yang hanya berminat dengan hiburan semata-mata dan langsung tidak menitik beratkan pembudayaan ilmu.

Feriz Omar
utusan.feriz@gmail.com


PENGGUNAAN teknologi yang salah akan mengundang kelahiran generasi masa hadapan yang hanya berminat dengan hiburan semata-mata dan langsung tidak menitik beratkan pembudayaan ilmu.

Sebelum luka menjadi nanah, sebelum nasi menjadi bubur adalah suatu tanggungjawab generasi X selaku generasi semasa untuk memberi input positif kepada generasi Y melalui pelbagai dorongan sihat agar mereka dapat membudayakan penggunaan teknologi untuk menggali ilmu pengetahuan.

Sesungguhnya, pembangunan dunia semakin pesat dan arus kemodenan memungkinkan teknologi baru dicipta hampir setiap ketika sehinggakan ada kalanya alam maya mula terasa sempit.

Membicarakan mengenai dunia teknologi maklumat dan komunikasi (ICT), sudah pasti pemikiran kumpulan-kumpulan perintis 'dunia tanpa sempadan' yang mencetuskan kelahiran world wide web (www) pada era akhir 1980-an dan awal 1990-an barang kali tidak menjangka pencapaian luar biasa dunia ICT pada hari ini. Setelah hampir tiga dekad berlalu, dunia teknologi kini ternyata sudah mencapai suatu dimensi baru.

Daripada hanya telefon ATUR, sambungan internet kaedah dial up, permainan konsol dan laman-laman web yang statik lagi membosankan, industri ICT berevolusi kepada telefon bimbit yang mempunyai kapasiti melayari internet, sambungan internet jalur lebar, permainan konsol 3D dan kini laman web multi fungsi (Web 2.0) seperti paparan berita terkini, forum, blog, perkumpulan komuniti atas talian dan komunikasi video.

Bagi kumpulan generasi Y yang merangkumi kumpulan anak muda 18 tahun ke bawah, jargon seperti Yahoo Messenger, Blogspot, Twitter, MySpace, Spacebook, PS3 dan XBox barang kali bukan lagi sesuatu yang asing.

Tak keterlaluan jika dikatakan, elemen-elemen sebegini bagai 'santapan' harian anak-anak pasca abad ke-21. Melihat dari suatu sudut negatifnya, kita khuatir jika fenomena teknologi yang bertali arus ini menjadi tanpa kawalan lantaran melalaikan dan akhirnya, memudarat anak bangsa kita.

Manfaatkan Teknologi Ke arah Kebaikan

Pengalaman saya semasa mengendalikan program motivasi PMR di salah sebuah sekolah menengah di Putrajaya pada Khamis, 2 Julai lalu seakan-akan mengiakan keresahan saya.

Daripada penyelidikan dan pemantauan, kami dapati hampir 90 peratus pelajar memiliki telefon mudah alih sendiri. Rata-ratanya pula cenderung ke arah perisian permainan PSP dan PS3 terkini serta 'ketagihan' aplikasi Web 2.0 seperti Facebook dan Friendster.

Statistik pula menunjukkan keputusan peperiksaan penggal kedua menjunam berbanding dengan keputusan peperiksaan penggal sebelumnya. Ia cuma bagi sekumpulan pelajar dari sebuah sekolah sahaja. Bagaimana agaknya jika diambil kira sekolah-sekolah yang lain?

Justeru, saya berharap langkah Kementerian Pelajaran menggubal sistem pembelajaran negara tidak akan melupakan saranan agar perkembangan teknologi terkini diterap penggunaannya kepada pelajar-pelajar dalam cara yang positif iaitu mengundang kepada pemantapan dan pembudayaan ilmu.

Teknologi sekiranya sekadar diaplikasikan untuk berhibur, tentulah tidak berfaedah. Sepatutnya, budaya menggunakan internet bagi tujuan meng'google' ilmu pengetahuan dan maklumat terkini perlu diutamakan.

Dengan jutaan laman web membanjiri dunia maya, teknologi perlu dipergunakan semaksimum mungkin untuk kebaikan, menggali ilmu dan informasi terkini di serata dunia.

Dalam hal ini, kemampuan bahasa Inggeris pelajar juga dapat ditingkatkan. Walaupun pembelajaran bahasa Inggeris melalui penggunaan internet adalah kaedah pembelajaran yang dikira 'santai', namun ia tidak boleh dianggap sebagai rutin 'kebiasaan' sehingga menjadikan generasi Y 'ketagih' dan sanggup memberontak jika keinginan mereka untuk berinternet tidak diturutkan.

Seperkara lagi yang tidak boleh diabaikan adalah apabila internet disalah gunakan untuk meng-Google maklumat yang sesat lagi terpesong.

Justeru, pemantauan ibu bapa dituntut untuk mendorong penggunaan Internet secara betul dan tepat.

Perluaskan Jalur Lebar dan Wujudkan 'Sedikit Sempadan'

Kerajaan, di sebalik istilah dunia tanpa sempadan, mungkin boleh menilai kaedah untuk mewujudkan 'sedikit sempadan' dalam sistem perkhidmatan jalur lebar negara supaya generasi Y tidak mudah terdedah kepada perkongsian maklumat yang salah.

Natijah sebenar untuk melahirkan generasi kaya ilmu pengetahuan mungkin tidak akan dapat direalisasikan jika teknologi tidak sampai ke semua peringkat. Masalah kekangan kewangan ternyata masih wujud dan terus menghalang anak-anak luar bandar mengecapi perkembangan informasi terkini berbanding teman-teman di bandar.

Bagi yang mampu memiliki perkhidmatan jalur lebar mudah alih seperti perkhidmatan Celcom dan Maxis Broadband ada kalanya berhadapan dengan keterbatasan capaian perhubungan kerana tiada pencawang talian bukan sahaja di luar bandar malahan juga di sesetengah kawasan di dalam bandar.

Untuk mengatasi isu ini, kerajaan perlu menimbangkan secara serius cadangan yang sudah pun dilaksanakan di beberapa negara asing seperti Amerika Syarikat dan Eropah yang menggunakan laluan elektrik sebagai sumber capaian internet jalur lebar.

Sudah pasti kos penggunaan jalur lebar melalui laluan elektrik ini tidak perlu terlalu tinggi agar masyarakat luar bandar yang kurang berkemampuan tidak ketinggalan.

Insya-Allah, dengan sedikit pemantauan dan galakan sihat, adalah tidak mustahil untuk kita mengecapi cita-cita murni bgi melahirkan generasi baru yang membudayakan ilmu melalui teknologi ICT.

FERIZ OMAR ialah Presiden Pertubuhan Profesional Melayu & Pewaris Bangsa (ProWaris).

Selasa, Jun 16, 2009

2 Photos After Collision & b4 Death : Air France



So Tragic

Hi All,

Yesterday the world saw the disappearance of an A330 Air France during a trans Atlantic flight between Rio to Paris . Very ironic that a day before I got a mail of the photos taken a a passenger on a flight mins after a mid air collision, and mins before the crash of the said aircraft

Two shots taken inside the plane before it crashed. Unbelievable! Photos taken inside the GOL B 737 aircraft that was involved in a mid air collision and crashed.....

A B737 had a mid air collision with the Embraer Legacy while cruising at 35,000 feet over South America . The Embraer Legacy, though seriously damaged with the winglet ripped off, managed to make a landing at a nearby airstrip in the midst of the Amazon jungle. The crew and passengers of the Embraer Legacy had no idea what they had hit. The B737
however crashed, killing all crew and passengers on board.

The two photos attached were apparently taken by one of the passengers in the B737, just after the collision and before the aircraft crashed. The photos were retrieved from the camera's memory stick. You will never get to see photos like this. In the first photo, there is a gaping hole in the fuselage through which you can see the tailplane and vertical fin of the aircraft. In the second photo, one of the passengers is being sucked out of the gaping hole.

These photos were found in a digital Casio Z750, amidst the remains in Serra do Cachimbo. Although the camera was destroyed, the Memory Stick was recovered. Investigating the serial number of the camera, the owner was identified as Paulo G. Muller, an actor of a theatre for children known in the outskirts of Porto Alegre . It can be imagined that he was standing during the impact with the Embraer Legacy and during the turbulence, he managed to take these photos, just seconds after the tail loss the aircraft plunged. So the camera was found near the cockpit. The structural stress probably ripped the engines away, diminishing the falling speed, protecting the electronic equipment but not unfortunately the victims. Paulo Muller leaves behind two daughters, Bruna and Beatriz.

(Sumber : http://hell69-sarawak69unityban.blogspot.com)

Sabtu, Jun 13, 2009

Sekilas Pandang Model Ekonomi Baru

AKHIR-AKHIR ini kita diberitahu yang struktur ekonomi kita kena diubah. Matlamatnya supaya pekerja akan mendapat pendapatan yang lebih tinggi melalui usaha-usaha yang lebih inovatif dan kreatif.

Pada suatu masa dulu, pendapatan pekerja kita sama dengan Singapura, Korea Selatan dan Taiwan. Tapi kini mereka telah jauh meninggalkan kita. Apakah pada suatu masa, kita perlu memikirkan ada baiknya negara memiliki gaji pekerja terendah kerana ini dapat menarik pelabur asing yang mencari tempat pelaburan dengan kos pengurusannya lebih murah daripada negara asal mereka.

Apabila negara-negara seperti China, Vietnam dan India muncul dengan beberapa reformasi ekonomi negara masing-masing, tenaga pekerja di negara-negara tersebut jauh lebih rendah daripada kita. Ini membuatkan tumpuan pelabur asing mengalihkan tumpuan pelaburan mereka kepada negara-negara tersebut.

Bagi negara seperti Singapura dan Hong Kong, mereka telah berjaya meningkatkan tahap pengeluaran ke tahap yang lebih tinggi dirantai penilaian. Iaitu daripada yang berintensifkan tenaga pekerja kepada yang berintensifkan modal.Bagaimanapun negara-negara ini masih bergantung kepada eksport barangan seperti negara kita. Apabila negara-negara yang mengimport barangan kita seperti Amerika Syarikat, Jepun dan Eropah mengalami kemelesetan, eksport kita pun jatuh. Kita seterusnya mengalami penurunan Keluaran Dalaman Negara Kasar (KDNK) yang negatif 6.2 peratus untuk suku pertama 2009.

Oleh itu sesuatu perlu dilakukan dan inilah yang menyebabkan pemikiran ke arah model ekonomi baru. Apa sebenarnya komponen-komponen kepada model ekonomi baru ini? Kita belum tahu lagi kerana ia masih lagi digubal. Sesuatu yang agak drastik dan radikal juga perlu dilakukan sekiranya kita ingin melonjakkan pendapatan tenaga pekerja kita pada masa akan datang. Kita difahamkan model ini akan dihuraikan dalam Rancangan Malaysia Kesepuluh (2011-2015).

Sementara itu elok rasanya kita lihat apakah arah aliran dunia masa akan datang. Apakah benda-benda yang bakal mencorakkan dunia masa akan datang? Kita bukan bercakap 50 tahun lagi tetapi dalam masa 10 ke 20 tahun saja. Dr. James Canton, Pengerusi dan Ketua Eksekutif, Institute of Global Futures memberikan arah aliran berikut:

Pertama ialah bagaimana bentuk tenaga masa depan. Ini melibatkan krisis tenaga, masa depan selepas minyak, dan juga pilihan selain minyak seperti hidrogen. Peranan kritikal tenaga akan mencorakkan setiap aspek kehidupan kita dalam abad ke-21 ini.

Kedua, ekonomi berinovasi. Transformasi ekonomi global berdasarkan pertemuan dagangan bebas, teknologi, demokrasi, memacu tugas baru, pasaran baru, globalisasi, keamanan dan keselamatan. Empat alat yang berkuasa bagi ekonomi berinovasi ialah Nano-Bio-IT-Neuro.

Ketiga, tenaga kerja seterusnya. Bentuk tenaga kerja masa depan akan berubah. Akan terdapat pelbagai jenis budaya dan untuk berdaya saing mesti menerima inovasi.

Keempat, perubatan untuk kehidupan yang panjang. Kuasa-kuasa utama yang bakal mengubah perubatan seperti nanotek, neurotek dan genomik untuk kehidupan yang lebih sihat dan lebih lama.

Kelima, sains ganjil. Sains masa depan akan mengubah setiap aspek kehidupan, budaya dan ekonomi kita seperti nanobilogi dan pelbagai alam semesta.

Keenam, keselamatan masa depan. Ancaman utama kepada kehidupan dan nyawa kita beralih daripada jenayah kepada pengganas hingga kepada pengawalan minda. Apakah bentuk landskap risiko abad ke-21?

Ketujuh, masa depan globalisasi: budaya dalam pertembungan. Keadaan terbaru perdagangan dunia dan persaingan, kebangkitan China dan India, perbalahan budaya dan nilai serta perebutan ideologi masa depan.

Kelapan, perubahan iklim masa depan. Bagaimana persekitaran akan berubah dan bagaimana kita perlu bersedia menghadapi kepanasan global, pencemaran udara dan ancaman kepada kesihatan (misalnya pandemik H1N1).

Kesembilan, masa depan individu. Berdepan dengan ancaman teknologi, kerajaan dan ideologi dalam bergelutan untuk menegakkan hak manusia, kebebasan individu di abad ke-21.

Kesepuluh, masa depan China dan Amerika Syarikat. Masa depan dua kuasa besar ini daripada kapitalisme kepada demokrasi, daripada inovasi kepada keselamatan bakal membentuk dunia masa depan. Terima atau tidak, inilah hakikat.

Untuk mewujudkan ekonomi berinovasi, empat kuasa penggeraknya ialah nanoteknologi, bioteknologi, teknologi maklumat dan rangkaian dan neuroteknologi. Nanoteknologi ialah manipulasi benda dikadar skala atomik menghasilkan ubat-ubat baru, tenaga, barang-barang dan mesin.

Bioteknologi pula membabitkan usaha merungkai asid deoksiribonukleik (DNA), sains kehidupan dan impak genomik ke atas penjagaan kesihatan, penyambungan kehidupan dan perubatan.

Teknologi maklumat dan rangkaian. Impak pengiraan, cip mikro dan internet kepada kerjaya, komunikasi, pekerjaan, kreativiti dan hiburan.

Neuroteknologi ialah penggunaan peralatan, ubat-ubatan dan bahan-bahan untuk memulih, mengurus dan meningkatkan prestasi dan fungsi mental.

Di manakah kedudukan kita dalam bidang-bidang ini? Kebanyakan syarikat kita segan untuk melaburkan wang dalam penyelidikan dan pembangunan iaitu kunci kepada teknologi masa depan.Untuk mencapai hasrat anjakan ini tentu sekali kita bergantung kepada tenaga pekerja kita.

Apakah corak persediaan disekolah-sekolah dan di institusi pengajian tinggi buat pelajar-pelajar dan tenaga pekerja untuk dunia masa depan? Apakah sistem pendidikan kita mampu menampung kehendak ekonomi masa depan ini?

Apakah perubahan-perubahan kepada kurikulum sekolah rendah, menengah dan universiti yang selaras dengan kehendak pasaran dan dunia masa depan? Bagaimana pula tentang mereka yang menjadi guru, pensyarah dan profesor-profesor yang bakal mendidik tenaga pekerja, baik di peringkat vokasional sekali pun? Latihan jenis apa yang perlu diberikan kepada mereka yang mendidik dan melatih?

Kita mengakui aset utama sesebuah negara ialah penduduknya. Itulah sebabnya negara yang tidak mempunyai sumber alam seperti Jepun dan negara-negara Eropah mampu berdaya saing di tahap tertinggi kerana sumber manusianya. Pendidikanlah menjadi kunci kepada kejayaan mereka.

Untuk membentuk suatu model ekonomi baru mungkin tidak sesukar pelaksanaannya.

DATO' SALLEH MAJID ialah bekas Presiden Bursa Saham Kuala Lumpur (kini Bursa Malaysia)

Jumaat, Mei 22, 2009

Tanggungjawab dan Ganjaran

Umat Islam perlu saling bekerjasama untuk menunaikan tanggungjawab berkaitan dengan urusan keduniaan, kemasyarakatan dan kenegaraan kerana setiap tugas yang dilaksanakan itu akan mendapat ganjaran atau pembalasan.

Oleh DR. SAODAH ABD. RAHMAN

MANUSIA sering beranggapan bahawa jawatan dan kedudukan merupakan simbol kejayaan. Persepsi begini sebenarnya bertentangan dengan prinsip dan konteks hidup manusia sebagai hamba dan khalifah Allah SWT di muka bumi.

Islam lebih prihatin terhadap bagaimana seseorang itu melaksanakan tanggungjawabnya di dunia sama ada berkedudukan tinggi atau miskin.

Pemimpin atau pemerintah mempunyai tugas dan tanggungjawab yang paling tinggi di sisi Allah SWT. Begitu juga dengan orang kaya dan berilmu tinggi. Setiap anugerah atau keistimewaan yang diberikan oleh-Nya merupakan satu ujian.

Tahap ujian seseorang individu itu bergantung kepada taraf dan kedudukannya di dunia. Ujian kepada pemerintah, pemimpin dan pentadbir ialah paling besar mengikut pandangan Islam.

Pemimpin merupakan ibu atau bapa kepada rakyat tanpa mengira bangsa dan agama. Sebagai ibu atau bapa, beliau perlu memastikan 'anak-anak' mendapat makanan dan keperluan asas. Tugas ini memerlukan pengorbanan masa dan tenaga.

Corak hidup dan peranan Rasulullah SAW dan para sahabat al-Rashidun seharusnya menjadi model kepada sistem pentadbiran Islam.

Kesedaran terhadap tanggungjawab, ganjaran dan azab kerana cuai melaksanakan tugas menyebabkan Rasulullah SAW dan para sahabat amat takut dilaknat-Nya. Mereka melaksanakan tugas sehingga mengorbankan masa, tenaga dan harta untuk membentuk sistem pemerintahan yang mantap.

Rasulullah SAW mengingatkan umat menerusi sabda: "Semua orang yang diserahkan tanggungjawab oleh Allah SWT atas rakyat lalu ia mati dalam keadaan menipu rakyatnya itu, nescaya syurga itu akan haram baginya."

Ganjaran paling tinggi dan istimewa akan dianugerahkan oleh Allah SWT kepada pemimpin yang jujur dan adil.

Nabi SAW bersabda: "Sesungguhnya orang yang adil itu di sisi Allah akan mendapat tempat di atas mimbar-mimbar dan cahaya terletak di sebelah kanan Allah, iaitu orang-orang yang adil menjalankan hukum, adil kepada keluarganya dan adil melaksanakan tugas yang diserahkan kepadanya. Kedua-dua tangan Allah itu dinamakan yamin".

Sabda Rasulullah SAW itu perlu dijadikan panduan oleh umat Islam dalam melaksanakan tanggungjawab mereka. Apabila hati dan pemikiran didasarkan kepada prinsip dan konsep hidup sebagai hamba Allah, maka tidak akan berlaku permusuhan dan perpecahan sesama umat. Apatah lagi dalam soal perebutan kuasa dan dan kedudukan sehingga menghancurkan negara.

Islam menegaskan, setiap individu mempunyai tanggungjawab masing-masing tanpa mengira pangkat dan kedudukan. Rasulullah SAW menjelaskan: "Ketahuilah! Semua kamu pengawas atas bidang masing-masing. Pemerintah adalah pengawas yang bertanggungjawab atas kesejahteraan rakyatnya; suami ialah pengawas ke atas kesejahteraan keluarga; isteri pula pengawas ke atas kesejahteraan rumah tangga dan hamba ialah pengawas ke atas harta tuannya."

Hadis itu menunjukkan bahawa umat Islam perlu saling bekerjasama untuk menunaikan tanggungjawab berkaitan dengan urusan keduniaan, kemasyarakatan dan kenegaraan kerana setiap tugas yang dilaksanakan itu akan mendapat ganjaran atau pembalasan.

Konsep hidup begini jika dijadikan sebagai panduan hidup maka umat Islam akan menjadi satu umat yang bersatu padu, hormat menghormati dan kasih mengasihi. Malangnya prinsip ini semakin hari kian tipis akibat terlalu prihatin terhadap kedudukan dan kuasa.

Konsep toleransi, musyawarah, diplomasi dan persaudaraan sesama Islam tidak dijadikan sebagai asas untuk menyelesaikan perselisihan dan pergolakan dalam dunia Islam. Kuasa, kekuatan dan keegoan sering dipertonjolkan.

Ini merupakan salah satu faktor utama menyukarkan proses damai dan penyelesaian permasalahan.

Kekuatan akal dan kecekalan hati merupakan kuasa yang paling tinggi jika dibandingkan dengan kekuatan senjata. Sikap terlalu menggunakan kuasa dalam menangani masalah negara dan masyarakat adalah akibat daripada prinsip dan konsep perjuangan yang mirip kepada perebutan kuasa dan pangkat. Ia bukan dalam perspektif tanggungjawab dan amanah.

Jika tanggung jawabdan amanah dijadikan asas dan prinsip hidup umat Islam, maka mereka menggunakan kekuatan minda melebihi kuasa ketika berada dalam perselisihan dan pergolakan. Mereka lebih mengutamakan kepentingan agama dan masyarakat daripada kepentingan diri dan kumpulan.

Kepincangan yang wujud dalam dunia Islam sama ada berkaitan dengan perselisihan politik, ketidakstabilan ekonomi, gejala rasuah, penyalahgunaan kuasa, penipuan dan penindasan adalah hasil daripada kurang peka terhadap konsep amanah dan tanggung jawab mengikut prespektif Islam.

Oleh itu dalam sistem pendidikan negara perlu mempertingkatkan pelajaran berkaitan dengan pembinaan jati diri dan ketinggian kerohanian di setiap peringkat persekolahan dan institusi pengajian tinggi supaya generasi Islam masa depan memahami setiap tugas merupakan tanggungjawab dan amanah. Ia akan dipersoalkan oleh Allah SWT di akhirat kelak.

Pemahaman terhadap tanggungjawab kepada Allah SWT mampu menghasilkan umat Islam yang mempunyai jati diri tinggi, cekal dan mantap akal fikiran. Ini merupakan salah satu asas pendidikan dalam Islam.

Zaman kegemilangan Islam berasaskan kepada jati diri individu Islam. Setiap ilmu yang dipelajari dan tugas yang diberi dianggap sebagai amanah dan tanggungjawab kepada Allah SWT.

Pemimpin mempunyai jiwa yang terlalu besar sehingga mampu memperkukuhkan kekuatan negara dan mendirikan tamadun yang tinggi. Para ilmuwan gigih mempelajari pelbagai ilmu sehingga dunia Islam dianggap sebagai gedung ilmu dan simbol kepada kemajuan.

Para buruh yang membina bangunan begitu tekun menyiapkan bangunan secara indah dan unik kerana pemikiran dan hati nurani mereka disemat dengan jiwa agama.

Tugas harian mereka diangap sebagai ibadah kepada Allah SWT. Mereka memahami ajaran Rasulullah SAW yang mengatakan bahawa keringat adalah penyuci dosa.

Hasil titik peluh mereka menjadi simbol keindahan Islam dalam bentuk pembangunan. Ini merupakan salah satu dakwah dalam bentuk syahadah 'ala al-nas (saksi kejayaan Islam kepada manusia).

Kefahaman begini menjadi pegangan hidup para buruh dan orang miskin masa silam. Jika kefahaman begini disemat dalam jiwa masyarakat maka negara tidak akan menghadapi masalah kebanjiran buruh asing dan pengangguran bukan menjadi masalah utama negara.

Oleh itu umat Islam di negara ini tanpa mengira pangkat dan kedudukan perlu memahami tugas dan tanggungjawab masingmasing. Sebarang tugas dan tangungjawab di dunia ini akan mendapat ganjaran dan balasan-Nya. Takutilah Allah SWT dalam soal urusan diri, agama, negara dan masyarakat.

* PENULIS ialah Pensyarah Kanan Jabatan Usuluddin dan Perbandingan Agama, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM).

Image Hosted by ImageShack.us

Sabtu, Mei 09, 2009

Daya Saing, gaji, inovatif & kreatif

Daya saing, gaji tinggi, inovatif dan kreatif

SAYA tertarik dengan hasrat untuk meningkatkan tahap gaji pekerja kita kepada tahap yang lebih tinggi. Maknanya gaji pekerja kita lebih tinggi daripada sekarang. Ini sesuatu yag sudah lama patut dilakukan.

Dulu, dalam tahun 1970-an, kedudukan dengan negara-negara seperti Taiwan, Korea Selatan, Singapura lebih kurang sama saja. Kini, selepas 30 tahun, kita sudah jauh ditinggalkan mereka.

Gaji pekerja di negara-negara tersebut jauh lebih tinggi daripada kita. Di negara kita daripada 1991 sehingga 2003, dikatakan purata gaji naik hanya 1 peratus sedangkan negara-negara tersebut pada satu masa sama dengan kita naik 10 peratus.

Kalau tengok Singapura, menteri mereka gaji paling lumayan. Perdana Menteri mereka gaji berpuluh ganda gaji Presiden Amerika Syarikat. Sebab apa? Sebab orang putih kata, "kita bagi kacang, kita dapat monyet."

Yang naik berpuluh kali ganda di negara kita bukan gaji pekerja tapi harga rumah, harga hartanah naik gila-gila. Sebab apa? Bukan orang yang beli rumah nak duduk di rumah itu tetapi nak jadi bahan spekulasi.

Masyarakat yang suka spekulasi ini, tahu-tahulah... Pasaran saham pun orang Melayu mana tahu nak lakukan spekulasi? Naiklah melambung macam Repco dulu sampai RM150 sesaham. Bila tengok tiada isi, tapi orang kejar juga macam nak gila.

Bila kita tegur jangan beli, dia balas balik menyembur kita mengatakan apa kita peduli, bukan duit kita. Inilah yang menyebabkan segala-galanya jadi bahan spekulasi.

Tengoklah ayam pun jadi bahan spekulasi. Kerajaan suruh turunkan harga pasal kita tahu orang takut makan babi, dia tak mahu. Bukankah biadab? Kita mesti ajar sikit mereka ini.

Macam juga yang jual rumah harga gila-gila. Bila suruh buat rumah murah, semua tak mahu kononnya tak untung. Kementerian Perumahan kita entah buat apa pun tak tahu.

Berapa ramai orang yang beli rumah terpedaya. Rosak sana-sini, kopak-kapik dan yang ambil pinjaman rumah tak siap pun beribu. Bila pemaju tak boleh jual rumah, mereka buat pameran. Yang bingung-bingung, tengok ada potongan sikit pun beli. Patut mereka ini dibiarkan saja.

Cuba bayangkan dalam tahun 1978 harga rumah teres dua tingkat di Taman Tun Dr. Ismail, Kuala Lumpur, suatu kawasan perdana ialah RM60,080. Pada 1989, harganya RM200,000. Sekarang, cuba teka harga rumah yang sama, dinding sama, kawasan kecil sikit lagi batu-bata sama. Kalau tak ada RM600,000, jangan cakap.

Gaji akauntan 1978 yang baru mula kerja RM2,000, sekarang gaji mula akauntan pun RM2,000 juga. Itu sebabnya ramai yang kerja luar negara kerana lebih diiktiraf titik peluh mereka. Lepas itu, bila tiba krisis macam sekarang, ada syarikat ambil kesempatan. Kononnya krisis, jadi kena kurangnya kos, bagi VSS kepada kakitangan supaya boleh ambil anggota yang lebih murah lepas mereka berhenti.

Sikap begini memang menjadi lumrah syarikat swasta. Sampai bila pun orang kita tak ke mana. Kemudian kita berhasrat nak tingkatkan daya saing negara. Satu hajat yang murni. Sekarang bandingkan negara kita dengan 134 negara lain, kita duduk nombor 21. Dua tahun lepas kita nombor 19. Empat tahun dulu kita nombor 16. Maknanya, kita dah jatuh. Laporan Daya Saing Dunia dari Switzerland (World Competitiveness Report) menyatakan orang yang buat bisnes dengan kita beri beberapa faktor yang menjadi penghalang utama.

Bukan saya yang kata, tapi boleh laporan ini sendiri. Nombor satu penghalang: Perkhidmatan awam yang kurang cekap. Kedua, rasuah. Ketiga, jenayah dan kecurian (dua orang mengandung mati kena ragut, mat rempit menjadi-jadi, tengah tukar tayar, kena tembak di siang hari). Keempat, ketidakstabilan dasar (hari ini naik tol, esok tak jadi). Kelima, tenaga kerja yang kurang terlatih, bukan tak terlatih tapi kurang terlatih. Mana tidaknya, ramai orang Bangladesh, Indonesia, Myanmar dan sebut saja rakyat mana - kita ada. Malahan ada kawasan yang dia kontrol.

Jadi kita tengok jiran kita nombor lima. Rakyat dia satu per sepuluh daripada penduduk kita. Ini menunjukkan yang membuatkan sesebuah negara itu berdaya saing ialah bakat rakyatnya. Jepun, Switzerland, semua tak ada hasil bumi tetapi duduk di atas tangga berdaya saing. Kita macam-macam hasil bumi ada tetapi bukannya makin naik, tetapi makin menurun.

Saya setuju produktiviti perlu ditingkatkan. Macam saya tulis dulu, kalau setiap orang pekerja tambah kerja 10 minit sehari, kalau tiga juta pekerja dah ada 20 juta minit bertambah. Ini tidak - terlekat dengan kesesakan lalu lintas saja berjam-jam. Nak naik pengangkutan awam, tak cukup koc. Bau busuk dan hapak, tak ada hawa dingin, tak cukup line, nak kena hantar pergi stesen. Kalau tinggalkan kereta, hilang radio.

Di mana datangnya inovatif dan kreatif pekerja kalau tidak diberikan latihan? latihan untuk jadi inovatif dan kreatif tak sama macam pergi kelas biasa. Inovatif dan kreatif guna otak sebelah kanan, logik, matematik dan hujah guna otak sebelah kiri. Jadi macam mana nak digerakkan otak sebelah kanan. Memadaikah kalau dengan menyuruh jadi inovatif dan kreatif. Kalau dia segan nak baca buku, (rakyat Malaysia baca purata dua halaman setahun), yang ada pengetahuan mana nak dapat ilmu?

Pelatih yang bakal melatih inovasi dan kreativiti sendiri mesti dilatih dahulu. Macam tongkat ali dah bertahun-tahun di hutan kita, orang luar datang buat macam-macam dengannya. Kita yang tidak kreatif.

Amang bijih pun boleh jadi bahan perkilangan tapi bank kita akan tolak sebarang permohonan berkaitan perkara-perkara sebegitu. Jadi, satu golongan saja nak jadi kreatif dan inovatif, tak jadi juga. Bila orang bank kita tak biasa dengan sesuatu yang pelik sikit, bukan dia nak cari pakar dalam bidang pelik tersebut, dia akan senang sahaja tolak permohonan.

Dunia sekarang, dunia pengetahuan. Ekonomi sekarang, ekonomi pengetahuan K-ekonomi. Kita sudah siapkah nak pindah kepada K-ekonomi? Inovatif dan kreatif bukan lagi K-ekonomi tetapi era konsep atau dunia konsep. Di mana kita dengan nanoteknologi misalnya?

DATO' SALLEH MAJID ialah Felo Utama Fakulti Ekonomi, Universiti Kebangsaan Malaysia. Beliau juga bekas Presiden Bursa Saham Kuala Lumpur (kini Bursa Malaysia)

Image Hosted by ImageShack.us

Jumaat, Mei 08, 2009

Merealisasi Bank Idea Rakyat

Merealisasi Bank Idea Rakyat

Oleh ROSLEE MARDAN

BERTEPATAN dengan apa yang dijelaskan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak sebelum ini iaitu zaman di mana segala-galanya kerajaan lebih tahu telah berlalu, keterbukaan kerajaan menuntut satu lagi konsep penyertaan rakyat dalam pemerintahan negara.

Oleh itu, konsep 'Bank Idea Rakyat' seperti mana yang disebut oleh Tan Sri Muhyidin Yasin boleh dipacu atas landasan keperluan rakyat turut serta dalam membentuk dasar-dasar pengurusan negara. Idea beliau ini amat sesuai dalam menyalurkan pemikiran rakyat yang kini semakin peka dengan dasar-dasar yang dilaksanakan oleh kerajaan.

Pengembangan pemikiran rakyat yang semakin meningkat pada masa kini dicambah ke saluran-saluran alternatif yang kurang atau tidak ada pengawalan daripada kerajaan seperti internet melalui blog-blog peribadi.

Ini menyebabkan pemikiran rakyat diselaputi oleh budaya provokasi yang sinis terhadap sesuatu perkara terutama apabila menyentuh dasar-dasar yang diimplementasi oleh kerajaan. Sifat saling tidak percaya dan saling benci membenci di kalangan rakyat jelas menampakkan kesan yang begitu ketara.

Implikasi daripada situasi ini, begitu mendalam sehingga ikatan perpaduan antara kaum, agama, hak dan kedaulatan kepimpinan kesultanan diheret dalam kancah kebencian. Ini sekali gus menidakkan penerimaan terhadap kedaulatan undang-undang negara. Paling jelas lagi impak segala kecelaruan pemikiran rakyat menyebabkan ketidakstabilan politik yang mengganggu proses penjanaan dan penyelesaian ekonomi negara.

Bank Idea Rakyat ini perlu diterjemah dalam bentuk yang konkrit. Selaras dengan mewujudkan strategi inovasi dalam perkhidmatan awam negara, Bank Idea Rakyat boleh diaplikasi dengan menambah baik program-program sedia ada seperti hari bertemu pelanggan, pusat khidmat pelanggan, perwujudan peti aduan, kaunter-kaunter perkhidmatan dan sebagainya.

Konsep ini juga boleh mempercepatkan perwujudan dasar atau arahan-arahan langsung daripada kerajaan untuk dikuatkuasakan oleh agensi pelaksana sekiranya ada pandangan rakyat yang boleh diterima pakai.

Sesetengah pandangan mengatakan bahawa konsep ini tidak berapa sesuai kerana telah banyak pandangan daripada rakyat yang tidak diambil perhatian oleh kerajaan. Bagaimanapun, pandangan rakyat perlu mempunyai saluran yang betul dan menyeluruh.

Sekiranya pandangan rakyat itu bercambah merata amatlah sukar bagi kita mengutip satu persatu yang sudah tentu mengambil masa sedangkan keputusan mesti dibuat dalam jangka waktu yang segera. Maka Bank Idea Rakyat diyakini mampu menyeragamkan proses pengumpulan maklumat daripada akar umbi untuk dibawa ke perbincangan Parlimen.

Ini juga mampu dijadikan satu model baru terhadap pemahaman demokrasi versi Malaysia kepada negara lain. Sehubungan itu, dalam menjayakan konsep ini, rakyat mesti diberi kepercayaan serta keyakinan kepada kemampuan kerajaan.

Image Hosted by ImageShack.us

Sabtu, April 25, 2009

Realiti & Imaginasi

Saya terfikir-fikir kenapa orang sering menilai kata-kata seseorang itu dengan apa yang ada padanya sekarang. Adakah dia benar-benar sudah berjaya? Atau hanya bercakap saja tentang kejayaan itu tanpa menunjukkan tauladan tentang kejayaannya yang cemerlang.

Dalam khutbah Jumaat, khatib selalu mengatakan peringatan untuk semua dan dirinya sendiri. Maksudnya kita jangan hanya pandai bercakap saja tetapi diri sendiri taklah sebagus mana. Apakah agenda disebalik kenyataan seperti itu? Memang ada diantara kita mengakui bahawa diri sendiri tidaklah sebagus mana, cakap pula berdegar-degar mengalahkan pakar motivasi dan orang yang telah berjaya. Memang orang akan sentiasa menilai diri kita dengan apa yang kita perkatakan. Sebagai contoh kita bercakap tentang bagaimana untuk berjaya tetapi bila orang perhatikan diri kita taklah berjaya sangat setakat kerja kuli biasa saja.

Saya terfikir-fikir kenapa orang sering menilai kata-kata seseorang itu dengan apa yang ada padanya sekarang. Adakah dia benar-benar sudah berjaya? Atau hanya bercakap saja tentang kejayaan itu tanpa menunjukkan tauladan tentang kejayaannya yang cemerlang. Apakah salah seseorang itu bercakap mengenainya? Atau tidak selayaknya dipercakapkan olehnya yang tiada kelayakan akademik untuk memperkatakannya.

Cuba anda fikirkan siapakah yang mencipta bom atom? Adakah Albert Einstein yang menciptanya? Sudah tentu tidak, Einstein hanya mencipta teori relativiti yang telah membuka minda ramai ahli saintis. Dengan teori tersebutlah maka ada kalangan saintis yang telah berjaya mencapai ke tahap berupaya untuk membina bom atom dan nuklear. Apakah teori relativiti itu muncul sebelum difikirkan? Sebelum teori ini dikembangkan menjadi eksperimen alam semesta ia cuma sekadar imaginasi yang kemudiannya dikira dengan kaedah matematik. Kemudiannya dijelaskan secara lisan dan bertulis untuk menerangkannya kepada umum. Pada mulanya ramai yang tidak percaya dan menganggap ia sekadar cakap kosong saja dan hanya imaginasi Einstein semata-mata.

Bukalah minda anda seluas-luasnya supaya mampu menerima segala kemungkinan sama ada positif dan negatif. Tetapi diantaranya ada ruang dan masa untuk mengubahnya. Itulah yang dimaksudkan teori relativiti. Masih ramai dikalangan kita rakyat awam Malaysia tidak mengerti apa itu teori relativiti. Kerana itulah minda kita masih tersekat dengan mentaliti dan bentuk pemikiran lama yang tidak bebas dan beranggapan bahawa tiada dua atau tiga, hanya ada satu saja dan mempertahankan yang satu itu sampai berkorban nyawa walaupun yang satu itu salah dan tidak betul. Kita tidak cuba untuk menilai yang lain bagi membandingkan pilihan yang sesuai dan lebih baik dari yang satu itu.

Sebagai masyarakat manusia, kita saling bergantungan antara satu sama lain. Orang politik perlukan saya untuk undi mereka jadi pemimpin dan saya perlukan orang politik untuk membangunkan kemudahan infrastruktur awam. Orang berniaga perlukan saya untuk beli barang jualannya walaupun saya ni bukanlah kaya sangat tetapi masih juga perlukan orang seperti saya ini yang lebih banyak dari orang berada, dan saya perlukan peniaga untuk mendapatkan barang yang tidak dapat saya buat sendiri.

Orang berilmu pengetahuan adakah sudah memadai ilmunya, ilmu diperoleh dari bacaan dan maklumat yang diterima tetapi adakah mereka mempunyai semua maklumat yang ada di dunia ini. Saya mungkin ada maklumat yang orang berilmu tidak ada dan saya perlukan maklumat orang yang berilmu untuk tambah ilmu saya kerana saya tahu saya masih kurang berilmu daripada orang yang lebih berilmu.

Keistimewaan setiap manusia adalah mempunyai akal yang berbeza, setiap orang berpotensi untuk mempunyai idea jika pemikirannya dibentuk dengan cara yang betul dan teratur. Bagi memperkembangkan ideanya itu mungkin bukan seseorang itu yang akan melakukannya tetapi orang lain yang menerima idea itu. Seseorang itu tidak dapat memperkembangkannya mungkin kerana dia kurang keupayaan dari segi material dan harta benda. Lalu orang lain yang lebih mampu mengambil idea itu dan memperakui bahawa idea itu adalah miliknya.

Kerana itulah ramai dikalangan orang yang tak berkemampuan itu tetapi mempunyai idea masih lagi dianggap sebagai orang yang tidak cerdik dan pandai kerana hanya tahu bercakap saja tetapi tidak melakukannya. Kenapa orang lain pula yang melakukannya dan mendapat keuntungan dari idea yang dicuri dari orang "miskin" yang tidak mampu mencapai tahap pendidikan formal yang lebih tinggi. Ini boleh dianggap sebagai satu penindasan. Diluar sana ramai orang cerdik tetapi masih dianggap bodoh kerana mentaliti mereka yang menilainya hanya pada satu segi pandangan terlalu sempit dan bersikap tidak adil suka menganiaya.

Kita sering bercakap soal memberi sumbangan dan berkorban untuk negara, tetapi kita jarang memberi penghargaan kepada majoriti rakyat biasa yang tidak kaya dan berpelajaran tinggi kerana tidak bergaduh dan memberontak sepertimana rakyat Thailand atau Iraq. Sekiranya itu berlaku pastinya orang kaya, orang berniaga, orang politik dan orang yang berilmu tinggi bimbang. Sebab orang kaya takut harta mereka dirompak, orang berniaga takut bisnes mereka lingkup, orang politik takut ditembak curi dan orang berilmu tinggi takut lagi nak cari ilmu diluar sana kerana pergerakan mereka tersekat. Tetapi malangnya majoriti rakyat biasa inilah yang sering teraniaya menjadi mangsa golongan tersebut di atas.

Walau bagaimana sekalipun, teori relativiti tentang ruang dan masa telah memberi satu pengertian yang cukup besar kepada rakyat biasa seperti saya bahawa jika kita berupaya untuk menggunakan sebaik-baiknya apa yang perlu dilakukan antara ruang dan masa itu, walaupun saya tidak terlibat secara langsung dengan perubahan kemajuan masyarakat dan negara. Namun, gelombang-gelombang perubahan yang dibawa melalui idea-idea dan pendapat yang berlandaskan imaginasi akan menggerakkan orang lain untuk memperkembangkannya dan menyampaikannya ke peringkat yang lebih tinggi untuk direalisasikan menjadi kenyataan.

Saya dan sesiapa saja mungkin hanya bercakap saja tentang idea itu tetapi apa yang berlaku adalah orang lain yang akan menciplaknya dan memperakui ia adalah idea bernas darinya. Biarlah ia terjadi begitu kerana jika niat kita betul maka apa yang kita sampaikan itu boleh jadi kenyataan tetapi bukan dengan tangan kita sendiri, kita juga ada saham akhirat di dalamnya dan ia akan dibalas dengan setimpal setelah kehidupan dunia ini berakhir dan diganti dengan dunia baru yang lebih adil untuk semua golongan kehidupan baru.

Image Hosted by ImageShack.us

Pesta Kaul 2009

Bak kerapek no dao bak entri atak ih...deihal lah campor-campor singen. Melanau dan Melayu. Taun ih pesta kaul bei dao aluk tan jumit, dbei tan sebelum ih jalan sentiasa jem dan dbei cukup kdau parking sgak. Tapak kaul pun berwajah ba'o luas aluk kdau laluan nyin untuk tapak-tapak pameran dan gerai jualan. Bak makau pun dbei la bersesak angai, tapi lau lasuk biasa lah makin buyak pasir lasuk aluk tan gak padang pasir.

Kdau pertunjukan persembahan dbei bao jalan gei, buyak in lah laluan kereta lancar aluk gei. Tapak ba'o ngak diperluaskan jadi kdau pertunjukan in bah dagen kawasan tapak in. Tapak ba'o kaul mukah ih sebenar nyin g ilak ko japan 80% siap. Memandangkan bei atak bangunan dei knah bak nebak ajau, lo bunga dan pokok hiasan pun dei ngak bei alu. Biasalah, kerja suntuk nang kejin bak lah singen mana wak siap. Tapi untuk kaul taun 2010 mungkin akan lebih menarik agei dengan kawasan tapak ba'o ngak lengkap semuah.

Untuk pelawat luar, Pesta Kaul merupakan pesta tahunan masyarakat melanau di bahagian Mukah dan menjadi aktiviti untuk kalendar pelancongan negeri Sarawak. Tapak pesta ini telah dinaik taraf dengan kemudahan yang lengkap untuk memenuhi standard pelancongan. Pada masa akan datang, lapangan terbang Mukah akan dibina antara Oya-Mukah yang boleh mendaratkan pesawat Boeing 747. Pastinya ini akan memudahkan lagi kedatangan pelancong ke bahagian ini. Sejajar dengan itu juga, Mukah juga bakal dilengkapi dengan mercu tanda baru iaitu Pusat Pentadbiran Bandar Baru Mukah bagi melengkapkan bandar ini sebagai pusat pentadbiran bagi koridor SCORE.

Jadi, ibak ih antara gambar-gambar pesta kaul wak seped snap ko bak kamera murah singen CANON power shot bak ilak kelo a liko melanau bahagian ih wak diam jauk man dalat-mukah. Semoga dengan ih kelo peden g perkembangan liko telo secara visual bukan petaah khabar mulut semata-mata.

stage ih malam nebak ratu kaul n mukun

ehh..macam kenal jer bajo bilem in

Posing seorang pelancong, man China kalik lak. Jakun angai tan

Perasmian pesta kaul mukah



Kumpulan muzik tradisional warismu

Bukan tan agei kegagau lo pa'a bak nynap gamber






Kalik bak kenal lo pak ayeng ih, man ajuk dalat sau tah ko sui pengacara










Tibau gak tengah-tengah tapak pesta gei baruk den a ramai g





Japan la bak nynap gamber lo menteri-menteri ih sgak



Bukan senang tan bak menynap foto ih, perlu bak pinyang ruang tan kawak sampai lian senigah lo Rela. Bak pigik gamber kena lah segak, jadi perlu mapun seboleh-bolehnya segak alu pun jawai gem group wak berani bak melepasi Polis dan Rela. Hehehe...wartawan bebas melaporkan dari kaul Mukah 2009 untuk mereka yang tak berkesempatan untuk melihat pesta ini lebih dekat.

**catatan : susunan betul gambar foto bermula man ibak.

Contact Me

Sekiranya anda ada sebarang pertanyaan atau cadangan, sila guna borang di bawah :

Template by - Abdul Munir | Daya Earth Blogger Template