Custom Search

Isnin, Februari 23, 2009

Cara Susah atau Mudah

Ada sesetangah dikalangan orang yang terpelajar dan mendapat pendidikan tinggi memandang rendah terhadap apa yang dilakukan serta dihasilkan oleh orang yang berpendidikan rendah. Sikap sebegini samalah seperti Amerika Syarikat yang memperlekeh dan memandang rendah keupayaan Iran membangunkan teknologi senjatanya. Sehinggakan usaha Iran membangunkan teknologi nuklear untuk tenaga yang berterusan dituduh bertujuan untuk membangunkan senjata nuklear.

Jelas, sikap memperlekeh itu sebenarnya satu kaedah psikologi untuk melemahkan semangat atau satu cara menakut-nakutkan dengan membandingkan teknologi canggih senjata milik Amerika dengan senjata lapuk dan ketinggalan zaman yang dimiliki Iran. Tetapi Amerika masih juga tetap bimbang dengan kemampuan Iran memaksimumkan penggunaan senjatanya melalui strategi yang sukar dibaca disamping strategi pendekatan politik yang digunakan oleh kepimpinan Iran dalam menegakkan kebenaran dan haknya. Canggih atau lapuk ia tetap senjata yang akan membunuh manusia, tiada siapa pun yang dapat mengalahkan semangat dan keberanian yang tekun untuk terus berusaha mempertingkatkan keupayaan diri.

Begitulah juga perbandingan antara mereka yang megah dengan tahap pendidikan dan pangkatnya dengan mereka yang berpendidikan rendah tetapi dalam apa jua bidang kerja yang dilakukannya dapat diselesaikan dengan mudah, cepat dan cekap. Kebanggaan mereka yang berpendidikan tinggi adalah kerana menjaga imej dan prestij maka sudah semestinya semua apa yang digunakannya juga perlu yang canggih-canggih belaka dan sofistikated. Kalau berkereta perlu pakai mercedes atau toyota ipsum, tak ada kelas pakai kancil atau proton saga. Kalau guna program komputer pula perlu pakai yang terkini dan lebih advance, tak pakai lagi windows XP, office 2003 atau sistem excel. Semua itu sudah lapuk tak ikut trend terkini.

Walaubagaimanapun, hasilnya tetap sama juga iaitu sampai ke destinasi yang dituju dan hasil kerja akhir yang sama dibuat. Oleh itu, bila difikirkan kehebatan seseorang itu bukan terletak pada latar belakang pendidikannya semata-mata tetapi perlu dilihat juga cara pemikirannya dan penyelesaiannya terhadap masalah. Setiap orang ada masalah dan penyelesaiannya bergantung kepada setakat mana tahap profesional pekerjaannya itu. Jika seseorang itu pegawai tinggi maka sepatutnya tahap pendidikannya itu mampu membimbing mindanya untuk berfikir bagaimana menyelesaikan masalah itu. Manakala seseorang yang berpangkat rendah dan berpelajaran rendah takkan nak fikirkan masalah pegawai tinggi walaupun dia mampu untuk cari jalan penyelesaiannya. Takut nanti jalan yang dicadangkan itu nanti dikatakan lapuk dan tak ada kelas.

Justeru itu, masing-masing ikut haluan sendiri dalam menyelesaikan masalah. Tapi kadang-kadang bila mereka yang berpelajaran tinggi sudah buntu untuk cari jalan penyelesaian maka masalah itu akan dipikulkan ke bahu orang bawahannya dan dapat pula diselesaikan dengan segera dengan cara yang mudah. Jadi, dalam soal kebijaksanaan seseorang itu bukan terletak pada tahap pendidikan semata-mata tetapi juga terletak pada bagaimana caranya seseorang itu dapat menyelesaikan masalah dengan cara yang mudah tanpa mengabaikan kualiti hasil kerja akhir yang setanding dengan kualiti hasil kerja mereka yang bersusah payah untuk guna cara susah dengan kos yang tinggi. Fikir-fikirkanlah....

0 ulasan:

Contact Me

Sekiranya anda ada sebarang pertanyaan atau cadangan, sila guna borang di bawah :

Template by - Abdul Munir | Daya Earth Blogger Template