Custom Search

Isnin, April 20, 2009

Membina Minda Kelas Pertama

Bagaimanakah hendak membina minda kelas pertama? Dalam percakapan kita seharian dari apa yang saya perhatikan kita lebih banyak bercakap kosong, bersembang tentang perkara-perkara apa yang disuka dan apa yang tak disuka. Tetapi itu adalah hak masing-masing untuk bercerita. Jarang sekali bila kita bercerita diluar sana mengenai hal-hal yang boleh membina minda, membuka mata dan menggerakkan hati kita untuk berubah kepada yang lebih baik. Itu adalah bertitik tolak daripada cara pemikiran kita sehinggakan ia terbawa-bawa dalam cara kita bekerja.

Diluar sana amat sukar untuk kita meluahkan pandangan sebegini kerana tidak ada siapa yang nak dengar melainkan kita berada dalam kelompok yang mempunyai pemikiran yang sama. Kita terpaksa terikut-ikut dengan rentak mereka sehinggakan kadang-kadang kita terlupa untuk berfikir lalu terpengaruh dengan cara mereka. Terima kasih kepada teknologi ICT kerana telah menjadi penyampai kepada pandangan saya kepada audien yang lebih umum dan meluas tidak terbatas kepada kelompok-kelompok tertentu. Biarlah realiti kita yang berpijak di dunia nyata itu berkeadaan begitu kerana kita tidak mungkin dapat mengubah pemikiran mereka selagi mereka tidak mengubah diri sendiri.

Di dalam dunia maya ini masih ada orang yang berpemikiran tinggi, kritis dan tahu membuat penilaian untuk mendengar dan menerima dengan hati terbuka. Kerana dalam adat berbincang memberi pandangan kita tidak boleh terlalu fanatik dengan pandangan sendiri dan tidak juga boleh terlalu melampau dalam mengkritik pandangan orang lain. Kita perlu belajar untuk saling hormat-menghormati dan rela untuk menerima sebarang teguran. Walaupun kadang-kadang teguran itu pahit untuk ditelan. Kadang-kadang ada juga orang yang terasa tetapi belajarlah untuk mengakui kelemahan diri dan jangan terlalu membela diri walaupun tahu diri bersalah dan masih banyak kekurangan.

Apakah itu minda kelas pertama? Minda yang mampu membangunkan diri sendiri dan membangunkan orang lain. Jangan hanya tahu mengajar orang lain tetapi diri sendiri masih ditakuk lama dengan sikap yang masih ditahap dunia ketiga. Dengan gaya pemikiran yang pelbagai tidak terbatas hanya tahu mengkritik saja tetapi tidak tahu pula memberi idea untuk menyelesaikan permasalahan tentang apa yang dikritiknya. Gaya pemikiran banyak, antaranya pemikiran kritis, kreatif, inovatif, imaginatif, realistik, idealistik, intuitif dan sebagainya. Kita perlu gunakan gaya pemikiran itu mengikut keadaan dan kadang-kadang kita perlu guna 2 atau lebih gaya pemikiran dalam satu masa.

Pemikiran perlu dibentuk, dilatih, diasak dan dipaksa. Mungkin ada orang yang tidak suka dengan cara asakan dan paksaan tetapi sekiranya kita mahu berjaya dalam hidup tidak kira dalam apa jua bidang kita perlu melakukannya. Jangan kita terlalu bersikap defensif sehingga menyekat pemikiran kita pada tahap tertentu dan tidak mahu berfikir mengenainya. Kita akan dibayangi oleh realiti kehidupan, kita cuba hendak lari dari bayang-bayang itu tetapi pada suatu masa kelak ia tetap akan datang kepada kita.

Ada orang beranggapan kalau banyak sangat berfikir boleh jadi gila. Itu terpulang kepada cara berfikir diri sendiri, kalau terlalu defensif sehinggakan kita tidak mampu lagi mempertahankan diri dari bayangan ketakutan itu akhirnya kita akan tewas. Sebab itulah kita boleh jadi gila. Kenapa tidak perlu menerima saja tetapi menggunakan bentuk pemikiran yang berbeza supaya kita boleh menyelesaikannya dan menghadapinya dengan gagah, bukan lemah bukan takut. Kita tidak boleh lari dari masalah dan cabaran kehidupan.

Ada orang akan menjawab, setiap orang tidak sama. Masing-masing ada cara tersendiri. Pandangan sebegitu saya boleh terima walaupun saya tahu pandangan sebegitu bersifat penolakan terhadap pandangan saya tetapi saya hormati pandangan tersebut. Tetapi boleh tak beri jawapan atau pandangan yang lebih baik lagi dari apa yang saya sampaikan supaya saya boleh berpuas hati sebagaimana seseorang itu berpuas hati dengan pandangannya mengatakan bahawa masing-masing mempunyai cara pemikiran dan penerimaan yang berbeza.

Sebagaimana yang telah saya jelaskan, jika kita menggunakan cara pemikiran yang salah maka penerimaan kita pun salah. Apabila penerimaan kita salah, apakah kita mampu untuk menyelesaikan sesuatu permasalahan yang besar tanpa memberi jawapan atau cadangan yang sesuai untuk kita menyelesaikan masalah itu. Sebab itulah ramai yang sakit jiwa, bermasalah mental dan kecewa apabila gagal berhadapan dengan cabaran yang mengancam mereka.

Lihat saja gejala-gejala sosial hari ini, kenapa ia berlaku. Kenapa ada orang yang membunuh, kenapa ada yang bercerai, kenapa ada orang yang memberontak dan menghasut. Yang menerima hasutan itu pula menerima bulat-bulat tanpa menilai maklumat yang diterimanya sama ada benar atau fitnah. Inilah masalah kita, masalah pemikiran. Berfikir cara yang sempit, bukan dengan minda kelas pertama. Ya, akan ada juga yang akan mempertahankan pendiriannya bahawa setiap orang itu tidak sama. Terpulang kepada penerimaan masing-masing, orang lain tidak boleh memaksa. Janganlah masih bersikap defensif.

Bukan hendak memaksa, sekali lagi saya tekankan bahawa kalau kita mahu berubah kepada yang lebih baik kita perlu berubah cara pemikiran. Pemikiran yang bertahap tinggi, bersifat positif walaupun apa yang berlaku itu berunsur negatif tetapi melihatnya dengan cara yang positif, bukan untuk terpengaruh dengan sifat negatifnya tetapi cuba untuk mengubah yang negatif itu menjadi positif. Kita berfikir mengemukakan idea dan cadangan terbaik untuk memperbaikinya, memperkembangkan lagi idea sedia ada dan menyelesaikan sebarang kekurangan yang masih ada.

Kita mesti bersedia untuk menerima, dan bersedia untuk menghadapi sebarang cabaran dan masalah yang tak diduga mahupun yang boleh diduga. Kenapa saya mengatakan masalah yang boleh diduga, kerana dalam kehidupan seharian kalau kita seorang yang prihatin dan peka dengan apa yang berlaku di sekeliling kita, di dunia luar boleh diketahui melalui media massa dan internet. Seharusnya kita boleh menjangka tidak mustahil ia boleh berlaku kepada kita kalau kita tidak berjaga-jaga.

Maka itulah lebih baik kita bersedia. Kita bertindak melangkaui batasan sebelum ia berlaku kepada kita. Kita tidak akan mampu bersedia sekiranya kita bataskan cara pemikiran kita dan defensif dengan apa yang kita ketahui dan percaya saja. Kita kena perkembangkan minda kita, keluar dari tempurung dan lihatlah dunia ini dengan persepsi yang pelbagai. Janganlah terlalu sempitkan pemikiran dan bacalah lebih banyak sumber ilmu pengetahuan sama ada melalui buku mahupun internet. Bahkan media massa elektronik seperti televisyen juga banyak memaparkan rancangan-rancangan bercorak ilmiah.

Jangan sempitkan ruang untuk bersembang kosong chatting dalam rangkaian sosial network saja atau melepak dengan aktiviti-aktiviti yang membekukan minda dan merosakkan pemikiran akibat pengaruh yang tidak membina sahsiah peribadi. Berfikirlah dengan minda kelas pertama kerana banyak manfaatnya untuk kita. Bukan setakat memberi manfaat untuk mereka yang berpelajaran tinggi dan memegang ijazah saja, malahan suri rumah ataupun mereka yang bekerja kuli juga sekiranya mempunyai minda kelas pertama mampu mengatasi segalanya. Yang membataskannya hanyalah peluang dan wang ringgit, jika tiada peluang maka setakat apa yang tercapai, jika tiada wang ringgit hanya mampu melakukan apa yang terdaya.

Inilah realiti kehidupan yang perlu diterima oleh orang yang miskin bukan dari keluarga yang berada, sebab kadang-kadang peluang ada tetapi tidak sempat kerana peluang tersebut terhad. Tetapi minda ini akan sentiasa berkembang dalam lingkungan yang ada pada keadaan semasa dan ia tidak boleh berhenti untuk berfikir dan bertindak setakat yang terdaya. Amat malang sekali sekiranya ada yang mampu wang ringgit tetapi tidak mahu mencapai kecemerlangan yang lebih tinggi lagi kerana batasan pemikirannya yang masih ditahap defensif dan selesa dengan kemewahan warisannya. Memang mereka berjawatan dan berkelulusan tinggi tetapi cara pemikiran masih tidak banyak berubah.

Akhir sekali, jawapan yang masih sama akan dibalas. Setiap orang tidak sama, terpulang kepada cara masing-masing kerana pemikiran setiap orang tidak sama. Saya masih akan mengatakan kenapa tidak berfikir dengan cara lain daripada yang lain. Jadilah pemikir dengan minda kelas pertama walaupun jawatan kita cuma kelas ketiga. Mungkin ia lebih baik lagi dari mereka yang mempunyai jawatan dan ijazah kelas pertama tetapi pemikiran masih pada tahap kelas ketiga.

Cuba bayangkan, mana satu yang lebih survive jika kedua-duanya berada di gurun sahara. Yang satu mungkin mengeluh dan merungut, tidak tahan dengan kesengsaraan akhirnya membunuh diri. Manakala yang satu lagi mungkin ada idea untuk bertahan, mungkin ada penyelesaian untuk keluar dari gurun tersebut, mungkin ada caranya untuk lepas dari kesengsaraan itu dan akhirnya berjaya keluar dari segala masalah. Yang satu terus hidup dan yang satu lagi sudah mati, bukan secara semulajadi tetapi mati bunuh diri.

Kita semua tidak pasti bagaimanakah keadaannya apabila berada di dalam kubur, kenapa kita perlu takut untuk memikirkan tentang mati. Bukankah lebih baik mempunyai pemikiran tentang mati dengan cara terhormat dengan kegemilangan sumbangan idea dan tenaga kita untuk kemajuan masyarakat, agama dan negara daripada mati membunuh diri kerana kecewa atau mati ditali gantung kerana melakukan jenayah berat atau seumur hidup dipenjara kerana melakukan kesalahan rasuah dan menyeleweng.

Maka, fikir-fikirkanlah dimanakah tahap pemikiran anda. Saya tidak boleh mengubah, hanya memberi pandangan dan idea semata-mata. Anda sendiri yang mesti mengubah diri sendiri.

Image Hosted by ImageShack.us

0 ulasan:

Contact Me

Sekiranya anda ada sebarang pertanyaan atau cadangan, sila guna borang di bawah :

Template by - Abdul Munir | Daya Earth Blogger Template