WUJUDKAN PERPADUAN UMAT ISLAM SEDUNIA
KALIMAT syahadat yang merupakan kalimat pengakuan bahawa “Tiada Tuhan melainkan Allah dan Muhammad itu pesuruhNya” merupakan suatu kuasa yang amat kuat bagi menyatupadukan umat Islam daripada berbagai-bagai bangsa dan kaum. Dua ‘Kalimat Syahadat’ inilah yang menyebabkan seorang Cina, Arab, India, Inggeris, Melayu dan Iran mengakui dirinya ‘Muslim’ walaupun ia berada di tengah-tengah bangsanya yang bukan Islam.
Kalimat syahadat sesuatu yang melampaui batasan warna kulit, sempadan, iklim, bahasa dan adat manusia yang sempit. Demikianlah kenyataan yang hakiki, terbukti di depan mata kepala manusia. Kalimat syahadatlah yang dengan begitu cepat dapat melenyapkan perasaan permusuhan kabilah dan penindasan sesama bangsa Arab jahiliah yang tidak pernah kunjung padam itu.
Islam pernah melantik seorang pemuda kulit hitam (Usamah) sebagai ketua tentera Islam yang jujur, dipercayai oleh orang ramai dan di dalamnya ada pembesar-pembesar mereka. Nyata sekali, kalimat syahadat dapat mengatasi masalah perkauman. Kenapa manusia masih mahu mencari lagi selain daripada kalimat tersebut?
Bernad Show pernah berkata: "Islam telah mengiklankan persaudaraan semenjak seribu tiga ratus lima puluh tahun lalu, iaitu suatu masa yang tidak wujud dikalangan orang Rom, Eropah dan Amerika. Apabila anda bertanya kepada seorang Arab atau India, kepada Parsi (Iran) atau Afghan "Siapa anda?", dia menjawab, "Saya Muslim". Tetapi seorang Barat (bukan Islam) apabila anda bertanya kepadanya. “Siapa engkau?”, dia akan menjawab, “Saya Inggeris, Itali atau Amerika.” Orang-orang Eropah meninggalkan agama, sebaliknya, berpegang kepada kebangsaan dan keturunan mereka. Inilah sebesar-besar dalil menunjukkan, Islam dapat menyatupadukan antara beberapa percaturan fahaman dan perbezaan warna kulit, bahasa, tanpa memandang sebarang keturunan dan iklim.
Sejarah tidak dapat menafikan satu kenyataan bahawa, kaum minoriti bukan Islam dapat hidup dengan aman dan damai dalam negara yang kaum majoritinya mengucap dua Kalimat Syahadat. Sebaliknya, kaum minoriti Islam yang hidup dalam negara kaum majoriti bukan Islam, sukar untuk hidup dengan aman dan damai, kadang-kadang diusir, seperti di Burma dan Israel. Orang-orang bukan Islam dapat hidup dengan aman, damai dan makmur di negara yang majoritinya Islam, seperti di Malaysia ini. Demikianlah kenyataan yang dapat disaksikan pada hari ini.
Tak dapat dinafikan oleh sesiapa pun bahawa salah satu sebab yang menimbulkan persengketaan dan permusuhan sesama umat manusia, dahulu atau sekarang, yang sudah berlaku mahupun yang sedang berlaku, adalah berpunca dan lahir daripada penyakit perkauman dan fanatik kepada kaum masing-masing.
Fahaman sempit kaum Yahudi, dan fahaman kolot orang-orang Barat (bukan Islam) adalah diantara punca terbesar yang membawa dunia kini ke kancah pertelingkahan dan permusuhan yang tidak kunjung padam. Tuduhan ini tidak melulu dan bukan palsu. Apakah tidak benar kenyataan tersebut? Kalau orang-orang Barat itu tidak kolot, sebaliknya bersikap liberal, masakan mereka masih mahu menyokong dan membantu kaum Yahudi yang bengis dan kejam itu! Sedangkan mereka sendiri melihat kekejaman kaum Yahudi terhadap pelarian Palestin.
Manusia yang fanatik dan kolot sahaja yang akan menyebelahi manusia yang kejam dan jahat. Penyakit perkauman tidak dapat dihapuskan hanya dengan kenduri buah durian atau hidangan pulut kuning. Penyakit ini tidak dapat dilenyapkan hanya dengan pesta kebudayaan, melalui tarian atau nyanyian. Penyakit perkauman akan dapat di hapuskan hanya dengan kerelaan hati manusia turun sujud menerima kalimat Syahadat.
Kerana buktinya sudah jelas dan terang. Kegawatan umat Islam kini, dan perpecahan di kalangan mereka adalah berpunca daripada mereka kurang mengerti konsep syahadah itu sendiri atan akidah mereka telah dicemari dengan konsep-konsep lain yang dibawa oleh penjajah. Ini perlu diteliti sebelum kita membuat tanggapan terhadap masalah perpecahan di kalangan umat Islam. Malah perlu diteliti juga, apakah kepentingan kebendaan sudah mengatasi kepentingan pengabdian diri terhadap Allah Yang Maha Esa, atau sebaliknya.
Dalam usaha untuk menghapuskan penyakit perkauman, Al-Quran telah meletakkan beberapa konsep dan garis panduan yang unggul untuk manusia seluruhnya. Firman Allah s.w.t: "Wahai manusia hendaklah takut akan Tuhan yang telah menjadikan kamu yang satu". (al-N isa’: 1)
Perkataan “manusia” dalam ayat di atas merupakan suatu nilai yang amat tinggi menurut pandangan Islam. Kerana manusia yang dimaksudkan itu adalah tergolong di dalamnya lelaki dan perempuan, hamba dan raja, yang berkulit hitam dan putih, yang berhidung mancung dan berhidung penyek. Seolah-olah seruan itu melaungkan: Wahai manusia seluruhnya takutlah kepada Allah Yang Maha Esa, dan kembalilah kepada perdamaian dan perpaduan sejagat tanpa membezakan warna kulit, kaya miskin, tidak ada raja yang harus disembah, tidak ada manusia yang harus diperhinakan sebagai binatang, malah binatang juga harus diberi belas kasihan.
Perkataan manusia itu juga memberi gambaran kepada kita bahawa: perpaduan menurut kacamata Islam bukan terhad kepada sesuatu bangsa itu sahaja, sebagaimana Yahudi untuk Yahudi, Cina untuk Cina, Melayu untuk Melayu. Tidak, tidak demikian. Tetapi perpaduan menurut pandangan Islam untuk seluruh umat manusia di atas muka bumi ini. Segala hasil mahsul di atas permukaan bumi ini adalah segala usaha makhluk yang memerlukannya, tetapi harus dipergunakannya dengan cara yang baik, bukan dengan cara yang haram, dirompak, ditipu dan sebagainya.
Firman Allah s.w.t, "Tidaklah Kami utuskan engkau (hai Muhammad,), melainkan untuk memberi rahmat kepada manusia seluruhnya". (Al-Anbiya’: 107)
Walau pun manusia dijadikan Tuhan berlainan; berpuak-puak, bersuku-suku dan berbangsa-bangsa, malah berlainan bahasa, bukan bererti dijadikan untuk bermusuh-musuhan dan berkelahi sesama mereka, tetapi adalah untuk kenal-mengenali dan bekerjasama dalam sebuah masyarakat yang besar, dan juga untuk menginsafkan seluruh manusia tentang betapa berkuasanya Allah menciptakan manusia daripada setitik air mani dalam berbagai-bagai bentuk dan rupa, dan manusia tidak berdaya pula untuk mengubah apa yang telah diciptakan oleh Allah.
Firman Allah s.w.t, "Sesungguhnya Kami jadikan kamu lelaki dan perempuan dan jadikan kamu pula bepuak-puak dan berbangsa-bangsa supaya kamu berkenal-kenalan antara satu sama lain". (Al-Hujarat: 13)
Perkataan “takwa’’ dapat pula difahamkan bahawa seseorang itu tidak harus sombong dan bongkak sebagai suatu bangsa yang mulia kerana semata-mata memiliki kekayaan dan pangkat yang tinggi, sebab kemuliaan seseorang itu hanya dikira dan sejauh mana ketakwaannya kepada Allah Yang Maha Esa itulah saja tempat yang harus disembah dan dipuja, hasil daripada ketakwaan dan amal kebajikannya harus diperhitungkan sama ada seseorang itu mulia atau sebaliknya.
Firman Allah s.w.t: "Bahawa semulia-mulia kamu disisi Allah ialah yang paling bertakwa di antara kamu". (al-Hujurat: 13)
Dan perkataan ‘asal keturunan yang satu’ adalah menunjukkan kepada kita bahawa Islam menganggap manusia adalah satu; satu dalam keturunan, satu dalam kejadian, satu tempat hidup, satu tempat lahir dan akan kembali ke tempat yang satu, malah harus menyembah Tuhan yang satu, tegasnya satu, satu dalam segalanya. Firman Allah s.w.t : "Manusia itu adalah umat yang satu ". (a-Baqarah: 213)
Dari itu dapatlah difahamkan bahawa Islam adalah sebuah agama yang amat mementingkan perpaduan dan menggalakkan agar manusia bersaudara sejagat, tanpa memandang warna kulit, sempadan dan keturunan, kerana manusia kesemuanya daripada keturunan yang satu, iaitu Adam dan Hawa.
Ali bin Abi Talib ada berkata, yang bermaksud: “Manusia jika dikira daripada segi asal keturunan, adalah sama saja, ibu bapa mereka ialah Adam dan Hawa. Jika mereka mahu bermegah-megah dengan asal keturunan mereka yang mulia, maka tanah dan air adalah asal kejadian mereka.”
Jika seluruh manusia di permukaan alam ini sudah sedar dan insaf akan asal kejadian mereka yang sebenarnya, maka sudah tentu tidak akan lahir perbuatan hina-menghina dan rendah-merendahkan antara satu sama lain. Malah tidak akan berlaku permusuhan dan perkelahian sesama mereka. Kalimat syahadat di atas tadi, telah memberi erti kepada kita bahawa tiada Tuhan yang disembah dengan sebenarnya melainkan Allah: Allah sajalah tempat tumpuan segala makhluk, tiada hukum yang paling sempurna kecuali hukum Allah, Allahlah tempat rujukan bagi seluruh manusia dalam menyelesaikan segala masalah; baik urusan peribadi, masyarakat mahupun negara, masalah orang Islam mahupun bukan Islam.
Firman Allah s.w.t: "Maka jika kamu berbalah dalam suatu perkara maka hendaklah kamu kembali kepada Allah". (al-Nisa’: 59)
Dalam hal ini, seorang aktivitis Harakah Islamiah, al-ustaz Said Hawa, pernah menegaskan di dalam bukunya bahawa di antara sebab-sebab yang menimbulkan perbalahan dan persengketaan sesama umat Islam kini adalah sudah lupa sebahagian ayat-ayat Allah dan hukumNya. Dengan kata lain, mereka mengambil setengahnya dan menolak setengah yang lain, maka lantaran itulah mereka berpecah-belah dan bersengketa.
Ini berdasarkan firman Allah s.w.t : "Tetapi mereka sengaja, melupakan sebahagian daripada apa yang mereka telah diberi peringatan dengannya: maka kami timbulkan diantara mereka permusuhan dan kebencian sampai hari kiamat". (al-Maidah: 14)
Sesungguhnya, tidak dapat dinafikan bahawa punca persengketaan umat Islam adalah disebabkan sebahagian mereka memerintah dengan mengambil sebahagian hukum Allah tetapi menolak sebahagian hukum Allah yang lain. Umat Islam yang cintakan agamanya sudah tentu tidak akan berdiam diri apabila melihat keadaan demikian berlaku dihadapannya. Ini akan mengakibatkan pertembungan di antara golongan yang cintakan agamanya. Sebenarnya suasana inilah yang ada pada hari ini, yang membuatkan kaum muslim seluruhnya berada dalam keadaan dilema.
Untuk melenyapkan perbalahan dan persengketaan itu, maka umat Islam mestilah turun sujud menyembah Allah dan berhukum dengan hukum Allah dalam semua bidang kehidupan, dan mesti menghapus semua hukum ciptaan manusia daripada kamus hidup setiap Muslim. Keraguan terhadap kemampuan hukum Allah dalam menyelesaikan setiap masalah, termasuk masalah masyarakat majmuk, hendaklah dikikiskan daripada hati kaum Muslimin. Tegasnya, umat Islam haruslah kembali menghayati Islam secara syumul, baik peribadi, masyarakat dan negara.
Dalam semua tindakan, niat dan cita-cita umat Islam hendaklah dihadapkan kepada Allah semata-mata. Firman Allah s.w.t : "Katakanlah, sesungguhnya sembahyangku, ibadatku, hidupku dan matiku untuk Allah". (al-An’am: 162)
Seruan ulama-ulama Islam kembali kepada Islam secara syumul dengan berpandukan kepada Al-Quran dan Sunah adalah satu seruan yang suci dan satu usaha yang gigih dan amat penting dalam menyatupadukan umat Islam di negara ini dan negara-negara yang lain.
Dengan ini kita mesti berdakwah mengajak umat Islam supaya kembali kepada hukum Allah yang menepati konsep syahadah yang sebenarnya. Kita percaya, dalam dalam usaha ini, kita tidak akan terlepas daripada penentangan golongan yang buta agama dan golongan sekular yang berkembang biak di dalam masyarakat Islam.
Tegasnya, konsep tauhid yang terpancar daripada kalimat syahadah tadi adalah memainkan peranan yang terpenting dalam menyatukan hati kaum Muslimin seluruhnya. Gambarkan sahaja bagaimana keadaan yang bakal dicapai kalau kaum Muslimin sama-sama membuang kepentingan diri dengan menjunjung segala perintah Allah, setiap kali timbul perselisihan di kalangan mereka, masing-masing segera kembali kepada keputusan Allah dan RasulNya tanpa banyak bicara dan redha dengan hukum Allah.
Jika keadaan ini benar-benar berlaku, sudah pasti umat Islam tidak akan bergaduh lagi. Tetapi alangkah sedihnya manusia Iblis yang keras kepala serta tidak mahu tunduk kepada hukum Allah: masih ada berkeliaran dalam masyarakat, maka perjuangan Islam itu sentiasa tergugat, dan cita-cita untuk membawa kedamaian sering terbantut. Kita percaya itulah cara-cara ujian Allah terhadap hamba-hambaNya yang mukmin.
Apabila Islam menekankan bahawa teras atau asas perpaduan itu mesti bertitik tolak daripada konsep Syahadah atau Akidah, maka bagaimana Islam boleh mendirikan perpaduan dalam negara yang penduduknya adalah masyarakat majmuk? Apakah nasib yang akan diterima oleh orang-orang bukan Islam?
Persoalan-persoalan inilah yang sering dihadapkan oleh musuh-musuh Islam dan orang-orang Islam sendiri yang buta agama. Sesungguhnya, Islam telah menggariskan beberapa peraturan untuk orang-orang bukan Islam yang mendiami negara Islam. Kafir zimmi akan dilayan secara kafir zimmi, manakala kafir harbi akan dilayan secara kafir harbi. Untuk lebih jelas lagi, perhatikanlah kepada beberapa jawapan yang diberikan oleh Islam.
FirmanAllah s.w.t : "Tidak ada paksaan dalam agama". (al-Baqarah: 256)
Firman Allah s.w.t : "Dan jika mereka condong kepada perdamaian, maka condonglah kepadanya". (Al-Anfal: 61)
Sabda Rasulullah s.a.w : "Sesiapa yang menyakiti kafir zimmi maka sesungguhnya ia menyakiti diriku".
Untuk mengetahui hak-hak orang bukan Islam dengan lebih lanjut lagi bolehlah rujuk kepada buku Abul al-A’la Maududi di bawah tajuk: “Hak-hak bukan Islam Dalam negara Islam". Maka insyaAllah kita akan dapat jawapan apakah Islam boleh menjamin perpaduan ataupun tidak dalam masyarakat majmuk.
CETUSAN DARIPADA SEMANGAT SYAHADAH
Dua kalimat Syahadah merupakan satu tenaga yang amat kuat bagi mengikat hati dan jiwa berbagai-bagai kaum dan bangsa menjadi satu. Dengan ini, setiap Muslim yang terjebak ke dalam kancah perbalahan sesama sendiri, maka haruslah menyemak kembali, apakah keyakinan mereka, tindak-tanduk mereka sudah menepati konsep syahadah yang sebenarnya.
Dan hendaklah membersihkan akidah mereka jika terdapat gejala-gejala “riddah” dan “nifaq”, kerana dengan cara inilah kejernihan akan dapat diwujudkan kembali di kalangan umat Islam.
( Sumber : Majalah Hidayah )
0 ulasan:
Catat Ulasan