AKHIR ZAMAN NANTI ISLAM HANYA TINGAL NAMA
Oleh : Ahmad Idris
Ulama terkenal yang mendapat julukan "Hujatul Islam”, Imam Al-Ghazali dalam kitab HIDAYAHNYA menjelaskan:
Ketahuilah bahawa agama Isam itu berisikan dua hal :
- PERTAMA : meninggalkan semua larangan-larangan Allah,
- KEDUA : Adalah menunaikan segala perintah-perintahnya. Dan yang dua hal ini, yang lebih berat adalah meninggalkan larangan-larangan Allah, dan yang kedua adalah menunaikan perintahnya.
Empat belas abad yang lalu, pada saat-saat keemasan Islam bermula dibawah pimpinan baginda Muhammad s.a.w, Islam menjadi kebanggaan umat. Pengaruh Islam dengan cepat menyebar hampir ke seluruh dunia, pada hal jumlah umat Islam ketika itu baru sedikit kalau dibandingkan dengan yang lainnya.
Ini tidak lain berkat kekuatan akidah Islamiyah yang tertanam dengan kukuh dalam jiwa umat Islam ketika itu, dan ketaatan mereka dalam menjalankan agama sesuai dengan tuntutan Allah dan RasulNya, berdasarkan satu hukum yang bersumberkan dari Al-Quran.
Pada waktu itu Nabi Muhammad s.a.w memperingatkan kepada sahabat-sahabatnya, bahawa kelak di akhir zaman Islam hanya tinggal nama saja. Sebagaimana yang disebutkan oleh baginda dalam hadis riwayat Imam Baihaqi bersumber dari Ali r.a. yang ertinya: “Akan datang pada manusia satu zaman, dimana pada saat itu Islam tidak tinggal melainkan namanya, dan Al-Quran tidak tinggal melainkan tulisannya, masjid-masjid bagus tetapi kosong dari Hidayah, ulama-ulama termasuk manusia paling buruk yang berada di bawah langit, kerana dari mereka
timbul beberapa fitnah dan fitnah itu akan kembali kepada mereka.”
Dalam hadis tersebut dijelaskan bahawa kelak datang suatu masa dimana Islam akan tinggal nama saja, dan Al-Quran tinggal tulisannya saja, masjid-masjid kosong dari hidayah, serta ulama menjadi manusia yang paling jelek. Mengapa boleh terjadi Islam tinggal nama sahaja? Kerana banyak orang mengaku Islam, tetapi perbuatan sehari-hariannya, tidak mencerminkan moral Islam, hanya nama saja yang Islam.
Islam dijadikan sebagai alat untuk mendapatkan surat-surat penting dalam kegiatan hariannya, supaya ia menjadi mudah dan tidak mengalami sebarang kesulitan. Oleh itu kita jumpai di sana sini ramai orang Islam yang masih menderhakai syariat Islam. Sembahyang ikut kemahuannya sahaja, ada yang sembahyang seminggu sekali, dan ada yang sembahyang setahun dua kali.
Ada yang enggan mengerjakan puasa Ramadan, kerana dinilai dengan mengganggu kegiatan kerja, atau dengan alasan-alasan lain yang sengaja diada-adakan.
Begitu juga dengan kewajipan zakatnya, mereka tidak sedar bahawa harta yang dikuasainya itu adalah anugerah Allah s.w.t yang di dalamnya ada sebahagian hak bagi anak yatim dan fakir miskin. Tiba-tiba sahaja mereka menunaikan fardu haji tanpa mempedulikan harta yang digunakan untuk menunaikan fardu haji itu. Dengan bangga pulang dan tunaikan haji namanya diubah, ada gelaran “Al-Hajj” atau “Haji”, pakaian pun berubah dengan serban dan songkok putih di kepala, sedangkan perilakunya melanggar syariat Islam. Hakikatnya, haji yang demikian ini, tidak dikehendaki oleh agama Islam.
Isyarat Rasulullah s.a.w ini, rasanya memang sudah ada gejala-gejalanya sekarang, dimana minat mempelajari agama Islam semakin kurang, bahkan bahagian yang menyekolahkan anak-anak mereka biasanya dihubungkan ilmu ekonomi yang cerah dan menguntungkan anak-anak itu di masa depan.
Ibu bapa tidak mengambil sikap menyekolahkan anak-anaknya bagi mendalami agama Islam yang benar untuk disebarkan pada masyarakat umum. Banyak orang yang bercakap tentang Islam, padahal dirinya sendiri tidak mengamalkannya. Bijak memutar lidah untuk meyakinkan orang agar pencaya kepada dirinya bahawa dia benar-benar orang yang memperjuangkan agama Islam. orang yang mengaku dirinya berpengetahuan agama dan cuba merubah pekara-pekara yang haram semacam jadi halal. Malah hukum dalam Al-Quran kalau boleh mahu disesuaikan dengan zaman, bukannya keadaan zaman disesuaikan dengan ketentuan Al-Quran?
Sebenarnya, orang-orang jenis ini menyimpan sifat munafik. Sebagaimana sabda Nabi s.a.w, yang ertinya: “Kamu berbicara tentang Islam, tetapi kamu tidak mengamalkan ajarannya.”
Dalam satu hadis Rasulullah s.a.w. yang bermaksud: “Islam akan hancur sebagaimana hancurnya kain yang sangat buruk sehingga orang tidak akan mengetahui lagi apa itu puasa, apa itu solat, apa itu haji dan apa itu sedekah".
"Maka kitab Allah diterbangkan di malam hari, sehingga di bumi tidak tertinggal lagi satu ayat pun. Mereka berkata: Kamu dapati bapa-bapa kamu dahulu mengucapkan kalimah ‘tiada Tuhan melainkan Allah’. Dan orang-orang itu pun tidak mengetahui apa itu solat, apa itu puasa, apa itu haji dan apa itu sedekah.” (Hadis riwayat Ibnu Majah)
Dalam satu sabda Nabi s.a.w. yang lain diterangkan bahawa kelak Al-Quran akan kembali ke tempat asal turunnya, dengan secara yang mengaum, seperti mengaumnya lebah yang berterbangan, maka Allah bertanya: “Ada apa engkau?” Dia menjawab: “Ya Tuhan! Dari Mu kami turun, kepada Mu kami kembali. Kami dibaca, tetapi kami tidak diamalkan".
Maka sabda Nabi s.a.w ini agaknya sekarang sudah mula kita rasai kesannya didalam masyarakat Islam kita sekarang. Al-Quran boleh saja akan hilang dari atas muka bumi ini, dan cuma yang tinggal hanyalah tulisannya saja. Bacaannya akan diperindahkan buat mengikuti “Musabaqah” agar mendapat namanya terukir, tetapi kandungan isinya tidak diamalkan dalam kehidupan sehari-hari.
Termasuk juga isi hadis yang di atas tadi iaitu masjidnya banyak tapi kosong dari hidayah. Kalau kita mahu mengamatinya secara terperinci dengan saksama terutama di bandar-bandar besar, jemaah masjid makin hari makin ramai lebih-lebih kalau tiba bulan Ramadan, sehingga kadang-kadang masjid ataupun surau/madrasah tidak muat. Manakala khatib dan para penceramahnya juru dakwah yang kurang ilmu pengetahuannya dalam bidang agama, namun boleh dan mampu menyampaikan ceramahnya secara ilmiah, walaupun isinya secara halus memperdaya keaslian hukum Islam, sementara perilakunya tidak mewarnai sebagai seorang Islam, dan hatinya tidak lagi dapat hidayah dari masjid.
Dalam isyarat Rasulullah, s.a.w itu juga ada menyebut di akhir zaman akan ada ulama-ulama yang tergolong manusia paling jelek yang hidup permukaan di bumi ini. Tidak lain sebabnya ialah dari ulama-ulama itu timbulnya fitnah-fitnah dikalangan masyarakatnya, khususnya dikalangan umat Islam. Fitnah timbul dari permainan lidah, dengan fatwa menghalalkan yang haram termasuk urusan agama dianggap urusan dunia, da urusan dunia dianggap sebagai urusan agama yang harus ditaati.
Pada hakikatnya bahawa para ulama sebagai “bintang” yang dibuat pedonan bagi orang-orang yang mengalami kegelapan darat dan laut. Sebagaimana yang disabdakan oleh Nabi Muhammad s.a.w yang entinya : "Sesungguhnya perumpamaan ulama di bumi itu bagaikan bintang di langit yang dijadikan petunjuk oleh manusia di kegelapan darat dan laut. Apabila bintang itu terbenam maka mereka akan tersesat jalan". (HR Imam Ahmad)
Demikianlah apa yang telah diingatkan oleh Rasulullah s.a.w kira-kira lebih dari 14 abad yang lampau, dimana kesan-kesannya sudah pun kita rasai sekarang ini. Marilah kita sama-sama meningkatkan amal ibadat kita dan membawanya sebagai bekalan menghadap Allah s.w.t diakbirat kelak. Amin.
0 ulasan:
Catat Ulasan