Custom Search

Ahad, Ogos 10, 2008

Akui Quran Kitab Progresif

Tony Blair Akui Al-Quran Kitab Progresif


"Bagi saya perkara paling luar biasa berkaitan al-Quran ialah betapa progresifnya kitab ini. Saya menulis dengan penuh rendah diri sebagai seorang penganut agama lain. Sebagai orang luar, al-Quran saya anggap sebagai sebuah kitab yang membawa pembaharuan (reforming), cuba mengembalikan Judaisme dan Kristianiti ke asalnya, sebagaimana yang cuba dilakukan oleh para reformis kepada gereja Kristian berabad kemudian. Al-Quran bersifat inklusif, ia menyanjungi sains serta ilmu pengetahuan, dan membenci karut-marut. Ia praktikal dan mendahului zamandalam sikapnya terhadap perkahwinan, wanita dan pemerintahan/pentadbiran.”
-Tony Blair (Bekas PM Britain 1997-2007)-


Percaya atau tidak, ini adalah pandangan yang dilontarkan Perdana Menteri Britain, Tony Blair. Agak meragukan kerana ia datang daripada sekutu kuat Amerika Syarikat, penganjur ‘perang menentang keganasan’ yang dilihat segolongan besar umat Islam sebagai perang terhadap Islam.
Namun, ini adalah pandangan Blair yang disiarkan jurnal Foreign Affairs keluaran Januari/Februari 2007 dalam artikelnya yang bertajuk 'A Battle for Global Values'.

Hampir keseluruhan rencana tersebut pada dasarnya membincangkan perang menentang keganasan, yang menurutnya bukan sahaja mempunyai kaitan dengan keselamatan atau taktik ketenteraan, tetapi adalah satu peperangan nilai-nilai Barat yang mendukung demokrasi dan kebebasan di satu pihak, menentang ideologi fanatik keagamaan yang juga disebut sebagai ektremisme global di pihak lain.

Artikel ini memang baik dibaca mereka yang berminat dalam kajian oksidental kerana memberi gambaran jelas pemikiran seorang pemimpin besar Barat, khusus berkaitan Muslim dan dunia Islam. Bagi Blair, punca sebenar keganasan dan ektremisme global (sudah tentu yang dimaksudkan adalah pengganas dan ekstremis Islam) adalah peminggiran, pemangsaan dan penindasan politik yang berlaku di dunia Muslim dan Arab. Baginya, ajaran Islam yang berteraskan al-Quran bukanlah penyebabnya. Sebaliknya ajaran al-Quran mampu mengasaskan sebuah empayar yang mengetuai dunia dalam penerokaan pelbagai bidang ilmu, kesenian dan budaya. Malah toleransi lebih dirasai di bumi Muslim berbanding Kristian.

Bagaimanapun pada awal abad ke-19, dunia Arab dan Muslim terperangkap dalam ketidaktentuan, kekacauan dan bersifat defensif. Penjajahan, nasionalisme, penindasan politik dan radikalisme agama membayangi negara-negara Islam, dan ada yang melihatnya sebagai simptom kelemahan Islam. Maka radikal politik menjadi radikal agama, begitu sebaliknya.
Menurut Blair, kumpulan radikal agama (dilabelnya sebagai ekstremis) inilah yang memulakan satu ideologi, pemikiran dan doktrin agama, dan menyebarkannya ke seluruh dunia. Ikhwan Muslimin dengan sokongan ektremis Wahabi dinamakannya secara jelas.

Maka bagi Blair, kesilapan sebenar bukan berpunca dan Barat, tetapi dalam negara-negara Muslim. Pergolakan politik disebabkan tekanan pengganas atau ideologi ini di bumi-bumi Muslim, mengakibatkan ratusan ribu menjadi mangsa. Pergerakan ini menurutnya, hampir menyamai revolusionari komunis di peringkat awal kerana membawa ideologi, satu pandangan hidup, keyakinan yang kukuh dan fanatisme, walaupun tidak begitu tersusun.

Pada mulanya, pergerakan tersebut hanya mengakibatkan perbalahan di kalangan Muslim kerana ada yang menolak fanatismenya, kemudian beralih memerangi Barat dengan hasrat melabel perjuangan mereka sebagai peperangan antara Muslim dan Barat. Dan serangan 11 September adalah buktinya. Maka tegas Blair, keganasan bukan berpunca daripada pencerobohan Afghanistan dan Iraq, sebaliknya telah lama wujud, malah sebelum kejadian di New York itu.

Musuh ideologi ini bukanlah Barat semata-mata, tetapi termasuk Muslim, Kristian, Yahudi, Hindu dan mereka yang percaya kepada toleransi beragama, bersifat terbuka, percayakan demokrasi, kebebasan dan hak asasi manusia yang dianjurkan oleh pihak sekular. Bagi Blair, perjuangan di Iraq dan Afghanistan bukanlah pembebasan daripada penaklukan America Syarikat, sebaliknya matlamat sebenar ektremis tersebut adalah mengelak kedua-dua wilayah itu menjadi negara demokrasi. Malah, kini merekalah yang sengaja melakukan banyak
pembunuhan di Iraq dan Afghanistan.

Katanya lagi, asas ideologi para pengganas ini adalah ektremisme agama, mengikut versi mereka. Bagi mereka, dunia Muslim mestilah diperintah oleh satu oligarki agama yang bersifat semifeudal. Jadi, bagi Blair pekongnya adalah ideologi ini. Lantas beliau menegaskan, serangan pengganas bukan disebabkan penindasan Barat ke atas Muslim, masalah Palestin-Israel, atau pelanggaran Iraq dan Afghanistan.

Maka ideologi inilah yang harus diperangi. Idea-idea keganasan Islamis mesti dikalahkan, mereka mesti disedarkan bahawa sikap mereka terhadap Amerika Syarikat tidak munasabah, konsep pemerintahan yang dianjurkan telah ketinggalan zaman, dan pandangan mereka terhadap kedudukan Wanita serta penganut agama lain adalah reaktionari. Tugas dan tanggungjawab tersebut bukan hanya terletak di bahu Amerika Syarikat, kata Blair. Sekali gus menegaskan Britain adalah sekutu kuat kuasa besar itu, dan tidak akan membiarkannya ‘berjuang’ sendirian.

Dalam era globalisasi ini menurutnya, pertembungan antara ektremisme dan kemajuan dalam menentukan masa depan. Bagi Blair, ideologi ekstremis bukan sahaja tidak disenangi Barat, tetapi juga majoriti umat Islam. Mereka menolak pemerintahan diktator, teokratik mahupun sekular, dan inginkan demokrasi yang dianjurkan Barat. Yang menjadi penghalangnya adalah pejuang-pejuang jihad, penyokong kuat Saddam dan pemberontak di Iraq, dan tauke-tauke dadah, Taliban dan al-Qaeda di Afghanistan.

Blair mengakui, Barat juga melakukan kesilapan dan melanggar hak asasi manusia dalam usaha mereka memerangi keganasan, tetapi tidak mengulasnya secara lanjut. Beliau sebaliknya menegaskan mereka di pihak benar kerana memperjuangkan demokrasi serta menentang keganasan. Malah pantas pula menjelaskan mereka berhasrat mendatangkan keamanan di Iraq, sebaliknya usaha-usaha itu disabotaj golongan ekstremis.

Blair tidak melihat kekacauan di Iraq sebagai reaksi spontan rakyat negara itu menentang penaklukan Arnerika Syarikat, sebaliknya sebahagian daripada strategi ekstremis, seolah-olah semua itu digerakkan satu kumpulan besar yang tersusun. Dengan menolak kritikan dan perbahasan mengenai betul atau salah menjatuhkan Saddam dan Taliban, Blair membayangkan perjuangan Barat untuk menerapkan nilai-nilainya hampir berjaya.

Langkah pertama, menganjurkan demokrasi dengan mengadakan piliharaya di Iraq dan Afghanistan, dan menjaga keamanan mendapat sokongan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu.
Matlamat sebenarnya bukan hanya menukar rejim tetap mengubah nilai. Bagi Blair, ini adalah satu pertempuran berkaitan modeniti, sesetengah boleh dilakukan, dan dimenangi dalam Islam. Namun ektremisme bukanlah suara sebenar Islam, katanya. Jutaan muslim di dunia inginkan kebebasan, bertoleransi dan menghormati agama lain.

Menurut Blair, idea dan nilai Barat inilah yang ingin dijaja ke seluruh dunia, dan mereka tidak boleh lagi berpeluk tubuh. Mereka ingin membuktikan Islam ektremisme bukanlah jawapannya, dan nilai-nilai Barat itulah yang terbaik. Dan jika Barat ingin menang, maka mereka perlu lebih berani, konsisten dan memperjuangkan nilai-nilai tersebut secara menyeluruh.

Antara caranya ialah memperkukuhkan kedudukan golongan moden, moderat dan berada dalam arus perdana di dunia Islam, agar mereka dapat mengalahkan penentang-penentang mereka yang reaksionari. Mereka juga harus menonjolkan nilai-nilai tersebut bukanlah nilai-nilai Amerika atau Anglo-Saxon, sebaliknya nilai-nilai sejagat yang sesuai dipegang warga global. Untuk itu, sokongan golongan yang percaya kepada nilai sama perlu diperolehi.

Blair juga menegaskan, usaha menerapkan nilai tersebut bukan hanya khusus untuk negara-negara Islam yang berhadapan masalah ektremis dan pengganas, tetapi di negara-negara yang rakyatnya hidup dalam ketakutan, tidak demokratik dan mundur seperti Myanmar, Korea Utara, Sudan atau Zimbabwe.

Semua ini tegas Blair, memerlukan dasar luar yang membolehkannya terbabit secara langsung. Sekali lagi, Blair menekankan peri pentingnya menyokong Amerika Syarikat, walaupun ada kalanya kuasa besar ini boleh menjadi ‘sahabat’ yang menyusahkan. Katanya, dunia memerlukan pembabitan Amerika Syarikat, dan yakin masalah-masalah yang dilhadapi Sekarang tidak mungkin dapat diselesaikan tanpanya.

(Sumber : Al-Islam Mac 2007)

Image Hosted by ImageShack.us
Editor : Kemunduran dan penindasan terhadap umat Islam bukanlah kerana ajaran agama Islam, tetapi kerana sikap dan pemahaman umat Islam itu sendiri. Golongan pelampau dalam Islam lebih menonjol dan lebih kuat daripada golongan Islam yang sepatutnya menjadi pemimpin, pelindung dan pembela kepada umat Islam. Sebagaimana dalam pos saya berkaitan kelemahan organisasi, kerana tiada tindakan tegas terhadap golongan ini maka pihak luar yang lebih kuat mengambil alih untuk campur tangan menyelesaikan masalah yang tidak dapat diselesaikan oleh pemimpin Islam yang lemah disamping mengambil kesempatan untuk mengaut kekayaan di bumi Islam.

0 ulasan:

Contact Me

Sekiranya anda ada sebarang pertanyaan atau cadangan, sila guna borang di bawah :

Template by - Abdul Munir | Daya Earth Blogger Template