Steve Paul Jobs Menjadikan
Komputer Mudah Digunakan
Komputer Mudah Digunakan
Steve Paul Jobs dilahirkan pada 24 Februari 1955. Dia dibesarkan oleh keluarga angkat, Paul dan Clara di Mountain View dan kemudian di Los Altos, California. Bapanya seorang pakar mesin di Spectra-Physics dan kecenderungan awalnya terhadap mesin banyak dipengaruhi oleh pekerjaan bapanya ini.
Jobs tidak menyukai alam persekolahannya, dan disebabkan itulah dia ikut berpindah ke Los Altos bersama keluarga angkatnya. Di sana dia dimasukkan ke Sekolah Tinggi Homestead. Menurut guru elektroniknya, Jobs adalah seorang pelajar yang sering bersendirian dan sentiasa mempunyai pandangan yang berbeza dalam banyak perkara. Sewaktu Jobs masih baru di sekolah tinggi itu, William Hewlett menawarkan pekerjaan sambilan pada musim panas pada Jobs di sebuah kilang Hewlett-Packard di sana.
Di sinilah Jobs, pada waktu itu berusia 13 tahun, bertemu dengan lelaki yang kemudian menjadi rakan rapatnya dan sama-sama mencipta “komputer peribadi yang pertama di dunia.” Lelaki itu ialah Steve Wozniak, berusia 15 tahun dan merupakan seorang pelajar tercicir. Pada peringkat awal persahabatan mereka, Jobs membantu Wozniak menjual sejenis alat yang boleh disambungkan ke telefon untuk membuat panggilan jarak jauh yang dipanggil “kotak biru.” Alat ini dicipta oleh Wozniak secara haram. Selain meneruskan persekolahan, bekerja sambilan di kilang dan menjadi jurujual kepada Wozniak, Jobs juga membuat kerja-kerja membaiki stereo.
Dalam 1997, Jobs tamat sekolah tinggi dan kemudian melanjutkan pelajaran ke Reed College tetapi hanya dapat bertahan selama satu semester sahaja. Walaupun gagal meneruskan pengajian, Jobs masih tinggal di kawasan kampus dan terus mengikuti kelas mata pelajaran falsafah serta mendalami hal-hal berkaitan pertentangan budaya.
Dalam 1974, Jobs mula bekerja sebagai pereka bentuk permainan video di Atari. Inc., iaitu sebuah syarikat pembuat permainan video yang pertama. Setelah beberapa bulan bekerja dan berjaya mengumpul sedikit wang, Jobs bersama seorang kawannya pergi ke India untuk mencari jawapan kepada permasalahan keyakinan yang dialaminya. Apabila dia pulang, Jobs mula menghadiri pertemuan mingguan Kelab Komputer anjuran Wozniak. Sementara Wozniak didapati begitu berminat dengan hal-hal berkaitan elektronik, Jobs pula lebih menumpukan perhatian pada usaha memasarkan produk elektronik.
Jobs mempelawa Wozniak bekerjasama dengannya membangunkan sebuah komputer peribadi dan Wozniak bersetuju. Dengan hasrat yang tinggi untuk membawa teknologi komputer kepada semua orang yang ada pada Jobs, serta “bakat kejuruteraan” yang cemerlang yang ada pada Wozniak, mereka menjadi satu pasukan yang mantap. Kerja mereka bentuk Apple I dibuat di bilik tidur Jobs. Manakala kerja membangunkan prototaip dijalankan di garajnya. Untuk membiayai syarikat mereka, Jobs menjual van Volkswagennya. Sementara Wozniak pula menjual mesin kira berprogram yang diciptanya.
Hasilnya, mereka berjaya mengumpulkan kira-kira USD1,300. Beberapa minggu selepas itu Jobs berjaya membuat jualan yang pertama, 50 buah komputer Apple I dengan harga USD666 sebuah, dan Apple Computers Inc. pun lahir. Kejayaan Apple I membawa kepada wujudnya Apple II. Apple II disifatkan sebagai Volkswagen bagi "komputer” kerana bentuk badannya yang langsing dan anggun, diperbuat daripada plastik, dan mempunyai logo sebiji epal yang telah digigit.
Ada tiga sebab utama mengapa Apple II begitu berjaya :
- Pertama, kerana ia mempunyai sistem terbuka yang membolehkan peralatan lain seperti modem ditambah kemudian.
- Kedua, selepas 1978. Apple II didatangkan dengan pemacu cakera yang dbangunkan oleh Wozniak.
- Dalam musim luruh pada 1979, dua orang pencinta Apple telah membina sebuah program spreadsheet yang hanya boleh digunakan dengan Apple Computer.
Selepas projek Apple III dan komputer Lisa gagal ( Apple III cacat dari segi reka bentuk, manakala komputer Lisa pula, walaupun ia mudah digunakan tetapi harganya terlalu mahal ) Apple memperkenalkan Macintosh. Ia direka bagi menyaingi PC, dan pada hari Super Bowl Sunday dalam 1984, ia diperkenalkan dengan jaminan “1984 seolah-olah tidak seperti 1984.” Macintosh, komputer peribadi pertama yang begitu mudah digunakan itu disifatkan oleh Jobs “bukan sekadar hebat...malah luar biasa hebatnya.”
Kehadiran Macintosh merupakan satu kejayaan besar. Dalam tahun pertama pengeluarannya, 400,000 unit mampu dijual, tetapi hal ini tidak dapat menghalang berlakunya pergeseran di dalam Apple. Dalam 1985, Wozniak meninggalkan Apple dan Jobs pula diturunkan pangkat oleh Scully. Jobs turut meninggalkan Apple dan menubuhkan syarikat sendiri, NeXT, dan memfokuskan usaha menghasilkan program pendidikan berkomputer. Walaupun ia
gagal mendapat pasaran yang baik, namun “konsep stesen-kerja, tahap grafik
tinggi dan teknologi jauh ke depan", yang ada pada produk tersebut telah membolehkan Jobs diberi Anugerah Pencapaian Sepanjang Hayat, Persatuan
Penerbit Perisian 1989.
Pada penghujung 1996, Apple berada dalam keadaan terdesak dan benar-benar memerlukan sebuah sistem operasi yang baru. Akhirnya, Apple membeli NexT daripada Jobs dengan harga $400 juta. Enam bulan selepas itu, setelah Ketua Pegawai Eksekutif Apple, Gil Amelio menarik diri, Jobs kembali semula ke Apple sebagai Ketua Pegawai Eksekutif “interim” sehingga hari ini.
( Sumber : Wasilah Julai 2000 )
0 ulasan:
Catat Ulasan