Siapa tak kenal Bill Gates, seorang genius yang telah mengubah cara penggunaan komputer agar lebih mudah digunakan melalui penciptaan perisian Windows yang menjadi asas kepada apa jua program-program komputer dan internet hari ini. Berikut merupakan artikel mengenai latarbelakang beliau untuk dijadikan sebagai contoh teladan untuk kita terus berusaha sehingga bejaya.
Mengenali Kehidupan Mencabar Bill Gates
Menjadi orang paling kaya dan berjaya di dunia boleh dikatakan impian setiap orang, kalaupun bukan cita-cita setiap insan. Namun begitu, menjalani kehidupan sebagai orang paling kaya dan berjaya di dunia tidaklah semudah yang dikhayalkan. Banyak juga onak dan durinya. Itulah yang dialami Bill Gates, pemilik Microsoft sebuah syarikat gergasi dalam bidang pengeluaran perisian komputer. Berusia 52 tahun, beliau dianggarkan bernilai 56 billion dolar dan merupakan orang yang terkaya di dunia.
25 tahun lalu, sewaktu berusia 27 tahun beliau adalah Ketua Eksekutif (CEO) termuda memimpin syarikat yang begitu besar — Microsoft. Ia menghasilkan Windows, sebuah perisian yang begitu popular di kalangan pengguna komputer seluruh dunia. Masyarakat antarabangsa kagum dan kaget atas kejayaan anak muda ini. Ramai yang cemburu dan ramai pula yang bercita-cita mahu menurut jejak langkahnya. Gates disifatkan manusia luar biasa abad ini, inovasinya sukar ditandingi. Cetusan pemikirannya menjadi rujukan peminat komputer.
Meskipun ramai menyanjunginya dan ingin bernaung di bawah syarikatnya, Gates lebih dikenali di kalangan pesaingnya sebagai pemilik “Syarikat Perisian Berhantu’ ini kerana syarikatnya yang begitu besar dan kukuh daripada segi kewangan dan pengaruh terlalu sukar ditandingi. Apatah lagi untuk ditewaskan. Mereka menyifatkan Gates dan Microsoft memonopoli industri perisian. Mereka berasa teraniaya kerana kebanyakan peluang yang ada dalam bidang teknologi perisian hampir semuanya direbut dan dikuasai Microsoft.
Dikatakan ada usaha menyekat kemaraan Microsoft daripada terus menguasai pasaran dan ia turut melibatkan kerajaan Amerika. Gates didakwa melanggar Akta Perlindungan dan sehingga kini proses penghakiman kesnya masih berlangsung. Tuduhan yang dikenakan ke atasnya menimbulkan kemarahan Gates. Lelaki lemah lembut dan kelihatan bersopan itu menjadi begitu berang. Baginya, Microsoft tidak melakukan sebarang kesalahan. Microsoft beroperasi mengikut peraturan yang betul.
“Apabila kita berjaya, terlalu mudah bagi orang membuat kesimpulan dan andaian” kata Gates. “Apa sahaja yang kita lakukan ditafsirkan bukan-bukan” tambahnya. Apa sahaja yang dilakukan Microsoft disifatkan usaha menguasai pasaran. Sehinggakan sumbangan beliau kepada perpustakaan Harvard dianggap salah satu jalan meluaskan pasaran perisiannya. Bukan sekadar itu, perihal peribadinya juga turut dikaitkan. Kediaman mewah yang dibina di piniggir sebuah tasik itu dikatakan lambang Gates memiliki sifat Fizgerald, seorang yang mementingkan diri, penakluk dan membezakan taraf diri. Walhal sebenarnya menurut Gates, kediaman itu dibina sebegitu rupa adalah untuk menjelmakan apa yang tersirat di sebalik percintaannya dengan isterinya Melinda.
Namun begitu, meskipun dituduh bersikap tamak dan cuba memonopoli industri perisian dunia, namun Gates diakui sebagai dermawan dan filantropis. Dia adalah penderma yang paling banyak membuat sumbangan di Amerika. Melalui yayasan miliknya, Bill and Melinda Foundation, Gates menyalurkan 17 bilion dolar bagi tujuan kebajikan, mengatasi sumbangan semua yayasan kebajikan yang ada di Amerika. Dan jumlah sumbangannya itu meningkat seiring dengan peningkatan kekayaannya.
Menjadi kaya dan ternama memerlukan pengorbanan. Berikutan kerapnya muncul di kaca tv berserta imej kontroversi yang dikaitkan dengan syarikatnya, kehidupan sosial Gates berubah. Beliau diburu pemberita. Pergerakannya tidak lagi sebebas dahulu. Ke mana sahaja pergi, akan ada orang meminta tandatangannya dan mengemukakan persoalan dan pandangan. Ada kalanya persoalan itu begitu menyakitkan. Namun, beliau masih mampu bersikap ramah dan mesra. “Kemesraan yang ditunjukkan Gates sangat penting bagi Microsoft” kata seorang kakitangan Microsoft.
Satu-satunya “daerah” yang bebas buat Gates bila berada di sisi keluarganya. Keluarga adalah sumber inspirasi dan kekuatan Gates. Beserta dua orang saudara perempuannya, Gates membesar dalam sebuah keluarga yang memiliki ikatan yang begitu rapat di kalangan ahli-ahlinya. Bapanya peguam terkenal,ibunya aktivis kebajikan. "Kami begitu rapat dan mesra, kami sering melakukan sesuatu bersama. Seolah-olah seperti satu kumpulan” menurut Gates.
Baginya apa yang ditunjukkan oleh keluarganya itu merupakan satu model kerjasama yang sangat baik.
“Dalam usia 20-an, saya bekerja terlalu gigih tetapi kini kehidupan saya lebih seimbang, Saya rasa lebih matang" kata Gates apabila merumuskan perjalanan hidup yang pernah dilaluinya. Teman-teman rapatnya sangsi sama ada Gates mampu menjadi seorang ayah yang baik kerana selama ini mereka menganggap Gates hanya memikirkan hal-hal yang berkaitan dengan logik dan teknologi. Tidak cenderung kepada kanak-kanak. Akan tetapi anggapan itu ternyata meleset.
Setelah dikurniakan dua orang cahaya mata, Jennifer dan Rory, hasil perkahwinannya dengan Melinda. Gates telah membuktikan sebaliknya. Dalam kesibukannya menguruskan Microsoft, beliau memastikan masa bersama anak-anaknya tidak terjejas. Bahkan Gates menyatakan antara faktor pengimbang dirinya adalah anak-anak dan isterinya. Melinda, isterinya memilih menjadi orang yang tidak dikenali ramai. Beliau berusaha mengelak publisiti berlebihan. Ia bertujuan mengelakkan dirinya dan anak-anaknya diburu dan diperhatikan.
Selain itu, dia juga bertindak pengimbang dan sekali gus melindungi Gates yang hilang kebebasan akibat terlalu terkenal. Melinda dan anak-anaknya tidak mempunyai kesulitan untuk bersiar-siar di tempat awam. Tidak ramai yang mengenali mereka. Hal ini ternyata berbeza dengan Gates. Suatu ketika sewaktu mereka makan di luar, Gates terpaksa mencari tempat duduk yang agak tersorok dan dilindungi Melinda untuk mengelak diganggu.
Dua kali dalam setahun, Gates akan ke Hood Canal di Washington. Di situ beliau meluangkan masa beberapa minggu bagi tujuan berfikir. Dengan berbekalkan memo-memo dan juga perisian, beliau menghabiskan masa berfikir mendapatkan wawasan yang lebih cemerlang. Masa-masa terluang yang ada digunakan bersama sahabat-sahabatnya, mengadakan permainan atau aktiviti yang rnencabar, selain bersuka ria.
Gates terdidik sebagai peneroka cabaran. "Dia dibesarkan dalam sebuah keluarga yang mengajarnya untuk beriaya, dan permainan adalah salah satu cara mengujinya” kata McCaw, salah seorang sahabatnya. Dalam setiap permainan, Gates sentiasa ingin menang dan berjaya. Gates, juga suka bermain golf.
Apa pun, lelaki yang pernah dan masih menggemparkan dunia perkomputeran ini terus memfokuskan dirinya mencari inovasi baru. Beliau masih percaya perisian mampu merubah dunia.
Adaptasi Muhammad Nor Samad - Newsweek Ogos 1999
( Sumber : Wasilah Disember 1999 )
0 ulasan:
Catat Ulasan