Custom Search

Ahad, Ogos 03, 2008

Budaya Kerja Cemerlang

Islam begitu menitikberatkan etika kerja cemerlang. Etika kerja cemerlang sebenarnya bukan milik atau hak seseorang individu atau mana-mana kelompok masyarakat, sebaliknya ia meliputi keseluruhan pegawai dan kakitangan kerajaan dalam sesebuah organisasi itu.

Kesan daripada etika atau budaya kerja cemerlang ini akan menjadikan sesebuah organisasi itu maju dan berjaya kerana mempunyai pegawai dan kakitangan yang berkeupayaan tinggi. Mereka berkhidmat dengan penuh dedikasi, patuh kepada arahan atau peraturan-peraturan yang telah ditentukan o!eh pihak pengurusan dari semasa ke semasa.

Budaya kerja cemerlang sebenarnya adalah hak setiap individu di dalam setiap organisasi, bermula dan peringkat atasan hinggalah di peringkat bawahan seperti buruh, tukang kebun, pelayan pejabat dan jawatan-jawatan seumpamanya. Apabila budaya kerja cemerlang ini dapat diserapkan ke dalam minda setiap pegawai dan kakitangan kerajaan itu, maka hasilnya akan tinggilah kualiti dan kuantiti kerja setiap individu itu dan seterusnya peningkatan produktiviti.

Apabila setiap orang pegawai dan kakitangan itu dapat menunjukkan tahap kecemerlangan dalam bidang kerjaya masing-masing, maka hasilnya akan bertambah majulah negara dan rakyatnya pula akan dapat menikmati taraf hidup yang lebih baik dan sempurna.

Islam sebagai agama yang syumul, begitu menggalakkan umatnya bekerja keras, dan berusaha meningkatkan taraf hidup agar mereka bebas daripada belenggu kemiskinan, kerana kemiskinan adalah musuh manusia.

Dengan kata lain, apabila budaya kerja cemerlang itu ada pada setiap individu, sudah pasti ia akan mendapat keuntungan, bukan sahaja selama hidup di dalam dunia ini, tetapi juga di akhirat kelak. Ini kerana setiap yang kita kerjakan dapat memberi sumbangan bukan sahaja kepada diri sendiri, tetapi juga keluarga, bangsa dan seterusnya negara. Dan ini adalah dikira sebagai satu amalan ataupun ibadah yang dituntut oleh Islam.

Niat


Apa jua yang kita buat atau lakukan, ia hendaklah disertai dengan niat kerana Allah s.w.t., sama juga seperti kita menunaikan sembahyang fardu lima waktu sehari semalam. Tanpa niat yang baik, sudah pasti amalan kita tidak akan diterima. Demikian juga dalam mencari kerja atau mencari rezeki, tentu ada matlamat, dan disertai dengan niatnya sekali.

Tujuan kita bekerja sebenarnya adalah untuk menyara diri sendiri, keluarga dan seterusnya memberikan sumbangan bakti kepada agama, bangsa dan negara. Justeru, setiap pekerjaan yang kita lakukan, termasuk makan gaji sama ada dengan pihak kerajaan ataupun swasta hendaklah seimbang.

Jika kita mendapat gaji penuh, maka waktu bekerja pula hendaklah cukup atau menepati waktunya kerana jika kita bekerja sambil ewa atau sering ponteng daripada menjalankan tugas dan kewajipan, sudah pasti akan ditanya Allah di akhirat nanti.

Sesungguhnya sikap malas dan kurang bersemangat untuk memajukan diri, terlalu mementingkan diri sendiri, dan rapuh dengan pegangan agama sudah pasti akan membantutkan usaha untuk melahirkan generasi pekerja yang cemerlang dan terbilang.

Pekerja sebeginilah yang selalunya menjalankan tugas dan tanggungjawab dengan seada-adanya sahaja. Apabila ada arahan daripada ketua, barulah bekerja, selepas itu kembali duduk hingga sampai waktu balik bekerja atau rehat.

Pegawai dan kakitangan yang menghadapi sindrom atau tabiat yang kurang baik ini, perlulah diberikan kursus atau motivasi diri dan memerlukan pengawasan secukupnya. Mereka harus sedar terutama sekali mengenai hubungan pekerjaan dengan pemberian rezeki yang menjadi sumber kehidupan di sepanjang perkhidmatan, sama ada dengan pihak kerajaan ataupun swasta.

Dan dalam hubungan ini, Allah Taala telah berfirman dalam surah al-Asr, ayat tiga yang bermaksud: “Demi masa, sesungguhnya manusia itu benar-benar berada dalam kerugian. Kecuali orang-orang yang beriman dan mengerjakan amal soleh dan nasihat-menasihati supaya mentaati kebenaran.”

Maksud ayat ini selain daripada memberikan peringatan kepada mereka yang tidak menggunakan masanya dengan sebaik-baiknya. Mereka tergolong dalam golongan orang yang rugi kerana banyak membuang masa di luar pejabat atau menyalahgunakan kuasa bagi mereka yang telah diamanahkan oleh pihak yang berkenaan. Kesan daripada sikap yang tidak bertanggungjawab ini sudah tentu akan melibatkan banyak pihak termasuklah para pelanggan yang sentiasa berurusan dengan mereka.

Akhir sekali, marilah kita renungkan pula apa kata seorang negarawan Amerika, iaitu John F. Kennedy yang berbunyi, “Jangan ditanya apakah sumbangan negara kepada kamu, tetapi tanyalah apa yang boleh kamu sumbangkan kepada negara.”

Kata-kata hikmat dan padat ini harus menjadi pedoman yang berguna jika kita ingin maju, dan memberikan sumbangan ke arah kecemerlangan, bukan sahaja kepada negara tetapi juga bagi diri sendiri, keluarga dan masyarakat sekeliling.

(Sumber : Majalah Al-Islam Mei 2008)

Image Hosted by ImageShack.us

0 ulasan:

Contact Me

Sekiranya anda ada sebarang pertanyaan atau cadangan, sila guna borang di bawah :

Template by - Abdul Munir | Daya Earth Blogger Template