Custom Search

Ahad, Ogos 31, 2008

Al-Kisah Pak Syeikh



BANYAKKANLAH AMAL RAMADHAN AL-MUBARAK


Kita sudah pun masuk gerbang Ramadan, bulan yang penuh “barakah”, bulan yang nilainya terlalu besar tinggi.

Pak Syeikh harap, kita selaku umat Islam gunakanlah Ramadan al-mubarak ini dengan sebaik-baiknya dengan mengerjakan perintah Allah iaitu “berpuasa” sebulan penuh.
Tambahkanlah dan gandakanlah amalan harian kita. Kalau dulu kita jarang membaca al-Quran, maka dalam bulan Ramadhan ini bacalah, hayatilah al-Quran sebanyak mungkin.

Allah s.w.t. telah menyediakan ganjaran-ganjaran yang besar kepada mereka yang melakukan amalan baik, amal kebajikan dalam bulan Ramadhan al-mubarak ini. Walaupun Ramadhan datang setiap tahun tetapi kita tidak pasti, apakah usia kita masih lagi Allah s.w.t. pinjamkan sehingga kita bertemu lagi Ramadan tahun depan?

Pak Syeikh banyak mendengar ceramah, sama ada dari mulut orang-orang agama menerangkan tentang fadhilat puasa, dan keagungan bulan Ramadhan. Pak Syeikh cuma nak ingatkan satu perkara, kebanyakan dari kita ini sering menyebut “bulan puasa”. Sebenarnya, bukanlah bulan puasa, tetapi bulan Ramadhan, dimana di dalam bulan Ramadhan itu disyariatkan atau pun diperintahkan kita berpuasa.

Dan dalam bulan Ramadhan itu juga diturunkan al-Quran. Semua ini, ada diterangkan dalam kitab suci al-Quran dan dari lisan Nabi Muhammad s.a.w. yang disampaikan kepada kita. Pak Syeikh berharap janganlah ada diantara kita ini yang cuba mengabaikan ibadat puasa ini. Sebenarnya, perintah puasa yang disyariatkan kepada umat Nabi Muhammad agak ringan, jika dibandingkan dengan ‘puasa’ yang disyariatkan kepada umat-umat lain.

Para ulama “klasik” ada menjelaskan tentang puasa yang dilakukan umat-umat dulu, ada berpuasa sepanjang hari. Tetapi umat Muhammad berpuasa cuma siang hari sahaja, dan pada malamnya bolehlah berbuka. Begitulah ringan dan kemudahan yang diberikan oleh Allah s.w.t. Kenapa kita abaikan?

Apakah kita mahu mengabaikan keringanan yang sudah dianugerahkan itu? Pak Syeikh pernah terbaca dalam satu riwayat tentang orang-orang meninggalkan ibadat puasa ini tanpa apa-apa uzur syarak, dosanya besar sekali. Kalau orang itu mahu membayar puasanya itu sehingga hari kiamat sekalipun (kalau ditakdirkan dia hidup) tidak lupus bayarannya kerana dia meninggalkan sehari puasanya tanpa apa-apa alasan.

Pak Syeikh berharap, kita hadapilah ibadah puasa ini dengan penuh keimanan dan sentiasa bertakwa kepada Allah s.w.t. Dan Pak Syeikh harap, kita tentulah tidak mahu ada cerita orang-orang Islam diberkas kerana makan siang hari dalam bulan Ramadhan ini.
Harap-harap juga, tidak ada orang beli nasi bungkus di siang hari dan membawanya balik ke rumah atau pun ke pejabat. Dan harap-harap juga tidak ada orang-orang Islam yang membuka warung dan menjual nasi dan makanan pada siang hari sepanjang bulan Ramadhan, kecualilah “dipasar Ramadhan” sahaja pada setiap petang.

Pak Syeikh - Mahu jadi Pengawas Sukarela

MORAL MANUSIA SEMAKIN BURUK TAHUN KE TAHUN

Pada suatu saat Pak Syeikh memegang sebuah buku agama yang membicarakan tentang soal ibadat puasa. Tiba-tiba terlihat satu firman Allah dalam surah Al-Ankabut ayat 6 yang maksudnya: “Sesungguhnya Allah tidak memerlukan alam seluruhnya".

Kemudian Pak Syeikh membaca ulasan pengarang kitab itu. Katanya: “Allah tidak memerlukan bumi dan langit. Tidak memerlukan malam dan siang. Tidak memerlukan terang dan gelap. Tidak memerlukan panas dan hujan. Tidak memerlukan haiwan dan tumbuhan. Tidak memerlukan manusia dan lain-lainnya.”

Bagi pandangan Pak Syeikh, segala-galanya yang Allah s.w.t. ciptakan yang disebutkan ini adalah untuk keperluan manusia semata-mata. Allah mencipta manusia untuk beribadah kepadaNya.
Ibadat yang kita buat itu tidak diperlukan olehAllah, tetapi kita sendirilah memerlukan ibadat untuk kebaikan kita juga.

Pada Pak Syeikh, Allah tidak perlukan ibadat kita, tetapi Allah redha terhadap kita manusia yang beribadat itu, maka Allah perintahkan agar kita sebagai manusia melakukan ibadat untuk mendapatkan keredhaan Allah jua. Begitu juga Allah menjadikan alam ini untuk kemudahan kita sebagai manusia semata-mata untuk kita melakukan ibadat terhadap Allah s.w.t.

Pak Syeikh fikir, kita sangatlah beruntung kerana dengan rahmatNya, Allah menurunkan hujan ke muka bumi ini, bumi terus beredar menurut apa yang sudah diaturkan oleh Allah, dan tumbuh-tumbuhan terus menghijau, dan buah buahan melimpah-limpah yang Allah kurniakan kepada manusia, kerana kita masih terus mengingati Allah s.w.t.

Kalau semua manusia semuanya tidak mengingati Allah lagi, tentulah Allah akan hancurkan seluruh alam ini. Yang demikian Pak Syeikh ingatkan kita sebagai umat Islam hendaklah patuh kepada perintah Allah dengan meninggalkan segala laranganNya. Sekarang ini, apa yang Pak Syeikh lihat, manusia sudah banyak tidak patuh kepada perintah Allah. Manusia semakin “jahat”, semakin tidak bermaruah.

Manusia zaman sekarang semakin “kurang ajar”. Kebanyakan anak remaja sudah tidak lagi menghormati orang-orang tua. Akhlak atau pun moral semakin menurun, semakin tidak dapat dikawal. Ibu bapa nampaknya semakin jadi “lemah” terhadap anak-anak sendiri. Inilah yang apa selalu Pak Syeikh tulis menandakan dunia sudah terlalu tua. Usianya sudah hampir pada penghujungnya.

Nabi Muhammad s.a.w. pernah menyebutkan lebih dan 1,400 tahun dulu bahawa tahun demi tahun, ilmu pengetahuan manusia semakin canggih, dan semakin tinggj, tetapi moral manusia itu tahun demi tahun semakin buruk. Dan apa yang disebutkan oleb Nabi s.a.w. itu sudah pun terjadi sekarang. Keburukan perangai manusia semakin jelas dan nyata tahun demi tahun. Perangai atau pun akhlak itu bukan semakin tinggi sebagaimana ilmu yang dituntut, tetapi semakin rendah semakin buruk dan seburuknya.

“Ya, Allah, Ya Tuhan kami, ampunkan dosa kami semua lindungilah kami dari bencana-bencana dan fitnah akhir zaman ini.

“Ya Allah, Ya Tuhanku, pada Engkau sahaja kami memohon perlindungan, pada Engkau sahaja kami meminta dan memohon ampun. Amin.”

Pak Syeikh- Mengeluh melihat perangai jahat manusia akhir zaman mutakhir ini.

PENGAILNYA LEBIH BANYAK DARI IKANNYA

Sekarang ini terlalu banyak perhimpunan itu dan ini. Banyak pula pertunjukkan hiburan yang dianjurkan oleh banyak pihak sana sini. Manakala pihak media elektronik pula terlalu kerap, bahkan terlalu banyak program mengenai hiburan. Saban hari dan masa kita disogokkan dengan hiburan sama ada program dalam atau pun luar negara.

Pak Syeikh melihat ini merupakan gejala-gejala yang kurang sihat. Semakin banyak hal-hal yang mengkhayalkan, maka manusia semakin lupa untuk mengingat Tuhan. Dah lah tu, ada pula konvoi bawa itu dan bawa ini mengelilingi kota, desa dan negeri. Apa yang Pak Syeikh bimbangkan jangan-jangan ada yang meninggalkan tugasnya tenhadap Allah s.w.t.

Ada lagi satu benda yang boleh melalaikan manusia dengan mengadakan acara-acara di kolam dan di lombong serta di tasik. Ikan dalam tasik, dalam sungai itu tidaklah sebanyak orang-orang yang hendak mengambilnya. Manusia penuh sesak di sekeliling tasik nak tangkap ikan, sedangkan ikan yang ada di dalam tasik itu tidaklah sebanyak orang yang ada di kelilingnya.
Ini barang kali sebagai hobi sahaja. Tetapi, ini semuanya satu daripada unsur-unsur ‘melalaikan’.

Apa yang Pak Syeikh doakan semoga semua orang tidak ‘lalai’ dalam mengingat Allah dan akan tunaikan perintahNya bila masuk waktunya. Pak Syeikh nak ingatkan satu lagi, selain dari hiburan-hiburan media elektronik yang begitu hebat dan menghairahkan dan menyukakan anak-anak muda, jangan lupa penganjur juga termasuk golongan yang ‘subahat” yang boleh tergolong dalam orang-orang yang melalaikan.

Kalau pun tidak menonton, tetapi yang menjadi punca utama kerana menyediakan pertunjukan yang melalaikan itu, maka termasuklah di dalam orang-orang yang berdosa. Walaupun kerja kita yang menyebabkan kita begitu sibuk, tetapi kita jangan sekali-kali melupakan Allah. Maksudnya, perintah Allah janganlah diabaikan disebabkan kelalaian itu.

Pak Syeikh teringat dengan satu sabda Nabi Muhammad s.a.w. yang ertinya: “Perumpamaan orang-orang yang ingat kepada Allah dan orang-orang yang tidak pernah mengingatiNya adalah seperti orang yang hidup dengan orang yang mati.” Pak Syeikh rasa, hadis ini sudah cukup jelas. Kita semua tentu faham mafhumnya.

Pak Syeikh - Sekali sekala hanya urut dada aje.

( Sumber : Majalah Hidayah )

Image Hosted by ImageShack.us

0 ulasan:

Contact Me

Sekiranya anda ada sebarang pertanyaan atau cadangan, sila guna borang di bawah :

Template by - Abdul Munir | Daya Earth Blogger Template