Custom Search

Jumaat, Ogos 08, 2008

Siapa Usahawan Berjaya

ISLAM bersikap positif terhadap aktiviti keusahawanan. Buktinya dapat dilihat daripada pemahaman sebuah hadis Nabi s.a.w. yang bermaksud “Usaha yang baik itu ialah pekerjaan yang dilakukan sendiri oleh orang itu.”

Adalah antara bukti Islam bersikap positif terhadap aktiviti keusahawanan. Agama Islam memberi ruang yang luas kepada manusia untuk merangsang daya kreativiti bagi membangunkan peradaban insan. Dalam bidang muamalah contohnya, untuk memastikan sistem keusahawanan yang akan diuruskan oleh manusia tidak terdedah daripada sifat ketempangan yang boleh memudaratkan kepentingan umum manusia, Islam telah merangka satu garis panduan yang jelas berdasarkan petunjuk daripada al-Quran dan as-Sunah. Keistimewaan yang terpancar dalam sistem keusahawanan yang berorientasikan muamalah Islam kerana ia disuburkan dengan nilai-nilai teologi yang menjadi teras kepada model pembangunan keusahawanan yang bersifat holistik.

Manifestasi keunikan yang ada pada sistem keusahawanan Islam dapat dilihat daripada amalan keusahawanan yang telah dipraktikkan oleh Nabi Muhammad s.a.w dan para sahabat seperti Sayidina Abu Bakar, Abdul Rahman bin Auf dan sebagainya.

Apabila manusia membelakangkan faktor keagamaan, golongan tersebut akan bertindak bertuhankan hawa nafsu dalam mengejar kepentingan material sehingga menghalalkan apa sahaja cara untuk memenuhi segala impian meskipun bertentangan dengan prinsip agama dan norma masyarakat. Klimaknya berlakulah penyelewengan, rasuah, spekulasi yang bertentangan dengan nilai-nilai luhur manusia, penipuan, penindasan dan perlakuan negatif yang lain sehingga boleh merosakkan sistem sosioekonomi masyarakat.

Hal yang demikian disebabkan doktrin keusahawanan dikatakan sebagai ‘akta kekreatifan manusia’, menuntut usahawan untuk mencipta dan meneroka sesuatu nilai daripada yang tiada. Justeru, ia perlu diimbangi dengan asas keagamaan yang berfungsi sebagai kuasa neutral untuk mengawal tingkah laku manusia daripada melakukan kezaliman dan pencerobohan sesama manusia.

Berdasarkan World View Islam, usahawan yang berjaya ialah individu yang cemerlang dalam setiap lapangan yang diusahakannya dan mengamalkan sepenuhnya nilai-nilai agama serta dapat menyumbangkan keuntungan yang diperolehi untuk kepentingan agama dan masyarakat amnya. Keuntungan material semata-mata bukanlah dianggap indicator untuk menunjukkan kejayaan seseorang usahawan. Sebaliknya, kejayaan yang ingin dikecapi bukan sahaja di dunia bahkan berkesinambungan dengan akhirat. Kunci utama yang perlu dijadikan objektif ialah mendapat keredhaan daripada Allah s.w.t.

Konsep Usahawan Berjaya

Secara konseptualnya, usahawan berjaya boleh ditakrifkan sebagai indvidu yang cemerlang dalam aktiviti keusahawanan dan komited terhadap perintah agama atas kapasitinya sebagai seorang Muslim, mukmin dan muhsin. Dalam Islam, ketentuan untuk mencapai kejayaan ini dikenali sebagai konsep al-falah pencapaian cemerlang yang mencakupi keseluruhan aspek kehidupan manusia daripada aspek kerohanian, kebendaan, moral dan sebagainya untuk mencapai kejayaan di dunia dan akhirat.

Firman Allah s.w.t. yang bermaksud:
“Dan carilah pada apa yang telah dianugerahkan Allah kepadamu (kebahagiaan) negeri akhirat dan janganlah kamu melupakan habuanmu dari (kenikmatan) di dunia.” (Al-Qasas: 77).

Melalui konsep ini, golongan usahawan akan lebih cenderung untuk berusaha secara konsisten melaksanakan tugasnya sebagai khalifah al-Ard untuk melakukan kebaikan kepada manusia demi mencari keredhaan yang hakiki. Semangat al-falah yang dihayati oleh usahawan Muslim akan mendorong mereka mengoptimumkan segala sumber-sumber yang dianugerahkan oleh Allah s.w.t untuk kemaslahatan umat manusia sejagat.

Usahawan Muslim perlu memastikan mereka menjauhkan diri daripada terlibat dengan sebarang bentuk penyelewengan dan unsur-unsur yang boleh mencemarkan keharmonian sistem keusahawanan Islam. Harta yang diperolehi melalui aktiviti perekonomian bukan bersifat pemilikan yang mutlak, sebaliknya manusia hanyalah sebagai pemegang amanah yang menguruskan sumber tersebut.

Usahawan berjaya juga perlu mengambil kira faktor pembangunan insan dalam lapangan kerja yang diusahakannya. Contohnya, melazimkan sembahyang berjemaah dalam kalangan pekerja, membudayakan penghayatan ilmu dalam kalangan stafnya, bersifat terbuka dan bertoleransi terhadap kritikan yang membina, menunaikan tanggungjawab sosial kepada masyarakat luar dan menekankan nilai-nilai murni dalam organisasinya.

Usahawan yang mempraktikkan nilai-nilai tersebut akan mendapat ganjaran yang besar kelak. Sabda Nabi Muhammad s.a.w yang bermaksud: “Peniaga yang bersifat benar bersama dengan para anbiya, siddiqin dan para syuhada.” (at-Tirmizi)

Kriteria Asas Usahawan Berjaya

Penanda aras (benchmarking) kepada kejayaan usahawan bukan hanya terletak kepada keuntungan yang diperolehinya semata-mata. Walaupun, prestasi keuntungan dilihat sebagai indikator kepada kejayaan usahawan namun pengabaian kepada faktor bukan ekonomi iaitu nilai rohaniah akan memberi dampak yang negatif terhadap pembangunan ekonomi yang bersifat holistik.

Keghairahan mengejar faktor material semata-mata boleh menjadikan seseorang usahawan itu bersifat individualistik dan materialistik. Realiti ni berlaku disebabkan nilai agama dilihat sebagai kawalan kerohanian kepada individu Muslim dalam setiap tindakan yang dilakukan. Akibat daripada kelonggaran pegangan nilai keagamaan boleh mendedahkan diri usahawan bertindak dengan cara yang salah demi mendapat habuan dunia. Umumnya, kriteria-kriteria asas kejayaan usahawan Muslim dapat dirumuskan seperti berikut :

1. Tidak tertibat dalam perniagaan yang diharamkan syarak

Islam menyeru kepada penganutnya bersikap kreatif dan berinovatif dalam memakmurkan sumber alam yang telah dianugerahkan oleh Allah. Dalam setiap transaksi yang melibatkan perniagaan ataupun perkhidmatan yang diusahakan oleh usahawan, Islam menganjurkan golongan tersebut melakukan dengan tekun dan bersungguh-sungguh. Ini kerana, sebahagian besar sumber rezeki yang melimpah ruah dikurniakan oleh Allah s.w.t. adalah melalui aktiviti keusahawanan.

Dr. Yusuf al-Qaradawi menerusi Fatwa Mu’asir, menjelaskan bahawa dalam kerancakan bergiat aktif dalam dunia keusahawanan, Islam telah mengharamkan kepada manusia berkecimpung dalam perniagaan yang mempunyai unsur-unsur diharamkan oleh syarak. Contoh yang lazim dikemukakan dalam kitab fiqh seperti perniagaan yang berkaitan dengan judi, arak, riba dan babi. Menurut perbahasan muamalah Islam, sekiranya hasil tersebut diniagakan kepada bukan Muslim hukumnya kekal sebagai tidak sah.

Dalam kes yang melibatkan arak, syarak mencela dan melaknat individu yang terlibat sama ada secara langsung atau sebaliknya, dalam aktiviti tersebut. Peristiwa ini telah dirakamkan dalam sebuah hadis Nabi s.a.w yang telah diriwayatkan oleh al-Hamidi barkenaan dengan seorang lelaki yang datang kepada baginda untuk menghadiahkan arak. Lantaran itu baginda bersabda yang bermaksud:"Sesungguhnya Allah s.w.t telah mengharamkan arak." Kemudian beliau berkata kepada Baginda: “Sekiranya begitu, aku mahu menjualkannya.” Baginda berkata: “Sesungguhnya Allah yang mengharamkan minum arak mengharamkan menjualnya.”

Oleh yang demikian lelaki tersebut berkata “Sekiranya begitu saya akan memuliakan (menghadiahkan) orang-orang Yahudi dengannya". Apabila mendengarnya Baginda bersabda: “Sesungguhnya Allah yang telah mengharamkan menjual dan meminumnya, mengharamkan engkau memuliakan orang Yahudi dengannya.” Mendengar jawapan tersebut beliau berkata: “Apa yang harus saya lakukan?”
Baginda bersabda: “Pergilah engkau ke jalan raya dan simbahkan ia di situ.”

2. Bebas daripada unsur-unsur penipuan dan khianat

Sebahagian usahawan beranggapan untuk mendapat keuntungan yang lebih kadang-kadang mereka terpaksa mengorbankan soal moraliti demi mengelakkan kerugian. Apa yang difikirkan adalah objektif keuntungan material lebih diutamakan daripada kepentingan umum pengguna. Namun begitu, jika diperhalusi secara terperinci unsur-unsur negatif yang dipraktikkan oleh usahawan ia meninggalkan kesan negatif yang cukup besar dan boleh menjejaskan reputasi yang telah dibina oleh usahawan terbabit.

Golongan usahawan yang bersifat sedemikian, lebih cenderung dan terdedah untuk melakukan pecah amanah, rasuah, sumpah palsu, penipuan dan penindasan ke atas pengguna. Oleh kerana unsur-unsur negatif tersebut mendatangkan kemudaratan kepada manusia, maka Islam memandang serius perkara ini. Nabi Muhammad s.a.w. menegah unsur-unsur sedemikian dibudayakan dalam aktiviti keusahawanan. Dalil daripada sunah, sabda Nabi s.a.w. bemaksud: “Barang siapa yang menipu maka dia bukan dalam golongan kita(Muslim dan lain-lain)."

Aktiviti keusahawanan yang dituntut oleh Islam hendaklah bersih daripada unsur-unsur negatif yang telah dinyatakan. Keuntungan yang diperolehi dengan cara yang salah menyebabkan harta yang diperolehi tidak diberkati dan yang lebih dibimbangkan ialah mendapat kemurkaan danpada Allah s.w.t.

3. Tidak terlibat dalam aktiviti sorok barang dan manipulasi harga

Pengagihan kekayaan tidak mencapai objektif sekiranya hanya menguntungkan sebelah pihak sahaja tambahan lagi dengan cara penindasan terhadap pihak lain. Contohnya, apabila kerajaan mengumumkan kenaikan gaji atau bonus sudah tentulah membawa berita gembira kepada para pekerja. Bagaimanapun, gembira yang dinikmati hanyalah sementara apabila terdapat segelintir usahawan dan peniaga cuba mengambil kesempatan mengamalkan kegiatan sorok barang dan dalam masa yang sama memanipulasikan harga barang asasi masyarakat dengan sewenang-wenangnya. Ternyata aktiviti negatif sedemikian boleh menyebabkan ketidakstabilan ekonomi dalam masyarakat, kenaikan harga barang yang tidak munasabah, peningkatan kadar inflasi, jurang kemiskinan tinggi, pembolotan kekayaan oleh segelintir pihak, dan pelbagai kesan negatif yang lain.

Islam mengkritik dan mencela golongan yang bertindak menguasai pasaran secara tidak adil. Islam melihat fenomena ini sebagai perkara yang tidak sihat dan penyebab kepada ketidakseimbangan ekonomi dalam masyarakat. Dalam hal ini, Nabi Muhammad s.a.w. bersabda yang bermaksud: “Tidaklah seseorang yang melakukan komplot menyorok barang melainkan dia telah melakukan kesalahan."

4. Kesedaran beragama dan menghayati nilai-nilai terpuji

Matlamat utama yang perlu diletakkan oleh setiap individu usahawan atau peniaga ia mendapat keredhaan daripada Allah s.w.t. Apabila cita-cita ini dijadikan objektif yang utama dalam diri usahawan sudah pastilah ia akan mencapai konsep al-falah di dunia dan akhirat. Golongan usahawan yang mempunyai kesedaran agama yang tinggi sentiasa memastikan segala hasil pendapatan yang dimiliki mengikut jalan yang diredhai dan bersih. Umpamanya, pendapatan yang diperolehi perlu dipastikan sumber-sumbernya, prinsip-prinsip muamalah yang diaplikasikan, memenuhi kualiti, dan mengeluarkan zakat.

Secara fitrahnya, pembangunan keusahawanan yang berorientasikan nilai-nilai luhur tidak akan berlaku kontradiksi dan konflik (disequilibirium) disebabkan perkara tersebut telah diberi jaminan daripada Allah kepada hanba-hamba Nya yang bertakwa. Melalui aplikasi nilai-nilai murni dalam diri usahawan yang bersumberkan akhlak lslamiah akan mengelakkan mereka daripada dicemari dengan nilai-nilai mazmumah dan akhirnya mendorong melakukan pengkhianatan dan kerosakan atas muka bumi (fasad).
Selain jelas menentang keras nilai-nilai negatif yang boleh mencemarkan keharmonian sistem keusahawanan. Asimilasi doktrinisasi nilai-nilai mahmudah dalam amalan keusahawanan akan membentuk satu kerangka pembangunan keusahawanan yang komprehensif ke arah melahirkan usahawan Muslim yang berjaya. Natijahnya nilai-nilai positif seperti berani, berjiwa besar, amanah, berdaya saing, tidak mudah putus asa akan terpancar dalam diri para usahawan.

Sebaliknya, jika aspek ini diabaikan dan dipandang remeh ia membuka pintu yang luas kepada manusia untuk memuaskan keinginan hawa nafsunya yang tidak terbatas. Impaknya, golongan usahawan akan tenggelam dengan tipu daya dunia yang hanya menjanjikan keseronokan yang bersifat sementara. Oleh kerana terlalu taasub dengan kemewahan dunia manusia sanggup mengetepikan nilai-nilai rohaniah yang menjadi penghalang kepada tuntutan hawa nafsu.

5. Memperkasakan diri dengan ilmu dan kemahiran

Amalan keusahawanan yang dipraktikkan oleh Nabi s.a.w berbeza dengan realiti yang berlaku pada hari ini. Meskipun begitu, sistem keusahawanan yang diasaskan oleh Nabi Muhammad s.a.w dilihat sebagai asas fundamental yang mendasari kerangka sistem tersebut. Ia bersifat kuantitatif kerana berpandukan kepada wahyu, bagaimanapun syarak masih lagi membuka ruang kepada manusia untuk proses penambahbaikan bagi memperkasakan sistem tersebut selagi tidak bercanggah dengan syariat Islam.

Dalam aspek keusahawanan ia menuntut kepada individu yang terlibat mempunyai sifat ketekunan yang tinggi, kreatif, berani menghadapi risiko dan bermotivasi tinggi. Semua ciri-ciri yang dinyatakan tersebut menuntut kepada usahawan untuk membuat persiapan yang mencukupi sebelum menceburkan diri dalam dunia usahawan.

Bagi menghadapi realiti yang berlaku dalam dunia keusahawanan, golongan usahawan perlu memperkasakan diri mereka daripada aspek penjanaan modal, sumber manusia, penguasaan teknologi terkini, kemahiran yang kompeten, jaringan perniagaan yang global dan berpengetahuan. Elemen-elemen inilah yang perlu ditekan oleh usahawan Muslim pada hari ini. Jika kita masih lagi berfikiran tertutup, menggunakan peralatan tradisional dalam proses pengeluaran, meneruskan aktiviti tradisional yang diwarisi daripada ahli keluarga nescaya usahawan Muslim akan ketinggalan dan masih lagi belum bersedia untuk menjadi usahawan di peningkat yang lebih tinggi.

Islam tidak pernah menghalang mana-mana individu untuk mencari harta kekayaan untuk kesenangan di dunia. Seseorang individu dituntut untuk berusaha dengan tekun untuk memperbaiki taraf hidupnya. Secara prinsipnya, usahawan berjaya menurut kerangka keusahawanan Islam ialah individu yang berusaha secara konsinten untuk maju dalam bidang yang diceburinya dan mematuhi sepenuhnya tuntutan keagamaan. Terminologi usahawan berjaya dalam korpus muamalah Islam bukan hanya mendapat pengiktirafan di dunia semata-mata seperti yang difahami oleh Barat tetapi merentasi alam akhirat. Justeru, aplikasi teori-teori asas keusahawanan perlu diintegrasikan dengan nilai-nilai rohaniah keagamaan supaya dapat menghasilkan satu momentum yang positif ke arah penjanaan usahawan Muslim berjaya dan cemerlang menenusi konsep al-falah.

Image Hosted by ImageShack.us
Editor : Adakah maklumat ini bermanfaat untuk anda...?

0 ulasan:

Contact Me

Sekiranya anda ada sebarang pertanyaan atau cadangan, sila guna borang di bawah :

Template by - Abdul Munir | Daya Earth Blogger Template