Custom Search

Selasa, Ogos 19, 2008

Sambutan Kemerdekaan Ke-51

Logo dan Tema Hari Kebangsaan ke-51


Rekabentuk logo ini diilhamkan dari ikatan 3 figura yang saling berganding bahu menunjukkan perpaduan erat melambangkan ”Perpaduan Teras Kejayaan”.

3 ikatan figura manusia saling berganding bahu menunjukkan rakyat yang bekerjasama di antara satu sama lain dalam menjaga keamanan dan memajukan negara.

3 rupa bentuk manusia digayakan bergandingan bahu adalah mewakili kaum-kaum di Malaysia yang bersefahaman bagi menunjukkan mereka telah mencapai kejayaan dalam perpaduan.

Warna merah simbol keberanian rakyat. Putih simbol kesetiaan keseluruhan rakyat Malaysia. Warna biru melambangkan perpaduan yang dijalinkan oleh kaum-kaum di Malaysia. Manakala warna kuning pula melambangkan Sistem Beraja dan Yang di-Petuan Agong. Ianya juga membawa maksud warna kegemilangan/keemasan yang dikecapi oleh rakyat Malaysia.

Hanya 11 hari saja lagi (dari tarikh artikel ini ditulis) seluruh rakyat Malaysia akan menyambut hari kemerdekaan yang ke-51 dengan tema baru PERPADUAN TERAS KEJAYAAN. Pada pandangan saya tema ini mengambilkira keadaan semasa yang berlaku dalam negara kita yang digemparkan dengan pelbagai isu dan situasi yang boleh menggugat kestabilan, keharmonian dan keamanan negara sekiranya tidak ditangani dengan sebaik-baiknya bukan saja oleh barisan kepimpinan negara tetapi juga oleh semua pihak termasuk kita semua sebagai rakyat Malaysia amnya dan komuniti blogger khususnya.

Setiap kita ada tanggungjawab dan peranan masing-masing dalam mewujudkan perpaduan dalam erti kata yang positif untuk mencapai apa jua kejayaan untuk negara. Perpaduan teras kejayaan boleh saja ditafsirkan mengikut kepentingan pihak tertentu. Sekiranya pihak berkenaan dari kalangan 'pembangkang' ia ditafsir sebagai perpaduan untuk mewujudkan pakatan yang kukuh bagi mencapai kejayaan menawan lebih banyak 'kerusi' seterusnya berjaya menjadi kerajaan mentadbir negeri.

Bagi kerajaan yang memerintah negara pun begitu juga, tetapi pengertiannya lebih kepada memperoleh sokongan rakyat agar terus bersama-sama dengan pemerintah untuk mewujudkan perpaduan yang akan menjayakan segala perancangan dan dasar-dasar yang diperkenalkan bagi membantu meringankan beban rakyat tanpa mengira kaum dan latarbelakang. Walau apa pun yang dicanang oleh mereka, rakyat kini lebih berfikiran terbuka dan tahu membuat penilaian yang sepatutnya tentang erti perpaduan teras kejayaan.

Dari kaca mata seorang rakyat biasa seperti saya, perpaduan teras kejayaan tidak mempunyai makna-makna tersembunyi yang berpihak kepada mana-mana kepentingan. Ia lebih kepada perpaduan yang sebenar, merapatkan ikatan silaturahim tanpa mengira kaum, agama dan latarbelakang. Dengan menghormati hak masing-masing tanpa mempersoal, menidak dan cuba mempengaruhi agar orang lain berpadu dengan mereka menjadi pengikut mereka, seterusnya membantu menjayakan matlamat mereka.

Walaupun seseorang itu berbangsa melanau, beragama Islam dan ahli parti PBB (Pesaka Bumiputera Besatu) atau tiada keahlian dalam mana-mana parti politik, dia tetap menghormati hak dan kebebasan orang lain dan masih boleh berbaik-baik dengan orang lain walaupun mereka itu berbangsa Melayu atau Cina atau Iban, beragama Kristian atau Buddha atau tiada agama, ahli parti PAS atau UMNO atau PKR. Tanpa mengira perbezaan ini, seseorang itu masih boleh menerima ikatan persaudaraan dan bersatupadu dengan orang lain untuk mewujudkan kesejahteraan agar kehidupan semua pihak lebih aman dan harmoni tanpa rasa takut dan terancam.

Sungguhpun masing-masing ada matlamat dan matlamat itulah yang hendak dijayakan, janganlah sampai merosakkan masa depan orang lain, memecahbelahkan perpaduan orang lain dan menggugat kebebasan serta merampas hak orang lain. Walaupun berbeza gunakanlah cara dan pendekatan yang lebih intelektual dan professional. Persaingan yang sihat akan menunjukkan kelebihan masing-masing secara jujur dan terbuka, bukan dengan cara memperdaya, memaksa dan memutarbelit. Orang biasanya akan lebih menerima sesuatu pengaruh yang boleh diterima akal (bergantung kepada tahap ilmunya) dan lebih tertarik dengan sesuatu perkara yang menghormati hak dan diri mereka. Sebagai rakyat biasa, untuk menghadapi realiti ini hanyalah dengan memperkukuhkan ilmu pengetahuan dan keimanan supaya diri kita terselamat dari pengaruh negatif dan cubaan untuk memecahbelahkan diri kita.

Perpaduan Teras Kejayaan perlu dilihat dengan prospek yang lebih luas sejajar dengan kepelbagaian perbezaan yang wujud dalam masyarakat kita rakyat Malaysia.

Lagu Tema Hari Kebangsaan ke-51



Kini Semangat Jalan Seiring
Satu Amalan Kerjasama
Jadi Teras Bangsa Mulia
Sehati Sejiwa

Bangun Membantu Agar Sepakat
Moga Terserlah Perpaduan
Agar Teguh Dipersada
Dalam Hidup Harmoni

Sirami Rasa Kasih Sayang
Jadi Benteng Hidup Yang Harmoni
Nurani Ikhlas
Dihati Murni
Menjadi Kekuatan Kita

Bersatu.......Bersatu
Bersatu Gagah Bercerai Rebah
Hindarkan Hasrat Sengketa Kita
Perpaduan Teras Kejayaan

Berpadu......Berpadu
Berpadu Bulat Kata Sepakat
Menjadi Cita Negara Jaya
Perpaduan Teras Kejayaan
Perpaduan Teras Kejayaan
Perpaduan Teras Kejayaan

Lagu Oleh: Pak Ngah
Lirik: Lokgha


Image Hosted by ImageShack.us

0 ulasan:

Contact Me

Sekiranya anda ada sebarang pertanyaan atau cadangan, sila guna borang di bawah :

Template by - Abdul Munir | Daya Earth Blogger Template